Saturday, December 26, 2009

TAHUN BARU TETAPI MANUSIANYA MASIH LAMA

Tak terlambat lagi untuk saya ucapkan SALAM MAAL HIJRAH buat semua pelayar blog. Tahun berganti tahun, azam berganti azam walaupun sesetengah azam itu tak terlaksana seperti yang dicitakan. Sudah semestinya setiap azam itu akan disusuli dengan ujian yang selayaknya. Andai niat diri kita ingin menjadi orang yang lebih baik amalan agamanya. Sudah pasti akan terbentang dugaan di sekeliling yang akan menyulitkan diri kita untuk menunaikan azam. hanya kekuatan, kesabaran dan yang paling penting pertolongan darpada Allah SWT akan memastikan samada kita berjaya atau tidak melaksanakan azam tersebut.


Sebagai seorang muslim yang percaya dan meyakini kewujudan Allah SWT, sudah semestinya mahukan diri kita menjadi insan yang lebih baik dari hari ke hari. Bukan saja baik dari segi pengamalan agama, bahkan juga baik dari segi akhlak kepada manusia, haiwan dan Allah SWT. Baik juga dari segi kehidupan kita di dunia dan yang penting kehidupan yang abadi di akhirat nanti. Ada bagusnya dengan kedatangan tahun baru Islam 1431H ini, kita semarakkan kehidupan kita seharian dengan sesuatu yang memberi manfaat kepada diri dan orang di sekeliling kita.


"Orang yang soleh itu adalah orang yang boleh memberi manfaat kepada orang lain "- Ustaz Jamnul Azhar


Akhir kalam, azam hanya tinggal azam jika keinginan dan kehendak diri sendiri tidak mampu memaksa diri melakukan perubahan. Jika sekarang kita tidak berubah, bila lagi? Kalau bukan kita, siapa lagi? Semoga tahun baru ini menjadi titik permulaan untuk kita menjadi muslim yang lebih baik di pandangan Allah SWT yang menciptakan kita. Tahun dah baru takkan kita masih nak menjadi orang yang lama.....



Semoga menjadi anak yang soleh wahai anakku

Friday, December 11, 2009

LAMAN BERSAWANG

Kalau dah sebulan tinggalkan rumah, mesti bersawang-sawang lelangit rumah tu. Habuk dan debu pun mungkin dah bertempek-tempek berkilo-kilo atas lantai, almari dan segala barang rumah. Barang-barang dapur pula kalau barang-barang basah seperti sayur-sayur, ikan, ayam dan sebagainya dalam peti ais memang keras macam batu dan lembik, busuk dan layu dimamah suhu sejuk peti ais. Menjadi makanan bakteria saja.


Mujur laman sesawang tak bersawang macam rumah kalaupun sebulan ditinggalkan. Kalau tidak tak ada siapa nak datang ziarah. Semakin menjadi-jadi pula rasa loya tekak saya ni sejak kebelakangan ni. Sebut ayam golek, ayam panggang ker atau makanan-makanan yang sedap pun rasa tak selera. Fikir pasal makan jer mulalah meloya tekak saya ni. Aduh...Sabar..sabar.


Minggu ni satu kerja apa pun tak dapat nak buat. Asyik terbaring saja atas tilam bertemankan Ziyad. Dia tidur, ibu dia pun ikut tidur.Tapi hari ni, kena juga datang ke USM sebab banyak kerja tak siap lagi. Ingatkan tahun ni dah boleh habis tapi tahun depan jugaklah nampaknya. Cobaannnnn....


Selamat bekerja dan melayan kondisi diri yang mengada-ngada sikit ni untuk jangka masa beberapa bulan lagi...Banyak benda nak cerita tapi sampai sini dulu. Jumpa di posting akan datang...

Monday, November 9, 2009

OH MY SON..

Apa tengok-tengok...!! Taulah saya ni comel

Aduh. Banyak betul dugaan menjadi seorang ibu ni. Seorang anak ini pun dah tak terlayan kerenahnya. Bayangkan kalau 2, 3, 4, atau 9 orang anak macam ibu saya. Boleh pening kepala dibuatnya. Dah jadi ibu ni barulah terasa susah payah dan peritnya ibu saya membesarkan saya dan adik-adik saya yang lapan orang lagi tu. Dahla semuanya ketegaq (degil) belaka. Ada yang kalau ditegur nak merajuk, ada yang kalau dimarah nak mengamuk, ada yang suka berleter, ada yang suka bergaduh sesama sendiri, ada yang bila dimarah dia buat tak tahu jer, pendek kata macam-macam ada. Kalaulah ibu saya seorang yang tak sabar, memang dah lama kami ni ditinggalkan di mana-mana.


Terima kasih mama...Jasamu yang tak ternilai itu akan kubalas sebaik-baiknya InsyaAllah. Minta maaf sebab tak selalu menelefon mama untuk bertanya khabar berita walaupun memanglah Sungai Petani ke Pendang tu hanya ambil masa 30 minit saja. Hanya doa ku panjatkan pada Yang Maha Esa agar Dia sentiasa menjaga dan mengasihi mama seperti mana mama menjaga dan mengasihi anak mama ini sejak kecil. Sedih..sedih.


Berbalik kepada dugaan melayan karenah anak saya yang seorang ni. Memang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Al kisahnya, hari ini saya bersemangatlah nak menaip tesis sebab Jumaat ni nak kena hantar pula draf kedua tesis pada penyelia utama dan penyelia bersama. Sekarang ni nak buat apa pun semuanya kena pantas, pantas dan pantassss untuk mengejar masa yang amat terhad ni. Pukul 9.30 pagi tadi Ziyad tidur selepas minum susu. Saya letakkanlah dia dalam buaian dengan harapan dia dapatlah tidur lama sikit. Kalau tidur di atas tilam nanti dia cepat terjaga sebab terganggu dengan bunyi bising kereta dan motosikal lalu-lalang kat luar rumah. Maklumlah rumah tepi jalan. Masa dia tidur tu saya pun ambil kesempatan masak bubur nasi untuk dia macam selalu. Ibu dengan abi dia perut melayu jadi anak pun dididik jadi perut melayu juga.


Sejam kemudian, saya dengar suara dia merengek-rengek dalam bilik. Bila saya pergi jenguk mata dia dah bulat memandang saya. Nak tak nak kenalah angkat sebab dia dah mula mengeliat-ngeliat dalam buaian minta diangkat. Tandanya dia dah tak nak tidurlah tu. Tapi bila dia dah bangun, memang susahlah saya nak menaip kerja saya ni sebab si kecil ni sangat tertarik dengan komputer. Pantang nampak saya duduk di kerusi mengadap komputer, mulalah dia merangkak laju ke arah saya. Memanjat-manjat kaki saya selepas tu tarik keyboard. Nak menaip samalah konon-kononnya. Mainan dia yang berlambak-lambak tu pun tak dipandangnya. Kalau saya buat tak tahu mulalah dia gigit-gigit lutut saya ker tangan saya ker sebab tak layan dia. Kalau marah pun dia tersengih saja menampakkan gigi dua batang. Macamlah Ziyad ni faham, ibu.


Oh, my son! Sabar aje lah. Kalau difikir-fikirkan, sebenarnya anak saya ni cuba nak menarik perhatian saya. Dia pun bosan juga main dengan mainan yang tak boleh berkomunikasi. Boleh dibuat baling-baling ke lantai saja. Bila saya tinggalkan sebentar kerja saya dan melayan kerenahnya, dia nampak ceria saja. Rupa-rupanya anak saya ni perlukan teman untuk bermain. Perlukan teman untuk berbicara walaupun dia tak faham bahasa saya tapi dia tahu gerak badan dan senyuman saya. Maafkan ibu sayang.


Semoga kesibukan ibubapa tak meminggirkan anak-anak daripada kasih sayang dan perhatian mereka. Teringat pula kisah ibu saya yang tak kurang sibuk juga mengalahkan wakil rakyat sejak anak-anak dia dah besar belaka ni. Setiap hari masanya habis di sekolah saja melakukan macam-macam aktiviti sampaikan kami adik-beradik berpakat nak gantung banner kat sekolah tu tulis "kami kahukan mama kami semula di rumah". Idea adik-adik sayalah ni. Takkan nak tunggu Ziyad gantung banner, buat demonstrasi protes kot baru ibu nak bagi perhatian.


Kata saya,"Ziyad duduk diam-diam na, ibu nak buat kerja ni".

Jawab Ziyad,"oooooouuu...ohhhhh!", sambil menggeleng-geleng kepala.

Sunday, November 8, 2009

SERIBU SATU WAJAH

Muhammad Ziyad bin Zarizi


Si penyejuk mata dan penawar hati ibu dan abi
Penghibur di kala gusar hati
Peneman di kala sunyi
Semoga menjadi permata agama
Yang berjaya di dunia dan di akhirat sana
Semoga menjadi ulama'
Yang takutnya bukan membuta pada umara'
Takut hanya pada Allah Yang Maha Esa
Beraninya bukan kerana mendamba
pangkat dan harta
Tetapi kerana berpegang kepada
al-Quran dan sunnah Rasulnya
Semoga menjadi pejuang Islam
yang hatinya lembut seperti Abu Bakar as-siddiq
jiwanya berani seperti Umar al-Khattab
santunnya kaya seperti Usman affan
mindanya berilmu seperti Ali


Thursday, November 5, 2009

DEADLINE = GARISAN MATI

Dalam merasakan diri ini sibuk pun jari-jemari saya ni terasa gatal untuk menaip di blog walaupun sekadar mengomel benda-benda yang tak ada kaitan dengan orang lain. Kebaikannya hati saya rasa lega sikit sebab saya dah mengeluarkan segala perasaan yang terbuku di dalamnya. Wah! Macam orang baru nak bercinta pula walaupun mood cinta tu memang akan sentiasa subur di hati (ditujukan buat suami).


Bulan ni saya dihambat-hambat deadline (garisan mati) sampai betul-betul mati kutu dibuatnya. Saya perlu menghantar laporan milestone projek kepada CIDB yang membiaya projek saya minggu ini. Minggu depan pula deadline saya untuk menghantar draf kedua tesis kepada penyelia utama dan juga penyelia bersama (co-supervisor). Dengar khabar penyelia bersama saya itu akan bertukar ke universiti lain hujung bulan ini. Kelam-kabut saya. Dalam masa-masa kritikal macam ni lah penyelia bersama saya tu nak berhijrah. Kalau difikirkan secara positifnya, ada juga kebaikan penghijrahan penyelia bersama saya tu sebagai pemangkin untuk saya cepat-cepat habis MSc ni bulan Disember nanti. Kalau tidak kenalah bayar yuran lagi.


Namun keburukannya, saya kena pos lah draf-draf tesis saya akan datang pada dia memandangkan dia akan berhijrah nun jauh di negeri di bawah bayu sana. Dugaan betullah. Walaupun dia sekadar penyelia bersama tetapi dia lebih pakar dalam projek yang saya buat ini. Masa dia ada dekat-dekat tak nak tanya, bila dah nak pergi baru timbul macam-macam soalan nak tanya. Benda yang tak ada depan mata baru nak hargai. Sesuaikah ayat ini?


Dua perkara ini pun dah cukup untuk membuatkan saya kelam-kabut, tak tahu nak mulakan yang mana satu. Padahal, banyak lagi benda tak siap ni. Semoga Allah permudahkan segala urusan saya.


Bila baca akhbar hari ni tentang keputusan JKR untuk membenarkan pelukis pelan bekerja dari rumah, terasa gembira bagi pihak mereka walaupun saya tak ada kena-mengena. Kan seronok kalau nanti saya boleh bekerja dari rumah saja. Kata suami, "tak jadi kerja lah nanti".

Monday, November 2, 2009

SINDROM PELUPA

Semalam merupakan hari terakhir diadakan colloqium untuk pelajar-pelajar sarjana Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia. Tujuannya untuk menggalakkan pelajar-pelajar membentangkan 'progress work' masing-masing. Lebih-lebih lagi untuk pelajar yang dah sampai 2 tahun tapi masih tak membentangkan proposal penyelidikan seperti saya ni. Colloqioum yang berlangsung selama 2 hari iaitu bermula pada hari Sabtu dan selesai pada tengahari Ahad di adakan di Bukit Jawi Golf Resort, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Dengarnya penginapan dan makanan peserta dan ahli jawatankuasa colloqium semua ditanggung oleh Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM. Banyaknya duit USM. Memang satu sen pun tak dikeluarkan oleh peserta yang menyertai colloqium ni. Buat pelajar seperti saya yang tiada lagi bayaran gaji bulanan kerana geran penyelidikan sudah habis tempoh, perkara percuma macam ni tak eloklah disia-siakan.


Alhamdulillah, walaupun saya menjadi pembentang hasil penyelidikan yang terakhir sekali semalam (last but not least) tapi saya berjaya juga membentangkan hasil kerja saya. Agak berpuas hati cuma daripada segi penyampaian dan rasa gemuruh tu perlu diperbaiki lagi pada masa akan datang. Bahasa Inggeris komunikasi saya pun banyak yang tunggang-langgang. Jadi, saya kena banyak-banyak praktis supaya lebih sempurna serba sedikit menjelang viva saya nanti yang belum diketahui lagi bila.


Sejak kebelakangan ini sindrom pelupa saya semakin menjadi-jadi. Kata suami, saya ni kurang fokus. Mungkin juga sebab bila macam-macam perkara berlegar-legar di kepala saya ni, mulalah datang sindrom pelupa tu. Malam sebelum pembentangan, semasa saya nak periksa semula slide presentation yang sudah dibuat sebelumnya, tiba-tiba pendrive saya tak dapat dikesan di mana letaknya. Puas mencari di dalam beg tapi tak jumpa. Sudahlah 'pendrive' tu satu-satunya yang menyimpan segala maklumat dan hal-hal berkaitan projek saya. Saya tak pasti di mana hilangnya tapi naluri hati saya mengatakan ia mungkin berada di CPU komputer saya di bilik pelajar sarjana. Esoknya bila saya pergi ke PPK Kimia, sah 'pendrive' tu ada di situ. Syukur.Lega hati saya.


