Saya amat terkejut dan terkilan bila membaca petikan akhbar seperti di bawah:
KUALA LUMPUR 6 Mei - Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.
"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).
"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan memandangkan kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.
Awang Adek mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu, tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.
Komen saya:
Walaupun kebanyakan daripada kita bukanlah golongan profesional, 'arif, alim ulama' dan mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam agama, namun hal judi memang semua dah maklum dan jelas akan kemudaratan dan hukumnya yang haram di segi agama. Ia juga salah dari segi moral dan akhlak manusia atas keburukannya yang lebih banyak daripada kebaikan. Bahkan sebenarnya tiada satu pun kebaikan yang dapat diperolehi melalui perjudian.
Sedihnya bila pernyataan sebegini diutarakan oleh mereka yang menganut agama Islam, yang kita harapkan memahami dan mengamalkan Islam itu sendiri. Saya pasti mana-mana agama sekalipun tidak membenarkan amalan perjudian di kalangan penganut masing-masing. Ini bukan soal yang menyatakan itu dari parti mana..tetapi sebaiknya hal ini dipandang dari sudut agama yang paling utama dan kemudian impaknya nanti kepada masyarakat tanpa mengira bangsa dan umur.
Bagi saya, komen daripada Ustaz Zaharuddin lebih sesuai dan layak untuk dibaca dan direnung bersama.
No comments:
Post a Comment