Thursday, October 22, 2009

AULAD SOLEH ATAU ULAT TOLEH

Bidalan orang-orang dahulu,"Memelihara sekandang lembu lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan". Mudahnya kerana biarpun sekandang lembu tetapi lembu tidak perlu dididik, diasuh, dinasihat dan sebagainya. Seekor lembu hanya tahu makan, berak dan tidur. Tak kurang juga manusia yang fi'il mereka sebegitu. Kita pun tak pernah dengar lembu rempit, lembu bohsia, anak lembu luar nikah dan istilah-istilah yang sama waktu dengannya. Tapi manusia yang Allah kurniakan akal fikiran lebih teruk perangainya daripada seekor lembu yang tidak berakal. Tak hairanlah kalau seorang penternak lembu lebih berjaya menternak lembu-lembunya daripada mendidik anak-anaknya (tidak bersangkut dengan sesiapa).


Seorang anak itu dilahirkan dalam keadaan suci seperti kain putih. Ibu bapanyalah yang bertanggungjawab mencorakkan anak mereka samada ke arah baik atau buruk. Kebanyakkan kita mungkin sudah sinonim dengan ayat-ayat tersebut. Tapi fahamkah kita dari segi perlaksanaannya? Seharusnya saya yang terlebih dahulu menjawab soalan itu kerana saya juga seorang ibu. Beberapa kali terlintas di fikiran akan kata-kata seorang naqibah saya dulu,"kalau nak tengok macam mana perangai dan tingkah laku anak-anak kita nanti, lihatlah perangai kita beberapa tahun sebelum kita kahwin". Andai dulu saya ni buruk tingkah laku apakah anak-anak saya nanti begitu juga? Doa saya semoga anak-anak kami nanti menjadi generasi yang lebih baik daripada saya dan suami.


Kagum saya melihat ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Anda kenal adik Muhammad Ahmad Zaid, hafiz termuda di Malaysia yang selalu ada dalam rancangan Mari Bertarannum? Rasanya ramai yang lebih kenal Zahid Akademi Fantasia. Rata-rata anak-anak sebayanya lebih senang memilih kerjaya sebagai doktor, jurutera malah tak kurang juga yang nak jadi penyanyi, pelakon (contohnya rancangan Idola Kecil) tapi ketika ditanya kepada adik Muhammad ni tentang cita-citanya bila dah besar nanti, jawapannya "saya nak jadi ulama'". Tersentuh hati saya. Tak ada lagi saya dengar orang yang nak jadi ulama', inikan pula dari mulut seorang anak kecil. Semoga dia berjaya mencapai cita-citanya dan menjadi permata agama yang dapat membantu memurnikan lagi Islam suatu hari nanti. Menjadi ulama' yang berpegang kepada kekuasaan Tuhannya bukan berpegang kepada kekuasaan pemimpin semata-mata.


Bukan senang memikul amanah sebagai seorang ibu dan bapa. Bukan semudah mengajar anak merangkak, berjalan, berlari. Bukan semudah kita mengajar mereka membaca A,B,C tapi lebih daripada itu. Imam Malik r.h. mendidik anaknya selama 40 tahun iaitu bermula dari pemilihan isteri yang baik-baik menjadi ibu kepada anaknya sehinggalah kepada makan minum anak tersebut. Ayah kepada Syeikh Kadir Jailani pernah suatu ketika memasukkan jarinya ke mulut Syeikh Kadir Jailani supaya anaknya itu memuntahkan kembali susu yang diminumnya kerana susu tersebut datang bukan dari isterinya. Kadang-kadang apabila Syeikh Kadir Jailani terlupa akan sesuatu ayahnya berkata, "mungkin itu kesan daripada sisa-sisa susu yang diminumnya dahulu".


Begitulah teliti dan cermatnya golongan tabi'in dulu memelihara keluarga mereka dari hal yang seremeh-remehnya hinggalah hal yang sebesar-besarnya. Kita sekarang mungkin tak ambil kisah sumber makanan dan minuman anak kita. Apakah makanan dan minuman mereka itu halal, haram ataupun syubhah? Mungkin keruntuhan akhlak muda-mudi sekarang berpunca daripada sumber makanan dan minuman mereka. Bila seorang anak itu malas sembahyang, tak berpuasa, tak hormat orang tua, cuba selidik semula carta aliran sumber makanan dan minumannya. Mana tahu kot-kot tersasar di mana-mana. Bila sebut halal, haram yang kita bayangkan mungkin babi, arak dan sebagainya tetapi kita pastikah yang sebungkus keropok Mister Potato tu tak menyumbang kepada hiruk-pikuk akhlak anak kita? Memang ada cap halal tapi yang membuat keropok tu bukannya nama Ahmad, Abu atau Ali tapi Ah Seng, Ah Kau (nama sekadar hiasan). Boleh yakin seratus peratus ker cap halal tu? Nampak kecil tapi kesannya boleh tahan sampai bertahun-tahun pada diri kita dan anak-anak.