Peristiwa yang kedua yang disebabkan oleh sindrom pelupa ni berlaku pada pagi Ahad semasa saya memandu menuju ke Nibong Tebal. Saya sudah 20 minit memasuki lebuh raya ketika suami saya tiba-tiba menelefon.


"Yang, 'pendrive' tadi tak ambil ker?", tanya suami saya. Saya amat berkeyakinan yang saya dah ambil 'pendrive' tu sebelum saya melangkah keluar dari rumah. Sambil tangan kanan saya memegang stereng, tangan kiri saya pula meraba-raba isi beg. Sah! Tak ada.

Dengan nada suara yang sangat kecewa, geram dan sebagainya, "abang...pendrive tertinggal..".


Mujurlah saya mempunyai suami yang baik hati dan penyayang (puji sikit). Saya berhenti di Hentian Sebelah Tikam Batu, menunggu kedatangan suami saya menghantar 'pendrive' keramat itu. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 8 ketika suami saya sampai dengan 'pendrive' tu. Bermakna disebabkan kecuaian dan kekalutan saya suami saya akan lambat masuk ke pejabat dan tak sempat nak 'punch card'. Kesian suami saya.


Sebenarnya ini bukan kali pertama dan kedua sindrom ni menyerang saya. Dah banyak kali dan dah banyak benda yang saya selalu lupa. Kadang-kadang bila pulang ke kampung saya lupa nak bawa balik kain pelikat suami saya, berus gigi, susu anak dan sebagainya. Dan saya rasa sindrom pelupa saya ni akan berterusan lagi. Kata orang kalau rajin menghafal al-quran ingatan kuat. Nampaknya itu kot yang harus saya buat....



Thursday, October 29, 2009

KU LIHAT HIJAU



Minda saya meronta-ronta untuk mengeluarkan isinya hari ini. Tiba-tiba semacam kena suntikan perjuangan yang tak ada kena-mengena dengan menyiapkan tesis pun. Ada satu perkara yang menganggu fokus saya hari ini untuk melaksanakan kerja kerana sibuk menggali kebenaran daripada ahli-ahli blog di sekeliling alam maya. Proses penggalian bermula sejak pagi tadi apabila terbaca email teman-teman seper'J'uangan saya dulu, kini dan selamanya, sebentar tadi. Sejak beberapa hari ini saya asyik terdengar nama Prof. Aziz Bari, Ustaz Idris Ahmad, Tuan Guru Nik Aziz dan beberapa nama lagi. Hari ini baru saya tahu kisah yang berlegar-legar bersama-sama nama-nama yang tidak asing lagi itu.


Ada yang menghentam dan ada yang dihentam. Ada yang mengkritik dengan budi bahasa dan ada juga yang kurang bahasa. Apa pun anggap sajalah semua kritikan itu sebagai tanda sayang mereka yang inginkan yang terbaik buat semua pihak. Dalam kes kritik-mengkritik ini sifat berlapang dada itu boleh menjadi penawar kepada rasa sakit hati dan ledakan emosi yang mungkin timbul.


Teringat pula zaman-zaman ber'J'uang dalam persatuan semasa bergelar pelajar ijazah sarjana muda dulu di kampus USMKKj. Saya pun pernah dikritik dan mengkritik. Juga pernah menghentam orang yang mengkritik saya dan dihentam orang yang saya kritik. Kata orang, "what you give you get back". Saya anggap semua tu sebagai proses untuk mematangkan pemikiran dalam membuat keputusan ataupun memperkatakan sesuatu. Marah-marah manja gitu. Bukan senang nak menjadi pemimpin. Silap yang kecil pun orang boleh nampak dan perbesarkan inikan pula silap yang sudah sememangnya besar. Boleh diperbesarkan berkali-kali ganda kalau tak kena gaya kita memperbetulkan kesilapan itu.


Teringat juga masa persatuan adakan kem ibadah satu ketika dulu yang mana saya menjadi salah seorang ahli jawatan kuasa bersama teman-teman yang lain. Peserta-peserta yang terdiri daripada junior-junior kami jadikan "berlapang dada amalan kami" sebagai moto pasukan. Jadi, bila kami membuat onar pada barang amanah yang kami berikan kepada mereka, mereka buat selamba saja. Konon-kononnya berlapang dada tapi dalam hati dah berombak-ombak menahan marah. Tapi moto itu sebenarnya menjadi pelajaran dan pengajaran buat kami semua yang menyertai kem ibadah tersebut.


Pada pendapat saya (skema pula, ni sebab terpengaruh dengan blog-blog skema yang tersusun bahasanya yang saya baca tadi), sifat lapang dada perlu ada pada sesiapa yang menggelarkan diri mereka pemimpin. Tak kiralah pemimpin masyarakat mahupun pemimpin keluarga. Kalau pemimpin masyarakat, ruang lingkupnya lagi besar dan kritikan yang bakal diterima juga mungkin lebih tegas dan pedas. Saya tak berhajat untuk menjadi penambah perisa lagi kepada keserabutan isu kritik-mengkritik para pemimpin masyarakat seperti di atas. Cukuplah saya sudah mengetahui hal yang berlaku dengan sebenar-benarnya daripada mereka yang lebih arif.


Cumanya saya rasa hal seperti ini tidak lari juga daripada terkena kepada para aktivis dakwah di kampus yang bergerak secara jemaah. Bila mempunyai sebuah organisasi, tidak dapat tidak organisasi tersebut perlu dipimpin oleh seorang ketua. Kadang-kala dalam memantapkan sesebuah organisasi akan ada dugaan, cabaran, rintangan dan bermacam lagi kesusahan yang dihadapi yang kebanyakkannya dizahirkan melalui kritikan. Ada yang membina, ada yang tegas, ada yang pedas dan tak kurang juga yang cuba meruntuh dan membunuh semangat seorang pemimpin. Yang nak meruntuh dan membunuh tu agaknya si pengkritik itu gila kuasa kot. Lebih baik jangan dilayan. Apa pun pemimpin tak boleh cepat melatah dan panas hati dengan semua kritikan dan komen daripada orang dalam atau luar organisasi. Terima dengan hati yang redha kerana setiap kelemahan itu perlu diperbaiki lebih-lebih jika melibatkan organisasi dakwah. Dek kerana ikut hati dan perasaan organisasi hancur, dakwah lebur.


Seringkali saya melihat (melalui pengalaman yang tak seberapa) orang yang kerap mengkritik seakan dipulau oleh ahli-ahli organisasi dengan label yang pelbagai dan tak kurang juga yang cuba dipinggirkan dan disenarai hitamkan daripada organisasi. Alasannya kerana individu atau kumpulan berkenaan hanya cuba nak mencari kesilapan dan kesalahan orang lain. Mungkin kebolehan mereka menggali kesalahan dan kesilapan boleh dimanfaatkan dengan memberi portfolio hisbah atau R&D buat mereka. Harap-harapnya daripada terpinggir dan dipulaukan sekurang-kurangnya mereka dapat memberi idea untuk memperbaiki organisasi dan pemimpin di dalamnya.

Kalau pemimpin keluarga, sama juga senarionya. Bila seorang anak berkata," Ibu, tak sedaplah lauk yang ibu masak ni".

Jawab ibu dengan rasa panas hati yang membara, "tak sedap jangan makan! Esok kamu masak sendiri!".

Mungkin begitu jawapannya kalau si ibu tak berlapang dada menerima kritikan. Suami pun sekiranya dikritik isteri dan suami tu tak berlapang dada mungkin akan menyatakan perkataan yang membuatkan seisi rumah menerima tempias amarahnya seperti posting saya yang lepas bertajuk ISTERI 4, CERAI 5. Menyesal tak sudah jawapnya.

Si pengkritik pula perlulah menjaga lidah dan bahasanya supaya walaupun memberi komen akan sesuatu, orang yang dikritik berasa senang untuk mendengarnya. Kalau si pengkritik tu berkata, "dari apa yang saya perhatikan, presiden persatuan kita ni lembik orangnya, tidak tegas dalam menangani konflik dalaman persatuan. Saya rasa itu yang menyebabkan persatuan kita mundur dan statik". Tak pasal-pasal sebiji penumbuk daripada presiden sendiri hinggap di muka pengkritik itu.


"Pada pendapat saya, presiden perlu lebih tegas dan bijak dalam menangani konflik dalaman persatuan". Kalau begini ayatnya (sebagai contoh) barulah bersemangat si presiden nak melakukan perubahan. Nak mengkritik pun secara berhikmahlah. Mentang-mentang orang tu berlapang dada, ayat kritik pun dengar macam kurang ajar saja. Macam selalu disebut oleh Ustaz Hasrizal (saifulislam.com), perlu ada win-win situation. Pihak yang mengkritik dan pihak yang dikritik, kedua-duanya dapat manfaat.


Cukuplah setakat itu saja kupasan buah fikiran saya ini. Saya ini ibarat sebutir pasir di tepi pantai. Kalau saya ada atau tak ada pun, pantai tetap tak berubah rupa dan warnanya. Tulisan saya tak memberi kesan apa-apa pada sesiapa cuma semoga coretan saya ini boleh menjadi pesanan saya kepada para aktivis dakwah di kampus sana terutamanya buat para adik pemimpin PMIUSMKKj yang sedang gigih ber'J'uang. Ber'J'uanglah dengan bijaksana dan berlapang dada. Janganlah kerana nila yang setitik itu merosakkan susu sebelanga. Memetik pesan Hasan al-Bana, janganlah kerana hal yang sunat itu umat Islam bertelagah kerana menjaga ukhuwah dan silaturrahim sesama umat Islam itu lebih wajib hukumnya.


Seorang pelajar mungkin hanya mengambil tahu soal pelajarannya saja tapi seorang penuntut ilmu akan mengambil tahu hal-hal yang di luar pelajarannya juga. Ahli-ahli akademik yang berstatus profesor pun ambil tahu isu semasa termasuklah isu politik. Takkan penuntut seperti saya ni nak jadi seorang yang buta isu semasa.



Fuh! Baru boleh fokus nak buat kerja. Ku lihat hijauuuuuuuuu......(maksudnya tenanglah tu)

Wednesday, October 28, 2009

SECEBIS PESAN SECANGKIR MADU


Suatu hari seorang pemuda datang menemui seorang ilmuwan kerana ingin meminta nasihat tentang tabiat buruknya yang suka makan makanan manis. Sebaik saja berjumpa dengan ilmuwan tersebut, pemuda itu pun mengajukan niatnya.

"Wahai anak muda, kamu pulanglah kerumah mu dahulu. Datang semula berjumpa dengan saya sebulan lagi", kata ilmuwan tersebut.

Pemuda itu terpinga-pinga kerana telah disuruh pulang padahal ilmuwan itu tidak memberikannya sepatah nasihat pun. Namun pemuda itu bingkas bangun dan menurut permintaan ilmuwan tersebut.


Sebulan kemudian pemuda itu datang semula berjumpa dengan ilmuwan tersebut. Kali ini, ilmuwan itu memberi nasihat yang sangat berguna kepada pemuda tersebut. Hati pemuda itu rasa lapang dan menanam azam untuk menghentikan tabiatnya itu. Namun, rasa hairan timbul di hati pemuda itu lantas memberanikan dirinya untuk bertanya.

"Wahai tuan, mengapa tuan menyuruh saya pulang ketika saya datang berjumpa tuan sebulan yang lepas? Mengapa tuan tidak katakan apa yang tuan katakan kepada saya hari ini tempoh hari?".

"Anakku, saya menyuruh kamu pulang tempoh hari kerana saya juga suka makan makanan manis. Jadi, bagaimana mampu saya menasihati kamu sedangkan saya juga seperti kamu. Sekarang saya tidak lagi makan makanan manis jadi saya dapat memberi nasihat buat kamu", jelas ilmuwan tersebut.

Moral daripada cerita itu, sesuatu nasihat yang disampaikan akan lebih terkesan di hati penerima nasihat sekiranya pemberi nasihat itu mengamalkan nasihat yang diberikan. Aish...berpusing-pusing ayat saya ni. Dengan erti kata lain kalau kita nak menyuruh orang membuat kebaikan patutnya kita terlebih dulu mengamalkan kebaikan tersebut dalam diri kita. Barulah terkesan di hati orang lain yang melihatnya. Kepimpinan melalui teladan. Secebis pesan itu dapat menjadi secangkir madu dalam kehidupan.

Sesungguhnya Rasulullah itu adalah sebaik-baik teladan yang perlu dicontohi.

(Sumber cerita tidak dapat diingati. Jalan ceritanya mungkin berbeza daripada cerita asal tetapi moral ceritanya adalah sama)


Sunday, October 25, 2009

ISTERI 4, CERAI 5

Suatu hari...

Isteri pertama: Abang, ....(isteri membebel-bebel)...

Suami: (Marah sebab tak tahan dengan bebelan isteri). Aku ceraikan engkau..

Isteri kedua: Abang, takkan benda kecik pun sampai nak bercerai-berai..

Suami: (Marah lagi sebab kena tegur)..Aku ceraikan engkau juga..

Isteri ketiga: Abang..(teguran yang sama untuk suami)

Suami: (Marah lagi..) Kau pun aku cerai...

