Saturday, January 15, 2011

MARAH

Suatu hari....

Kita jadi MARAH apabila anak kita buat bising sambil melemparkan barang-barang mainannya ke lantai lantas mengejutkan adik kecil yang sedang tidur dalam buaian. Kita yang sedang disibukkan dengan kerja-kerja harian di rumah atau menyibukkan diri dengan facebook, blog dan sebagainya tiba-tiba rasa api naik kepala lalu....(sila sambung dengan menggunakan ayat sendiri tidak lebih daripada 50 patah perkataan)

Sama juga kalau...

Kita pergi ke satu kedai makan. Oleh kerana lidah kita terasa nak makan western food jadi, kita pun pesan chicken chop sos black pepper dengan air tembikai (oh! Terliur anak tekak....). Tapi, walaupun dah menunggu selama 40 minit sambil anak cacing bermain drum heavy metal dalam perut namun makanan yang dipesan belum sampai ke meja. Tiba-tiba, orang yang datang selepas kita dapat dulu makan chicken chop sos black pepper yang kita pesan sebelumnya dengan gembira sambil kita menahan rasa api naik kepala lalu....

Sama juga kalau...

Kita pergi ke satu kedai nak beli barang tapi, tuan punya kedai buat tak tahu je. Muka pun tak senyum. Bila kita tanya, nak tak nak saja jawab. Maka, kita pun yang api dah naik kepala menggunakan kuasa sebagai pembeli lalu....

Sama juga kalau...

Kita beli sebuah motor di sebuah kedai yang baru dibuka di kawasan kampung. Beli motor pun bayar cash, tak ada hutang-hutang. Kita pun dengan bangganya sebab bayar motor secara tunai, tungganglah motor yang tak ada hutang tu keliling kampung. Esok pagi, tiba-tiba motor tak boleh start. Bukan setakat esok saja, sampai seminggu pun tak boleh start. Oleh kerana itu, motor yang dibeli secara tunai itu pun tersadai di depan rumah sebagai hiasan walaupun tak hilang lagi bau kedai. Kita yang api dah naik kepala segera bertemu dengan si penjual setelah mekanik di bengkel pun tak boleh kenalpasti masalah sebenar motor yang baru saja dibeli secara tunai itu, lalu...

dan sama juga kalau...

Kita pergi ke kaunter di sebuah pejabat untuk bertanyakan sesuatu hal yang penting tetapi orang-orang di pejabat buat tak tahu. Kita pun tekan loceng di kaunter dengan harapan ada orang sedar kewujudan kita di kaunter pejabat tersebut. Tapi, bila tekan loceng orang yang datang tu buat muka masam, langsung tak senyum, macam tak sudi nak layan dan menyebabkan kita yang tak ada kena-mengena dengan masalah rumahtangganya rasa api naik kepala, lalu...

dan banyak lagi. Kalau nak cerita kat sini, 1001 malam pun belum tentu habis.

Yang pasti, kalau api dah naik kepala...kita mungkin akan rotan anak yang buat bising lantas mengejutkan adik dalam buaian dan ganggu kita yang sedang sibuk buat kerja penting dan tak penting sampai meraung-raung menangis kesakitan. Jiran kita yang prihatin telefon 15999 beri laporan yang anak kita kena dera lalu polis pun datang buat siasatan. Kebetulan, tangan anak kita merah-merah sebab kena rotan dan tak henti-henti lagi menangis. Tak pasal-pasal kita didakwa mendera lalu padan muka kita masuk surat khabar muka depan sebab tak kawal api naik kepala.

