Friday, October 23, 2009

JUMAAT YANG TENANG

Seperti yang anda baca pada tajuk yang ditaip. Alhamdulillah saya melalui pagi Jumaat yang lalu yang sangat tenang dan damai. Setenang bayu angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa di muka ketika panas terik. Tatkala melangkah masuk ke tempat yang menggamit datangnya ketenangan itu, segala kerja yang bersarang di kepala ni hilang begitu saja. Rindu saya terubat. Menggamit semula memori ketenangan dan kedamaian yang selalu saya rasakan dulu. Cewah...Tiba-tiba pula rasa dibuai-buai dengan alunan bahasa ni. Konon nak jadi penulis kan.



Tapi itulah gambaran perasaan saya seusai menghadiri kuliah Jumaat di surau berdekatan rumah kami di Sungai Petani ini buat julung kalinya. Walaupun saya terpaksa berdiri sepanjang mendengar kuliah daripada ustaz Aminudin tapi inputnya sangat berbaloi-baloi. InsyaAllah, kunjungan saya, suami dan anak kami ke rumah Allah itu diharapkan bukanlah yang terakhir. Rasa teruja nak pergi lagi. Anak kami si kecil tu pun tak buat perangai langsung sepanjang kami mendengar kuliah walaupun panas sikit. Sedar-sedar dah tidur dengan sendirinya. Kata orang, lebih baik kalau kita membiasakan anak-anak sejak kecil lagi dengan majlis-majlis ilmu sebegini supaya bila dah besar nanti mereka jadi orang yang sukakan majlis-majlis ilmu.



Kalau tak silap saya banyak manfaat dan kelebihannya kalau kita menghadiri majlis ilmu. Seingat saya (tak tahu sumber dari hadis atau kata-kata alim ulama') antara kelebihan tu malaikat akan menyebut nama-nama orang yang menghadiri majlis ilmu dan Allah akan turunkan rahmat kepada orang-orang yang duduk di majlis ilmu tu. Kata seorang ustaz, orang yang tidur dalam majlis ilmu pun dapat juga tempias rahmat Allah tu. Subhanallah. Rindunya nak mendengar celoteh Ustaz Shamsuri (Surau Kerian, Parit Buntar), Ustaz Mustafa Maarof (Surau Mujahideen, Parit Buntar), Ustaz Shaari Osman (Surau Mujahideen) dan beberapa orang lagi ustaz yang sangat best kuliahnya. Bila dengar kali pertama terus jatuh hati.


Semoga ketemu lagi di kuliah Jumaat yang lain InsyaAllah...

Setiap hari Jumaat selalunya saya pergi ke USM untuk menguruskan pelbagai perkara berkaitan Master saya. Tapi disebabkan satu-satunya kereta kami masuk bengkel untuk dicat semula pada Jumaat lepas, saya kira mungkin rezeki juga buat kami sekeluarga supaya dapat pergi ke kuliah Jumaat setelah banyak kali tertanya-tanya bila melihat orang ramai berhimpun di surau berdekatan kawasan perumahan kami itu. Begitulah alkisahnya...


No comments:

Post a Comment