Thursday, October 29, 2009

KU LIHAT HIJAU



Minda saya meronta-ronta untuk mengeluarkan isinya hari ini. Tiba-tiba semacam kena suntikan perjuangan yang tak ada kena-mengena dengan menyiapkan tesis pun. Ada satu perkara yang menganggu fokus saya hari ini untuk melaksanakan kerja kerana sibuk menggali kebenaran daripada ahli-ahli blog di sekeliling alam maya. Proses penggalian bermula sejak pagi tadi apabila terbaca email teman-teman seper'J'uangan saya dulu, kini dan selamanya, sebentar tadi. Sejak beberapa hari ini saya asyik terdengar nama Prof. Aziz Bari, Ustaz Idris Ahmad, Tuan Guru Nik Aziz dan beberapa nama lagi. Hari ini baru saya tahu kisah yang berlegar-legar bersama-sama nama-nama yang tidak asing lagi itu.


Ada yang menghentam dan ada yang dihentam. Ada yang mengkritik dengan budi bahasa dan ada juga yang kurang bahasa. Apa pun anggap sajalah semua kritikan itu sebagai tanda sayang mereka yang inginkan yang terbaik buat semua pihak. Dalam kes kritik-mengkritik ini sifat berlapang dada itu boleh menjadi penawar kepada rasa sakit hati dan ledakan emosi yang mungkin timbul.


Teringat pula zaman-zaman ber'J'uang dalam persatuan semasa bergelar pelajar ijazah sarjana muda dulu di kampus USMKKj. Saya pun pernah dikritik dan mengkritik. Juga pernah menghentam orang yang mengkritik saya dan dihentam orang yang saya kritik. Kata orang, "what you give you get back". Saya anggap semua tu sebagai proses untuk mematangkan pemikiran dalam membuat keputusan ataupun memperkatakan sesuatu. Marah-marah manja gitu. Bukan senang nak menjadi pemimpin. Silap yang kecil pun orang boleh nampak dan perbesarkan inikan pula silap yang sudah sememangnya besar. Boleh diperbesarkan berkali-kali ganda kalau tak kena gaya kita memperbetulkan kesilapan itu.


Teringat juga masa persatuan adakan kem ibadah satu ketika dulu yang mana saya menjadi salah seorang ahli jawatan kuasa bersama teman-teman yang lain. Peserta-peserta yang terdiri daripada junior-junior kami jadikan "berlapang dada amalan kami" sebagai moto pasukan. Jadi, bila kami membuat onar pada barang amanah yang kami berikan kepada mereka, mereka buat selamba saja. Konon-kononnya berlapang dada tapi dalam hati dah berombak-ombak menahan marah. Tapi moto itu sebenarnya menjadi pelajaran dan pengajaran buat kami semua yang menyertai kem ibadah tersebut.


Pada pendapat saya (skema pula, ni sebab terpengaruh dengan blog-blog skema yang tersusun bahasanya yang saya baca tadi), sifat lapang dada perlu ada pada sesiapa yang menggelarkan diri mereka pemimpin. Tak kiralah pemimpin masyarakat mahupun pemimpin keluarga. Kalau pemimpin masyarakat, ruang lingkupnya lagi besar dan kritikan yang bakal diterima juga mungkin lebih tegas dan pedas. Saya tak berhajat untuk menjadi penambah perisa lagi kepada keserabutan isu kritik-mengkritik para pemimpin masyarakat seperti di atas. Cukuplah saya sudah mengetahui hal yang berlaku dengan sebenar-benarnya daripada mereka yang lebih arif.


Cumanya saya rasa hal seperti ini tidak lari juga daripada terkena kepada para aktivis dakwah di kampus yang bergerak secara jemaah. Bila mempunyai sebuah organisasi, tidak dapat tidak organisasi tersebut perlu dipimpin oleh seorang ketua. Kadang-kala dalam memantapkan sesebuah organisasi akan ada dugaan, cabaran, rintangan dan bermacam lagi kesusahan yang dihadapi yang kebanyakkannya dizahirkan melalui kritikan. Ada yang membina, ada yang tegas, ada yang pedas dan tak kurang juga yang cuba meruntuh dan membunuh semangat seorang pemimpin. Yang nak meruntuh dan membunuh tu agaknya si pengkritik itu gila kuasa kot. Lebih baik jangan dilayan. Apa pun pemimpin tak boleh cepat melatah dan panas hati dengan semua kritikan dan komen daripada orang dalam atau luar organisasi. Terima dengan hati yang redha kerana setiap kelemahan itu perlu diperbaiki lebih-lebih jika melibatkan organisasi dakwah. Dek kerana ikut hati dan perasaan organisasi hancur, dakwah lebur.


