Wednesday, August 17, 2011

17 RAMADHAN


Hari ini rakyat Selangor samada yang tumpang tinggal dan tumpang bekerja di Selangor, bergembira kerana dapat cuti rehat satu hari di rumah sempena hari Nuzul al-Quran (al-Quran diturunkan). Oleh itu, dengan mengambil keberkatan hari ini, maka eloklah kiranya kita sama-sama mengambil peluang untuk memperbanyakkan membaca al-Quran dan meneliti tafsirannya. Bukan goyang kaki atas kerusi malas, tidur berdengkur sambil tunggu waktu berbuka...sia-sia saja cuti dan puasa hari ni.

Salam Nuzul al-Quran

Wednesday, August 10, 2011

SEPULUH RAMADHAN


Pejam, celik, sahur, pejam, celik, berbuka....dah masuk 10 Ramadhan. Cepatnya masa berlalu. 20 hari lagi Syawal datang menjelma. Kalau orang-orang alim, mereka pasti akan menangisi pemergian Ramadhan sehari ke sehari. Orang yang kurang alim (seperti saya) meraikan berlalunya Ramadhan sehari ke sehari dengan bermain mercun sampai putus jari tangan. Dah jadi budaya kita, asal masuk bulan puasa, meletup mercun, asal nak raya, berdentam-dentum bunyi mercun bergegar satu kampung. Namun, hidup dalam bulan Ramadhan ni rasa lebih tenang. Mungkin sebab kurang makan dan kepala asyik fikir nak banyakkan ibadat dan perbaiki amalan. Alhamdulillah...kalau boleh diteruskan ke bulan Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah sehinggalah berjumpa Ramadhan akan datang (InsyaAllah, jika dipanjangkan usia), memang terbaikkkk.

Ramadhan tahun ni agak berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Pertama sekali, ini kali pertama saya dan keluarga (suami dan anak-anak) berpuasa di tempat baru (Kajang, Selangor) yang mana harga makanan mahal sikit daripada tempat lama kami (Sungai Petani,). Nasib baik suami saya bukan kaki membeli sangat walaupun setiap hari secara purata pergi ke bazar. Yang dibelinya cuma sedikit kuih dan air tebu, kelapa atau soya. Tak rasa macam puasa kalau tak ada 3 jenis air ni. Lauk-pauk semuanya air tangan isteri. Alhamdulillah, walaupun menu mudah dan ringkas, yang paling penting selalu habis dan tak membazir. Kalau pun ada lebihan makanan, simpan dalam peti sejuk, kemudian panaskan untuk berbuka keesokkannya. Kesian orang-orang Somalia, Allah SWT uji mereka dengan kebuluran dan kemiskinan. Syukur kerana Allah SWT jadikan kita sebagai orang Malaysia yang makanan melimpah ruah bila tiba Ramadhan. Jadi, berbukalah secara sederhana dan jangan membazir. Jangan jadi saudara syaitan.

Keduanya, dalam sepuluh hari berpuasa ini, baru dua kali saja saya dan suami bangun bersahur sebelum waktu imsak. Yang selebihnya, kami sahur pukul 1 pagi ke atas. Imam tarawih saya selepas solat maghrib saja, harus lena dibuai mimpi. Anak-anak pula selalunya dalam pukul 9 malam, semua tidur sebab waktu siang banyak bermain. Kemudian, pukul 11 ke atas, mulalah jadi 'burung hantu'. Saya pun terpaksa turut serta menjadi ketua kumpulan 'burung hantu'. Pukul 12 pagi ke atas, barulah tok imam tarawih bangun lalu kami pun solat. Kalau nak bangun sahur pula pukul 5 pagi nanti, memang yakin dan pasti tak ada siapa yang akan menyahut deringan jam loceng yang dipasang walaupun di tepi telinga saja. Tidur mati belaka.

Itulah ragam kami sekeluarga menyambut Ramadhan. Ibadat perlu dijalankan tak kira masa. Jangan sekali-kali tinggal solat tarawih walaupun tak wajib. Bulan Ramadhan saja kita jumpa solat tarawih. Semoga Ramadhan tahun ini memberi impak positif kepada kehidupan kita akan datang.

