Wednesday, October 19, 2011

ANJING LEBIH MULIA


Saya ada terbaca satu blog. Kisah seekor anjing yang dibuang ke tengah laut oleh seorang makhluk bernama manusia. Maka, datanglah beberapa orang manusia lain menyelamatkan binatang yang malang itu dengan perasaan penuh haru.

Di FB, ramai meng'forward' link video Youtube seorang kanak-kanak dilanggar lori tapi tidak diendahkan oleh sesiapa untuk dibantu. Saya tak tengok kerana saya tahu pasti peristiwa itu akan menghantui diri saya sampai bila-bila. Sebabnya, saya pernah lihat video 5 sekeluarga dihanyutkan oleh air terjun yang sebak tiba-tiba kerana hujan. Sampai sekarang saya terbayang-bayang peristiwa itu dan rasa takut kalau pergi kawasan air terjun.

Di akhbar, gempar kisah seorang ibu muda mengelar anaknya yang baru dilahirkan. Tersiat-siat hati bila terlihat gambar-gambarnya. Aduh! Saya tak boleh bayangkan bayi itu menangis kesakitan. Memang kejam. Anak kena gigit nyamuk pun hati ibu rasa tak tenang. Ramai salahkan perempuan malang itu sedangkan lelaki yang menjadi penyebab sedang bersuka ria dengan gadis-gadis lain pula.

Kisah-kisah sebegini bukanlah asing dalam dunia hari ini. Sangat banyak. Lihat saja berita di TV dan akhbar. Setiap hari pasti kita dihidangkan dengan berita jenayah sadis seperti dibunuh, dirogol, merompak, mencuri, meragut dan sebagainya.

Selagi mana undang-undang yang telah disyariatkan oleh Allah SWT tidak dikuatkuasakan, selagi itulah kita akan terus disajikan dengan berita-berita seperti ini. Mohonlah perlindungan dari Allah SWT supaya ahli keluarga dan sahabat handai kita dijauhkan dari perkara-perkara buruk seperti ini.

Dalam kalangan binatang tak ada manusia tapi dalam kalangan manusia ada binatang.

Nampaknya nyawa seekor anjing itu lebih mulia dari nyawa seorang manusia.



No comments:

Post a Comment