Seringkali saya melihat (melalui pengalaman yang tak seberapa) orang yang kerap mengkritik seakan dipulau oleh ahli-ahli organisasi dengan label yang pelbagai dan tak kurang juga yang cuba dipinggirkan dan disenarai hitamkan daripada organisasi. Alasannya kerana individu atau kumpulan berkenaan hanya cuba nak mencari kesilapan dan kesalahan orang lain. Mungkin kebolehan mereka menggali kesalahan dan kesilapan boleh dimanfaatkan dengan memberi portfolio hisbah atau R&D buat mereka. Harap-harapnya daripada terpinggir dan dipulaukan sekurang-kurangnya mereka dapat memberi idea untuk memperbaiki organisasi dan pemimpin di dalamnya.

Kalau pemimpin keluarga, sama juga senarionya. Bila seorang anak berkata," Ibu, tak sedaplah lauk yang ibu masak ni".

Jawab ibu dengan rasa panas hati yang membara, "tak sedap jangan makan! Esok kamu masak sendiri!".

Mungkin begitu jawapannya kalau si ibu tak berlapang dada menerima kritikan. Suami pun sekiranya dikritik isteri dan suami tu tak berlapang dada mungkin akan menyatakan perkataan yang membuatkan seisi rumah menerima tempias amarahnya seperti posting saya yang lepas bertajuk ISTERI 4, CERAI 5. Menyesal tak sudah jawapnya.

Si pengkritik pula perlulah menjaga lidah dan bahasanya supaya walaupun memberi komen akan sesuatu, orang yang dikritik berasa senang untuk mendengarnya. Kalau si pengkritik tu berkata, "dari apa yang saya perhatikan, presiden persatuan kita ni lembik orangnya, tidak tegas dalam menangani konflik dalaman persatuan. Saya rasa itu yang menyebabkan persatuan kita mundur dan statik". Tak pasal-pasal sebiji penumbuk daripada presiden sendiri hinggap di muka pengkritik itu.


"Pada pendapat saya, presiden perlu lebih tegas dan bijak dalam menangani konflik dalaman persatuan". Kalau begini ayatnya (sebagai contoh) barulah bersemangat si presiden nak melakukan perubahan. Nak mengkritik pun secara berhikmahlah. Mentang-mentang orang tu berlapang dada, ayat kritik pun dengar macam kurang ajar saja. Macam selalu disebut oleh Ustaz Hasrizal (saifulislam.com), perlu ada win-win situation. Pihak yang mengkritik dan pihak yang dikritik, kedua-duanya dapat manfaat.


Cukuplah setakat itu saja kupasan buah fikiran saya ini. Saya ini ibarat sebutir pasir di tepi pantai. Kalau saya ada atau tak ada pun, pantai tetap tak berubah rupa dan warnanya. Tulisan saya tak memberi kesan apa-apa pada sesiapa cuma semoga coretan saya ini boleh menjadi pesanan saya kepada para aktivis dakwah di kampus sana terutamanya buat para adik pemimpin PMIUSMKKj yang sedang gigih ber'J'uang. Ber'J'uanglah dengan bijaksana dan berlapang dada. Janganlah kerana nila yang setitik itu merosakkan susu sebelanga. Memetik pesan Hasan al-Bana, janganlah kerana hal yang sunat itu umat Islam bertelagah kerana menjaga ukhuwah dan silaturrahim sesama umat Islam itu lebih wajib hukumnya.


Seorang pelajar mungkin hanya mengambil tahu soal pelajarannya saja tapi seorang penuntut ilmu akan mengambil tahu hal-hal yang di luar pelajarannya juga. Ahli-ahli akademik yang berstatus profesor pun ambil tahu isu semasa termasuklah isu politik. Takkan penuntut seperti saya ni nak jadi seorang yang buta isu semasa.



Fuh! Baru boleh fokus nak buat kerja. Ku lihat hijauuuuuuuuu......(maksudnya tenanglah tu)

Wednesday, October 28, 2009

SECEBIS PESAN SECANGKIR MADU


Suatu hari seorang pemuda datang menemui seorang ilmuwan kerana ingin meminta nasihat tentang tabiat buruknya yang suka makan makanan manis. Sebaik saja berjumpa dengan ilmuwan tersebut, pemuda itu pun mengajukan niatnya.

"Wahai anak muda, kamu pulanglah kerumah mu dahulu. Datang semula berjumpa dengan saya sebulan lagi", kata ilmuwan tersebut.

Pemuda itu terpinga-pinga kerana telah disuruh pulang padahal ilmuwan itu tidak memberikannya sepatah nasihat pun. Namun pemuda itu bingkas bangun dan menurut permintaan ilmuwan tersebut.


Sebulan kemudian pemuda itu datang semula berjumpa dengan ilmuwan tersebut. Kali ini, ilmuwan itu memberi nasihat yang sangat berguna kepada pemuda tersebut. Hati pemuda itu rasa lapang dan menanam azam untuk menghentikan tabiatnya itu. Namun, rasa hairan timbul di hati pemuda itu lantas memberanikan dirinya untuk bertanya.