Assolatu tarawih rahimakumullah...(kata imam)

Assolatu la ila haillallah...(sahut makmum)

Imam dah segar-bugar, makmum pula yang terkebil-kebil menguap sambil menggosok mata. Adoiii....Nak kutip pahala berjemaah punya pasal. Tenang, tenang...

Friday, August 5, 2011

TIGA BELAS


1. Bulu kening - Menurut Bukhari, Rasullulah melaknati perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening - Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki memakai gelang berloceng - Dan janganlah mereka (perempuan) menghentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan - Petikan dari S ura h An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah .

3. Wangian - Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang - Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada - Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka - Petikan dari S ura h An-Nur Ayat 31.

5. Gigi - Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya - Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher - Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan - Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja - Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan - Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya - Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata - Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya - Petikan dari S ura h An Nur Ayat 31.

Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara) - Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik - Petikan dari S ura h Al Ahzab Ayat 32.

Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi - Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan - Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka - Petikan dari S ura h An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian - Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud , An Nasaii dan Ibn Majah.
Petikan dari S ura h Al Ahzab Ayat 59.

Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya -
Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

13. Rambut - Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.




Renung-renungkan dan selamat beramal. masih belum terlambat untuk membetulkan kesilapan kita selagi belum tiba hari kiamat. Kepada mereka yang masih tunggu seru, tunggulah seru sangkakala tiba...


Wednesday, August 3, 2011

KU SERU?


Jeng, jeng, jeng.....

Pada suatu malam yang hening...

Ketika saya keseorangan...

melayari facebook dan blog-blog keseorangan....

Jeng, jeng, jeng....



Ini bukan Khamis malam Jumaat nak rasa seram-seram. Lagipun, ini bulan puasalah, bulan Ramadhan, tak ada maknanya nak feeling seram-seram sebab syaitan dan iblis semua dah kena rantai. Kalau manusia bertopengkan syaitan, memang banyaklah yang berkeliaran.

Sekejap saja 3 Ramadhan bakal meninggalkan kita semua beberapa jam lagi ketika entri ini ditaip dengan gigihnya. Tapi, tak segigih semasa saya nak siapkan tesis Master saya yang terakhir (kenangan yang sangat indah wei, bersimpul urat-urat neuron dan safron dalam kepala). Tepuk dada (jangan kuat sangat), tanyalah iman (tidak merujuk sama sekali kepada orang yang bernama Iman), adakah diri kita sudah sedikit/banyak/atau langsung tak berubah? Wah, kalau dalam bulan Ramadhan ini kita sibuk bertadarus al-Quran, memperbanyakkan solat sunat, bertarawih, memperkemaskan solat wajib, menjaga kesucian puasa kita daripada dinoda (puasa mata, telinga, mulut, kaki dan tangan daripada perkara-perkara membatalkan puasa) dan sebagainya, semoga momentum sebegini akan berterusan hingga ke sebelas bulan yang berikutnya. Kata orang kalau sesuatu perkara dilakukan selama 40 hari berturut-turut, insyaAllah akan mendarah-daging dalam rutin amalan kita nanti. Saya pernah cuba, tapi tak berjaya lagi setakat ini. Bukan senang nak buat amal 40 hari berturut-turut walaupun sekadar berzikir Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu akbar 33 kali setiap kali selepas solat. Kadang-kadang, selepas saja solat anak menangislah, teringat air yang sedang dijerang atas dapurlah dan sebagainya, maka terlupalah saya untuk melaksanakannya. Dugaan...tak sampai juga ke 40 hari.

Tapi, kalau kita sibuk menbeli-belah di bazar Ramadhan, beli makanan sampai tak cukup 10 jari tangan nak pegang, makan sampai kenyang, solat pun dengan perut yang berat, mata rasa nak pejam, akhirnya terlepas tarawih bahkan solat wajib pun habis tunggang-langgang,...oh, kawan, memang ada benda yang kita dah silap makan ni sampaikan dah lupa tujuan asal kita berpuasa. Ini bulan menambah ibadah, bukan menambah makan walaupun Ramadhan ini memang terkenal dengan pesta makanan. Jangan pelik kalau ada di kalangan kita bila habis saja bulan Ramadhan, beratnya lagi bertambah bukan semakin turun. Tak pasal-pasal nasi lemak yang dijual di kantin sekolah yang dipersalahkan. Inilah punca kanak-kanak Malaysia semakin obesiti, walhal orang dewasa pun tak ketinggalan. Menjadi obesiti kerana bazar Ramadhan? Salahkan tabiat pemakanan, jangan salahkan orang yang menjual makanan.

