Friday, September 30, 2011

BAHAGIA


Seorang isteri kalau diminta oleh suami, "Yang, buatkan abang teh", "Sayang, abang rasa nak makan nasi kerabulah. Boleh tak masakkan?", "Sedapnya kalau sarapan makan nasi lemak", apa rasa dan tindakannya?

Kalau si isteri melaksanakan semua permintaan suami itu dengan penuh sukacita dan riang gembira dalam hati, itu tandanya dia bahagia. Bahagia kerana dia mempunyai seorang suami yang boleh membantunya mendapat pahala dan insan untuk dijaga makan, minum, pakai dan segalanya. Di luar sana, bayangkan masih ramai yang ternanti-nanti seorang suami untuk diberi khidmat yang penuh taat setia. Bahagia kerana segala yang dilakukan adalah kerana Allah SWT.

Dan berapa ramai daripada kita sebenarnya yang rasa bahagia bila laksanakan solat tahajud meskipun perlu menahan mengantuk, solat dhuha meskipun perlu menahan daripada tidur siang, solat Subuh, solat Zuhur dan seterusnya.

Siapa yang rasa bahagia bila berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan tanpa mengharapkan ganjaran satu hari puasa, RM 1 ganjarannya?

Siapa yang rasa bahagia bila harta dah cukup syarat untuk dizakatkan kepada orang yang lebih memerlukan bila tiba masanya, duit RM 10,000 hasil pelaburan emas, zakatnya 1.5%?

Bahagia tak kalau dijemput menjadi tetamu Allah SWT menziarahi Baitullah bila tiba bulan Zulhijjah?

Wah, indahnya beribadah bila kita rasa bahagia kerana melaksanakan semuanya kerana Allah SWT. Sudah pasti menempuh perjalanan yang sedikit jauh semata-mata untuk solat berjemaah di masjid terasa bahagia dan sayang untuk dilepaskan oleh para suami dan pemuda soleh kerana ianya dilakukan kerana Allah SWT. Pasti solat di awal waktu sentiasa dinanti-nantikan oleh para isteri dan wanita solehah untuk menerima kurniaan rasa bahagia.

Ya, Dialah sumber bahagia. MengingatiNya itu mencetus bahagia. Ya Allah, kurniakanlah hati yang bahagia selalu pada kami iaitu hambaMu.

Sedikit petikan tazkirah daripada Dr. Robiah K. Hamzah dalam rancangan Tanyalah Ustazah dan tambahan daripada penulis.

Rupanya ramai daripada kita yang rasa tak bahagia walaupun duit berjuta-juta, kerja berpangkat tinggi, ada Master dan Phd dan segala nikmat dunia, kerana niat dilaksanakan semua itu tidak dikembalikan kepada Allah SWT. Belajar kerana nak lulus periksa, dapat kerja bergaji tinggi. Belajar agama sebab nak dapat suami/isteri solehah. Kerja sebab nak dapat gaji tiap-tiap bulan, masuk RM 3K, belanja RM 5K (hutang kad kredit).

Kalaulah segalanya diniatkan kerana Allah SWT, apa saja yang kita lakukan pasti memberi suatu kesan positif kepada hidup kita dan masyarakat sekeliling juga menerima tempias positifnya. Orang yang bahagia, mukanya cerah tanpa diserang gelisah. Hidupnya ceria tanpa duka nestapa.

Rasa bahagia apabila hati yang sudah karat ini kembali terisi dengan wadah ilmu yang berguna. Syukran Ya Allah.

Ayuh, bahagiakanlah hatimu kerana Allah SWT.

Kalau kerana Allah SWT, tak pakai Blackberry, iPhone atau iPad pun rasa bahagia.

No comments:

Post a Comment