"Wahai tuan, mengapa tuan menyuruh saya pulang ketika saya datang berjumpa tuan sebulan yang lepas? Mengapa tuan tidak katakan apa yang tuan katakan kepada saya hari ini tempoh hari?".

"Anakku, saya menyuruh kamu pulang tempoh hari kerana saya juga suka makan makanan manis. Jadi, bagaimana mampu saya menasihati kamu sedangkan saya juga seperti kamu. Sekarang saya tidak lagi makan makanan manis jadi saya dapat memberi nasihat buat kamu", jelas ilmuwan tersebut.

Moral daripada cerita itu, sesuatu nasihat yang disampaikan akan lebih terkesan di hati penerima nasihat sekiranya pemberi nasihat itu mengamalkan nasihat yang diberikan. Aish...berpusing-pusing ayat saya ni. Dengan erti kata lain kalau kita nak menyuruh orang membuat kebaikan patutnya kita terlebih dulu mengamalkan kebaikan tersebut dalam diri kita. Barulah terkesan di hati orang lain yang melihatnya. Kepimpinan melalui teladan. Secebis pesan itu dapat menjadi secangkir madu dalam kehidupan.

Sesungguhnya Rasulullah itu adalah sebaik-baik teladan yang perlu dicontohi.

(Sumber cerita tidak dapat diingati. Jalan ceritanya mungkin berbeza daripada cerita asal tetapi moral ceritanya adalah sama)


Sunday, October 25, 2009

ISTERI 4, CERAI 5

Suatu hari...

Isteri pertama: Abang, ....(isteri membebel-bebel)...

Suami: (Marah sebab tak tahan dengan bebelan isteri). Aku ceraikan engkau..

Isteri kedua: Abang, takkan benda kecik pun sampai nak bercerai-berai..

Suami: (Marah lagi sebab kena tegur)..Aku ceraikan engkau juga..

Isteri ketiga: Abang..(teguran yang sama untuk suami)

Suami: (Marah lagi..) Kau pun aku cerai...

Isteri keempat: Abang ni apalah...kena tegur pun nak cerai

Suami: Kau pun nak tegur aku juga..dah dengan ini aku ceraikan kau juga

Habislah keempat-empat isterinya dicerai. Tiba-tiba..

Isteri jiran: Apa yang cerai-cerai ni...(datang menjenguk di tepi tingkap)

Suami kepada 4 isteri tadi: Kau pun kalau suami kau dengar ni dia pun ceraikan kau..

Suami kepada isteri jiran: Aku setuju...

Bukan setakat isteri sendiri jer kena cerai, termasuk isteri jiran sekali yang kena cerai...
Sumber cerita dari Ustaz Aminudin surau al-hidayah sungai petani..gurau senda di kala serabut kepala. Tak ada kena mengena dengan yang hidup atau mati...Kalau nak ketawa, ketawalah kalau tak nak sila tutup mata

JAM ITU BERDETIK LAJU

Dah tak tahu nak taipkan tajuk apa. Tak elok pula sesuatu tulisan tu tak bertajuk ibaratnya seperti manusia yang tak bernama. Biarlah jam itu berdetik kerana itu tugasnya. Tugas saya menyempurnakan segala kerja yang perlu saya lakukan sebaik mungkin.


Sebut pasal kerja mulalah nak berserabut kepala saya ni. Belajar ni lagi susah daripada bekerja. Itu pernyataan daripada seorang pelajar seperti saya tapi kalau seorang pekerja mungkin dia akan berkata yang belajar itu lagi mudah daripada bekerja. Manusia ni tak pernah nak bersyukur dengan nikmat yang Allah Taala kurniakan kepadanya.


Tapi seorang pelajar yang juga memegang tugas sebagai seorang isteri dan juga seorang ibu lagi susah jalan hidupnya. Itu pada pendapat saya. Oh, betapa saya kagum melihat kaum-kaum ibu yang tak henti-henti menuntut ilmu lebih-lebih lagi kalau ambil ijazah sarjana muda. Mana dengan nak hadiri kelas, nak siapkan tugasan on time, nak baca buku untuk peperiksaan dan dalam masa yang sama nak jaga anak, nak uruskan suami, nak masak, nak kemas rumas dan sebagainya. Tabahnya mereka. Bila suami ada tolong sikit-sikit jaga anak, kemas rumah dan lain-lain, mungkin rasa ringan beban si isteri yang merangkap sebagai pelajar itu.


Saya ni kira bernasib baiklah sebab MSc saya ni tak perlukan saya menghadiri kelas dan ambil peperiksaan. Buat research saja. Itu pun dah cukup untuk meningkatkan keserabutan otak saya berfikir. Mujur ada suami yang banyak membantu walaupun setakat jaga anak. Itu dah lebih dari cukup.