Isteri keempat: Abang ni apalah...kena tegur pun nak cerai

Suami: Kau pun nak tegur aku juga..dah dengan ini aku ceraikan kau juga

Habislah keempat-empat isterinya dicerai. Tiba-tiba..

Isteri jiran: Apa yang cerai-cerai ni...(datang menjenguk di tepi tingkap)

Suami kepada 4 isteri tadi: Kau pun kalau suami kau dengar ni dia pun ceraikan kau..

Suami kepada isteri jiran: Aku setuju...

Bukan setakat isteri sendiri jer kena cerai, termasuk isteri jiran sekali yang kena cerai...
Sumber cerita dari Ustaz Aminudin surau al-hidayah sungai petani..gurau senda di kala serabut kepala. Tak ada kena mengena dengan yang hidup atau mati...Kalau nak ketawa, ketawalah kalau tak nak sila tutup mata

JAM ITU BERDETIK LAJU

Dah tak tahu nak taipkan tajuk apa. Tak elok pula sesuatu tulisan tu tak bertajuk ibaratnya seperti manusia yang tak bernama. Biarlah jam itu berdetik kerana itu tugasnya. Tugas saya menyempurnakan segala kerja yang perlu saya lakukan sebaik mungkin.


Sebut pasal kerja mulalah nak berserabut kepala saya ni. Belajar ni lagi susah daripada bekerja. Itu pernyataan daripada seorang pelajar seperti saya tapi kalau seorang pekerja mungkin dia akan berkata yang belajar itu lagi mudah daripada bekerja. Manusia ni tak pernah nak bersyukur dengan nikmat yang Allah Taala kurniakan kepadanya.


Tapi seorang pelajar yang juga memegang tugas sebagai seorang isteri dan juga seorang ibu lagi susah jalan hidupnya. Itu pada pendapat saya. Oh, betapa saya kagum melihat kaum-kaum ibu yang tak henti-henti menuntut ilmu lebih-lebih lagi kalau ambil ijazah sarjana muda. Mana dengan nak hadiri kelas, nak siapkan tugasan on time, nak baca buku untuk peperiksaan dan dalam masa yang sama nak jaga anak, nak uruskan suami, nak masak, nak kemas rumas dan sebagainya. Tabahnya mereka. Bila suami ada tolong sikit-sikit jaga anak, kemas rumah dan lain-lain, mungkin rasa ringan beban si isteri yang merangkap sebagai pelajar itu.


Saya ni kira bernasib baiklah sebab MSc saya ni tak perlukan saya menghadiri kelas dan ambil peperiksaan. Buat research saja. Itu pun dah cukup untuk meningkatkan keserabutan otak saya berfikir. Mujur ada suami yang banyak membantu walaupun setakat jaga anak. Itu dah lebih dari cukup.


Bermula dari hari ini dan saat ini saya perlu berhempas-pulas menyiapkan keseluruhan tesis saya semula. Masa yang saya ada cuma 2 minggu dan pada masa yang sama saya kena hantar notis tesis pada pusat pengajian. Semuanya disebabkan satu perkara yang tidak saya jangkakan. Tapi dari segi positifnya, perkara yang tidak dijangkakan itu mungkin sebagai salah satu jalan untuk saya cepat-cepat habiskan tesis saya ni. Saya ni ibarat macam pahat yang kena selalu diketuk dengan penukul. Walaupun sakit sikit tapi kerja siap.

Dan jam itu akan terus berdetik laju....Semoga lajunya tidak membiarkan saya ketinggalan jauhh di belakang


Friday, October 23, 2009

JUMAAT YANG TENANG

Seperti yang anda baca pada tajuk yang ditaip. Alhamdulillah saya melalui pagi Jumaat yang lalu yang sangat tenang dan damai. Setenang bayu angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa di muka ketika panas terik. Tatkala melangkah masuk ke tempat yang menggamit datangnya ketenangan itu, segala kerja yang bersarang di kepala ni hilang begitu saja. Rindu saya terubat. Menggamit semula memori ketenangan dan kedamaian yang selalu saya rasakan dulu. Cewah...Tiba-tiba pula rasa dibuai-buai dengan alunan bahasa ni. Konon nak jadi penulis kan.



Tapi itulah gambaran perasaan saya seusai menghadiri kuliah Jumaat di surau berdekatan rumah kami di Sungai Petani ini buat julung kalinya. Walaupun saya terpaksa berdiri sepanjang mendengar kuliah daripada ustaz Aminudin tapi inputnya sangat berbaloi-baloi. InsyaAllah, kunjungan saya, suami dan anak kami ke rumah Allah itu diharapkan bukanlah yang terakhir. Rasa teruja nak pergi lagi. Anak kami si kecil tu pun tak buat perangai langsung sepanjang kami mendengar kuliah walaupun panas sikit. Sedar-sedar dah tidur dengan sendirinya. Kata orang, lebih baik kalau kita membiasakan anak-anak sejak kecil lagi dengan majlis-majlis ilmu sebegini supaya bila dah besar nanti mereka jadi orang yang sukakan majlis-majlis ilmu.



Kalau tak silap saya banyak manfaat dan kelebihannya kalau kita menghadiri majlis ilmu. Seingat saya (tak tahu sumber dari hadis atau kata-kata alim ulama') antara kelebihan tu malaikat akan menyebut nama-nama orang yang menghadiri majlis ilmu dan Allah akan turunkan rahmat kepada orang-orang yang duduk di majlis ilmu tu. Kata seorang ustaz, orang yang tidur dalam majlis ilmu pun dapat juga tempias rahmat Allah tu. Subhanallah. Rindunya nak mendengar celoteh Ustaz Shamsuri (Surau Kerian, Parit Buntar), Ustaz Mustafa Maarof (Surau Mujahideen, Parit Buntar), Ustaz Shaari Osman (Surau Mujahideen) dan beberapa orang lagi ustaz yang sangat best kuliahnya. Bila dengar kali pertama terus jatuh hati.


Semoga ketemu lagi di kuliah Jumaat yang lain InsyaAllah...

Setiap hari Jumaat selalunya saya pergi ke USM untuk menguruskan pelbagai perkara berkaitan Master saya. Tapi disebabkan satu-satunya kereta kami masuk bengkel untuk dicat semula pada Jumaat lepas, saya kira mungkin rezeki juga buat kami sekeluarga supaya dapat pergi ke kuliah Jumaat setelah banyak kali tertanya-tanya bila melihat orang ramai berhimpun di surau berdekatan kawasan perumahan kami itu. Begitulah alkisahnya...


Thursday, October 22, 2009

AULAD SOLEH ATAU ULAT TOLEH

Bidalan orang-orang dahulu,"Memelihara sekandang lembu lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan". Mudahnya kerana biarpun sekandang lembu tetapi lembu tidak perlu dididik, diasuh, dinasihat dan sebagainya. Seekor lembu hanya tahu makan, berak dan tidur. Tak kurang juga manusia yang fi'il mereka sebegitu. Kita pun tak pernah dengar lembu rempit, lembu bohsia, anak lembu luar nikah dan istilah-istilah yang sama waktu dengannya. Tapi manusia yang Allah kurniakan akal fikiran lebih teruk perangainya daripada seekor lembu yang tidak berakal. Tak hairanlah kalau seorang penternak lembu lebih berjaya menternak lembu-lembunya daripada mendidik anak-anaknya (tidak bersangkut dengan sesiapa).


Seorang anak itu dilahirkan dalam keadaan suci seperti kain putih. Ibu bapanyalah yang bertanggungjawab mencorakkan anak mereka samada ke arah baik atau buruk. Kebanyakkan kita mungkin sudah sinonim dengan ayat-ayat tersebut. Tapi fahamkah kita dari segi perlaksanaannya? Seharusnya saya yang terlebih dahulu menjawab soalan itu kerana saya juga seorang ibu. Beberapa kali terlintas di fikiran akan kata-kata seorang naqibah saya dulu,"kalau nak tengok macam mana perangai dan tingkah laku anak-anak kita nanti, lihatlah perangai kita beberapa tahun sebelum kita kahwin". Andai dulu saya ni buruk tingkah laku apakah anak-anak saya nanti begitu juga? Doa saya semoga anak-anak kami nanti menjadi generasi yang lebih baik daripada saya dan suami.


Kagum saya melihat ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Anda kenal adik Muhammad Ahmad Zaid, hafiz termuda di Malaysia yang selalu ada dalam rancangan Mari Bertarannum? Rasanya ramai yang lebih kenal Zahid Akademi Fantasia. Rata-rata anak-anak sebayanya lebih senang memilih kerjaya sebagai doktor, jurutera malah tak kurang juga yang nak jadi penyanyi, pelakon (contohnya rancangan Idola Kecil) tapi ketika ditanya kepada adik Muhammad ni tentang cita-citanya bila dah besar nanti, jawapannya "saya nak jadi ulama'". Tersentuh hati saya. Tak ada lagi saya dengar orang yang nak jadi ulama', inikan pula dari mulut seorang anak kecil. Semoga dia berjaya mencapai cita-citanya dan menjadi permata agama yang dapat membantu memurnikan lagi Islam suatu hari nanti. Menjadi ulama' yang berpegang kepada kekuasaan Tuhannya bukan berpegang kepada kekuasaan pemimpin semata-mata.


Bukan senang memikul amanah sebagai seorang ibu dan bapa. Bukan semudah mengajar anak merangkak, berjalan, berlari. Bukan semudah kita mengajar mereka membaca A,B,C tapi lebih daripada itu. Imam Malik r.h. mendidik anaknya selama 40 tahun iaitu bermula dari pemilihan isteri yang baik-baik menjadi ibu kepada anaknya sehinggalah kepada makan minum anak tersebut. Ayah kepada Syeikh Kadir Jailani pernah suatu ketika memasukkan jarinya ke mulut Syeikh Kadir Jailani supaya anaknya itu memuntahkan kembali susu yang diminumnya kerana susu tersebut datang bukan dari isterinya. Kadang-kadang apabila Syeikh Kadir Jailani terlupa akan sesuatu ayahnya berkata, "mungkin itu kesan daripada sisa-sisa susu yang diminumnya dahulu".


Begitulah teliti dan cermatnya golongan tabi'in dulu memelihara keluarga mereka dari hal yang seremeh-remehnya hinggalah hal yang sebesar-besarnya. Kita sekarang mungkin tak ambil kisah sumber makanan dan minuman anak kita. Apakah makanan dan minuman mereka itu halal, haram ataupun syubhah? Mungkin keruntuhan akhlak muda-mudi sekarang berpunca daripada sumber makanan dan minuman mereka. Bila seorang anak itu malas sembahyang, tak berpuasa, tak hormat orang tua, cuba selidik semula carta aliran sumber makanan dan minumannya. Mana tahu kot-kot tersasar di mana-mana. Bila sebut halal, haram yang kita bayangkan mungkin babi, arak dan sebagainya tetapi kita pastikah yang sebungkus keropok Mister Potato tu tak menyumbang kepada hiruk-pikuk akhlak anak kita? Memang ada cap halal tapi yang membuat keropok tu bukannya nama Ahmad, Abu atau Ali tapi Ah Seng, Ah Kau (nama sekadar hiasan). Boleh yakin seratus peratus ker cap halal tu? Nampak kecil tapi kesannya boleh tahan sampai bertahun-tahun pada diri kita dan anak-anak.

Bukan sekadar menjaga sumber makanan dan minuman saja. Sumber rezeki pun kena jaga juga sebagai contoh kalau ambil rasuah, curi duit atau harta bukan milik kita dan sebagainya. Lihatlah kesannya nanti pada anak-anak kita. Malas sembahyang, tak tutup aurat dan culas dalam ibadah-ibadah lainnya. Bukan itu saja, akhlak kita sebagai ibubapa pun kena diperhalusi lagi. Ibubapa merupakan teladan dan contoh yang paling dekat untuk anak ikut. Kalau tidak takkanlah ada pepatah, 'kalau ayah kencing berdiri, anak kencing berlari' dan 'mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi'. Kalau ibubapa pun tak sembahyang, tak tutup aurat dengan sempurna, tak puasa penuh, dan lain-lain lagi ibadah yang tak nak buat, rasa-rasa anak-anak nanti macam mana yer? Sama atau pun lagi hebat. Tak hairanlah anak-anak muda sekarang ramai yang berzina, minum arak dan sebagainya sebabnya mereka ni tak didekatkan dengan Allah dalam erti kata lainnya tak sembahyang. Sebabnya juga ibubapa mereka tak pernah ajar mereka sembahyang dan yang teruknya ibubapa mereka pun tak sembahyang.

Ibu saya pernah menampar seorang pelajar lelakinya yang mencium seorang pelajar perempuan di kawasan sekolah. Kata si pelajar lelaki tu,"ustazah tahu tak, mak dan ayah saya pun tak pernah tampar saya". Mahu saja ibu saya tangan-tangankan lagi budak lelaki yang baru berumur belasan tahun itu. Tak tahu hormat orang tua apatah lagi seorang guru yang mendidiknya. Bila disiasat latar belakang keluarga pelajar terbabit, rupa-rupanya ayahnya itu bekerja dengan ah long. Ayahnya selalu berpesan kepada anaknya jangan sesekali memberitahu si ayah yang dia kalah dalam sebarang pergaduhan. Begitulah kira-kiranya cerita ibu saya. Betullah ibubapa itu contoh kepada anak-anak. Sayangnya bila contoh yang tidak baik diberikan kepada anak-anak. Akibatnya anak-anak yang rosak binasa menjadi ulat yang toleh bukannya aulad yang soleh. Jadi jangan salahkan pihak lain kalau anak kita sendiri yang membuat onar di muka bumi. Didikan sepatutnya dimulakan oleh ibubapa di rumah bukan diletakkan pada guru-guru di sekolah. Itulah kenapa ibubapa disaran untuk mendidik dan mengajar anak sejak mereka di dalam kandungan lagi dengan memilih makanan yang halal dan baik dan sentisa membuat kebaikan kerana kesan dan pengaruh tindak-tanduk ibubapa akan memberi kesan dan pengaruh kepada anak-anak kelak.