Itu baru muqadimah (sambil membetulkan jari-jemari dan pinggang). Berbalik kepada tujuan. Rata-rata orang kalau diajukan persoalan untuk berbuat kebaikan, kebiasaannya akan dijawab seperti contoh perbualan di bawah.

"Umur dah meningkat, bila kau nak solat?"..."Tak sampai seru lagilah".

"Bila nak pakai tudung?"......"Tak sampai seru lagilah".

"Bila nak baca al-Quran?"....."Tunggulah bila aku dah dapat hidayah nanti".

Begitulah kiranya jawapan kita. Semuanya dipulangkan kepada seru, hidayah, petunjuk and so on. Kalau tiba-tiba mati dengan tak solat, tak puasa, tak baca al-Quran, tak tutup aurat, takkan nak salahkan seru yang tak sampai-sampai, hidayah dan petunjuk yang tak datang-datang. Come on, bro/sis. Petunjuk, hidayah, seru atau apa saja yang sama waktu dengannya bukannya datang hanya sekadar berdoa lalu goyang kaki atas kerusi sambil menghirup udara segar di laman rumah, tiba-tiba hidayah, petunjuk dan seru itu jatuh terjelepuk ke riba. Ini bukan filem Harry Potter yang kesembilan. Tak payah berangan nak jadi JK Rowling. Silap-silap jadi bowling.

Dalam dunia ini, kalau inginkan sesuatu perlu disertakan dengan usaha. Kalau nak beli kereta Nissan Grand Livina warna putih siap dengan impul sekali, kenalah usahakan cari kerja supaya ada wang nak bayar ansuran kereta setiap bulan. Sama juga dengan hidayah, petunjuk dan seru yang selalu diguna pakai tu, perlu diusahakan selain berdoa. Takkan boleh kita dapat 4.0/10 A+ dalam peperiksaan kalau hanya berdoa tapi buku langsung tak baca atau ulangkaji. Caranya dengan banyak membaca buku-buku agama yang berkaitan, tanyalah Ustaz/ah, pergi kuliah agama, sertai usrah (yang tak sesat) dan sebagainya. Hendak seribu daya, tak hendak seribulah alasannya. Salahkan hidayah, petunjuk dan seru konon. Padahal hati tu yang tak mahu.

Setakat itu saja tazkirah 3 Ramadhan 1432H untuk peringatan kita bersama. Perkara yang wajib yang telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk kita lakukan seperti solat, puasa, zakat, tutup aurat dan sebagainya, tak perlu tunggu dapat hidayah, petunjuk, seru atau Misha Omar sekalipun, kita memang wajib lakukan seperti yang diperintah. Tak ada alasan. Membuat kebaikan dalam paksaan itu bukanlah hipokrit kawan, itu adalah usaha kita untuk membiasakan diri membuat kebaikan. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Jadikan Ramadhan kali ini sebagai permulaan untuk kita sama berubah ke arah yang lebih baik. Jangan semasa Ramadhan saja kita pakai tudung, solat, puasa, sedekah dan sebagainya. Kita bukannya menyembah Ramadhan tapi kita menyembah Allah SWT.


Wednesday, July 27, 2011

MOTIVASI

Kata-kata motivasi untuk hari ini:

"Wahai anak-anak, bawalah ibu dan bapamu ke syurga".

"Wahai ibu bapa, bawalah anak-anakmu juga ke syurga".

"Wahai para isteri, bawalah suami ke syurga".

"Wahai para suami, bawalah isterimu juga ke syurga".

Kuncinya:

Patuhlah pada suruhan Allah dan tinggalkan laranganNya seperti yang termaktub dalam al-Quran. Laksanakanlah ajaran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

SALAM RAMADHAN

Sunday, July 24, 2011

BUATMU ANAKANDA


Setahun yang lepas, dia lahir ke muka bumi dengan menggalas amanah yang telah diterimanya daripada Allah SWT untuk menjadi khalifahNya. Dia membesar saban hari dengan pelbagai ragam dan perilaku yang sedikit sebanyak mencerminkan bahawa dia adalah anak ibu dan abinya. Kadang-kadang dia membentak jika diambil barang dari tangannya. Selalunya dia menceriakan suasana dengan telatahnya yang bersahaja dan tersenyum girang dan manja. Tak kurang juga menangis apabila menjadi mangsa usikan si abang yang konon-kononnya lebih dulu minum susu darinya.