Bermula dari hari ini dan saat ini saya perlu berhempas-pulas menyiapkan keseluruhan tesis saya semula. Masa yang saya ada cuma 2 minggu dan pada masa yang sama saya kena hantar notis tesis pada pusat pengajian. Semuanya disebabkan satu perkara yang tidak saya jangkakan. Tapi dari segi positifnya, perkara yang tidak dijangkakan itu mungkin sebagai salah satu jalan untuk saya cepat-cepat habiskan tesis saya ni. Saya ni ibarat macam pahat yang kena selalu diketuk dengan penukul. Walaupun sakit sikit tapi kerja siap.

Dan jam itu akan terus berdetik laju....Semoga lajunya tidak membiarkan saya ketinggalan jauhh di belakang


Friday, October 23, 2009

JUMAAT YANG TENANG

Seperti yang anda baca pada tajuk yang ditaip. Alhamdulillah saya melalui pagi Jumaat yang lalu yang sangat tenang dan damai. Setenang bayu angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa di muka ketika panas terik. Tatkala melangkah masuk ke tempat yang menggamit datangnya ketenangan itu, segala kerja yang bersarang di kepala ni hilang begitu saja. Rindu saya terubat. Menggamit semula memori ketenangan dan kedamaian yang selalu saya rasakan dulu. Cewah...Tiba-tiba pula rasa dibuai-buai dengan alunan bahasa ni. Konon nak jadi penulis kan.



Tapi itulah gambaran perasaan saya seusai menghadiri kuliah Jumaat di surau berdekatan rumah kami di Sungai Petani ini buat julung kalinya. Walaupun saya terpaksa berdiri sepanjang mendengar kuliah daripada ustaz Aminudin tapi inputnya sangat berbaloi-baloi. InsyaAllah, kunjungan saya, suami dan anak kami ke rumah Allah itu diharapkan bukanlah yang terakhir. Rasa teruja nak pergi lagi. Anak kami si kecil tu pun tak buat perangai langsung sepanjang kami mendengar kuliah walaupun panas sikit. Sedar-sedar dah tidur dengan sendirinya. Kata orang, lebih baik kalau kita membiasakan anak-anak sejak kecil lagi dengan majlis-majlis ilmu sebegini supaya bila dah besar nanti mereka jadi orang yang sukakan majlis-majlis ilmu.



Kalau tak silap saya banyak manfaat dan kelebihannya kalau kita menghadiri majlis ilmu. Seingat saya (tak tahu sumber dari hadis atau kata-kata alim ulama') antara kelebihan tu malaikat akan menyebut nama-nama orang yang menghadiri majlis ilmu dan Allah akan turunkan rahmat kepada orang-orang yang duduk di majlis ilmu tu. Kata seorang ustaz, orang yang tidur dalam majlis ilmu pun dapat juga tempias rahmat Allah tu. Subhanallah. Rindunya nak mendengar celoteh Ustaz Shamsuri (Surau Kerian, Parit Buntar), Ustaz Mustafa Maarof (Surau Mujahideen, Parit Buntar), Ustaz Shaari Osman (Surau Mujahideen) dan beberapa orang lagi ustaz yang sangat best kuliahnya. Bila dengar kali pertama terus jatuh hati.


Semoga ketemu lagi di kuliah Jumaat yang lain InsyaAllah...

Setiap hari Jumaat selalunya saya pergi ke USM untuk menguruskan pelbagai perkara berkaitan Master saya. Tapi disebabkan satu-satunya kereta kami masuk bengkel untuk dicat semula pada Jumaat lepas, saya kira mungkin rezeki juga buat kami sekeluarga supaya dapat pergi ke kuliah Jumaat setelah banyak kali tertanya-tanya bila melihat orang ramai berhimpun di surau berdekatan kawasan perumahan kami itu. Begitulah alkisahnya...


Thursday, October 22, 2009

AULAD SOLEH ATAU ULAT TOLEH

Bidalan orang-orang dahulu,"Memelihara sekandang lembu lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan". Mudahnya kerana biarpun sekandang lembu tetapi lembu tidak perlu dididik, diasuh, dinasihat dan sebagainya. Seekor lembu hanya tahu makan, berak dan tidur. Tak kurang juga manusia yang fi'il mereka sebegitu. Kita pun tak pernah dengar lembu rempit, lembu bohsia, anak lembu luar nikah dan istilah-istilah yang sama waktu dengannya. Tapi manusia yang Allah kurniakan akal fikiran lebih teruk perangainya daripada seekor lembu yang tidak berakal. Tak hairanlah kalau seorang penternak lembu lebih berjaya menternak lembu-lembunya daripada mendidik anak-anaknya (tidak bersangkut dengan sesiapa).


Seorang anak itu dilahirkan dalam keadaan suci seperti kain putih. Ibu bapanyalah yang bertanggungjawab mencorakkan anak mereka samada ke arah baik atau buruk. Kebanyakkan kita mungkin sudah sinonim dengan ayat-ayat tersebut. Tapi fahamkah kita dari segi perlaksanaannya? Seharusnya saya yang terlebih dahulu menjawab soalan itu kerana saya juga seorang ibu. Beberapa kali terlintas di fikiran akan kata-kata seorang naqibah saya dulu,"kalau nak tengok macam mana perangai dan tingkah laku anak-anak kita nanti, lihatlah perangai kita beberapa tahun sebelum kita kahwin". Andai dulu saya ni buruk tingkah laku apakah anak-anak saya nanti begitu juga? Doa saya semoga anak-anak kami nanti menjadi generasi yang lebih baik daripada saya dan suami.