Bila saya fikir kembali kenapa saya kadang-kadang rasa berat nak beribadah, rupa-rupanya mungkin kerana saya tak menjaga sumber makanan dan minuman saya dulu. Benda tu berlaku semasa saya kanak-kanak dulu tapi tempiasnya saya rasa sampai sekarang di usia 25 tahun. Astaghfirullah hal'adzim. Semoga Allah mengampunkan keterlanjuran saya dahulu. Berat kan taggungjawab menjadi ibu dan bapa. Di zaman sekarang ni, anak yang berkualiti tu perlu lebih dititik beratkan daripada anak yang berkuantiti. Kalau anak ramai tapi semuanya rosak akhlak, kuantiti dosa yang kena tanggung nanti. Saya dan suami pun bukanlah terjamin menjadi ibubapa yang terbaik buat anak-anak kami meniti alam kehidupan mereka kelak. Namun, sebagai ibubapa yang diberi amanah kita perlu berusaha sedaya mampu untuk mencorakkan anak-anak kita kerana acuannya kita yang sediakan bentuknya bagaimana. InsyaAllah semoga dengan bantuanNya kita dapat menjadi ibubapa terbaik buat anak-anak kita.

Kata-kata seperti 'setandan pisang tak semuanya elok' yang memberi maksud dalam ramai-ramai-ramai anak tak semuanya menjadi seharusnya ditolak ke tepi. Setiap anak berhak mendapat didikan yang terbaik daripada ibubapanya biarpun sepelik dan seteruk mana pun perangai anak mereka. Mungkin jika ibubapa ikhlas mendidik, anak itu akan berubah suatu hari nanti. Tapi janganlah anak yang bermasalah itu dijadikan kambing hitam dalam keluarga kerana setiap anak itu mempunyai karakter yang pelbagai dan berbeza yang semestinya cara didikan dan ajaran juga berbeza antara satu sama lain.

Kesimpulannya, kita takkan ditanya hasil dan kejayaan kita mendidik anak di akhirat nanti, tapi kita akan ditanya apa usaha yang telah kita lakukan.....Semoga anak-anak kita nanti menjadi generasi yang beriman dan bertakwa kepada Yang Maha Esa. Mudah-mudahan menjadi penyejuk mata dan penawar di hati. Buat semua ibubapa dan bakal ibubapa, perkemaskan diri kerana jalan mendidik anak itu sangat mencabar jiwa dan minda.

Rasa macam blog kaunselor keluarga dan anak-anak pula. Lagi satu bakat terpendam saya ker...Pengalaman yang mematangkan pemikiran

Syukur alhamdulillah dan terima kasih buat ibu, ibu mertua dan bapa mertua kerana anak-anak yang baik itu datangnya daripada didikan ibubapa yang baik juga




Monday, October 19, 2009

Dah lama tak posting so rasa macam nak posting habis-habisan hari ni sampai puas hati. Maklumlah tak ada gangguan hari ni sebab my baby boy ada di kampung dengan maktok dan makcik, pakcik2nya. Biasa kalau saya mengadap komputer ni dialah orang pertama yang nak menyibuk sekali. Mulalah berpaut2 kat kaki saya ni dengan matanya yang bersinar2 macam kucing dalam cerita Shrek tu..heheh...tapi rindu sangat kat buah hati pengarang jantung saya dan suami tu. Sunyi pulak tak ada dia.


Jumaat lepas, saya baru hantar draf pertama tesis saya kepada supervisor walaupun technically tak siap dengan sepenuhnya. Memandangkan supervisor saya memang dah berkurun tunggu ketibaan tesis saya tu, nak tak nak kena hantar jugalah. Walaupun hanya draf tesis tapi stressnya sangat2 terasa. Bila dah hantar tu rasa ringan jer kepala. Bila saya cakap macam ni kat supervisor saya terus dia gelak. Katanya kelakar. Yelah sebab bukan full tesis pun..baru draf saja. Banyak lagi perkara yang perlu saya masukkan dalam tesis saya tu. Walaupun pagenya seratus lebih tapi bila saya bagi kat Dr. M (supervisor saya), dia kata, "banyak ni jer". Terkejut saya. Bagi saya dah cukup tebal dah tesis saya tu walaupun tak complete lagi.


Nak taip tesis ni bukan semudah A,B,C. Memang sangat berbeza dengan tesis saya semasa buat final year project (FYP) dulu. Dulu, most of the tesis content Dr.M yang bagi. Dulu FYP pun under DR.M jugak. But now, everything is on me. Dr.M just check, if not satisfied kenalah bikin semula dan sumber2nya kena cari banyak2 lagi lah. Begitulah kebiasaannya bekerja dengannya. Ayat yang biasanya dia cakap pada saya,"you have to reaaaaddd a lott". Punyalah tekankan perkataan read tu. Memang betullah. Nak menghasilkan tesis yang the best memang perlukan maklumat yang banyak dan juga pembacaan yang banyak.


Pernyataan 1: Rakyat Malaysia kurang membaca.

Pernyataan 2: Saya rakyat Malaysia.

Kesimpulan: Saya kurang membaca.


Itulah masalah yang dapat saya simpulkan melalui penaakulan mantik. Saya ni kurang membaca rupanya. Macam mana caranya nak rajinkan diri untuk membaca.

BAKAT DIPENDAM

SALAM AIDILFITRI

Kata Nabi SAW, di akhir zaman nanti masa berlalu sangat pantas. Sebulan akan rasa seperti seminggu, seminggu seperti sehari, sehari seperti satu jam, satu jam pula seperti satu minit dan begitulah seterusnya masa itu berlalu. Buktinya sekarang Syawal dah nak pergi meninggalkan kita. Semoga kita dapat menikmati lagi Syawal dan Ramadan untuk tahun akan datang andai umur kita masih dipanjangkan. Saya juga nak menyusun sepuluh jari tangan dan kaki kalau boleh, memohon atas segala silap dan salah buat semua kawan-kawan saya yang saya kenal dan bersahabat semenjak di SK Pendang hinggalah ke USMKKj. Maaf sebab tak sempat nak menghantar mesej raya, balas mesej raya mahupun menghantar kad raya. Antara sebabnya, kredit telefon selalu habis dan sibuk mengejar deadline tesis, sibuk melayan kerenah anak, sibuk mengemas rumah, sibuk memasak dan sebagainya. Sibuk sepanjang masa selagi mana mata ni tak terpejam buat selama-lamanya.

Agak lama saya tak menaip di blog sebab sibuk yang teramat. Sejak akhir-akhir ini saya sering tertanya-tanya apakah bakat yang saya miliki yang boleh saya gunakan untuk menjana pendapatan ataupun menjana keyakinan diri. Semenjak menghabiskan masa di rumah ni sambil menaip-naip tesis dan menonton TV, banyak juga saya tengok orang-orang mula menggunakan bakat dan kelebihan yang mereka ada untuk menjana pendapatan tambahan. Dan yang paling seronoknya mereka ni boleh bekerja di rumah sahaja. Kerja idaman saya....

Apa yer bakat yang saya ada??

Salah satu kegemaran dan bakat yang saya ada walaupun tak sehebat mana adalah melukis. Tapi, taklah mencapai tahap pelukis profesional. Sikit-sikit saja. Saya pantang melihat kertas-kertas dan buku-buku yang kosong. Tidak dapat tidak mesti ada hasil tangan saya yang gatal nak buat doodling dan sketching. Pernah sekali sewaktu pensyarah tengah mengajar di depan saya lukiskan figur pensyarah saya tu di buku catatan saya. Tapi, hobi saya yang suka melukis kartun-kartun manusia ni tak begitu disukai oleh ibu saya sejak saya kecil lagi. Kata ibu saya, nanti kartun tu minta nyawa di akhirat nanti. Kalau tak silap saya ada juga hadis yang melarang kita melukis gambar-gambar manusia ni tapi saya tak ingat di mana saya baca pernyataan tu. Pernah juga mama saya suarakan yang dia tak nak saya jadi pelukis suatu hari nanti. As a result saya pun dah jarang melukis lagi. Kemahiran melukis pun dah berkurang. Maybe one day kalau saya polish balik skill saya ni mana tahu boleh buat duit kan...

Suatu ketika dulu, saya pernah menyertai kumpulan nasyid semasa di sekolah rendah dan menengah. Itulah antara kenangan yang manis kerana pernah memenangi tempat kedua nasyid di peringkat negeri semasa sekolah rendah, tempat kedua di peringkat daerah dan pernah menjadi juara semasa pertandingan nasyid sempena hari ko-kurikulum, kedua-duanya semasa sekolah menengah. Penglibatan saya kemudian berterusan ke peringkat universiti dengan menyertai satu pertandingan yang dianjurkan oleh PMI ketika itu. Saya dan kumpulan memenangi tempat kedua. Dalam kesemua pertandingan tersebut, saya diberi kepercayaan untuk menjadi penyanyi kumpulan. Sedapkah suara saya ini? Hanya yang mendengar saja dapat menilai. Takkan saya nak menyanyi sambilan kot..auw tak sesuai...dodoikan anak jer lah

Saya pun suka juga menulis. Ada beberapa cerpen pendek yang saya tulis dan satu kisah novel yang saya cuba hasilkan sejak saya di Tingkatan Dua sampailah sekarang tapi tak habis-habis lagi jalan ceritanya. Sebabnya dah banyak kali hilang dalam simpanan dan dah banyak kali dirombak jalan ceritanya. Tapi, semua tu saya simpan sebagai koleksi peribadi sebab tak hebat dan menarik macam Cerpen-cerpen dan novel-novel penulis yang hebat macam Naimisa, Habiburrahman el-shirazy, HM Tuah Iskandar, Faisal Tehrani (sekadar menyebut beberapa nama). Maklumlah saya budak baru belajar. Suami saya pun ada menghadiahkan sebuah buku “Persediaan menulis novel “ kepada saya dulu. Tanda sokongannya supaya saya dapat terus mengembangkan karya. Penulis yang paling saya kagumi adalah ibu saya sendiri yang telah banyak menghasilkan karya-karyanya seperti sajak, cerpen dan mengarang lagu di sekolah tempat dia mengajar. Ibu saya seorang guru yang mengajar Pendidikan Islam tetapi mempunyai kelebihan dalam menulis. Karyanya setaraf karya penulis tersohor yang lain cuma dia tak mempunyai peluang dan medan untuk terus menonjol di persada luar. Bagi saya, dialah penulis yang terhebat. Sedikit sebanyak tempiasnya terkena juga pada saya walaupun tak sehebatnya. Seronokkan kalau suatu hari nanti dapat lihat karya sendiri ditatap oleh semua orang...


Saya pun suka sangat menghias rumah. Kalau ada rancangan dekorasi rumah macam Deko Idaman, Landskap dan sebagainya
memang saya suka tengok. Tersangatlah kreatif dan cantik. Saya juga merupakan salah seorang perunding hiasan dalaman semasa membuat dekorasi kediaman ibu saya dulu. Tapi hasilnya taklah sehebat interior designer yang profesional. Bolehlah sekadar nak menghias supaya sedap mata memandang. Mungkin bila dah ada rumah sendiri nanti bolehlah diimplementasikan kreativiti yang ada sepenuhnya. Suami saya pun suka juga kerja-kerja menghias ni, jadi bolehlah bekerjasama menghias rumah sendiri nanti. Walaupun tak ada background langsung pasal ni tapi dah dapat offer untuk dekorasi dan buat design rumah tuuu....design reban ayam pun tak lepas hehe

Suami saya pun ada bakat yang terpendam juga. Kalau boleh saya kata, suami saya tu ibarat McGyver. Dia sangat berbakat dalam menyelesaikan masalah seperti paip rosak, atap bocor, pasang kipas angin di siling, buat rak dapur, pasang wayar plug dan serba-serbi benda dia boleh buat walaupun tak pernah belajar benda-benda tu dari sesiapa pun. Suami saya juga pernah bina kandang/rumah arnab sebab dia nampak banyak sangat kayu-kayu yang terbuang kat rumah tu. Siap pergi beli arnab lagi. Setiap masa ada saja projek yang dia akan buat kat rumah kami ni. Memang tak boleh duduk diam Mr.Jie a.k.a Abu Ziyad tu.

Itu antara sedikit sebanyak bakat yang terpendam dan dipendam dalam diri saya dan juga suami. Mungkin suatu hari bila dah digilap-gilap, boleh memberi keuntungan dan manfaat buat diri kami dan keluarga kan. Syukur pada Allah SWT kerana memberi sedikit kurniaanNya itu kepada kami. Alhamdulillah...Setiap bakat yang ada sikit atau banyak perlu digunakan dengan sebaik2nya dan tidak melanggar hukum agama. Biarpun ada bakat menyanyi dan suara yangs edap tapi lebih baik kalau nyanyi untuk suami jer...suara tu kan aurat bagi perempaun. Suami pun bertambah sayang. Bimbang nanti walaupun dapat duit banyak2 tapi duit tu tak berkat...sebut pasal rezeki berkat ni ada pula sesuatu yang saya nak kongsi tapi di posting yang lain deh

Wednesday, September 2, 2009

BERDAKWAH ATAU DIDAKWAH???