Dialah permata hati ibu dan abi yang mudah-mudahan membesar dengan penuh kelembutan seorang muslimah seperti namanya.

Ya, setahun sudah berlalu. Kini, kakinya sudah kuat bertatih menongkah arus angin, membelah halangan di laluannya. Buat anakanda ibu dan abi, Ummu'Auni, semoga membesar menjadi muslimah yang tabah dan kuat memegang al-Quran dan as-Sunnah.

Selamat hari lahir yang pertama buatmu.

Sayang dan kasih yang tulus buatmu daripada abi, ibu dan abang long.

TENGOK MEMANG SENANG?


Semalam pukul 7.30 malam, berbondong-bondong manusia di seluruh pelusuk Malaysia duduk khusyuk depan TV kerana penangan perlawanan bola sepak pasukan Malaysia menentang Singapura. Kalau ada ceramah tepi rumah pun pasti yang datang lebih ramai golongan wanita, anak-anak dan golongan lelaki yang bukan kaki bola. Disebabkan perlawanan ditayang secara langsung pada waktu Maghrib, mungkin ramai juga yang terbabas solatnya hanya kerana tidak mahu ketinggalan walau satu saat detik-detik pemain-pemain Malaysia menjaringkan gol. Percayalah jeritan penyokong di Stadium Jalan Besar, Singapura sama gempaknya dengan jeritan penyokong di Padang Besar, Malaysia tatkala gol dijaringkan. Boleh pecah gegendang telinga anak berusia 3 bulan.

Biarpun pasukan negara tewas 5-3 kepada Singapura tapi Malaysia mempunyai kelebihan jaringan gol di tempat lawan, itu kata pengulas sukan. Perasan tak bila setiap kali pasukan negara berlawan di tempat lawan, mereka akan tewas 1-2 gol kepada pihak lawan walaupun akhirnya mereka menang dengan kelebihan gol di tempat lawan. Itu apa yang saya rasa, tak ada kaitan dengan kebetulan atau apa-apa sumpahan. Secara logiknya bila kita berada di tempat lawan yang mana penontonnya menguasai stadium dengan sorakan yang sangat kuat memihak kepada lawan, sudah tentu psikologi pemain negara sedikit terganggu. Oh, budak darjah 6 tahun 2011 pun tahu.

Mujurlah pemain negara berjaya menjaringkan 2 lagi gol pada separuh masa kedua permainan. Bayangkan kalau Malaysia pula dengan jaringan 5-1 saja, pasti jurulatih K.Rajagobal dan anak-anak didiknya dihentam hebat oleh semua pihak, tambah pula Shafiq Rahim dikenakan kad merah. Kritikan dan kutukan akan kedengaran di seluruh pelusuk negara, 5-3 itu pun bakal mengundang pelbagai reaksi negatif daripada penonton.

"Apasallah si Shafiq Rahim tu tendang pemain Singapura, dah kurang seorang penjaring gol", kata peminat A sambil mengunyah kuaci dalam bungkusan kertas berwarna merah.

"La, sayang betullah tak masuk gol. Dah cantik dah Safee Sali pass bola tu ke pintu gol. Kenapa tak sepak ke depan sikit jauh daripada penjaga gol tu?", komen peminat B sambil memasukkan jarinya ke dalam bungkusan kuaci. Ada banyak lagi kuaci.

"Ala, pemain Malaysia ni, penyokong lawan sorak kuat sikit dah menggelabah, hilang fokus", komen si C. "Bak sikit kuaci tu".

"Kenapa tak letak Khairul Fahmi tu jadi penjaga gol? Tengok tu, Singapura asyik masuk gol jer", bentak si D, tak puas hati. "Setakat lompat sikit macam tu aku pun boleh. Sedap juga kuaci ni, jenama apa eh?".

