Friday, May 15, 2009

MARAH BUKAN KEBENCIAN TAPI TANDA SAYANG

Monday, December 4th, 2006 (another copy)

Wardah membisu. Hanya kedengaran esakan tangis. Kelopak matanya banjir dengan airmata. Hatinya begitu sebak dan sayu hari itu. Empangan airmatanya yang yang ditahan sekian lama, akhirnya pecah mengalir juga. Mak Usu, ibu saudaranya hanya memerhatikan saja anak saudara kesayangannya itu yang tidak henti-henti mengesat airmatanya yang semakin laju mengalir.

"Kenapa menangis ni?", soal Mak Usu lembut. Tak tertahan melihat kesedihan Wardah. Tidak pernah dia melihat anak saudaranya itu menangis tersedu-sedan sebegitu selama dia rapat dengan Wardah. Matanya merenung Wardah yang lengkap memakai baju kurung dan tudung.

"Wardah dah nak balik kampus ker?". Mak Usu teringat kembali perbualannya dengan Wardah semalam. Katanya, dia akan pulang ke kampus hari ini kerana semester baru pengajian akan dibuka 2 hari lagi. Wardah yang semalam sangat riang bergelak- ketawa mengusik Mak Usunya, tidak sama dengan Wardah yang berada di depannya ini.

"Wardah sedih nak tinggalkan Mak Usu ker?", soalnya lagi setelah soalan pertamanya tadi tidak berbalas. Mak Usu membuat tekaan yang sebenarnya dia sendiri tahu salah. Tangannya memeluk bahu Wardah yang terhinjut-hinjut menahan esakan.

"Tak adalah…Mak Usu", balas Wardah kembali mengesat airmatanya.

"Habis tu? Kenapa menangis?". Wardah tunduk.

"Mak Usu tahu…". Wanita berusia lewat 20-an itu meneka lagi.

"Ummi marahkan Wardah ye..". Kali ini, Mak Usu pasti itulah jawapan yang sebenarnya. Mak Usu kenal sangat dengan fi’il kakaknya itu. Kadang-kadang tak terkawal leterannya itu. Bukan Wardah saja yang menangis, Mak Usu pun pernah menangis sebab marah kakaknya. Tapi, Mak Usu tak salahkan Ummi Wardah kerana itu tanggungjawabnya sebagai kakak untuk mendidik adik dan mungkin caranya untuk mendidik anak.

Airmata Wardah tumpah lagi, mengiyakan tekaan Mak Usunya itu. Bertambah sebak apabila kata-kata Umminya tadi kembali hinggap di memori.

"Kenapa Ummi marah? Wardah ada buat salah yer?", tanya Mak Usu dalam nada memujuk. Wardah bercerita, berselang-seli dengan sedu-sedannya. Semuanya kerana keputusan peperiksaannya yang agak teruk pada semester lepas membuatkan Umminya marah. Hatinya bagai dihiris-hiris apabila Ummi mempersoalkan bidang pengajian yang diambilnya kini. Itulah akibatnya kalau membantah cakap Ummi. Umminya benar-benar berharap Wardah menjadi seorang doktor. Lagipun, Wardah pernah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang perubatan selepas tamat matrikulasi tetapi Wardah menolak tawaran itu. Hanya kerana dia berasa berat hati untuk menerima. Kali ini, Ummi bangkitkan lagi kesilapan Wardah menolak tawaran itu. Kalau Wardah ambil bidang perubatan mungkin tak jadi begini. Lebih cerah masa depan, kata Ummi. Wardah menahan telinga saja, tak melawan. Wardah tidak berniat untuk melukakan hati Umminya. Pelbagai perkara berlaku menyebabkan Wardah akhirnya memilih bidang kejuruteraan. Dia sendiri tidak pasti apa yang terbaik untuk dirinya. Mungkin itu adalah ketentuan Allah buat Wardah. Wardah mengakui kesilapan dan kesalahan yang telah dia lakukan kerana menghampakan harapan Umminya. Tapi, biarlah semua itu menjadi kenangan. Dia cuma mengharapkan doa, sokongan dan galakan daripada insan yang amat dikasihinya itu. Mak Usu mengusap-usap bahu anak saudaranya itu. Tanda memahami perasaannya.

Wardah hanya membisu di dalam kereta sepanjang perjalanan dari rumahnya ke kampus. Ummi yang sedang memandu tidak berbicara, menumpukan perhatian ke jalan raya. Suara adik-adiknya saja yang kedengaran sepanjang jalan. Wardah benar-benar kecil hati dengan kata-kata Ummi. Ummi selalu memberi galakan kepada adik-adiknya tapi kenapa dia saja yang sering menerima cercaan. Semenjak dia sekolah sampailah sekarang. Mungkin Ummi tak sayangkannya, fikir Wardah sendirian. Melayan rasa sedihnya.

Selepas makan, Ummi singgah sebentar di tempat rekreasi berdekatan dengan kampus Wardah. Wardah monyok. Senyumannya hilang ditelan kesedihan. Ummi perasan dan Ummi tahu anaknya itu sedih dengan kata-katanya. Ummi berlabuh di sisi Wardah yang duduk memerhatikan adik-adiknya berjalan-jalan di sekitar tempat itu.

"Wardah..", panggil Ummi lembut. " Marah Ummi bukan sebab benci, tapi marah Ummi sebab Ummi sayangkan Wardah".

"Wardah anak sulung Ummi, kakak kepada adik-adik Wardah. Mengguris hati Wardah ibarat mengguris hati Ummi sendiri", tutur Umminya lagi. Airmatanya bergenang. Wardah diam. Tak layak untuk dia berkata-kata. Diamnya kali ni bukan sebab marah tapi atas rasa bersalah. Tidak sepatutnya dia terlalu ikutkan perasaannya marahkan Ummi yang mengandungkannya, menyusukannya, mendidiknya sejak daripada kecil.

"Ummi nak Wardah jadi seorang yang kuat semangat dan tabah. Tak mudah goyah. Hidup kita ni banyak cabaran dan dugaan Wardah. Kalau kita tak kuat semangat, kita takkan berjaya harunginya..".

Wardah akur. Betul kata Ummi. Wardah nak jadi setabah Ummi. Ummi ibu yang tabah, tak mudah goyah dengan rintangan, kuat semangat, kental jiwanya mendepani cabaran. Kalau tidak, masakan Ummi boleh menjaga mereka adik-beradik sendirian tanpa kehadiran suami di sisi. Segala yang pahit terpaksa Ummi telan. Segala yang manis diberikan kepada anak-anak yang tersayang.

"Ummi tak ada harta yang banyak untuk Ummi berikan kepada anak-anak Ummi. Biarlah Ummi menghabiskan keringat, wang ringgit, malah hidup Ummi untuk Wardah dan adik-adik, asalkan anak-anak Ummi berjaya dalam hidup masing-masing. Biar kita tak kaya harta tapi Ummi nak anak-anak Ummi kaya dengan ilmu..", pesan Ummi sambil membelai anak gadisnya itu. Wardah mencium pipi Umminya. Maafkan wardah, UMMI. Wardah sayang Ummi.

…marah bukan tanda benci, tapi tanda sayang…
"Ya ALLAH, rahmatilah dan kasihilah ibuku"

-hakcipta terpelihara-tunsripiandangcopyright….

No comments:

Post a Comment