Alhamdulilah, puja dan puja buat Yang Maha Esa kerana memberi lagi peluang untuk saya menyambut 17 Ramadhan hari ini. Selamat menyambut Hari Nuzul al-Quran dengan memperbanyakkan membaca al-Quran. Bak kata Ustaz Zawawi, "bacalah al-Quran itu seolah2 ia diturunkan lepada kita". InsyaAllah...Fasa pertama Ramadhan yang penuh rahmah dah berlalu. Sekarang kita sedang melalui fasa kedua yang penuh maghfirah (keampunan) pula. Adakah amalan dan sakhsiah kita semakin baik atau semakin buruk bila bertambahnya fasa puasa? Tepuk dada tanyalah iman kita.



Semoga perubahan yang berlaku pada diri kita sepanjang bulan mulia ni dapat diteruskan pada bulan2 yang seterusnya. Tak terlambat kalau saya nak ucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN yang ke 52 buat semua rakyat Malaysia. Alhamdulillah kita dapat melalui Ramadhan dengan aman dan damai tak macam negara2 Palestin, Iraq dan negara2 lain yang diselubungi peperangan setiap masa. Kita dapat makan yang sedap2 sebab ada bazar di merata tempat. Tapi orang2 yang kat negara2 yang bergolak tu kalau boleh makan sesuap makanan ke mulut pun dah kira sangat bersyukur. Sebiji kurma pun dah kira rezeki buat mereka macam zaman Rasulullah dulu. Janganlah membazir yer..



Malangnya, kedatangan Ramadhan dan rahmat kemerdekaan ni seperti tidak tersemat di hati sesetengah golongan masyarakat. Ramai juga yang tak bersyukur. Walaupun tak ada konsert2 ambang merdeka yang pastinya sebab bulan puasa kan...kebiasaaannya tidak dapat tidak mesti ada...tapi anak2 muda remaja yang sebaya saya ni (remaja lagi ke saya ni) dan sebaya dengan adik2 saya dok seronok2 berpeleseran dan melakukan perbuatan tak senonoh dan sumbang malam kemerdekaan tu. Kalau ada antara kita yang menonton TV beberapa minggu yang lepas, serbuan pihak berkuasa dapat menangkap berpuluh2 pasangan yang duduk di tempat2 gelap dan buat perkara2 yang mencemarkan kemuliaan bulan Ramadhan ni. Mak ayah dok berterawih di masjid, anak2 pulak dok 'terawih' kat tempat2 gelap. Inilah hadiah kemerdekaan buat negara kita yang sudah mencapai 52 tahun ni. Yang bagusnya bila anak2 muda ni ditangkap, mereka dibawa ke masjid, dipakaikan telekung bagi perempuan dan diberi nasihat dan kaunseling on the spot. Harap2nya anak2 muda kita ni kembali ke pangkal jalan. Tak sedar juga patutlah mak bapa tangan2kan sebagai usaha untuk mendidik bukan mendera. Sebab itulah pepatah mengatakan kalau nak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kalau dah jadi buluh, boleh buat meriam buluh dan lemang sajalah...nak didik pun dah susah.



Berbalik kepada tajuk entri, saja saya letakkan tajuk tu sebagai peringatan buat diri dan buat teman2 yang nak menjadi pendakwah. Biasanya kalau sebut dakwah ni mesti kita bayangkan ceramah yang panjang lebar padahal kalau kita sekadar kata "jom pergi sembahyang" tanpa ayat2 yang panjang lebar pun boleh dikira dakwah. Jadi, sesiapa pun boleh jadi pendakwah walaupun tak ada kelayakan dari segi ilmu tasawuf, usuludin atau pun pengajian islam. Jadi jurutera, doktor, penoreh getah, petani dan sebagainya pun boleh berdakwah. Kata ustaz Jamnur Azhar, "orang yang soleh tu adalah orang yang boleh memberi kebaikan pada diri sendiri dan juga orang lain". Periksa semula..soleh ke toleh kita ni.



Saya teringat dengan kata2 salah seorang naqibah saya suatu ketika dulu, "Dakwah ni terbahagi kepada dua. Ada dakwah nafas panjang dan dakwah nafas pendek". Dakwah nafas panjang tu maksudnya orang yang diberi nasihat mungkin berubah dalam masa yang panjang. Misalannya, hari ni kita nasihat mungkin ambil masa bertahun2 untuk dia berubah. Dakwah nafas pendek pula maksudnya orang yang diberi nasihat mungkin berubah dalam masa yang pendek. Misalannya, hari ni kita nasihat esok lusa dah berubah. Tidak dapat tidak dapat kita sebagai umat Islam kena berdakwah. Kalau tak pada orang lain, pada diri kita sendiri. Sekarang ni, medium untuk bagi nasihat tu tersangatlah banyak. Ada yang guna blog, ada yang tulis dalam majalah, ada yang bagi ceramah, yang menggunakan industri hiburan dengan nasyid2. Saya pandai berblog jer..yang lain2 tu kurenggg bakat.



Cumanya tergerak nak sentuh bab2 nasyid ni. Kumpulan nasyid sekarang ni bak cendawan tumbuh selepas hujan. Sampai ada kumpulan nasyid yang saya tak pernah tahu pun wujud. Saya ni memang kaki nasyid...dulu selalulah update pasal nasyid2 ni baik dari segi kumpulan2 nasyid mahupun lagu2 nasyid itu sendiri. Kaset pun beli yang original sahaja. Kalau orang lain fanatik dengan bola, saya pula masa tu fanatik dengan nasyid. Tapi bak kata orang, sekali air bah sekali pantai berubah. Bila dikenang2 dan diperhati2kan kembali nampak macam ada juga ketidakselarian nasyid tu dengan tema berdakwah. Walaupun rata2 kumpulan nasyid bila setiap kali diajukan tujuan menceburi industri hiburan ni jawapannya adalah untuk berdakwah, tapi bila mendengar lagu dan imej yang dibawa mereka langsung tak selari.



Tapi bukan semua yang tersasar sedikit daripada tujuan berdakwah mereka. Kumpulan otai nasyid seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz (sekadar menyebut beberapa nama) masih dengan gaya persembahan mereka yang mantoppp. Mungkin sebab anggota kumpulan tu pun golongan2 dewasa yang matang dalam soal kehidupan dan dakwah itu sendiri jadi mereka lebih dekat dengan pendengar. Kumpulan nasyid yang baru2 dan muda2 ni banyak lagu cinta yang mendayu2 sampai tak boleh beza nasyid dengan lagu balada. Macam nak menggalakkan couple secara islamic pun ada...tak semua, hanya beberapa kerat saja.



Kalau kumpulan nasyid perempuan memang saya tak layan....maaf kalau ada yang terasa. Jangan saman saya yer. Mengkritik bukan untuk mengeji tapi untuk memperbaiki. Tak perlu sentuh pasal lagu, tengok penampilan saja memang dah tak menarik hati saya. Kata nak berdakwah tapi pakaian pun ala2 sendat dan rock jer...pulak tu berposing gambar di kawasan berair. Terselak2 lah kain tu...nasyid ke kalau dah terdedah aurat tu. Tak kurang juga artis2 nasyid yang dah berpindah ke alam lain dari nasyid. Kalau mereka yang pernah berada dalam alam nasyid yang mana tujuannya untuk berdakwah tu pun tak terkesan di hati mereka sendiri dengan dakwah yang cuba dibawa mereka tu, inikan pula orang yang mendengar. Itulah kaitannya tajuk entri saya..Berdakwah atau didakwah. Ditambah pula bila ikon2 dakwah ni ada buat silap sikit terus semua jari bersalah ditunding ke arah mereka dan sesedap rasa juga orang nak memperlekehkan hal2 dakwah ni. Hakikatnya, ujian dan dugaan Allah itu berbagai2 rupa dan tidak mengenal sesiapa.



Saya dok membebel panjang lebar sampai letih jari menaip ni bukannya anti-nasyid dan mencari silap orang2 yang nak berdakwah. Malah nasyid tu akan sentiasa dan tetap menjadi hiburan no.1 saya (nasyid tu bukan hiburan alternatif tapi hiburan yang utama untuk mengingatkan kita kepada Allah). Cuma nak ingatkan diri sendiri dan orang2 lain yang terdetik di hati nak beri nasihat pada orang lain. Petikan daripada hadis Nabi yang sohih: "Apabila kita melihat kemungkaran, cegahlah menggunakan tanganmu (kuasa). Kalau tidak mampu, cegahlah dengan lidahmu. Kalau tidak mampu, cegahlah dengan hatimu. Itulah selemah2 iman".



Kata seorang penceramah, "kalau kita tak cegah kemungkaran yang kita lihat dengan hati, nescaya kemungkaran itu akan terkena kepada diri kita sendiri". Allah jua lebih mengetahui. Saya ni tak pandai sangat nak berdakwah sekadar ingat mengingatkan tu bolehlah. Cuma mampu tegur dalam hati saja. Betapa lemahnya iman saya ni. Semoga saya tak didakwah ke jalan yang songsang.....


Bagi para pendakwah, berdakwahlah dengan penuh hikmah dan adil. Kuatkan mental dan fizikal sebab jalan untuk berdakwah tu bukannya dihampari dengan permaidani merah tetapi duri2 yang tajam. Kalau kita tidak dicucuk duri, duri itu yang akan mencucuk kita. Wallahu a'lam....


P/s: Didakwah pada tajuk entri itu membawa maksud "didakwah atau dipengaruhi ke jalan yang salah"...tafsiran dari kaca mata penaip blog.


Monolog hati: Oh, rindunya alam perjuangan di kampus dulu...










HAPPY 26th BIRTHDAY

Entri di atas saya tujukan khas buat suami saya yang sudah menyambut ulangtahun yang 26 nya pada 28 Ogos yang lalu. Tak terlambat lagikan nak wish kat blog ni sebagai tanda penghargaan seorang isteri buat suaminya.


Al kisahnya, sebulan dari tarikh kejadian tu saya dah bercadang dalam kepala nak buat ala2 suprise party la kat suami konon2nya. Siap nak beli hadiah untuk dia secara diam2 dan ada juga lah buat survey kat internet pasal hadiah tu. Tapi masalahnya kalau nak keluar rumah mesti minta izin suami saya dulu dan alasan yang diberi tu mestilah konkrit. Suami saya tu pulak ala2 macam Detective Conan..boleh hidu kalau ada something not right dengan tindak-tanduk isterinya ni. Takkan nak bagitau saya nak keluar beli hadiah harijadi dia pulak kan. Pula tu sejak dah kahwin ni ke mana2 pun mesti dengan suami. Lagilah bermasalah nak melarikan diri buat sementara waktu semata2 untuk membeli hadiah.


Dipendekkan cerita entah macam mana, terkeluarlah dari mulut saya ni pasal hadiah misteri tu. Apalagi, pada hari kejadian tu saya beli hadiah tu dengan suami lah....dah tak jadi suprise party...habis hancur semua perancangan. Apa pun saya puas hati sebab dapat menghadiah kan sesuatu buat suami saya sempena hari lahirnya. Harap2 bila suami saya pandang hadiah saya yang tak seberapa tu dia terus teringatkan saya..


SELAMAT HARI LAHIR ABANG

semoga dipanjangkan usia dan dilapangkan rezeki...

happy sweet 26



Wednesday, August 26, 2009


tips untuk elak membazir di bulan ramadhan bila ke bazar ramadhan:


1) beli makanan yang perlu dimakan saja. jangan beli ikut apa yang rasa nak makan


2) beli ikut kuantiti orang yang nak makan. kalau 2 org beli agak2 utk 2 org je makan jangan beli utk 10 org pulak


3) bawa duit cukup2 je..tak bawa dompet lagi baguihh. kalau tak cukup duit tak boleh nak hutang...kan3


4) jangan pergi bazar seorang diri sebab kebarangkalian nak beli banyak tu tinggi. ajak kawan2 atau sedara mara atau suami/isteri sebagai peneman. tapi syarat peneman tu bukan yang jenis kebulur tahap gaban la. bila ada teman ni boleh la tolong ingatkan kot2 terlebih beli, "ai banyak membeli"..atau..."beli banyak2 ni esok dah tak pose ker?".


5) masak aje kat rumah...memang jimattttttttt. sedap tak sedap belakang kiraa arr


sekian untuk dipraktikkan oleh tuan punya blog dan sedara/i yang membaca blog

Sunday, August 23, 2009

MARHABAN YA RAMADHAN

Alhamdulillah, saya masih dapat menyambut kedatangan Ramadhan sekali lagi tahun ini. Syukur pada Yang Menciptakan saya kerana masih memberi peluang untuk saya menjalankan ibadah puasa pada bulan yang mulia ini. Ini Ramadhan ketiga saya sebagai seorang isteri dan Ramadhan yang pertama sebagai seorang ibu. Sudah pasti ketiga2 bulan Ramadhan yang saya telah dan akan lalui ini mempunyai pengalaman dan kenangan yang tersendiri.


Sekadar berkongsi sebuah cerita tentang pengalaman dan kenangan saya tersebut. Ramadhan pertama, saya dan suami menyambut Ramadhan secara berjauhan. Saya di Pulau Pinang manakal suami saya berada di Terengganu. Sudah semestinya ketika itu saya tidak dapat menguruskan makan minumnya dengan sempurna. Kami hanya berjumpa 2 minggu - sebulan sekali saja samada dia datang ke Pulau Pinang atau saya yang pergi ke Terengganu. Rasa seronok bila sesekali dapat berbuka puasa, bersahur dan solat terawih bersama2.


Ramadhan kedua, kenangan yang sangat indah kerana ketika itu saya sedang mengandung 4 bulan. Jadi, selera makan saya agak berubah tidak seperti biasa. Saya ni tolak batu, kayu, besi dan makanan yang haram, yang lain saya kebas saja. Tapi sebab dah 'berisi' dan alahan, makan pun memilihlah sikit. Waktu ni pun saya masih berjauhan dengan suami sebab dia dihantar bekerja di Bukit Fraser. Tetapi tahun kedua ni saya lebih kerap berjumpa dengan suami sebab dah ada pengangkutan sendiri. 2 minggu sekali suami saya pulang ke rumah untuk menjalankan ibadah puasa bersama2.