Kagum saya melihat ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Anda kenal adik Muhammad Ahmad Zaid, hafiz termuda di Malaysia yang selalu ada dalam rancangan Mari Bertarannum? Rasanya ramai yang lebih kenal Zahid Akademi Fantasia. Rata-rata anak-anak sebayanya lebih senang memilih kerjaya sebagai doktor, jurutera malah tak kurang juga yang nak jadi penyanyi, pelakon (contohnya rancangan Idola Kecil) tapi ketika ditanya kepada adik Muhammad ni tentang cita-citanya bila dah besar nanti, jawapannya "saya nak jadi ulama'". Tersentuh hati saya. Tak ada lagi saya dengar orang yang nak jadi ulama', inikan pula dari mulut seorang anak kecil. Semoga dia berjaya mencapai cita-citanya dan menjadi permata agama yang dapat membantu memurnikan lagi Islam suatu hari nanti. Menjadi ulama' yang berpegang kepada kekuasaan Tuhannya bukan berpegang kepada kekuasaan pemimpin semata-mata.


Bukan senang memikul amanah sebagai seorang ibu dan bapa. Bukan semudah mengajar anak merangkak, berjalan, berlari. Bukan semudah kita mengajar mereka membaca A,B,C tapi lebih daripada itu. Imam Malik r.h. mendidik anaknya selama 40 tahun iaitu bermula dari pemilihan isteri yang baik-baik menjadi ibu kepada anaknya sehinggalah kepada makan minum anak tersebut. Ayah kepada Syeikh Kadir Jailani pernah suatu ketika memasukkan jarinya ke mulut Syeikh Kadir Jailani supaya anaknya itu memuntahkan kembali susu yang diminumnya kerana susu tersebut datang bukan dari isterinya. Kadang-kadang apabila Syeikh Kadir Jailani terlupa akan sesuatu ayahnya berkata, "mungkin itu kesan daripada sisa-sisa susu yang diminumnya dahulu".


Begitulah teliti dan cermatnya golongan tabi'in dulu memelihara keluarga mereka dari hal yang seremeh-remehnya hinggalah hal yang sebesar-besarnya. Kita sekarang mungkin tak ambil kisah sumber makanan dan minuman anak kita. Apakah makanan dan minuman mereka itu halal, haram ataupun syubhah? Mungkin keruntuhan akhlak muda-mudi sekarang berpunca daripada sumber makanan dan minuman mereka. Bila seorang anak itu malas sembahyang, tak berpuasa, tak hormat orang tua, cuba selidik semula carta aliran sumber makanan dan minumannya. Mana tahu kot-kot tersasar di mana-mana. Bila sebut halal, haram yang kita bayangkan mungkin babi, arak dan sebagainya tetapi kita pastikah yang sebungkus keropok Mister Potato tu tak menyumbang kepada hiruk-pikuk akhlak anak kita? Memang ada cap halal tapi yang membuat keropok tu bukannya nama Ahmad, Abu atau Ali tapi Ah Seng, Ah Kau (nama sekadar hiasan). Boleh yakin seratus peratus ker cap halal tu? Nampak kecil tapi kesannya boleh tahan sampai bertahun-tahun pada diri kita dan anak-anak.

Bukan sekadar menjaga sumber makanan dan minuman saja. Sumber rezeki pun kena jaga juga sebagai contoh kalau ambil rasuah, curi duit atau harta bukan milik kita dan sebagainya. Lihatlah kesannya nanti pada anak-anak kita. Malas sembahyang, tak tutup aurat dan culas dalam ibadah-ibadah lainnya. Bukan itu saja, akhlak kita sebagai ibubapa pun kena diperhalusi lagi. Ibubapa merupakan teladan dan contoh yang paling dekat untuk anak ikut. Kalau tidak takkanlah ada pepatah, 'kalau ayah kencing berdiri, anak kencing berlari' dan 'mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi'. Kalau ibubapa pun tak sembahyang, tak tutup aurat dengan sempurna, tak puasa penuh, dan lain-lain lagi ibadah yang tak nak buat, rasa-rasa anak-anak nanti macam mana yer? Sama atau pun lagi hebat. Tak hairanlah anak-anak muda sekarang ramai yang berzina, minum arak dan sebagainya sebabnya mereka ni tak didekatkan dengan Allah dalam erti kata lainnya tak sembahyang. Sebabnya juga ibubapa mereka tak pernah ajar mereka sembahyang dan yang teruknya ibubapa mereka pun tak sembahyang.