"Haaa, patutlah Malaysia kalah. Ramai penyokong tak solat Maghrib kat rumah ni", kata si E yang berkopiah dan berkain pelekat keluar dari sebuah bilik. Wajahnya masih basah dengan wudhuk. Maka sesudah separuh masa pertama, si A, B, C, dan D solat jemaah di bahagian ruang tamu lalu yang lain-lain mengaminkan doa si A supaya pasukan Malaysia menang di Bukit Jalil nanti.

"Makan kuaci tak ajak aku. Eh, ada cap halal tak kuaci ni?", kata si E lalu memeriksa bungkusan kuaci dan terpampanglah simbol halal Jakim. "Alhamdulillah, boleh aku habiskan kuaci ni".

Memang senang mengkritik dari luar padang. Cubalah kita berada di posisi mereka, barangkali lebih teruk permainannya. Kata orang, cakap memang senang, cuba kalau kau main. Berat mata memandang, berat lagi kaki yang menyepak tau. Lebih-lebih lagi kalau kaki tersepak orang bukannya bola, tak pasal-pasal kena buang padang.

Memandang itu memang senang, ada saja cacat cela yang terpapar di pandangan mata kita tapi, melaksanakan itu yang susah. Kalau kalah dan salah, memang banyak kutukan dan kritikannya mengalahkan pujian dan penghargaan kemenangan. Silap haribulan penyokong yang kena main atas padang, pemain pula jadi penonton. Yang ditegur juga kalau tidak kena lagu dan iramanya, bakal menghadiahkan tamparan hebat kepada yang menegur.

Sama juga dalam kehidupan. Seringkali kutukan dan kritikan yang diberikan atas sesuatu kesalahan yang dipandang dibalas dengan kutukan dan kritikan juga.

"Adik, baju adik ni ketat sangat. Nampak habis bentuk badan, tak baik kalau orang lelaki tengok. Takut timbul perkara tak baik", kata seorang kakak kepada adiknya.

"Dah diorang ada mata, biarlah diorang tengok. Saya punya badan, saya punya sukalah nak pakai macam mana pun", balas si adik.

"Abang, maaf yer. Saya tengok abang solat laju sangat, tak ada toma'ninah",tegur seorang pemuda di sebuah surau R&R.

"Aku nak cepat, yang kau ikut tu sapa suruh", marah si fulan yang ditegur.

Begitulah ragam manusia yang seringkali tidak dapat menerima teguran yang berbaur kritikan. Tapi, kalau dipuji senyumnya lebih lebar daripada senyum kambing.

"Amboi, cantiknya baju", kata Bedah sambil membelek baju Melah yang bertaburan manik-manik berkilauan dari hujung leher sampailah ke hujung kaki.

"Mahal ni tau Melah. Bla..bla..bla..pok..pek..pok..pek". Seronok si Bedah nak cerita pasal bajunya dek kerana mengharapkan pujian. Walaupun dalam hati, Melah kata overnya si Bedah ni. Kalau diungkapkan mahu kena tempeleng percuma daripada Bedah.

Nabi mencela orang yang memuji:

“Taburkan tanah-tanah atas muka orang yang asyik memuji” (Riwayat Abu Daud)

“Rasulullah mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain dengan berlebihan dalam pujiannya, lalu Nabi menegur : "Kamu telah memotong leher lelaki tersebut" ( Riwayat Bukhari)

Hati-hati jika memuji dan dipuji, jangan masuk bakul angkat sendiri. Kalau mengkritik, utarakanlah kritikan yang membina bukan yang membinasa. Yang menerima kritikan, sekiranya kritikan bertujuan untuk memperbaiki, terimalah dengan lapang dada bukan dengan sikap bodoh sombong. Lebih-lebih lagi kalau dalam pengamalan agama. Bersyukur kerana Allah masih memberi peluang untuk kita memperbaiki iman dan amalan melalui teguran pihak lain. Kalau kritikan bertujuan memalukan, mengaibkan, menjatuhkan, tempeleng saja orang yang mengkritik atau buat bodo jer.

Semoga doa si A dimakbulkan hari Sabtu ni. Yang main bola tu jangan harapkan doa dan solat penyokong jer, pemain pun kalau tak solat memang tak ada maknanya. Kalau kalah, itu kerana kesalahan dan kealpaan kita sebagai hambaNya. Soal kalah atau menang itu Allah yang tentukan.