Ramadhan ketiga, pengalaman yang lebih indah dan menarik. Saya dan suami dah tak berjauhan lagi. Jadi, saya lebih bersemangat untuk menjalani segala ibadah yang tersedia di bulan yang berkah ini. Kami dapat berbuka, bersahur, solat terawih dan mengaji al-quran bersama2 sambil ditemani permata hati kami. One of the cherish moments in my life. Kalau sebelum2 ni saya tak perlu bersusah payah menyediakan juadah untuk sahur dan berbuka puasa tapi sekarang sedikit sebanyak menguji kemahiran memasak yang saya miliki. Habis khatam masakan yang ada dalam kepala ni. Sampai kena buka buku masakan nak cari resepi baru. Mujurlah cik abang saya tu tak cerewet sangat. Belasah saja apa yang ada walaupun selera dia selera pantai timur tapi masakan saya masakan utara. Janji halal...dan ada budu dia tu...


Semoga kedatangan Ramadhan kali ini memberikan saya, suami dan keluarga kami keberkatan dan ketenangan dalam menjalani ibadah2. Semoga bulan puasa tahun ini lebih baik daripada bulan2 puasa dari tahun2 yang lalu. Doa saya semoga ibadah yang dijalankan dapat diistiqamahkan ke bulan2 seterusnya. Kalau zaman Nabi dulu, kedatangan Ramadhan disambut meriah dengan ibadat2 sunat dan wajib dan perasaan yang sangat gembira. Tapi bila di penghujung Ramadhan ramai yang menangisi pemergiannya kerana belum pasti samada dapat ketemu lagi dengan bulan yang penuh rahmat ini. Tapi zaman kita ini, bulan puasa disambut dengan deretan bazar Ramadhan di setiap ceruk tempat. Bertambah seronok bila Ramadhan dah nak pergi meninggalkan kita sebab tandanya dah nak Raya.


Jom kita mengimarahkan tempat2 ibadah dengan ibadah2 sunat dan perkemaskan ibadah2 yang wajib. Kalau puasa saja tapi tak solat..ai tak ada maknenyerrr. Yang paling penting sekali, jangan membazirrrrrrr....Pesanan untuk diri sendiri juga!


marhaban ya ramadhannnn

Wednesday, August 19, 2009

WEDDING ANNIVESARRY

Selamat ulangtahun perkahwinan yang kedua buat saya dan abang...

Semoga rumahtangga kita dilimpahi berkah dan kasih sayang yang berpanjangan sampai ke syurga..aminn!!


Dah 2 tahun saya dan suami melayari alam rumahtangga. Semoga segala suka dan duka, pahit dan manis yang kita tempuhi sepanjang dua tahun ni dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang serta mematangkan kita....
Kita berdua bukanlah insan yang sempurna tetapi kita saling menyempurnakan antara satu sama lain...

Monday, August 17, 2009

CONVEX '09

Alhamdulillah. Semalam dengan rasminya minggu konvokesyen sudah melabuhkan tirai. Semalam juga hari terakhir saya jaga pameran penyelidikan di USM Minden sempena menyambut majlis konvokesyen tu. Walaupun ending selesainya pameran tu tak macam happy ending dan tak nampak di mana kerelevenan saya dan beberapa rakan penyelidik menyertai pameran tersebut. Selama beberapa hari kami berada di pameran tersebut bermula Selasa sehingga Ahad, bilangan orang yang berkunjung ke pameran kami ni boleh dikira dengan jari. Tiba2 terasa seolah2 kami ni 'ditangkap muat' saja untuk turut serta memeriahkan majlis konvo tu dan hakikatnya kewujudan kami seolah2 tak disedari oleh pengunjung2 konvo juga pelajar2 USM sendiri yang hanya lalu-lalang saja.



Berhabis duit ringgit dan masa jugalah nak menyertai pameran ni walaupun bukan secara sukarela. Mungkin disebabkan niat saya yang memang tidak betul dari mula yang menyebabkan penghujungnya tidak secantik yang diharapkan. Kalau begitu, semua penyelidik yang terlibat dalam pameran tu pun mempunyai niat yang sama seperti sayalah sebab nasib mereka pun sama juga seperti saya. Seminggu berada di tempat pameran itu masa kami terbuang saja dengan menunggu kunjungan dan pertanyaan daripada mereka yang berminat. Adalah 1-2 orang datang bertanya secara purata untuk ketujuh2 hari tersebut. Yang meriah sikit pun pada hari Jumaat tapi itu pun sebab pro-canselor USM iaitu Tan Sri Razali nak datang melawat ke tempat pameran. Lepas habis je lawatan tu, kami kembali pening melayan kebosanan tahap power rangers.



Banyak jugalah kelemahan yang boleh dikenal pasti sepanjang pameran itu berlangsung. Antaranya:



1) Bila habis je konvo dalam dewan tu, tempat pameran kami ditakluk oleh2 graduan2 dan ahli keluarga mereka. Bukan datang nak tengok barang yang dipamerkan tapi nak cari tempat duduk. Sebab musababnya, tempat pameran kami tu ada kerusi dan kipas besar jadi strategik la untuk ditakluk. Akibatnya, kerusi2 tempat pameran memang jadi kepunyaan merekalah kalau ditinggalkan kosong. Para peserta pameran terpaksa melarikan diri dan membiarkan tempat2 dan kerusi2 mereka diduduki oleh orang lain. Tak tercapailah tujuan pameran diadakan.


2) Sebenarnya, saya tak pasti samada orang2 yang datang ke konvo tu dan juga pelajar yang lalu-lalang kat tempat kami tu perasan atau tak yang kami ni buat pameran penyelidikan MSc dan juga PhD. Sebab tak ada pun papan tanda atau pun banner yang digantung yang menyatakan kedatangan kami tujuh hari itu adalah kerana kami ni mempamerkan hasil kajian kami buat tatapan orang ramai. Patutlah orang sekadar jeling2 saja. Letaklah banner "Pameran Penyelidikan" sebagai contoh. Barulah orang perasan dan kami pun taklah syiok sendiriii...


3) Urusetia untuk pameran ni pula agak susah untuk dicari lebih2 lagi pada hari pertama pameran. Nak tanya apa2 pun payah. Tapi pada hari2 terakhir ramai pula yang berkerumun di tempat pameran tu. Awal2 dulu tak ada pun. Yang menjadi masalahnya bila saya nak tinggalkan barang pameran yang berharga RM2800 untuk pergi solat dan makan. Tak ada urusetia yang boleh diminta tolong untuk jagakan barang saya tu. Bertawakal sajalah tinggalkan barang tu...berdoa saja supaya tak hilang atau pecah kalau tidak mana nak cari duit banyak macam tu nak ganti wooo...Patutnya kenalah ada urusetia yang bertindak sebagai pengawal keselamatan bila tiba masa makan dan solat untuk jaga barang2 kami dan tempat pameran tu daripada ditakluk orang. Takkanlah saya nak tercegat kat situ sepanjang hari macam robot.


4) Agak annoying jugalah bila saya terpaksa mengusung barang pameran saya yang beratnya mungkin mencapai > 5 kg. Tak disediakan pun bilik atau tempat yang selamat untuk saya dan para peserta yang lain untuk simpan barang2 pameran kami ni. Yang ada cuma lokar kecil. Barang saya yang lebih besar daripada printer HP 3 in 1 tu (senang sikit orang yang baca nak imagine) memang tak muatlah kalau setakat lokar sebesar desktop komputer saya ni. Nak tak nak kenalah angkut walaupun khidmat mengangkut tu saya minta daripada seorang pembantu saya dan juga suami saya yang terlibat secara tak langsung. Yang bertambah geram tu bila ada satu hari (Khamis) saya tak bawa barang saya tu sebab pembantu saya bawa balik ke kampus pada hari seeblumnya (Rabu). Dia tak dapat datang hari Khamis sebab ada kelas jadi tak adalah orang nak tolong saya angkut barang saya yang berat tu (kalau perempuan yang ala2 perempuan melayu terakhir memang tak boleh angkat). Tapi ketua urusetia tu kata saya ni macam tak bagi komitmen. Perghhh...rasa macam dihiris2 hati saya masa tu. Tak cukup lagikah komitmen saya yang saban hari tercegat dari pagi sampai petang kat tempat pameran yang tak ada orang tu??? Nak saja suruh dia angkatkan barang saya tu setiap hari biar dia rasa sebelum dia berkata2.


Itulah serba sedikit kelemahan yang saya dapat kenalpasti. Bukan saja cari tapi memang terserlah di depan mata sesiapa pun. Kelemehan bukan untuk dikeji tapi untuk diperbaiki. Hari yang terakhir (Ahad), kami diberi cenderamata berupa beg sandang tepi dan sebuah mug convex'09. Yang ada pun cuma saya, dan 3 orang peserta daripada 8 orang semuanya. Yang lain tu dah cabut balik dari semalam lagi. Penat saja saya datang memandu kereta dari Sungai Petani ke Pulau Pinang (Kampus induk) selama satu jam. Kalau tahu awal2 lagi saya tak datang. Tapi, apa pun kelemahan dan kesusahan yang tersirat dan tersurat sepanjang berada di pameran convex tu, ada juga pengalaman dan ilmu yang saya dapat timba daripada pertanyaan dan kunjungan beberapa orang ke booth pameran saya yang tak seberapa tu. Dapat kawan baru dan dapat mempelajari penyelidikan2 orang lain. Yang penting dapat sijil penyertaan..hehe...


Lupakan pasal pameran tu. Saya nak ucapkan selamat berkonvo dan bergelar graduan secara rasminya buat Mufidah, Safurah, Zalifah, Zarina, Juwariah, Azimah dan Hafizah dan juga buat adik2 seangkatan dan seper'J'uangan. Selamat meneruskan kehidupan kamu yang seterusnya...


Bila tengok orang pakai jubah konvo rasa tak sabar2 nak habiskan MSc ni. InsyaAllah semoga tahun depan saya dapat pakai jubah ungu ala2 jubah Harry Potter tu.




PERGI TAK KEMBALI

Pagi 13 Ogos 2009 saya dikejutkan dengan satu berita kematian Ust Asri Ibrahim iaitu seorang penyanyi nasyid dan juga pendakwah yang terkenal di seluruh Malaysia pada jam 11 pagi. Kiriman SMS daripada sahabat saya dari Kuala Lumpur semasa saya sibuk menjaga tempat pameran di USM Minden sempena konvokesyen. Malam itu saya mengharapkan ada berita mahupun belasungkawa buat allahyarham disiarkan di TV namun tiada. Mungkin kerana dia tidak sehebat Yasmin Ahmad...Pemergiannya kemudian telah dapat saya sahkan bila mendengar radio IKIM.fm yang menyiarkan lagu2 nasyid nyanyian sepanjang hari dengan ucapan takziah yang tidak putus2 ditujukan kepada keluarga allahyarham. Keesokkannya barulah cerita tentang pemergiannya dipaparkan di muka hadapan sebuah akhbar tempatan beserta cerita2 yang panjang lebar mengenainya.
Saya tidak mengenalinya begitu rapat kerana saya hanyalah peminat biasa pada lagu2 dendangan kumpulan Rabbani. Saya membesar dengan lagu2 yang dialunkan oleh suaranya yang tiada ganti. Walaupun begitu, saya dapat juga merasai kehilangannya yang begitu sinonim dengan Rabbani. Apatah lagi mereka yang rapat lebih2 lagi anak2 dan isterinya. Seorang lagi permata nasyid hilang mengikuti allahyarham Zairi (kumpulan Raihan) dan Salleh (kumpulan Hijjaz). Akhirnya dia pergi tak kembali....
Al fatihah buat Ustaz Asri Ibrahim...semoga rohnya dicucuri rahmat...

Wednesday, August 5, 2009

KEJAMNYA INSAN BERNAMA MANUSIA

Kes H1N1 masih belum menunjukkan tanda2 untuk berkurangan. Hari ini seorang lagi menjadi mangsa korban penyakit berbahaya itu iaitu seorang kanak2 berusia 3 tahun. Apabila ditilik2 isu ini hati kecil saya tertanya2 bilakah virus ini akan reda? Tapi apabila membaca akhbar harian pagi ini, jawapannya sudah saya temui. Selagi mana tangan2 manusia kerap kali membuat onar di atas muka bumi ni, selagi itulah penyakit akan datang silih berganti. Mungkin H1N1 ini akan pergi namun penyakit lain pula akan menjadi ganti. Atau penyakit ini akan terus mengejar manusia sampai bila2.


Sedih hati saya apabila terbaca tajuk satu berita di Kosmo sebentar tadi, "Bayi hancur dimakan biawak". Bayi malang tersebut dibungkus dalam plastik membuatkan orang ramai yang lalu-lalang di kawasan bayi itu dibuang sangkakan mungkin bangkai ayam atau itik yang dibuang. Tapi apabila seekor biawak menyelongkar plastik berkenaan, beberapa orang yang melihatnya terkejut apabila ternampak bangkai yang dimakan oleh biawak itu sebenarnya mayat seorang bayi. Ketika pihak polis tiba, apa yang tinggal hanyalah kepala dan tangan kanan bayi malang itu saja yang tinggal. Anggota lainnya dah hancur dimakan oleh biawak.


