Friday, January 15, 2010

CUTI-CUTI MALAYSIA KE KUALA KANGSAR

Dalam perjalanan pulang dari KL sebaik saja selesai pameran Biomalaysia itu, saya dan suami serta keluarga saya yang kebetulan pergi ke Bangi mengambil adik saya yang sudah selesai pengajiannnya di UKM, singgah sehari semalam di Kuala Kangsar. Maklumlah, cuti sekolah dah bermula jadi ibu dan adik-adik saya pun ambil peluanglah nak bercuti-cuti Malaysia. Tak usah cakap la nak bercuti ke luar negara, dalam Malaysia ni pun banyak tempat yang tak diteroka lagi.

Ibu saya dah lama memasang hajat untuk pergi ke Kuala Kangsar sebab nak membeli labu sayong yang menjadi idaman hati tu. Mujurlah ada suami saya sebagai ketua rombongan, tercapai jugalah hajat ibu saya tu. Alang-alang dah lalu Kuala Kangsar, baik singgah saja. Sampai saja di Kuala Kangsar kira-kira pukul 5 petang, kami mencari tempat penginapan untuk bermalam terlebih dulu. Badan pun dah terasa letih disebabkan perjalanan yang panjang. Mujurlah abang ipar suami saya (biras saya la tu) pernah ke Kuala Kangsar dan menginap di sana. Jadi, kami pun tahulah di mana nak mencari tempat bermalam.

Kami kemudiannya pergi ke Masjid Ridwaniah berhampiran MCKK. Kata abang ipar suami saya tu, di masjid tu ada menyediakan tempat penginapan. Mula-mula saya macam tertanya-tanya juga tapi bila dah sampai ke situ dan melihat sendiri bilik-bilik yang ada di atas masjid, barulah percaya. Bijak sungguh pihak pengurusan masjid ni. Saya sendiri pun tak terfikir nak buat bilik penginapan untuk orang musafir di kawasan masjid. Inikan pula di atas masjid sendiri. Barulah dapat menambah pendapatan dan menjadi sumber kewangan masjid untuk memudahkan menambah baik masjid ataupun membuat aktiviti yang berguna di masjid. Tak perlu mengharapkan ihsan dan wang derma orang ramai semata-mata. Kan bagus kalau semua masjid di Malaysia ni boleh mencontohi masjid Ridwaniah ni.

Kadar sewa pun rendah berbanding kalau menyewa hotel atau rumah rehat yang lain. Satu bilik bujang RM35 semalam, manakala bilik berkelamin RM70 semalam. Biliknya pun selesa cuma tak adalah TV untuk menonton. Dah nama pun masjid, faham-faham sendirilah sebab musababnya. Bagi yang berminat nak pergi KK, bolehlah menginap di tempat ni.

Esoknya kami pun pergi mencari tempat perusahaan labu sayong yang menjadi idaman kalbu ibu saya tu. Alhamdulillah, berjaya juga menemui tempat tersebut. Rambang mata ibu saya. Tak tahu nak pilih yang mana. Akhirnya, ibu saya berjaya membeli 3 biji pasu yang ada lampu di dalamnya dan 2 biji pasu biasa dengan harga yang sangat berpatutan. Kalau beli di kedai biasa mahu mencecah ribu. Siap dapat hadiah 5 biji labu sayong kecil lagi. Berjaya juga ibu saya memujuk tauke kedai tu.

Kata tauke tu, “ini yang payah kalau toke (tauke) turun kedai ni, yang dah murah pun jadi lagi murah”.

Dah rezeki kami la kot, semasa kami tengah membeli tu tiba-tiba tauke kedai datang. Mulalah aksi tawar-menawar. Suami saya pun tak nak ketinggalan membeli-belah di kedai labu sayong tu. Kami beli satu labu sayong biasa (hadiah buat Ayah Su dan keluarga yang datang dari Terengganu ke Kedah), satu ala-ala jag air yang diperbuat dari labu sayong dan juga periuk tanah yang selalu orang guna masak mee claypot tu. Siap dah ada pesanan suruh saya masak mee claypot. Tapi sayang, kami tak jumpa kedai yang jual barang-barang rotan macam yang dijual di R&R Sungai Perak tu. Kalau tidak terbang lagi duit ni.

Selesai membeli-belah, kami singgah sekejap ke Galeri Sultan Azlan Shah. Tak ada perancangan pun nak pergi tapi disebabkan tiketnya agak murah jadi kami pun masuk. Bayaran biasa untuk masuk ke galeri tu RM4 seorang kalau tak silap saya tapi kalau pelajar cuma RM2 saja. Jadi, dengan berbuktikan kad matriks masing-masing (USM, UKM, UUM) dapatlah separuh harga. Suami saya pun dapat separuh harga sebab dia simpan lagi kad matriks semasa belajar si USM dulu. Bila masuk ke galeri tu rasa terpegun dengan susunan bahan pameran yang sangat kemas walaupun bersimpang-siur lorong-lorong di dalam galeri itu. Pengalaman yang menarik. Mewahnya hidup sebagai raja ni. Kita rakyat biasa ni pakai satu jam saja sampailah rosak. Itu pun jam yang tak berjenama mana. Tapi dalam galeri tu terpamer banyak koleksi jam milik Tuanku Sultan Azlan Shah yang berjenama dan bertatahkan emas permata. Secara ringkasnya, memang banyak koleksi diraja yang terdapat di dalam galeri tersebut termasuklah koleksi al-Quran yang dihadiahkan oleh pembesar-pembesar negara luar.

Kemudian kami singgah solat jama’ Zohor dan Asar di Masjid ‘Ubudiah, mercu tanda KK. Sayangnya masjid yang menyimpan sejarah itu tidak terjaga kebersihan tandasnya. Tak melambang kebersihan sebahagian daripada iman. Malangnya bukan masjid itu saja menerima nasib sebegitu. Kebanyakan masjid di mana-mana pun hampir sama keadaan tandasnya. Adakah pihak yang ambil peduli akan hal ini? Hal-hal sebegini sudah memberi pandangan negatif pada orang ramai dan juga penganut agama lain yang juga berkunjung ke kawasan masjid. Tiadakah sistem pengurusan yang sistematik dalam menjaga kemudahan masjid? Kadangkala, tandas di surau yang kecil lebih bersih dan kemas berbanding di masjid yang besar.

Selesai solat kami mengelilingi kawasan istana KK yang menjadi kediaman Tuanku Sultan Azlan Shah dan keluarga barangkali. Istana tersebut berdiri tersergam indah walaupun di sekelilingnya hanyalah rumah-rumah rakyat yang sederhana saja. Tiada binaan rumah yang tinggi dan besar. Hanya rumah kampung. Istana dahulu kala hanya berdindingkan kayu. Amat berbeza dengan binaan istana sekarang yang semuanya batu belaka.

Itu saja tempat yang sempat dilawati oleh kami sekeluarga di Kuala Kangsar. Maklumlah tiada jurupandu yang berpengalaman. Apa pun hajat yang utama kunjungan kami ke KK sudah tercapai. Raya ni bolehlah ibu saya menghias sakan dengan pasu-pasu barunya tu di rumah. Pulang saja ke rumah, Ziyad pula diserang demam. Alhamdulillah, demamnya dah kebah dah. Ibu dan abi seronok makan angin, Ziyad pula yang masuk angin.

No comments:

Post a Comment