Ibu saya pernah menampar seorang pelajar lelakinya yang mencium seorang pelajar perempuan di kawasan sekolah. Kata si pelajar lelaki tu,"ustazah tahu tak, mak dan ayah saya pun tak pernah tampar saya". Mahu saja ibu saya tangan-tangankan lagi budak lelaki yang baru berumur belasan tahun itu. Tak tahu hormat orang tua apatah lagi seorang guru yang mendidiknya. Bila disiasat latar belakang keluarga pelajar terbabit, rupa-rupanya ayahnya itu bekerja dengan ah long. Ayahnya selalu berpesan kepada anaknya jangan sesekali memberitahu si ayah yang dia kalah dalam sebarang pergaduhan. Begitulah kira-kiranya cerita ibu saya. Betullah ibubapa itu contoh kepada anak-anak. Sayangnya bila contoh yang tidak baik diberikan kepada anak-anak. Akibatnya anak-anak yang rosak binasa menjadi ulat yang toleh bukannya aulad yang soleh. Jadi jangan salahkan pihak lain kalau anak kita sendiri yang membuat onar di muka bumi. Didikan sepatutnya dimulakan oleh ibubapa di rumah bukan diletakkan pada guru-guru di sekolah. Itulah kenapa ibubapa disaran untuk mendidik dan mengajar anak sejak mereka di dalam kandungan lagi dengan memilih makanan yang halal dan baik dan sentisa membuat kebaikan kerana kesan dan pengaruh tindak-tanduk ibubapa akan memberi kesan dan pengaruh kepada anak-anak kelak.

Bila saya fikir kembali kenapa saya kadang-kadang rasa berat nak beribadah, rupa-rupanya mungkin kerana saya tak menjaga sumber makanan dan minuman saya dulu. Benda tu berlaku semasa saya kanak-kanak dulu tapi tempiasnya saya rasa sampai sekarang di usia 25 tahun. Astaghfirullah hal'adzim. Semoga Allah mengampunkan keterlanjuran saya dahulu. Berat kan taggungjawab menjadi ibu dan bapa. Di zaman sekarang ni, anak yang berkualiti tu perlu lebih dititik beratkan daripada anak yang berkuantiti. Kalau anak ramai tapi semuanya rosak akhlak, kuantiti dosa yang kena tanggung nanti. Saya dan suami pun bukanlah terjamin menjadi ibubapa yang terbaik buat anak-anak kami meniti alam kehidupan mereka kelak. Namun, sebagai ibubapa yang diberi amanah kita perlu berusaha sedaya mampu untuk mencorakkan anak-anak kita kerana acuannya kita yang sediakan bentuknya bagaimana. InsyaAllah semoga dengan bantuanNya kita dapat menjadi ibubapa terbaik buat anak-anak kita.

Kata-kata seperti 'setandan pisang tak semuanya elok' yang memberi maksud dalam ramai-ramai-ramai anak tak semuanya menjadi seharusnya ditolak ke tepi. Setiap anak berhak mendapat didikan yang terbaik daripada ibubapanya biarpun sepelik dan seteruk mana pun perangai anak mereka. Mungkin jika ibubapa ikhlas mendidik, anak itu akan berubah suatu hari nanti. Tapi janganlah anak yang bermasalah itu dijadikan kambing hitam dalam keluarga kerana setiap anak itu mempunyai karakter yang pelbagai dan berbeza yang semestinya cara didikan dan ajaran juga berbeza antara satu sama lain.

Kesimpulannya, kita takkan ditanya hasil dan kejayaan kita mendidik anak di akhirat nanti, tapi kita akan ditanya apa usaha yang telah kita lakukan.....Semoga anak-anak kita nanti menjadi generasi yang beriman dan bertakwa kepada Yang Maha Esa. Mudah-mudahan menjadi penyejuk mata dan penawar di hati. Buat semua ibubapa dan bakal ibubapa, perkemaskan diri kerana jalan mendidik anak itu sangat mencabar jiwa dan minda.

Rasa macam blog kaunselor keluarga dan anak-anak pula. Lagi satu bakat terpendam saya ker...Pengalaman yang mematangkan pemikiran

Syukur alhamdulillah dan terima kasih buat ibu, ibu mertua dan bapa mertua kerana anak-anak yang baik itu datangnya daripada didikan ibubapa yang baik juga




Monday, October 19, 2009

Dah lama tak posting so rasa macam nak posting habis-habisan hari ni sampai puas hati. Maklumlah tak ada gangguan hari ni sebab my baby boy ada di kampung dengan maktok dan makcik, pakcik2nya. Biasa kalau saya mengadap komputer ni dialah orang pertama yang nak menyibuk sekali. Mulalah berpaut2 kat kaki saya ni dengan matanya yang bersinar2 macam kucing dalam cerita Shrek tu..heheh...tapi rindu sangat kat buah hati pengarang jantung saya dan suami tu. Sunyi pulak tak ada dia.