Kejamnya insan yang bernama manusia. Mungkin biawak itu dihantar oleh Allah SWT untuk membuka rahsia yang cuba disembunyikan oleh orang2 yang tidak berperikemanusiaan. Dan bayi itu bukanlah yang pertama menerima nasib malang sebegitu. Ramai lagi rakan yang seangkatan yang menjadi korban di tangan orang yang patut mereka panggil ibu, mama, mak, ayah, bapa, abah apabila mereka besar nanti. bayi2 ini pula dihukum atas kesalahan ibu bapa mereka yang tak mengenal dosa dan pahala. Bila hukum Allah diperlekeh dan dipinggir, inilah natijah yang perlu kita hadapi. Entah sampai bila bayi2 seperti ini akan ditamatkan riwayat hidup mereka di tong2 sampah, longkang2, menjadi makanan haiwan2 yang berkeliaran. Kalau ikut hati saya, patut bunuh saja mereka yang tak berhati perut ni. Sebat mereka sepuas2 hati. Semoga menerima pembalasan yang setimpalnya daripada Allah SWT. Hukuman di dunia mungkin boleh lepas tapi hukuman di akhirat takkan boleh lari ke mana.


Itu hanya satu kes daripada beribu2 kes pembuangan bayi yang dipaparkan di media. Manusia sekarang seolah2 dah hilang akal. Itulah akibatnya bila jauh daripada agama. Sedihnya bila mereka yang terlibat dalam kes2 anak luar nikah ni ramai Melayu Islam yang Islam pada nama saja. Tapi hanyut dengan nafsu. Tengok sajalah yang selalu berpeleseran di kompleks membeli-belah, merempit. Ramai yang sawa matang kulitnya. Sendiri mau ingatlaaa...Semalam saya sempat menonton Wanita Hari Ini (WHI) yang membincangkan isu "gugur janin kerana cinta". Saya tak terkejut walaupun antara panel yang hadir adalah 2 orang bekas pelajar IPT yang pernah terjerumus dalam kancah negatif ini berkongsi pengalaman.


Bila sebut IPT, di tempat saya pun banyak saya dengar cerita2 macam ni cuma tak dihebohkan sangat. Ada yang sampai ada anak, yang buat aksi ringan2 dan yang buat aksi melampau dan dirakam pun ada. Tak kurang juga lah aktiviti2 yang dijalankan oleh pihak yang berkenaan untuk menghindarkan orang2 muda ni daripada terlibat dengan hal2 zina ni. Tapi yang sertainya bukan golongan2 yang nak disedarkan ni. Jadi, tak tercapai jugalah matlamat aktiviti tersebut. Tapi itu lebih baik daripada tak berbuat apa2 langsung. Sayangnya bila ilmu yang ada tak boleh nak bezakan yangbaik dengan yang buruk. Kalau yang terlibat tu orang2 yang tak pergi sekolah ke tak apalah juga. Tapi kalau yang masuk IPT pun lebih kurang sama perangainya, agaknya kena belajar agama dari mulalah kot. Kesian pada ibu bapa yang mengharapkan segulung ijazah daripada anak2 tapi yang diberikan oleh anak nanti seorang cucu. Bila ditegur dan diingatkan mulalah nak menunjukkan kedewasaan mereka tapi bila dah terjerumus dalam masalah macam tu ibu bapa juga yang kena tanggung masalah tu.


Ha kan dah panjang bebelan saya. Biarlah orang nak kata saya membebel hari ni sebab itulah hakikat yang berlaku di kalangan orang Melayu Islam kita hari ini. Harap2 kalau ada mereka2 yang terlibat baca bebelan saya ni insaf tu datang pada diri mereka. Sesungguhnya kesedaran itu datang daripada Allah cuma bebelan saya ni sebagai asbab saja. Kawan2 yang saya kenal pun ada juga terlibat tapi saya tak ada kekuatan untuk tegur secara langsung. Selemah2 iman tu kan tegur di dalam hati. Semoga kawan2 saya tu menerima hidayah daripada Allah SWT. Mungkin saya dan suami terselamat daripada ujian sebegini hari ini tapi anak2 kami nanti belum tentu lagi. Bak kata lagu Raihan, iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. Anak ustaz, tok guru sekalipun tak terlepas dari ujian nafsu ni apatah lagi orang2 biasa yang kurang pengetahuan dan pengamalan agama. Doa saya semoga dijauhkan dugaan seperti ini daripada hidup kami.


Bila penyakit seperti H1N1 ni datang sepatutnya kita lebih bermuhasabah untuk lebih memperbaiki diri sebgai kifarah dosa kita. Kita sepatutnya lebih dekat dengan Tuhan dan agama. Kepada yang dah terlibat segeralah bertaubat kerana pintu taubat itu terbuka seluas2nya. Selagi mana kita tidak mensyirikkan Allah selagi itulah Allah akan menerima taubat kita. Pilihlah kawan2 yang dapat membantu kita membuat kebaikan bukan membuat kejahatan. Kalau diri sendiri tak nak insaf, tak ada siapa yang boleh tolong insafkan kita. Yang baik itu daripada Allah, dan yang buruk itu daripada kelemahan saya yang tak lepas daripada kesalahan dan kesilapan.

Sunday, August 2, 2009

RELA ATAU TERPAKSA???

Alhamdulillah 'ala kulli hal...Ujian yang baik mahupun buruk buat kita pasti tersimpan sesuatu yang bermanfaat disebaliknya. Allah tidak memberi apa yang kita minta tetapi Dia selalu memberi apa yang kita perlukan. Cuma kita saja yang tidak menyedari segala kurniaanNya buat kita. Jadi, samada ujian yang datang itu baik atau buruk, sentiasalah mengucapkan syukur padaNya. Manalah tahu ujian yang baik itu tanda ganjaran buat kita yang sentiasa patuh pada perintahNya dan ujian yang buruk itu tanda kita perlu kembali berpegang kepada segala suruhanNya.


Hari ni dah masuk hari kelima USM ditutup sebab penangan H1N1. Sebelum pulang pada hari Rabu itu, saya ingat sempat nak mencoretkan kesimpulan kes kami ni tapi sebab dah lewat petang sangat jadi, terpaksa ditangguhkan kesimpulannya. Petang itu pun mujurlah saya sempat membuat ujian saringan kesihatan sebagai bukti untuk ditunjukkan kepada pakcik guard supaya saya boleh keluar dari kampus. Ujian yang dilakukan cuma mengambil bacaan suhu saja tapi beraturnya punyalah nalla panjang...Tapi waktu saya nak jalankan ujian tu barisan dah semakin kurang. Suhu badan saya yang direkodkan oleh termometer ialah 36.7 degree C. Maksudnya saya betul2 sihat. Alhamdulillah walaupun rasa seram sejuk juga sebab rasa gementar juga nak periksa suhu badan. Al kisahnya, bagi sesiapa yang datang ke kampus terutamanya staf2 dan postgraduate2 selama beberapa hari ni, ujian saringan perlu dijalankan sebelum pulang. Sebabnya kalau suhu 38 dan ke atas, secara automatik akan dikuarantin terus di Pusat Kesihatan USM. Orang luar tidak dibenarkan masuk sama sekali kecuali ada sebab yang kukuh untuk masuk. Kalau setakat datang nak berjoging atau main badminton, silalah faham untuk melupakan saja niat itu.


Entah bagaimana keadaan kampus sekarang ini yang sunyi sepi seolah2 cuti semester datang kembali. Yang kedengaran mungkin hiruk-pikuk staf2 dan pelajar2 postgraduate yang terpaksa ataupun rela bekerja seperti biasa. Tapi pada pandangan mata kasar saya, ramai yang terpaksa daripada yang rela. Saya pun agak musykil dengan perkataan 'tutup' itu, sedangkan yang ditutup seratus peratus hanya kuliah2, tutorial2 dan makmal2 bagi pelajar undergraduate tetapi bukan untuk semua warga kampus. Terdengar juga ngomelan di sana sini yang mempersoalkan kenapa istilah tutup itu tidak membawa maksud tiada langsung aktiviti pelajar mahupun staf di institusi yang dilabel 'tutup' itu walaupun hanya seminggu. Hanya yang berada di atas saja yang tahu...


Rata2 warga kampus gusar dan khuatir dengan risiko yang mereka terpaksa hadapi saban hari mengelak virus berbahaya yang mungkin sedang bertebaran dengan galaknya di kawasan kampus. Kalau boleh nampak bolehlah kita mengelak daripada terkena. Sebagai langkah berjaga2 dan keselamatan, ramailah pelajar2 postgraduate yang men'cuti'kan diri dengan kebenaran penyelia masing2. Siapa lah nak duduk di tempat yang boleh menyebabkan dirinya terancam? Saya pun tak terkecuali menghilangkan diri dari kawasan kampus buat seketika. Buat mereka yang masih berada di kampus samada terpaksa ataupun rela semoga sentiasa dilindungi daripada penyakit berbahaya itu. Tapi bila kampus dah dibuka semula pun, kebarangkalian virus tu masih berlegar2 di kampus mencari mangsa tetap ada. Sikit atau banyak peratusannya hanya Allah saja yang tahu. Itulah kesimpulan yang boleh diungkapkan bagi menjawab huru-hara yang berlaku sejak beberapa hari ini. Pendek kata, USM ditutup (untuk pelajar undergraduate saja). Yang lain2 kerja macam biasa. Ada juga yang lebih pentingkan kerja daripada keselamatan diri sendiri.


Tukar topik bicara. Hari ni juga dah masuk hari keempat saya menetap di rumah sewa baru di Sungai Petani. Rasa tenang sikit sebab suami saya tak perlu lagi susah2 berulang jauh2 ke tempat kerjanya. Dari rumah sewa baru kami ini, suami saya hanya mengambil masa kira2 lima minit untuk sampai ke pejabatnya menaiki motosikal. Sebelum ini masa yang diambil hampir satu jam lebih. Tak perlu lagi risau dengan kos perjalanan, minyak motor, tayar motor pancit di tengah jalan dan sebagainya. Setiap hari suami saya pulang makan tengahari di rumah kalau tiada apa2 halangan kerja. Jadi, bolehlah saya polish kemahiran memasak saya ni. Teori masak memang terer tapi praktikalnya??? Dapatlah berjimat cermat. Maklumlah, bila dah berkeluarga ni kena banyak menyimpan daripada berbelanja. Belanja pun ikut keperluan saja jangan melebih2. Ikut perancangan kalau boleh saya nak cari kerja di kawasan sekitar Sungai Petani ni dulu sambil2 saya nak habis master ni. Tak kisahlah sambilan sekalipun asalkan ada kerja.


Sehubungan dengan itu, saya perlu melipat gandakan lagi usaha untuk menghabiskan tesis saya yang masih banyak ni. Banyak sungguh cabaran nak menyiapkan tesis ni. Kadang2 rasa macam dah putus asa...kritikal juga ni. Bertambah stress bila kena tambah lagi eksperimen semata2 nak menepati piawaian master tu. Inilah yang dikatakan susah2 dahulu, senang2 kemudian. Harap2nya begitulah kesudahan master saya ni. Buat masa ni, jangan disebut soal nak sambung Phd kerana itu bakal meletupkan kepala saya untuk berfikir. Bulan ni memang saya sangat sibuuuukkkkkkkkkkk. Bukan nak taip tesis saja, kena terlibat pula dalam pameran sempena konvokesyen USM minggu depan. Satu hal lagi yang menambah stress saya. Ayat yang sentiasa penyelia saya guna bila ada konferens2 atau pameran2 yang saya kena pergi tanpa bantahan, "..nanti bila nak minta kerja , boleh masukkan dalam resume...senang dapat kerja kalau nak kerja pensyarah". tak jadilah nak tolak kan. Redha dan ready sajalah.


Yang pasti, stress yang banyak2 ni akan hilang bila melihat wajah suami dan anak.....alhamdulillahhh. Sayang Ziyad...sayang abi Ziyad...hehehe





Wednesday, July 29, 2009

SUSAH LAGI MENYUSAHKAN

Berita terkini yang baru saja saya dapat sebentar tadi. Maklumat daripada sumber2 yang memang tersangatlah boleh dipercayai. Kata sumber tersebut, sesiapa yang dah masuk kampus tak boleh keluar. Kalau nak keluar kena buat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu. Konon2nya bukti yang sesiapa yang nak keluar dari kampus ni memang betul2 sihat.


Tiba2 saya rasa bengang sikit. Apasal lah tak beritahu awal2 kalau tak memang saya tak datang kampus hari ni. Sudahlah nak buat pemeriksaan tu kena beratur panjangggggggg gilaaaaaa. Kalau boleh nak panjangkan lagi huruf gggg tu sampai habis page untuk menggambarkan betapa panjangnya barisan yang nak buat pemeriksaan kesihatan seolah2 ada Jom Heboh pulak kat kampus ni. Tak baliklah kami2 yang tinggal kat luar kampus ni kot kalau barisan pemeriksaan tu tak berkurang juga petang ni. Bayangkan yang nak balik semua pelajar USM Kampus Kejuruteraan yang beribu2. Tak tambah tolak darab staf2 lagi yang nak balik nanti. Such a nightmare. Macam mana anak dan suami saya kat rumah nanti???...Eeeeeee geram2


Rasa macam dalam filem Hollywood pulak. Tak tahulah apa kesudahan episod yang menyerabutkan kepala saya ni memikirkan hal tesis lagi, anak kat rumah lagi, kesihatan yang terancam lagi. Dah hilang dah fokus saya hari ni. Sampai ke tahap ni pun takkan nak fikir pasal kerja lagi kot. Lepaskanlah kami pulang wahai pihak yang berkenaan......


Lindungilah kami daripada penyakit2 yang berbahaya ni...amiiiiinnn

BILA H1N1 DATANG MENYERANG???