Bukan sekadar menjaga sumber makanan dan minuman saja. Sumber rezeki pun kena jaga juga sebagai contoh kalau ambil rasuah, curi duit atau harta bukan milik kita dan sebagainya. Lihatlah kesannya nanti pada anak-anak kita. Malas sembahyang, tak tutup aurat dan culas dalam ibadah-ibadah lainnya. Bukan itu saja, akhlak kita sebagai ibubapa pun kena diperhalusi lagi. Ibubapa merupakan teladan dan contoh yang paling dekat untuk anak ikut. Kalau tidak takkanlah ada pepatah, 'kalau ayah kencing berdiri, anak kencing berlari' dan 'mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi'. Kalau ibubapa pun tak sembahyang, tak tutup aurat dengan sempurna, tak puasa penuh, dan lain-lain lagi ibadah yang tak nak buat, rasa-rasa anak-anak nanti macam mana yer? Sama atau pun lagi hebat. Tak hairanlah anak-anak muda sekarang ramai yang berzina, minum arak dan sebagainya sebabnya mereka ni tak didekatkan dengan Allah dalam erti kata lainnya tak sembahyang. Sebabnya juga ibubapa mereka tak pernah ajar mereka sembahyang dan yang teruknya ibubapa mereka pun tak sembahyang.

Ibu saya pernah menampar seorang pelajar lelakinya yang mencium seorang pelajar perempuan di kawasan sekolah. Kata si pelajar lelaki tu,"ustazah tahu tak, mak dan ayah saya pun tak pernah tampar saya". Mahu saja ibu saya tangan-tangankan lagi budak lelaki yang baru berumur belasan tahun itu. Tak tahu hormat orang tua apatah lagi seorang guru yang mendidiknya. Bila disiasat latar belakang keluarga pelajar terbabit, rupa-rupanya ayahnya itu bekerja dengan ah long. Ayahnya selalu berpesan kepada anaknya jangan sesekali memberitahu si ayah yang dia kalah dalam sebarang pergaduhan. Begitulah kira-kiranya cerita ibu saya. Betullah ibubapa itu contoh kepada anak-anak. Sayangnya bila contoh yang tidak baik diberikan kepada anak-anak. Akibatnya anak-anak yang rosak binasa menjadi ulat yang toleh bukannya aulad yang soleh. Jadi jangan salahkan pihak lain kalau anak kita sendiri yang membuat onar di muka bumi. Didikan sepatutnya dimulakan oleh ibubapa di rumah bukan diletakkan pada guru-guru di sekolah. Itulah kenapa ibubapa disaran untuk mendidik dan mengajar anak sejak mereka di dalam kandungan lagi dengan memilih makanan yang halal dan baik dan sentisa membuat kebaikan kerana kesan dan pengaruh tindak-tanduk ibubapa akan memberi kesan dan pengaruh kepada anak-anak kelak.

Bila saya fikir kembali kenapa saya kadang-kadang rasa berat nak beribadah, rupa-rupanya mungkin kerana saya tak menjaga sumber makanan dan minuman saya dulu. Benda tu berlaku semasa saya kanak-kanak dulu tapi tempiasnya saya rasa sampai sekarang di usia 25 tahun. Astaghfirullah hal'adzim. Semoga Allah mengampunkan keterlanjuran saya dahulu. Berat kan taggungjawab menjadi ibu dan bapa. Di zaman sekarang ni, anak yang berkualiti tu perlu lebih dititik beratkan daripada anak yang berkuantiti. Kalau anak ramai tapi semuanya rosak akhlak, kuantiti dosa yang kena tanggung nanti. Saya dan suami pun bukanlah terjamin menjadi ibubapa yang terbaik buat anak-anak kami meniti alam kehidupan mereka kelak. Namun, sebagai ibubapa yang diberi amanah kita perlu berusaha sedaya mampu untuk mencorakkan anak-anak kita kerana acuannya kita yang sediakan bentuknya bagaimana. InsyaAllah semoga dengan bantuanNya kita dapat menjadi ibubapa terbaik buat anak-anak kita.

Kata-kata seperti 'setandan pisang tak semuanya elok' yang memberi maksud dalam ramai-ramai-ramai anak tak semuanya menjadi seharusnya ditolak ke tepi. Setiap anak berhak mendapat didikan yang terbaik daripada ibubapanya biarpun sepelik dan seteruk mana pun perangai anak mereka. Mungkin jika ibubapa ikhlas mendidik, anak itu akan berubah suatu hari nanti. Tapi janganlah anak yang bermasalah itu dijadikan kambing hitam dalam keluarga kerana setiap anak itu mempunyai karakter yang pelbagai dan berbeza yang semestinya cara didikan dan ajaran juga berbeza antara satu sama lain.

Kesimpulannya, kita takkan ditanya hasil dan kejayaan kita mendidik anak di akhirat nanti, tapi kita akan ditanya apa usaha yang telah kita lakukan.....Semoga anak-anak kita nanti menjadi generasi yang beriman dan bertakwa kepada Yang Maha Esa. Mudah-mudahan menjadi penyejuk mata dan penawar di hati. Buat semua ibubapa dan bakal ibubapa, perkemaskan diri kerana jalan mendidik anak itu sangat mencabar jiwa dan minda.

Rasa macam blog kaunselor keluarga dan anak-anak pula. Lagi satu bakat terpendam saya ker...Pengalaman yang mematangkan pemikiran

Syukur alhamdulillah dan terima kasih buat ibu, ibu mertua dan bapa mertua kerana anak-anak yang baik itu datangnya daripada didikan ibubapa yang baik juga




No comments:

Post a Comment