Thursday, October 29, 2009

KU LIHAT HIJAU



Minda saya meronta-ronta untuk mengeluarkan isinya hari ini. Tiba-tiba semacam kena suntikan perjuangan yang tak ada kena-mengena dengan menyiapkan tesis pun. Ada satu perkara yang menganggu fokus saya hari ini untuk melaksanakan kerja kerana sibuk menggali kebenaran daripada ahli-ahli blog di sekeliling alam maya. Proses penggalian bermula sejak pagi tadi apabila terbaca email teman-teman seper'J'uangan saya dulu, kini dan selamanya, sebentar tadi. Sejak beberapa hari ini saya asyik terdengar nama Prof. Aziz Bari, Ustaz Idris Ahmad, Tuan Guru Nik Aziz dan beberapa nama lagi. Hari ini baru saya tahu kisah yang berlegar-legar bersama-sama nama-nama yang tidak asing lagi itu.


Ada yang menghentam dan ada yang dihentam. Ada yang mengkritik dengan budi bahasa dan ada juga yang kurang bahasa. Apa pun anggap sajalah semua kritikan itu sebagai tanda sayang mereka yang inginkan yang terbaik buat semua pihak. Dalam kes kritik-mengkritik ini sifat berlapang dada itu boleh menjadi penawar kepada rasa sakit hati dan ledakan emosi yang mungkin timbul.


Teringat pula zaman-zaman ber'J'uang dalam persatuan semasa bergelar pelajar ijazah sarjana muda dulu di kampus USMKKj. Saya pun pernah dikritik dan mengkritik. Juga pernah menghentam orang yang mengkritik saya dan dihentam orang yang saya kritik. Kata orang, "what you give you get back". Saya anggap semua tu sebagai proses untuk mematangkan pemikiran dalam membuat keputusan ataupun memperkatakan sesuatu. Marah-marah manja gitu. Bukan senang nak menjadi pemimpin. Silap yang kecil pun orang boleh nampak dan perbesarkan inikan pula silap yang sudah sememangnya besar. Boleh diperbesarkan berkali-kali ganda kalau tak kena gaya kita memperbetulkan kesilapan itu.


Teringat juga masa persatuan adakan kem ibadah satu ketika dulu yang mana saya menjadi salah seorang ahli jawatan kuasa bersama teman-teman yang lain. Peserta-peserta yang terdiri daripada junior-junior kami jadikan "berlapang dada amalan kami" sebagai moto pasukan. Jadi, bila kami membuat onar pada barang amanah yang kami berikan kepada mereka, mereka buat selamba saja. Konon-kononnya berlapang dada tapi dalam hati dah berombak-ombak menahan marah. Tapi moto itu sebenarnya menjadi pelajaran dan pengajaran buat kami semua yang menyertai kem ibadah tersebut.


Pada pendapat saya (skema pula, ni sebab terpengaruh dengan blog-blog skema yang tersusun bahasanya yang saya baca tadi), sifat lapang dada perlu ada pada sesiapa yang menggelarkan diri mereka pemimpin. Tak kiralah pemimpin masyarakat mahupun pemimpin keluarga. Kalau pemimpin masyarakat, ruang lingkupnya lagi besar dan kritikan yang bakal diterima juga mungkin lebih tegas dan pedas. Saya tak berhajat untuk menjadi penambah perisa lagi kepada keserabutan isu kritik-mengkritik para pemimpin masyarakat seperti di atas. Cukuplah saya sudah mengetahui hal yang berlaku dengan sebenar-benarnya daripada mereka yang lebih arif.


Cumanya saya rasa hal seperti ini tidak lari juga daripada terkena kepada para aktivis dakwah di kampus yang bergerak secara jemaah. Bila mempunyai sebuah organisasi, tidak dapat tidak organisasi tersebut perlu dipimpin oleh seorang ketua. Kadang-kala dalam memantapkan sesebuah organisasi akan ada dugaan, cabaran, rintangan dan bermacam lagi kesusahan yang dihadapi yang kebanyakkannya dizahirkan melalui kritikan. Ada yang membina, ada yang tegas, ada yang pedas dan tak kurang juga yang cuba meruntuh dan membunuh semangat seorang pemimpin. Yang nak meruntuh dan membunuh tu agaknya si pengkritik itu gila kuasa kot. Lebih baik jangan dilayan. Apa pun pemimpin tak boleh cepat melatah dan panas hati dengan semua kritikan dan komen daripada orang dalam atau luar organisasi. Terima dengan hati yang redha kerana setiap kelemahan itu perlu diperbaiki lebih-lebih jika melibatkan organisasi dakwah. Dek kerana ikut hati dan perasaan organisasi hancur, dakwah lebur.


