Thursday, August 18, 2011

4 TAHUN....



Sekadar mengimbau kenangan lalu...


Saya mula mengenali suami saya pada tahun 2004 iaitu ketika saya berada di Tahun 2 pengajian di USM Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal. Pertama kali kami berjumpa ketika sebuah persatuan yang disertai menganjurkan program Rehlah kepada pelajar Tahun 1 sebagai meraikan ahli-ahli baru persatuan. Ketika itu saya menjadi salah seorang ahli jawatankuasa program dan juga fasilitator. Perkenalan pertama kami bermula apabila sama-sama ditugaskan menjaga checkpoint yang sama bersama-sama dua orang lagi rakan kami. Bermula dari situ, saya mula mengetahui namanya dan rupa-rupanya dia adalah salah seorang ahli Majlis Tertinggi persatuan dan pelajar senior.


Sepanjang perkenalan, saya dan suami tidak pernah bekerjasama dalam apa-apa program meskipun berada dalam organisasi persatuan yang sama, cuma mengenali nama dan muka. Dia dengan urusannya dan saya dengan urusan saya. Namun, jodoh dan rezeki setiap manusia sudah Allah SWT tentukan siapa, di mana dan bagaimana akan dipertemukan sejak kita mula terbentuk dalam rahim ibu lagi.


Ketika saya berada di akhir pengajian Tahun 4 iaitu pada pertengahan tahun 2007, naqibah saya dan suaminya yang kemudiannya bertindak sebagai orang tengah menyampaikan salam perkenalan daripada suami saya buat pertama kalinya. Itulah permulaan hubungan kami dan 4 bulan kemudian kami mengikat tali pertunangan secara rasmi dan sederhana. Kebanyakan teman-teman kami terkejut apabila kad jemputan perkahwinan sampai ke tangan mereka kerana tidak menyangka hubungan yang terjalin antara kami. Sepanjang perkenalan, kami hanya bertanya khabar dan berbincang soal perkahwinan hanya melalui YM (Yahoo Messenger) dan SMS. Jarang berbicara melalui telefon dan tidak pernah langsung keluar berjumpa sehinggalah kami menjadi suami isteri secara rasmi.


Pada 19 Ogos 2007, selepas Asar di sebuah masjid di Alor Setar, suami saya melafazkan ijabkabul "Aku terima nikahnya Ummi Kalsum Hasanah Bt Mohd Nadzim dengan mas kahwinnya sebanyak RM*** tunai". Rasmilah kami menjadi suami isteri dan mengharungi segala suka dan duka dalam alam rumahtangga bersama.


19 Ogos 2011 bersamaan 19 Ramadhan 1432 H, genaplah 4 tahun kami menjadi suami dan isteri serta ibu dan bapa kepada sepasang cahaya mata. Alhamdulillah 'ala kulli hal...


Buat suami saya, Zarizi Bin Awang, SELAMAT ULANGTAHUN PERKAHWINAN yang ke-4. Semoga rumahtangga kita diberkati dan bahagia selalu.


Cinta yang dimulai dengan akad nikah itu memang indah. Setiap hari terasa rindu...


Dah kahwin baru tahu kami mempunyai minat yang sama iaitu menonton cerita anime Naruto....hehehe


No comments:

Post a Comment