Innalillahi wa inna ilaihi raji'un....Semoga kita dilindungi oleh Allah SWT daripada penyakit2 yang berbahaya...


Selepas satu demi satu IPTA dan IPTS ditutup saban hari, tibalah giliran USM Kampus Kejuruteraan pula diserang wabak H1N1 ni. Mengikut notis2 yang ditampal di dinding pusat pengajian, semua kuliah, tutorial dan makmal ditutup bermula hari ini (29/7/09) hingga 5/8/09. Semua pelajar diarahkan mengosongkan desasiswa selewat2nya esok. Sebelum pulang, semua pelajar wajib menjalani pemeriksaan kesihatan.


Begitulah hebatnya penangan H1N1 bila ia datang menyerang. Dalam sekelip mata, segalanya berubah di kampus ni. Tapi yang agak kelakar dan musykilnya, yang disuruh pulang hanya pelajar2 undergraduate. Pelajar2 ijazah tinggi masih perlu menghadirkan diri di kampus seperti biasa. Cuma langkah berjaga2 diambil segera dengan memastikan semua pelajar yang ada di kampus ini memakai penutup muka termasuklah saya yang terpaksa meredah kegawatan di sini dek kerana appointment dengan penyelia pasal tesis saya. Nasib badannn...


Khabarnya, pesakit pertama yang disyaki mengidap penyakit ini adalah salah seorang pelajar tahun akhir di pusat pengajian saya ni yang berbangsa Melayu. Semoga Allah menyembuhkan dia daripada menjadi lebih kronik. Bila seorang dah kena, mulalah penyakit tu merebak2 satu kampus. Persoalannya, kenapa tak ditutup saja kampus ni? Bayangkan peratusan dan kebarangkalian yang saya dan rakan2 lain turut dijangkiti bukankah lebih tinggi terutamanya di pusat pengajian kejuruteraan kimia ni. Salah satu sebabnya kita mungkin terdedah dengan si pembawa tanpa kita sedari setiap hari. Kita mungkin seringkali berselisih dengannya di mana2 laluan, berbual dengannya atau makan dengannya.


Bukan salah si pembawa kerana dia juga mungkin tidak menyangka yang dia dijangiti virus tersebut. Cumanya pihak yang berkenaan perlu segera mengawal keadaan yang semakin gawat disebabkan penularan penyakit tersebut. Sepatutnya hal sebegini perlu diwarwarkan kepada semua pihak samada staf mahupun pelajar. Jangan hanya heboh di peringkat atasan tapi diam di peringkat bawahan. Bila dah mencecah puluhan ataupun ratusan orang yang dijangkiti barulah nak ambil keputusan untuk tutup,kuarantin dan sebagainya.


Itulah yang saya dengar berlaku di salah sebuah IPT tempatan. Bila ratusan pelajar dah dijangkiti barulah keluar pengumuman untuk tutup IPT berkenaan selama seminggu. Pengumuman tu pula dibuat last minute sampai pelajar2 berebut2 nak balik rumah masing2. Harga tiket dan tambang teksi ke mana2 destinasi sampai mencecah dua kali ganda harga asal. Ada pula yang sengaja ambil kesempatan di atas kekalutan yang berlaku. Bukannya nak insaf....Bukankah sepatutnya bila seorang dah disyaki mengidap penyakit tersebut, tutup sajalah tempat berkenaan daripada dikunjungi oleh sesiapa. Taklah penyakit tu merebak dengan gilanya. Kenapa nak tunggu ramai dulu baru kelam kabut nak tutup.


Untuk tempat saya ni, tak tahulah macam mana keputusannya sebab kami pelajar2 ijazah tinggi ni masih menunggu keputusan dan pemgumuman daripada dekan. Kalau tutup buat sementara waktu baguslah tapi kalau tak tutup terpaksalah kami berdepan dengan virus2 yang mungkin berterbangan di kawasan kampus ni. Siapa tahu...bukannya boleh nampak dengan mata kasar kan.


Jadi, langkah berjaga2 kenalah lebih diperketatkan lagi. Tiada lagi kunjungan ke pasar malam mahupun tempat2 yang ramai orang, kurangkan makan buah2an tempatan sebab makan banyak2 nanti demam tak pasal2 orang syak kita kena H1N1 pula, tak payahlah pergi ke luar negara memandangkan penyakit tu dah semakin banyak menyerang negara2 luar ni. Tangguhkan dulu apa2 aktiviti di luar negara tu sampai penyakit dah breda. Taklah bawa risiko pada orang yang tak pergi ke luar negara. Yang kena kuarantin tu duduklah kat tempat kuarantin tu senyap2. Jangan berjalan2 ke sana sini. Tak pasal2 berjangkit kat orang lain.


Itulah sedikit sebanyak pengalaman dan peristiwa yang berlaku di kampus ni. Yang di luar kampus tak semestinya selamat juga kan. Berdoalah semoga kita dihindari daripada penyakit ini. Kepada Allah kita kembali bertawakal.


Bila IPT yang banyak ditutup akibat H1N1 ni, tertanya2lah juga..apa yang pelajar2 IPT ni buat sampai ramai kena H1N1????

Syafakumullah...Allahu taala a'lam...

Wednesday, July 8, 2009

MINGGU DEMAM, SELSEMA, BATUK...SEDUNIA

Alhamdulillah, syukur yang teramat sangat pada Yang Maha Esa atas segala nikmat dan ujian yang diberikanNya kepada saya dan keluarga.


Sejak akhir2 ni semakin kritikal pula isu selsema b**i ni sampai dah ada sekolah2 ditutup. Akkhbar semalam menyatakan 75 lagi kes baru positif H1N1 dikesan. Mungkinkah nanti kita kena keluar rumah dengan memakai penutup hidung macam yang saya selalu pakai kat makmal masa buat eksperimen? Sehubungan dengan itu, suami saya pun dah mula mengeluarkan perintah berkurung kepada saya dan dia juga supaya tidak lagi ke pasar2 malam mahupun tempat2 yang ramai2 orang. Manalah tahu salah seorang di kalangan yang ramai2 tu pembawa virus berkenaan. Langkah berjaga2 kata orang.


Minggu ni adalah minggu demam, selsema, batuk dan sakit tekak buat saya. Harap2 saya dijauhkan daripada penyakit berbahaya itu walaupun simptom2nya lebih kurang sama. Yang bezanya saya tak susah bernafas dan tak sakit2 sendi sebab walaupun tak boleh bernafas dengan hidung akibat hidung tersumbat tapi masih boleh bernafas dengan mulut. Suami saya pun dok sibuk2 ajak saya pergi periksa kat klinik. Risau lah juga. Al maklumlah kat kampus USM boleh tahan ramai jugalah pelajar asing. Manalah tahu ada antara mereka tu baru balik dari luar negara ke kan? Langkah berjaga2 lagi. Tapi saya ni tak 'mesra doktor'. Tersangatlah malas nak pergi klinik2 ni. Minum panadol soluble je dah cukup kot. Sekarang ni pun dah rasa beransur2 pulih sedikit walaupun selsema tu masih ada.


Saya pun risau juga nak pergi ke kampus dengan keadaan macam ni. Buatnya orang suspek saya ni kena penyakit tu tak pasal2 kena pulau satu USM nanti. Ini idea nak ambil MC je sebenarnya....Harap2 suami dan anak saya taklah dijangkiti virus2 yang saya bawa ni. Maklumlah, merekalah yang selalu ada di sisi saya sepanjang saya sakit ni. Tutup bab sakit2 ni. Lagi banyak cerita pasal sakit lagi takut dan risau dibuatnya.


Bermula bulan Julai ni saya sepatutnya dah mula taip tesis saya memandangkan saya sepatutnya hantar draf tesis untuk Chapter 1, 2, 3 dan Table of content pada penyelia akhir bulan ni. Tapi bila dah sakit rasa malas lah pula nak menaip. Nak berfikir jadi bertambah serabut kepala ni. Alasanlah tu nak curi tulang. Kalau suami merangkap penyelia peribadi kat rumah ni tahu pasal kemalasan saya yang mencapai tahap ultraman tiga ni tak pasal2 kena dengar ceramah percuma berkenaan fokus dan matlamat. Tapi bagus juga sesekali dengar slot ceramah daripada suami yang kadang2 penyenyap dan kadang2 banyak cakap ni. Saya ni kalau tak diketuk2 tak bergerak lah jawabnya. Terima kasih abang atas segala pengorbanan, kesabaran dan nasihat yang tak putus2 abang berikan buat isteri abang ni. Terima kasih juga buat Ziyad sebab masa2 ibu nak buat kerja mulalah merengek2 manja.


Tutup kes pasal isu malas yang tak sudah2 ni. Setakat ini lah dulu bebelan saya buat tatapan sesiapa yang membaca. Harapan saya semoga saya dapat menyelesaikan tesis saya dengan sukses dan berjaya bergelar graduan Ijazah Sarjana tahun depan. Amiiiiiiinnn.........ya rabbal 'alamin.

Wednesday, July 1, 2009

PERANCANGAN YANG HANCUSSSS

Al kisah nak dijadikan cerita buat menghalau rasa buntu yang menyerang kepala saya hari ni. Setelah ditilik2 dan ditenung kalendar dan planner yang sudah lunyai dek kerana asyik dibelek2 setiap masa dan setiap ketika, maka saya pun mengambil keputusan untuk melanjutkan lagi seminggu iaitu minggu ini untuk menghabiskan keseluruhan projek saya ni yang saya jadualkan habis bulan Jun ni.


Dah berkobar2 dah semangat ni bila Isnin (29/6/09) menjelang tiba. Konon2nya nak habiskan lah sisa kerja yang masih ada. Alih2 En. A kata saya kena rehat 2 hari sebab laptop yang saya selalu guna semasa run satu equipment ni dah diambil oleh Cik Technician sorang lagi iaitu Cik B. Kata En. Technician tu lagi, Cik B ni nak guna. Hampalah jiwa saya seketika. Semangat yang berkobar2 sebentar tadi terus padam macam air disimbah api. Isnin berlalu tanpa apa2 kemajuan.


Dengan itu, saya pun tukar plan. Esoknya (Selasa) nak buatlah eksperimen yang lain pula memandangkan eksperimen yang satu ni tak dapat dijalankan lagi sebab tak ada laptop. Berjumpalah saya dengan En. C pulak. Sekali lagi hampa bila dia kata dia tak leh nak prepare equipment yang saya nak guna tu sebab tak sempat. Kalau nak guna equipment tu, dia kena start pukul 9 pagi nak run equipment tu dulu. tambahan pula, chemical stuff yang digunakan bersama equipment tu semuanya dah masuk stor sebab pihak DOSH datang buat spotcheck Isnin tu. Nak dijadikan pemanjang cerita, pagi Selasa tu juga semua staf kat PPK Kimia menghadiri program suai kenal pelajar2 baru. Pukul 10 lebih baru berjaya jumpa En.Technician tu. Macam mana nak sempat. Jadi, dia kata datang jumpa dia esok (Rabu) iaitu hari ni lah. Hari Selasa berlalu begitu saja.


Rabu datang menjelma. Pagi2 lagi saya pergi jumpa Cik B untuk tanya samada dia masih guna laptop itu atau tidak. Cari dia kat bilik tapi tak ada. Rupa2nya ada kat opis. Saya pun ajukanlah soalan yang dah bersarang dalam tekak saya ni. Dia nak guna sampai Khamis. Jumaat baru boleh saya guna. Huhuhu..Tetapi setelah saya membuat muka sekupang jadi, Cik B bagilah saya guna laptop tu Khamis ni iaitu esoklah. Selesai satu kes. Kemudian, saya pun berlari2 anak mencari En. C. Nasib baik tak bawa anak kalau tidak berlari2 dengan anak sekali. Pergi lah saya ke makmal yang berkenaan iaitu tempat En.C selalu bertapa, kelibatnya pula tak kelihatan. Aduh....Alih2 jumpa dia kat opis juga. Apasal semua technician asyik kat opis jer ni.


Saya pun kemukakan soalan yang sama saya kemukakan semalam semasa berjumpa dengan dia. Boleh pula dia kata hari ni tak boleh sebab dia ada urusan seri paduka baginda...Aisehhh. Esok baru boleh, katanya lagi. Oh, cobaan......Dah lah bila masuk opis tu, 2 orang staf tu dok bagi komen pasal kot makmal saya yang boleh menerima anugerah kot makmal paling cantik di seluruh pelusuk USM. Bukan setakat staf tu je yang komen, pensyarah2 yang berselisih dengan saya pun ada yang kata saya ni macam kontraktor. Makcik cleaner siap kata saya ni nak pergi menoreh. Sabar aje lah. Ingat rancangan Akademi Kot Makmal ker nak komen lebih2...hhehe...Emosi pulak. Saya terima jer komen2 tu dengan senyuman. Gurau2 saja kan...Rabu bakal pergi dengan penuh kehampaan di jiwa dan sanubari saya ni.


Esok masih belum pasti.............


Nak saja saya niatkan untuk buang kot makmal saya yang tersangat cantik tu ke dalam tong sampah bila semuanya dah selesai nanti. Tapi kena minta izin tuan punya asal kot makmal ni lah dulu iaitu suami saya. Manalah tahu suami saya nak bingkaikan kot makmal ni buat tatapan anak2 cucu2 kami suatu hari nanti. Nak bagitau yang kot inilah yang nenek kamu pakai masa buat master dulu2...keh3.


Mudah2an saya berjaya menyelesaikan sisa2 kerja yang masih ada ini dalam 2 hari yang masih berbaki untuk minggu ini. Dah tak larat nak fikir pasal makmal2 ni dah. InsyaAllah....semoga dipermudahkan segala urusan

Allahumma yassir wa la tu'assir ya karimm....