Wednesday, October 28, 2009

SECEBIS PESAN SECANGKIR MADU


Suatu hari seorang pemuda datang menemui seorang ilmuwan kerana ingin meminta nasihat tentang tabiat buruknya yang suka makan makanan manis. Sebaik saja berjumpa dengan ilmuwan tersebut, pemuda itu pun mengajukan niatnya.

"Wahai anak muda, kamu pulanglah kerumah mu dahulu. Datang semula berjumpa dengan saya sebulan lagi", kata ilmuwan tersebut.

Pemuda itu terpinga-pinga kerana telah disuruh pulang padahal ilmuwan itu tidak memberikannya sepatah nasihat pun. Namun pemuda itu bingkas bangun dan menurut permintaan ilmuwan tersebut.


Sebulan kemudian pemuda itu datang semula berjumpa dengan ilmuwan tersebut. Kali ini, ilmuwan itu memberi nasihat yang sangat berguna kepada pemuda tersebut. Hati pemuda itu rasa lapang dan menanam azam untuk menghentikan tabiatnya itu. Namun, rasa hairan timbul di hati pemuda itu lantas memberanikan dirinya untuk bertanya.

"Wahai tuan, mengapa tuan menyuruh saya pulang ketika saya datang berjumpa tuan sebulan yang lepas? Mengapa tuan tidak katakan apa yang tuan katakan kepada saya hari ini tempoh hari?".

"Anakku, saya menyuruh kamu pulang tempoh hari kerana saya juga suka makan makanan manis. Jadi, bagaimana mampu saya menasihati kamu sedangkan saya juga seperti kamu. Sekarang saya tidak lagi makan makanan manis jadi saya dapat memberi nasihat buat kamu", jelas ilmuwan tersebut.

Moral daripada cerita itu, sesuatu nasihat yang disampaikan akan lebih terkesan di hati penerima nasihat sekiranya pemberi nasihat itu mengamalkan nasihat yang diberikan. Aish...berpusing-pusing ayat saya ni. Dengan erti kata lain kalau kita nak menyuruh orang membuat kebaikan patutnya kita terlebih dulu mengamalkan kebaikan tersebut dalam diri kita. Barulah terkesan di hati orang lain yang melihatnya. Kepimpinan melalui teladan. Secebis pesan itu dapat menjadi secangkir madu dalam kehidupan.

Sesungguhnya Rasulullah itu adalah sebaik-baik teladan yang perlu dicontohi.

(Sumber cerita tidak dapat diingati. Jalan ceritanya mungkin berbeza daripada cerita asal tetapi moral ceritanya adalah sama)


No comments:

Post a Comment