Semalam pukul 7.30 malam, berbondong-bondong manusia di seluruh pelusuk Malaysia duduk khusyuk depan TV kerana penangan perlawanan bola sepak pasukan Malaysia menentang Singapura. Kalau ada ceramah tepi rumah pun pasti yang datang lebih ramai golongan wanita, anak-anak dan golongan lelaki yang bukan kaki bola. Disebabkan perlawanan ditayang secara langsung pada waktu Maghrib, mungkin ramai juga yang terbabas solatnya hanya kerana tidak mahu ketinggalan walau satu saat detik-detik pemain-pemain Malaysia menjaringkan gol. Percayalah jeritan penyokong di Stadium Jalan Besar, Singapura sama gempaknya dengan jeritan penyokong di Padang Besar, Malaysia tatkala gol dijaringkan. Boleh pecah gegendang telinga anak berusia 3 bulan.
Biarpun pasukan negara tewas 5-3 kepada Singapura tapi Malaysia mempunyai kelebihan jaringan gol di tempat lawan, itu kata pengulas sukan. Perasan tak bila setiap kali pasukan negara berlawan di tempat lawan, mereka akan tewas 1-2 gol kepada pihak lawan walaupun akhirnya mereka menang dengan kelebihan gol di tempat lawan. Itu apa yang saya rasa, tak ada kaitan dengan kebetulan atau apa-apa sumpahan. Secara logiknya bila kita berada di tempat lawan yang mana penontonnya menguasai stadium dengan sorakan yang sangat kuat memihak kepada lawan, sudah tentu psikologi pemain negara sedikit terganggu. Oh, budak darjah 6 tahun 2011 pun tahu.
Mujurlah pemain negara berjaya menjaringkan 2 lagi gol pada separuh masa kedua permainan. Bayangkan kalau Malaysia pula dengan jaringan 5-1 saja, pasti jurulatih K.Rajagobal dan anak-anak didiknya dihentam hebat oleh semua pihak, tambah pula Shafiq Rahim dikenakan kad merah. Kritikan dan kutukan akan kedengaran di seluruh pelusuk negara, 5-3 itu pun bakal mengundang pelbagai reaksi negatif daripada penonton.
"Apasallah si Shafiq Rahim tu tendang pemain Singapura, dah kurang seorang penjaring gol", kata peminat A sambil mengunyah kuaci dalam bungkusan kertas berwarna merah.
"La, sayang betullah tak masuk gol. Dah cantik dah Safee Sali pass bola tu ke pintu gol. Kenapa tak sepak ke depan sikit jauh daripada penjaga gol tu?", komen peminat B sambil memasukkan jarinya ke dalam bungkusan kuaci. Ada banyak lagi kuaci.
"Ala, pemain Malaysia ni, penyokong lawan sorak kuat sikit dah menggelabah, hilang fokus", komen si C. "Bak sikit kuaci tu".
"Kenapa tak letak Khairul Fahmi tu jadi penjaga gol? Tengok tu, Singapura asyik masuk gol jer", bentak si D, tak puas hati. "Setakat lompat sikit macam tu aku pun boleh. Sedap juga kuaci ni, jenama apa eh?".
"Haaa, patutlah Malaysia kalah. Ramai penyokong tak solat Maghrib kat rumah ni", kata si E yang berkopiah dan berkain pelekat keluar dari sebuah bilik. Wajahnya masih basah dengan wudhuk. Maka sesudah separuh masa pertama, si A, B, C, dan D solat jemaah di bahagian ruang tamu lalu yang lain-lain mengaminkan doa si A supaya pasukan Malaysia menang di Bukit Jalil nanti.
"Makan kuaci tak ajak aku. Eh, ada cap halal tak kuaci ni?", kata si E lalu memeriksa bungkusan kuaci dan terpampanglah simbol halal Jakim. "Alhamdulillah, boleh aku habiskan kuaci ni".
Memang senang mengkritik dari luar padang. Cubalah kita berada di posisi mereka, barangkali lebih teruk permainannya. Kata orang, cakap memang senang, cuba kalau kau main. Berat mata memandang, berat lagi kaki yang menyepak tau. Lebih-lebih lagi kalau kaki tersepak orang bukannya bola, tak pasal-pasal kena buang padang.
Memandang itu memang senang, ada saja cacat cela yang terpapar di pandangan mata kita tapi, melaksanakan itu yang susah. Kalau kalah dan salah, memang banyak kutukan dan kritikannya mengalahkan pujian dan penghargaan kemenangan. Silap haribulan penyokong yang kena main atas padang, pemain pula jadi penonton. Yang ditegur juga kalau tidak kena lagu dan iramanya, bakal menghadiahkan tamparan hebat kepada yang menegur.
Sama juga dalam kehidupan. Seringkali kutukan dan kritikan yang diberikan atas sesuatu kesalahan yang dipandang dibalas dengan kutukan dan kritikan juga.
"Adik, baju adik ni ketat sangat. Nampak habis bentuk badan, tak baik kalau orang lelaki tengok. Takut timbul perkara tak baik", kata seorang kakak kepada adiknya.
"Dah diorang ada mata, biarlah diorang tengok. Saya punya badan, saya punya sukalah nak pakai macam mana pun", balas si adik.
"Abang, maaf yer. Saya tengok abang solat laju sangat, tak ada toma'ninah",tegur seorang pemuda di sebuah surau R&R.
"Aku nak cepat, yang kau ikut tu sapa suruh", marah si fulan yang ditegur.
Begitulah ragam manusia yang seringkali tidak dapat menerima teguran yang berbaur kritikan. Tapi, kalau dipuji senyumnya lebih lebar daripada senyum kambing.
"Amboi, cantiknya baju", kata Bedah sambil membelek baju Melah yang bertaburan manik-manik berkilauan dari hujung leher sampailah ke hujung kaki.
"Mahal ni tau Melah. Bla..bla..bla..pok..pek..pok..pek". Seronok si Bedah nak cerita pasal bajunya dek kerana mengharapkan pujian. Walaupun dalam hati, Melah kata overnya si Bedah ni. Kalau diungkapkan mahu kena tempeleng percuma daripada Bedah.
Nabi mencela orang yang memuji:
“Taburkan tanah-tanah atas muka orang yang asyik memuji” (Riwayat Abu Daud)
“Rasulullah mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain dengan berlebihan dalam pujiannya, lalu Nabi menegur : "Kamu telah memotong leher lelaki tersebut" ( Riwayat Bukhari)
Hati-hati jika memuji dan dipuji, jangan masuk bakul angkat sendiri. Kalau mengkritik, utarakanlah kritikan yang membina bukan yang membinasa. Yang menerima kritikan, sekiranya kritikan bertujuan untuk memperbaiki, terimalah dengan lapang dada bukan dengan sikap bodoh sombong. Lebih-lebih lagi kalau dalam pengamalan agama. Bersyukur kerana Allah masih memberi peluang untuk kita memperbaiki iman dan amalan melalui teguran pihak lain. Kalau kritikan bertujuan memalukan, mengaibkan, menjatuhkan, tempeleng saja orang yang mengkritik atau buat bodo jer.Semoga doa si A dimakbulkan hari Sabtu ni. Yang main bola tu jangan harapkan doa dan solat penyokong jer, pemain pun kalau tak solat memang tak ada maknanya. Kalau kalah, itu kerana kesalahan dan kealpaan kita sebagai hambaNya. Soal kalah atau menang itu Allah yang tentukan.
No comments:
Post a Comment