Jumaat lepas, saya baru hantar draf pertama tesis saya kepada supervisor walaupun technically tak siap dengan sepenuhnya. Memandangkan supervisor saya memang dah berkurun tunggu ketibaan tesis saya tu, nak tak nak kena hantar jugalah. Walaupun hanya draf tesis tapi stressnya sangat2 terasa. Bila dah hantar tu rasa ringan jer kepala. Bila saya cakap macam ni kat supervisor saya terus dia gelak. Katanya kelakar. Yelah sebab bukan full tesis pun..baru draf saja. Banyak lagi perkara yang perlu saya masukkan dalam tesis saya tu. Walaupun pagenya seratus lebih tapi bila saya bagi kat Dr. M (supervisor saya), dia kata, "banyak ni jer". Terkejut saya. Bagi saya dah cukup tebal dah tesis saya tu walaupun tak complete lagi.


Nak taip tesis ni bukan semudah A,B,C. Memang sangat berbeza dengan tesis saya semasa buat final year project (FYP) dulu. Dulu, most of the tesis content Dr.M yang bagi. Dulu FYP pun under DR.M jugak. But now, everything is on me. Dr.M just check, if not satisfied kenalah bikin semula dan sumber2nya kena cari banyak2 lagi lah. Begitulah kebiasaannya bekerja dengannya. Ayat yang biasanya dia cakap pada saya,"you have to reaaaaddd a lott". Punyalah tekankan perkataan read tu. Memang betullah. Nak menghasilkan tesis yang the best memang perlukan maklumat yang banyak dan juga pembacaan yang banyak.


Pernyataan 1: Rakyat Malaysia kurang membaca.

Pernyataan 2: Saya rakyat Malaysia.

Kesimpulan: Saya kurang membaca.


Itulah masalah yang dapat saya simpulkan melalui penaakulan mantik. Saya ni kurang membaca rupanya. Macam mana caranya nak rajinkan diri untuk membaca.

BAKAT DIPENDAM

SALAM AIDILFITRI

Kata Nabi SAW, di akhir zaman nanti masa berlalu sangat pantas. Sebulan akan rasa seperti seminggu, seminggu seperti sehari, sehari seperti satu jam, satu jam pula seperti satu minit dan begitulah seterusnya masa itu berlalu. Buktinya sekarang Syawal dah nak pergi meninggalkan kita. Semoga kita dapat menikmati lagi Syawal dan Ramadan untuk tahun akan datang andai umur kita masih dipanjangkan. Saya juga nak menyusun sepuluh jari tangan dan kaki kalau boleh, memohon atas segala silap dan salah buat semua kawan-kawan saya yang saya kenal dan bersahabat semenjak di SK Pendang hinggalah ke USMKKj. Maaf sebab tak sempat nak menghantar mesej raya, balas mesej raya mahupun menghantar kad raya. Antara sebabnya, kredit telefon selalu habis dan sibuk mengejar deadline tesis, sibuk melayan kerenah anak, sibuk mengemas rumah, sibuk memasak dan sebagainya. Sibuk sepanjang masa selagi mana mata ni tak terpejam buat selama-lamanya.

Agak lama saya tak menaip di blog sebab sibuk yang teramat. Sejak akhir-akhir ini saya sering tertanya-tanya apakah bakat yang saya miliki yang boleh saya gunakan untuk menjana pendapatan ataupun menjana keyakinan diri. Semenjak menghabiskan masa di rumah ni sambil menaip-naip tesis dan menonton TV, banyak juga saya tengok orang-orang mula menggunakan bakat dan kelebihan yang mereka ada untuk menjana pendapatan tambahan. Dan yang paling seronoknya mereka ni boleh bekerja di rumah sahaja. Kerja idaman saya....

Apa yer bakat yang saya ada??

Salah satu kegemaran dan bakat yang saya ada walaupun tak sehebat mana adalah melukis. Tapi, taklah mencapai tahap pelukis profesional. Sikit-sikit saja. Saya pantang melihat kertas-kertas dan buku-buku yang kosong. Tidak dapat tidak mesti ada hasil tangan saya yang gatal nak buat doodling dan sketching. Pernah sekali sewaktu pensyarah tengah mengajar di depan saya lukiskan figur pensyarah saya tu di buku catatan saya. Tapi, hobi saya yang suka melukis kartun-kartun manusia ni tak begitu disukai oleh ibu saya sejak saya kecil lagi. Kata ibu saya, nanti kartun tu minta nyawa di akhirat nanti. Kalau tak silap saya ada juga hadis yang melarang kita melukis gambar-gambar manusia ni tapi saya tak ingat di mana saya baca pernyataan tu. Pernah juga mama saya suarakan yang dia tak nak saya jadi pelukis suatu hari nanti. As a result saya pun dah jarang melukis lagi. Kemahiran melukis pun dah berkurang. Maybe one day kalau saya polish balik skill saya ni mana tahu boleh buat duit kan...