Kita juga mungkin akan buat muka menyampah sambil marah gila-gila pada pelayan yang hantar lambat pesanan makanan kita. Padahal, drum dalam perut dah nak pecah berbunyi. Tiba-tiba, orang yang datang lambat dapat makan dulu chicken chop sos black pepper yang sedap sambil menjeling pada kita sambl membuat reaksi muka minta-maaf-bukan-salah-saya. Kita yang dah berasap-asap kepala mula membentak-bentak meja seperti seorang kanak-kanak yang tidak dibelikan mainan kereta control oleh ayahnya lalu berambus daripada kedai tersebut dengan perut yang menyanyi lagu balada pula.

atau mungkin...sekiranya kita mempunyai gaya seorang penceramah motivasi dan muka pun seiras-iras Ustazah Norbahyah atau Dr. Fadzilah Kamsah, mungkin kita dapat memberi ceramah motivasi percuma kepada tokey kedai runcit, tokey kedai motor, kakak kaunter pertanyaan dan sebagainya tentang adab-adab berniaga dan melayan tetamu. Dengan harapan mereka akan terbuka hati untuk berubah lalu memajukan lagi perniagaan dengan cara yang lebih bijaksana. Kakak di kaunter pertanyaan pun mungkin akan jadi lebih peramah dan senyum lebar sampai ke telinga. Baru saja kita melangkah masuk ke pintu depan, kakak di kaunter dah menyapa kita dengan senyuman dan kata-kata manis dengan ucapan "Assalammualaikum. Boleh saya bantu?"...Walaupun kita sekadar nak bertanya, "kak, tandas di mana?"...

Nabi Muhammad SAW dulu selalu dimaki-hamun atas sebab baginda mengajak kaum manusia menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Satu. Tapi, baginda membalas dengan senyuman dan diam. Oleh kerana itu, pengikut ajaran baginda sentiasa bertambah sehingga ke hari ini. Peribadi indah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada baginda menjadi sebahagian kunci kepada kejayaan mengembangkan agama Islam ke seluruh alam dan legasinya tetap diteruskan sehingga ke hari ini oleh para pendokong agama Islam yang benar-benar tulus bukan fulus.

Tapi, berapa ramai daripada kita yang apabila api dah naik kepala yakni MARAH kita akan bertafakur, menarik nafas dalam-dalam, beristighfar dan diam. Paling kurang, kita mungkin akan membaling sesuatu atau paling teruk membunuh satu nyawa hanya disebabkan MARAH. Nabi SAW dulu pernah dibaling najis dan sampah setiap kali dia melalui sebuah rumah seorang perempuan bukan Islam (macam yang Maher Zain tunjuk dalam klip video The Chosen One). Sebut Maher Zain, terang pula ingatan kita. Tapi, ketika perempuan itu sakit Nabi SAW masakkan makanan untuknya. Tak ada pun sesi pertengkaran atau balas dendam walau sebesar zarah. Itu salah satu sunnah Nabi SAW, tapi ada kita peduli?

Alangkah indahnya kalau sunnah Nabi SAW yang satu itu dapat kita ikuti. Bila kita dimarahi atau ingin memarahi, kita diam sambil beristighfar lalu mengukir senyuman pulaaa...subhanallah. Kita berdoa supaya orang yang marah itu diberikan ketenangan oleh Allah SWT atau kita berdoa supaya kita yang nak marah diberikan ketenangan oleh Allah SWT lalu cuba kita bayangkan dunia yang aman dan sejahtera tanpa pertumpahan darah dan pertengkaran lidah. Oh, sungguh indahhh!!!

Kita ni sebut poligami saja semua tahu itu sunnah Rasulullah tapi bab-bab solat, ibadat lain-lain tak nak pula ikut sunnah Rasulullah...

Ya Rasulullah Ya Habiballah...

Aku rindu padamu...

Kita ni asyik kata sayang Nabi tapi betulkah segala amalan dalam hidup kita ni mengikut sunnah Nabi? Cer check balik..Entah-entah syok sendiri..

Salam Maulidur Rasul 1432 H

Saya rasa nak marah kalau kita seharian berarak sambil berselawat ramai-ramai menunjukkan tanda kasih sayang kepada Rasulullah tapi bila balik rumah haraaammm tak solat. Boleh pula tidur sambil ternganga mulut dan meleleh air liur basi kononnya penat memuji Rasulullah...memang hampeh!