Seringkali saya melihat (melalui pengalaman yang tak seberapa) orang yang kerap mengkritik seakan dipulau oleh ahli-ahli organisasi dengan label yang pelbagai dan tak kurang juga yang cuba dipinggirkan dan disenarai hitamkan daripada organisasi. Alasannya kerana individu atau kumpulan berkenaan hanya cuba nak mencari kesilapan dan kesalahan orang lain. Mungkin kebolehan mereka menggali kesalahan dan kesilapan boleh dimanfaatkan dengan memberi portfolio hisbah atau R&D buat mereka. Harap-harapnya daripada terpinggir dan dipulaukan sekurang-kurangnya mereka dapat memberi idea untuk memperbaiki organisasi dan pemimpin di dalamnya.

Kalau pemimpin keluarga, sama juga senarionya. Bila seorang anak berkata," Ibu, tak sedaplah lauk yang ibu masak ni".

Jawab ibu dengan rasa panas hati yang membara, "tak sedap jangan makan! Esok kamu masak sendiri!".

Mungkin begitu jawapannya kalau si ibu tak berlapang dada menerima kritikan. Suami pun sekiranya dikritik isteri dan suami tu tak berlapang dada mungkin akan menyatakan perkataan yang membuatkan seisi rumah menerima tempias amarahnya seperti posting saya yang lepas bertajuk ISTERI 4, CERAI 5. Menyesal tak sudah jawapnya.

Si pengkritik pula perlulah menjaga lidah dan bahasanya supaya walaupun memberi komen akan sesuatu, orang yang dikritik berasa senang untuk mendengarnya. Kalau si pengkritik tu berkata, "dari apa yang saya perhatikan, presiden persatuan kita ni lembik orangnya, tidak tegas dalam menangani konflik dalaman persatuan. Saya rasa itu yang menyebabkan persatuan kita mundur dan statik". Tak pasal-pasal sebiji penumbuk daripada presiden sendiri hinggap di muka pengkritik itu.


"Pada pendapat saya, presiden perlu lebih tegas dan bijak dalam menangani konflik dalaman persatuan". Kalau begini ayatnya (sebagai contoh) barulah bersemangat si presiden nak melakukan perubahan. Nak mengkritik pun secara berhikmahlah. Mentang-mentang orang tu berlapang dada, ayat kritik pun dengar macam kurang ajar saja. Macam selalu disebut oleh Ustaz Hasrizal (saifulislam.com), perlu ada win-win situation. Pihak yang mengkritik dan pihak yang dikritik, kedua-duanya dapat manfaat.


Cukuplah setakat itu saja kupasan buah fikiran saya ini. Saya ini ibarat sebutir pasir di tepi pantai. Kalau saya ada atau tak ada pun, pantai tetap tak berubah rupa dan warnanya. Tulisan saya tak memberi kesan apa-apa pada sesiapa cuma semoga coretan saya ini boleh menjadi pesanan saya kepada para aktivis dakwah di kampus sana terutamanya buat para adik pemimpin PMIUSMKKj yang sedang gigih ber'J'uang. Ber'J'uanglah dengan bijaksana dan berlapang dada. Janganlah kerana nila yang setitik itu merosakkan susu sebelanga. Memetik pesan Hasan al-Bana, janganlah kerana hal yang sunat itu umat Islam bertelagah kerana menjaga ukhuwah dan silaturrahim sesama umat Islam itu lebih wajib hukumnya.


Seorang pelajar mungkin hanya mengambil tahu soal pelajarannya saja tapi seorang penuntut ilmu akan mengambil tahu hal-hal yang di luar pelajarannya juga. Ahli-ahli akademik yang berstatus profesor pun ambil tahu isu semasa termasuklah isu politik. Takkan penuntut seperti saya ni nak jadi seorang yang buta isu semasa.



Fuh! Baru boleh fokus nak buat kerja. Ku lihat hijauuuuuuuuu......(maksudnya tenanglah tu)

No comments:

Post a Comment