Wednesday, August 10, 2011

SEPULUH RAMADHAN


Pejam, celik, sahur, pejam, celik, berbuka....dah masuk 10 Ramadhan. Cepatnya masa berlalu. 20 hari lagi Syawal datang menjelma. Kalau orang-orang alim, mereka pasti akan menangisi pemergian Ramadhan sehari ke sehari. Orang yang kurang alim (seperti saya) meraikan berlalunya Ramadhan sehari ke sehari dengan bermain mercun sampai putus jari tangan. Dah jadi budaya kita, asal masuk bulan puasa, meletup mercun, asal nak raya, berdentam-dentum bunyi mercun bergegar satu kampung. Namun, hidup dalam bulan Ramadhan ni rasa lebih tenang. Mungkin sebab kurang makan dan kepala asyik fikir nak banyakkan ibadat dan perbaiki amalan. Alhamdulillah...kalau boleh diteruskan ke bulan Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah sehinggalah berjumpa Ramadhan akan datang (InsyaAllah, jika dipanjangkan usia), memang terbaikkkk.

Ramadhan tahun ni agak berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Pertama sekali, ini kali pertama saya dan keluarga (suami dan anak-anak) berpuasa di tempat baru (Kajang, Selangor) yang mana harga makanan mahal sikit daripada tempat lama kami (Sungai Petani,). Nasib baik suami saya bukan kaki membeli sangat walaupun setiap hari secara purata pergi ke bazar. Yang dibelinya cuma sedikit kuih dan air tebu, kelapa atau soya. Tak rasa macam puasa kalau tak ada 3 jenis air ni. Lauk-pauk semuanya air tangan isteri. Alhamdulillah, walaupun menu mudah dan ringkas, yang paling penting selalu habis dan tak membazir. Kalau pun ada lebihan makanan, simpan dalam peti sejuk, kemudian panaskan untuk berbuka keesokkannya. Kesian orang-orang Somalia, Allah SWT uji mereka dengan kebuluran dan kemiskinan. Syukur kerana Allah SWT jadikan kita sebagai orang Malaysia yang makanan melimpah ruah bila tiba Ramadhan. Jadi, berbukalah secara sederhana dan jangan membazir. Jangan jadi saudara syaitan.

Keduanya, dalam sepuluh hari berpuasa ini, baru dua kali saja saya dan suami bangun bersahur sebelum waktu imsak. Yang selebihnya, kami sahur pukul 1 pagi ke atas. Imam tarawih saya selepas solat maghrib saja, harus lena dibuai mimpi. Anak-anak pula selalunya dalam pukul 9 malam, semua tidur sebab waktu siang banyak bermain. Kemudian, pukul 11 ke atas, mulalah jadi 'burung hantu'. Saya pun terpaksa turut serta menjadi ketua kumpulan 'burung hantu'. Pukul 12 pagi ke atas, barulah tok imam tarawih bangun lalu kami pun solat. Kalau nak bangun sahur pula pukul 5 pagi nanti, memang yakin dan pasti tak ada siapa yang akan menyahut deringan jam loceng yang dipasang walaupun di tepi telinga saja. Tidur mati belaka.

Itulah ragam kami sekeluarga menyambut Ramadhan. Ibadat perlu dijalankan tak kira masa. Jangan sekali-kali tinggal solat tarawih walaupun tak wajib. Bulan Ramadhan saja kita jumpa solat tarawih. Semoga Ramadhan tahun ini memberi impak positif kepada kehidupan kita akan datang.

Assolatu tarawih rahimakumullah...(kata imam)

Assolatu la ila haillallah...(sahut makmum)

Imam dah segar-bugar, makmum pula yang terkebil-kebil menguap sambil menggosok mata. Adoiii....Nak kutip pahala berjemaah punya pasal. Tenang, tenang...

2 comments:

  1. mood:: jalan-jalan blog sahabt...(bisikan hati dari-Nya utk smpai kesini...=)

    Alhamdulillah..

    mg dpt teruskn ibadah kak..

    mudah2hn amal diterima Allah..dan jadikn apa yg kt lakukn dinilai ibadah..

    salam ukhwah krn Allah...

    ReplyDelete
  2. salam ukhuwah buat adik,

    InsyaAllah, sama-sama kita doakan...nak berubah kepada lebih baik itu memang banyak halangan diri, yang penting adalah sebanyak mana usaha kita untuk terus istiqamah berubah...

    ReplyDelete