Tuesday, February 9, 2010

SUATU HARI DI SEBUAH KLINIK....

Hari ini dah genap 4 bulan usia kandungan saya. Rasa loya dan muntah pun dah berkurangan. Alhamdulillah. Rasanya selepas ini bolehlah saya mula mengasapkan dapur yang dah lama tak berasap di rumah tu. Jadi, kebiasaannya kalau dah sah mengandung, ibu mengandung tu wajib buat buku merah di klinik kesihatan ibu dan anak milik kerajaan. Buku merah tersebut dapat digunakan untuk merekod kondisi ibu dan anak di dalam kandungan sepanjang 9 bulan mengandung nanti. Bila dah nak bersalin, pihak hospital swasta mahupun kerajaan akan merujuk kepada butiran maklumat si ibu yang telah direkodkan samada mempunyai masalah ataupun tidak. Kalau tiada masalah, mungkin ibu tersebut bersalin secara normal dan mungkin terpaksa dilakukan pembedahan jika sebaliknya. Itu semua terkandung di dalam buku merah itu.


2 minggu lepas iaitu hari Ahad saya pergi ke klinik berhampiran rumah ibu saya di kampung. Lebih senang saya buat pemeriksaan bulanan di klinik ini memandangkan selepas bersalin nanti saya akan terus berpantang di rumah ibu saya. Malangnya, hari itu saya cuma dapat buat buku saja. Tak boleh nak buat pemeriksaan kerana menurut nurse pemeriksaan untuk ibu mengandung dibuka hanya pada hari Selasa dan Khamis. Terutamanya bagi mereka yang baru nak mula memeriksa kandungan. Itu pun waktu pagi saja. Jadi, saya terpaksa datang semula ke klinik untuk buat pemeriksaan seterusnya.


Minggu ni saya dan suami pulang ke kampung. Kata suami saya, alang-alang dah balik baik pergi klinik buat pemeriksaan. Maka, saya dan Ziyad pun tinggal di kampung sehingga hari ini (Selasa), suami saya pula pulang ke Sungai Petani atas urusan kerja pada hari Ahad yang lalu. Pagi ini, pukul 7.30 pagi saya sudah pergi ke klinik supaya tak perlu berebut nak dapatkan nombor giliran awal. Taklah lama sangat menunggu di klinik nanti. Menjelang pukul 9 pagi, semakin ramai yang datang nak buat pemeriksaan.


Rutin pemeriksaan bagi ibu mengandung, mula-mula, saya perlu timbang berat badan. Berat badan saya yang biasa 48 kg saja, tapi bila timbang tadi dah naik 1.3 kg. Ni kalau asyik makan saja, boleh naik berkilo-kilo lagi nanti. Kemudian, nurse periksa tekanan darah saya. Mungkin sebab gementar kot, tekanan darah saya 129/70. Tinggi sikit daripada biasa. Tapi nurse tak pula membebel kat saya. Nasib baiklah. Selepas itu, saya kena tunggu sekejap sebelum ambil darah. Inilah bahagian yang saya paling tak suka. Bukannya sikit yang diambil. Semasa nurse nak masukkan jarum, saya dah mula pandang tempat lain. Tapi, tak sakit pun. Rasa macam semut gigit saja. Saya yang lebih-lebih takut. Padahal bukannya kali pertama. Ujian darah ni untuk pastikan kandungan hemoglobin dalam darah tak rendah. maklumlah, bila mengandung, ibu kena berkongsi darah dengan anak. Kalau kurang daripada 10, kenalah jumpa nurse dengan lebih kerap.


Selepas ambil darah, buat ujian urin pula untuk lihat kandungan gula. Alhamdulillah, kedua-dua ujian ini tak memberi masalah kepada saya. Lulus. Dah buat ujian, kena jumpa nurse semula untuk periksa perut. Semasa pemeriksaan perut ni, nurse letakkan satu alat di perut supaya boleh dengar degupan jantung anak. Tapi sebab baru 4 bulan jadi degupan jantunnya tak begitu kuat kedengaran. Nurse kata dah masuk 6 bulan nanti kuatlah degupan jantungnya. Lembut saja nurse yang bertugas ni bertanya soalan dan memberi nasihat. Kan bagus kalau semua nurse macam ni. Tapi, dalam 10 orang nurse tu, adalah 2-3 orang yang mesra alam dengan pesakit. Yang lain macam singa. Tanya sikit pun nak marah-marah kita. Macam tak ikhlas saja nak melayan. Kemudian, kena jumpa doktor pula. Doktor yang saya kena jumpa tu doktor lelaki berbangsa Cina. Siap pakai topeng muka lagi.

