Friday, February 19, 2010

CNY...RAYA SIAPA?

Ketika posting ini ditaip, si kecil Ziyad yang dah setahun usianya itu sedang menjerit-jerit dan merengek-rengek saja di samping Abinya. Entahlah kenapa hari ni perangainya lain macam sikit. Padahal selalu elok saja. Adalah tu yang tak kena pada dia di mana-mana. Kata ibu saya, budak-budak ni menangis kerana 3 sebab saja....1) Pampers basah sebab kencing atau berak, 2) lapar, 3) sakit perut atau sakit apa-apa...Dalam kes Ziyad yang dok merengek-rengek sampai berlinangan air mata ni, saya pun dah buntu apa yang tak kena dengan dia. Dah makan, pampers pun dah salin, sakit perut pun tak...Bila didukung senyap, tapi bila letak di bawah, mulalah meronta-ronta. Saja lah kot nak buat perangai. Ziyad ni kalau buat perangai, biasanya Abi yang tolong layan. Mujur Abi penyabar. Ikut saja kerenahnya. Kalau saya, saya biarkan saja sebab saya ni kurang sikit sifat penyabar tambah-tambah dah ada seorang lagi dalam perut ni. Asyik nak marah saja.


Kesimpulannya, nak jadi ibu bapa ni kenalah banyak-banyak bersabar. Ragam anak-anak ni tak kira besar atau kecil, memang boleh menggugat kesabaran dan kebijaksanaan ibu bapa. Cumanya kita kena pandai mengawal emosi sendiri dan tidak terlalu menurut rasa amarah dan hasutan syaitan. Anak-anak kecil yang selalu buat perangai ni bukannya mumaiyiz lagi. Marah pun buat lenguh mulut saja. Rotan pun bila dirasakan perlu saja. Itu pun untuk mengajar bukannya untuk mencederakan. Kalau tak boleh nak sesuaikan diri dengan situasi macam ni, fikirlah masak-masak sebelum nak menimang cahaya mata. Anak itu anugerah dan amanah daripada Allah SWT untuk dididik dan diasuh menjadi salah seorang khalifah Allah di muka bumi. Bukannya menambah sampah masyarakat yang sedia ada dan bukan juga untuk dibuang sesuka hati atau pun dibunuh dengan kejam sekali di tangan ibu bapa mereka sendiri. Senang kata, ibu bapa cermin kepada anak-anak. Kalau ibu bapa jalan tak betul, anak-anak 10 kali jalan tak betul.


Dah masuk kaunseling keibu bapaan pula. Hari ni dah genap seminggu saya dan suami serta Ziyad pulang ke Jerteh menemui Tok Ma, Tok Abah dan sepupu- sepapat yang ada setelah berbulan-bulan tak balik Jerteh. Sepanjang perjalanan saya terpaksa menahan rasa pening yang teramat sangat lebih-lebih lagi bila sampai di kawasan berbukit lepas Hentian Perah tu. Mungkin sebab mengandung kot. Dulu taklah pening sangat bila lalu kawasan tu. Ziyad pula dah muntah-muntah. Habis baju dan tudung ibunya. Tak pasal-pasal kena berhenti salin baju lain pulak. Budak besar ni pun tahu pening. Kali terakhir pulang semasa Ziyad berusia 6/7 bulan. Mula-mula nampak Tok Ma dia terus menangis. Tak kenal lagi sebab dah lama tak balik. Tapi bila nampak saja sepupu-sepapat yang ramai ni, tersengih-sengih Ziyad nak berkawan. Pantang diusik atau ditegur, terkekek-kekek ketawa. Bila dah kenal orang, pantang diajak asyik nak ikut tak kira siapa. Siap bermanja lagi dengan Tok Ma.


Biasa kami duduk paling lama pun dalam 4 hari saja kat Jerteh tapi disebabkan cuti Chinese New Year (CNY), suami saya dapat ambil cuti sampai seminggu. Orang lain yang raya tapi orang lain yang sakan bercuti. Kira puas hatilah balik kali ni. Kebetulan pula semalam dan hari ni ada bekwoh (kenduri kahwin) sepupu suami di sebelah rumah. Boleh juga pergi meraikan pengantin baru. Sepupu-sepapat suami saya ni ramai. Jadi, sampai sekarang pun saya tak dapat ingat nama semuanya. Bukan saya saja, suami saya tu pun kadang-kadang boleh lupa nama-nama sepupu-sepupunya termasuk anak-anak saudaranya sekali. Pelik tapi benar. Heee....


Balik Jerteh kali ni, suami saya tiba-tiba dapat semangat nak mengemas rumah ma dan abah ni. Katanya semak-samun. Tapi memang macam tongkang pecah pun angkara anak-anak saudara yang suka menyepahkan barang. Maklumlah cucu ramai. Kakak ipar saya pun dah tak terdaya nak menyimpan katanya sebab tak larat nak kemas seorang diri. Jadi, kami pun bekerjasama mengemas. Bila nampak rumah dah kemas dan perabot pun tersusun, terus rasa lega. Tapi yang tak seronok bila keesokkannya, rumah yang kemas tu dah berkubang balik. Sabar sajalah. Dah nama pun budak-budak. Yang kita larang tu lah, yang dia nak buat sangat.


Beberapa hari selepas balik, suami saya bawa saya dan Ziyad pergi ke Pantai Bukit Keluang. Tempat saya dan suami mula-mula berdating lepas kami kahwin dulu. Ziyad pun bukan main seronok bermain dan merangkak-rangkak atas pasir. Suami saya siap belikan satar dan otak-otak sebagai bekalan sebab isteri dia mengidam nak makan. Kalau saya mengidam nak makan telur penyu, agaknya habis pantai di Terengganu suami saya gali. Ni yang seronok mengandung ni. Cakap saja nak makan apa semuanya suami saya carikan. Terima kasih banyak-banyak deh Abang.


Sekejap lagi selepas makan kenduri sepupu tu kami akan bertolak balik ke Kedah. Mungkin selepas solat jumaat kot. hari Ahad suami saya dah mula kerja. Saya pun terpaksalah mengadap semula kerja-kerja yang saya tinggalkan sepanjang bercuti ni. Bila cuti bukannya nak ingat kerja yang bertambun tu. Yang penting, saya kena sediakan baju lain sebab ziyad mungkin muntah lagi dalam perjalanan balik nanti. Kepulangan kami kali ni diharapkan dapatlah mengubat homesick suami saya tu...2/3 bulan lagilah nampaknya boleh balik Jerteh. Harap-harap sebelum saya bersalin nanti.


Kesimpulan daripada tajuk posting, tak kiralah cuti perayaan apa pun, yang pasti semua orang tak kira bangsa akan mengambil peluang ini untuk bercuti sakan sebab boleh balik kampungggggg....heeee

1 comment:

  1. susah jugak ye mengandung nie..
    huhu (-__-")

    tp kena banyak bersabarla kan, anak2 selalu mewarisi sifat ibunya sewaktu mengandung :D

    hehehe

    ReplyDelete