Jeng, jeng, jeng.....
Pada suatu malam yang hening...
Ketika saya keseorangan...
melayari facebook dan blog-blog keseorangan....
Jeng, jeng, jeng....
Ini bukan Khamis malam Jumaat nak rasa seram-seram. Lagipun, ini bulan puasalah, bulan Ramadhan, tak ada maknanya nak feeling seram-seram sebab syaitan dan iblis semua dah kena rantai. Kalau manusia bertopengkan syaitan, memang banyaklah yang berkeliaran.
Sekejap saja 3 Ramadhan bakal meninggalkan kita semua beberapa jam lagi ketika entri ini ditaip dengan gigihnya. Tapi, tak segigih semasa saya nak siapkan tesis Master saya yang terakhir (kenangan yang sangat indah wei, bersimpul urat-urat neuron dan safron dalam kepala). Tepuk dada (jangan kuat sangat), tanyalah iman (tidak merujuk sama sekali kepada orang yang bernama Iman), adakah diri kita sudah sedikit/banyak/atau langsung tak berubah? Wah, kalau dalam bulan Ramadhan ini kita sibuk bertadarus al-Quran, memperbanyakkan solat sunat, bertarawih, memperkemaskan solat wajib, menjaga kesucian puasa kita daripada dinoda (puasa mata, telinga, mulut, kaki dan tangan daripada perkara-perkara membatalkan puasa) dan sebagainya, semoga momentum sebegini akan berterusan hingga ke sebelas bulan yang berikutnya. Kata orang kalau sesuatu perkara dilakukan selama 40 hari berturut-turut, insyaAllah akan mendarah-daging dalam rutin amalan kita nanti. Saya pernah cuba, tapi tak berjaya lagi setakat ini. Bukan senang nak buat amal 40 hari berturut-turut walaupun sekadar berzikir Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu akbar 33 kali setiap kali selepas solat. Kadang-kadang, selepas saja solat anak menangislah, teringat air yang sedang dijerang atas dapurlah dan sebagainya, maka terlupalah saya untuk melaksanakannya. Dugaan...tak sampai juga ke 40 hari.
Tapi, kalau kita sibuk menbeli-belah di bazar Ramadhan, beli makanan sampai tak cukup 10 jari tangan nak pegang, makan sampai kenyang, solat pun dengan perut yang berat, mata rasa nak pejam, akhirnya terlepas tarawih bahkan solat wajib pun habis tunggang-langgang,...oh, kawan, memang ada benda yang kita dah silap makan ni sampaikan dah lupa tujuan asal kita berpuasa. Ini bulan menambah ibadah, bukan menambah makan walaupun Ramadhan ini memang terkenal dengan pesta makanan. Jangan pelik kalau ada di kalangan kita bila habis saja bulan Ramadhan, beratnya lagi bertambah bukan semakin turun. Tak pasal-pasal nasi lemak yang dijual di kantin sekolah yang dipersalahkan. Inilah punca kanak-kanak Malaysia semakin obesiti, walhal orang dewasa pun tak ketinggalan. Menjadi obesiti kerana bazar Ramadhan? Salahkan tabiat pemakanan, jangan salahkan orang yang menjual makanan.
Itu baru muqadimah (sambil membetulkan jari-jemari dan pinggang). Berbalik kepada tujuan. Rata-rata orang kalau diajukan persoalan untuk berbuat kebaikan, kebiasaannya akan dijawab seperti contoh perbualan di bawah.
"Umur dah meningkat, bila kau nak solat?"..."Tak sampai seru lagilah".
"Bila nak pakai tudung?"......"Tak sampai seru lagilah".
"Bila nak baca al-Quran?"....."Tunggulah bila aku dah dapat hidayah nanti".
Begitulah kiranya jawapan kita. Semuanya dipulangkan kepada seru, hidayah, petunjuk and so on. Kalau tiba-tiba mati dengan tak solat, tak puasa, tak baca al-Quran, tak tutup aurat, takkan nak salahkan seru yang tak sampai-sampai, hidayah dan petunjuk yang tak datang-datang. Come on, bro/sis. Petunjuk, hidayah, seru atau apa saja yang sama waktu dengannya bukannya datang hanya sekadar berdoa lalu goyang kaki atas kerusi sambil menghirup udara segar di laman rumah, tiba-tiba hidayah, petunjuk dan seru itu jatuh terjelepuk ke riba. Ini bukan filem Harry Potter yang kesembilan. Tak payah berangan nak jadi JK Rowling. Silap-silap jadi bowling.
Dalam dunia ini, kalau inginkan sesuatu perlu disertakan dengan usaha. Kalau nak beli kereta Nissan Grand Livina warna putih siap dengan impul sekali, kenalah usahakan cari kerja supaya ada wang nak bayar ansuran kereta setiap bulan. Sama juga dengan hidayah, petunjuk dan seru yang selalu diguna pakai tu, perlu diusahakan selain berdoa. Takkan boleh kita dapat 4.0/10 A+ dalam peperiksaan kalau hanya berdoa tapi buku langsung tak baca atau ulangkaji. Caranya dengan banyak membaca buku-buku agama yang berkaitan, tanyalah Ustaz/ah, pergi kuliah agama, sertai usrah (yang tak sesat) dan sebagainya. Hendak seribu daya, tak hendak seribulah alasannya. Salahkan hidayah, petunjuk dan seru konon. Padahal hati tu yang tak mahu.
Setakat itu saja tazkirah 3 Ramadhan 1432H untuk peringatan kita bersama. Perkara yang wajib yang telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk kita lakukan seperti solat, puasa, zakat, tutup aurat dan sebagainya, tak perlu tunggu dapat hidayah, petunjuk, seru atau Misha Omar sekalipun, kita memang wajib lakukan seperti yang diperintah. Tak ada alasan. Membuat kebaikan dalam paksaan itu bukanlah hipokrit kawan, itu adalah usaha kita untuk membiasakan diri membuat kebaikan. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Jadikan Ramadhan kali ini sebagai permulaan untuk kita sama berubah ke arah yang lebih baik. Jangan semasa Ramadhan saja kita pakai tudung, solat, puasa, sedekah dan sebagainya. Kita bukannya menyembah Ramadhan tapi kita menyembah Allah SWT.
No comments:
Post a Comment