Suatu ketika dulu, saya pernah menyertai kumpulan nasyid semasa di sekolah rendah dan menengah. Itulah antara kenangan yang manis kerana pernah memenangi tempat kedua nasyid di peringkat negeri semasa sekolah rendah, tempat kedua di peringkat daerah dan pernah menjadi juara semasa pertandingan nasyid sempena hari ko-kurikulum, kedua-duanya semasa sekolah menengah. Penglibatan saya kemudian berterusan ke peringkat universiti dengan menyertai satu pertandingan yang dianjurkan oleh PMI ketika itu. Saya dan kumpulan memenangi tempat kedua. Dalam kesemua pertandingan tersebut, saya diberi kepercayaan untuk menjadi penyanyi kumpulan. Sedapkah suara saya ini? Hanya yang mendengar saja dapat menilai. Takkan saya nak menyanyi sambilan kot..auw tak sesuai...dodoikan anak jer lah

Saya pun suka juga menulis. Ada beberapa cerpen pendek yang saya tulis dan satu kisah novel yang saya cuba hasilkan sejak saya di Tingkatan Dua sampailah sekarang tapi tak habis-habis lagi jalan ceritanya. Sebabnya dah banyak kali hilang dalam simpanan dan dah banyak kali dirombak jalan ceritanya. Tapi, semua tu saya simpan sebagai koleksi peribadi sebab tak hebat dan menarik macam Cerpen-cerpen dan novel-novel penulis yang hebat macam Naimisa, Habiburrahman el-shirazy, HM Tuah Iskandar, Faisal Tehrani (sekadar menyebut beberapa nama). Maklumlah saya budak baru belajar. Suami saya pun ada menghadiahkan sebuah buku “Persediaan menulis novel “ kepada saya dulu. Tanda sokongannya supaya saya dapat terus mengembangkan karya. Penulis yang paling saya kagumi adalah ibu saya sendiri yang telah banyak menghasilkan karya-karyanya seperti sajak, cerpen dan mengarang lagu di sekolah tempat dia mengajar. Ibu saya seorang guru yang mengajar Pendidikan Islam tetapi mempunyai kelebihan dalam menulis. Karyanya setaraf karya penulis tersohor yang lain cuma dia tak mempunyai peluang dan medan untuk terus menonjol di persada luar. Bagi saya, dialah penulis yang terhebat. Sedikit sebanyak tempiasnya terkena juga pada saya walaupun tak sehebatnya. Seronokkan kalau suatu hari nanti dapat lihat karya sendiri ditatap oleh semua orang...


Saya pun suka sangat menghias rumah. Kalau ada rancangan dekorasi rumah macam Deko Idaman, Landskap dan sebagainya
memang saya suka tengok. Tersangatlah kreatif dan cantik. Saya juga merupakan salah seorang perunding hiasan dalaman semasa membuat dekorasi kediaman ibu saya dulu. Tapi hasilnya taklah sehebat interior designer yang profesional. Bolehlah sekadar nak menghias supaya sedap mata memandang. Mungkin bila dah ada rumah sendiri nanti bolehlah diimplementasikan kreativiti yang ada sepenuhnya. Suami saya pun suka juga kerja-kerja menghias ni, jadi bolehlah bekerjasama menghias rumah sendiri nanti. Walaupun tak ada background langsung pasal ni tapi dah dapat offer untuk dekorasi dan buat design rumah tuuu....design reban ayam pun tak lepas hehe

Suami saya pun ada bakat yang terpendam juga. Kalau boleh saya kata, suami saya tu ibarat McGyver. Dia sangat berbakat dalam menyelesaikan masalah seperti paip rosak, atap bocor, pasang kipas angin di siling, buat rak dapur, pasang wayar plug dan serba-serbi benda dia boleh buat walaupun tak pernah belajar benda-benda tu dari sesiapa pun. Suami saya juga pernah bina kandang/rumah arnab sebab dia nampak banyak sangat kayu-kayu yang terbuang kat rumah tu. Siap pergi beli arnab lagi. Setiap masa ada saja projek yang dia akan buat kat rumah kami ni. Memang tak boleh duduk diam Mr.Jie a.k.a Abu Ziyad tu.

Itu antara sedikit sebanyak bakat yang terpendam dan dipendam dalam diri saya dan juga suami. Mungkin suatu hari bila dah digilap-gilap, boleh memberi keuntungan dan manfaat buat diri kami dan keluarga kan. Syukur pada Allah SWT kerana memberi sedikit kurniaanNya itu kepada kami. Alhamdulillah...Setiap bakat yang ada sikit atau banyak perlu digunakan dengan sebaik2nya dan tidak melanggar hukum agama. Biarpun ada bakat menyanyi dan suara yangs edap tapi lebih baik kalau nyanyi untuk suami jer...suara tu kan aurat bagi perempaun. Suami pun bertambah sayang. Bimbang nanti walaupun dapat duit banyak2 tapi duit tu tak berkat...sebut pasal rezeki berkat ni ada pula sesuatu yang saya nak kongsi tapi di posting yang lain deh