Kata doktor tu bila dia mula membelek-belek buku saya, "anak dah besar, dah 4 bulan baru buat buku aa". Gaya loghat lidah Cina dialah.

Saya dah agak doktor akan tanya soalan macam tu. Sepatutnya, sebaik saja dapat tahu mengandung terus datang kek klinik tapi saya bertangguh-tangguh sampai dah masuk 4 bulan. Nak kata apa. Gelak sajalah. Tak sempat, doktor. Pelajar. Ceh! Alasan saja tu. Padahal malas....Dia pula siap tanya status saya sebagai pelajar. Tak apa ker kalau mengandung. Saya pun jawablah yang saya buat master. Lagi banyak pula dia. Ambil kos apa? Setahun saja ker? Suami tak ambil master ker? Peramah pula doktor ni. Saya pun layan sajalah soalan-soalan dia tu memandangkan dia tu agak mesra pesakit. Ada bengkak kat tiroid tak? Doktor menyoal lagi. Saya cakap tak. Tak ada apa-apa masalah setakat ni. Maka dengan itu, berakhirlah rutin pemeriksaan yang mengambil masa selama satu jam setengah itu secara keseluruhannya. Alhamdulillah.


Selepas bagi buku pada nurse semula, saya pun balik ke rumah. Semasa saya nak balik tu pun ramai lagi sedang menunggu giliran untuk diperiksa. Tapi, memang sedikit lambat lah nak tunggu nama dipanggil walaupun nurse ramai jugak. Tak tahulah kenapa. Sepatutnya klinik kerajaan mahu pun hospital kerajaan jangan biar pesakit menunggu terlalu lama. saya tengok tempat buat pemeriksaan kosong tapi nurse tak ada. Berjalan ke sana ke mari. Apa salahnya kalau satu checkpoint pemeriksaan tu tugaskan kepada seorang atau dua orang nurse. Nurse-nurse tu pula jaga checkpoint diorang saja, tak perlu bergerak ke mana-mana. Taklah sampai panjang barisan menunggu. Susahlah bagi orang-orang yang bekerja. Dah terbuang masa sebab asyik kena tunggu saja. Memanglah pemeriksaan yang dibuat semuanya percuma tapi takkanlah perlu ketepikan keselesaan orang lain kan.


Walaupun klinik yang saya pergi tu dah bertukar wajah. Tak sama seperti yang pernah saya pergi setahun yang lalu. bertambah cantik dan tersusun. Tapi ada satu yang tak berubah. Malah saya rasa makin teruk. TANDAS. Tersangatlah kotor dan menjijikkan. Pelik juga klinik yang sentiasa bercakap soal kebersihan tapi mengabaikan kebersihan tandas untuk kegunaan orang ramai. Rasanya tandas untuk kakitangan pun tak seteruk itu kot. Kalau ada peti cadangan mahu pun komen, nak saja saya war-warkan isu tandas tu tapi tak ada pula. kalaulah ibu-ibu mengandung ni tergelincir atau jatuh, kan dah timbul masalah. Oh, kakitangan klinik kesihatan Pendang. Silalah pantau tandas-tandas awam di klinik tu. Dah tak macam tandas rupanya.

Bulan depan, saya kena pergi buat pemeriksaan lagi sampailah dah bersalin nanti. Semoga tiada sebarang masalah untuk anak kedua kami ni sama macam Ziyad dulu. InsyaAllah....



1 comment:

  1. heheheehe.. suka aku baca blog ang nihh..
    awat ang lmbt sgt wt buku.. aku pon dh but. ang yg awal tk buat2 lg.. ish ish ish...

    ReplyDelete