Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana masih memberi kita peluang untuk menikmati nikmat hidup di atas muka bumiNya. Alhamdulillah, kita masih dikelilingi insan-insan yang tersayang, menikmati segala perubahan yangberlaku dalam kehidupan saban waktu.
Bulan ini, kandungan saya sudah mencecah usia 7 bulan ++. Due date bersalin dah semakin hampir. Mudah-mudahan saya dapat siapkan tesis seberapa segera sebelum si kecil dalam perut ini lahir ke dunia. Jadi, masa berpantang nanti bolehlah saya berehat sepuas-puasnya tanpa perlu memikirkan soal bebanan kerja buat seketika. Si kecil dalam perut sekarang semakin aktif menendang dan bergerak. Kadang-kadang, tengah malam pun boleh rasa pergerakkannya. Sama aktif macam Abang Long dulu. Semoga kedua-dua si kecil ini sihat sentiasa membesar di dalam dan luar perut ibu.
Kondisi kesihatan saya pun alhamdulillah agak baik. Semoga berterusan baik hingga bersalin nanti. Cuma kadang-kadang diserang pening secara tiba-tiba dan lenguh-lenguh badan, pinggang dan kaki. Mujur ada 'kerusi urut' yang sudi membantu menghilangkan rasa lenguh yang menyerang tidak kira masa dan tempat.
Sebaik saya disahkan mengandung buat kali kedua, Ziyad mula menunjukkan reaksi tidak mahu mendekati saya hatta mendukungnya sekalipun. Mungkin itu tanda-tanda dia mula menanam sifat cemburu kepada si kecil di dalam perut saya. Dia lebih suka didukung oleh Abi (pantang Abi hilang dari pandangan mulalah mencari-cari dan menangis). Melainkan kalau tiada sesiapa selain saya di rumah, barulah perhatiannya kembali mencari dan mendekati Ibunya. Kiranya, saya ni pilihan terakhir yang dia ada...
Kebelakangan ini saya dan suami perasan akan perubahan sikap Ziyad. Dia dah semakin kerap merajuk kalau tak didukung atau barang yang dipegangnya diambil (terutamanya barang-barang yang boleh mendatangkan bahaya dan mudarat pada dia). Mulalah dia meniarap di lantai sambil menekup muka ataupun mengadap ke dinding membelakangkan Ibu dan Abi. Kadang-kadang dia mengamuk, habis dibalingnya barang-barang yang boleh dicapai. Pening nak melayan kerenah anak teruna seorang ni. Mujur Abi penyabar. Setiap kali Ziyad buat perangai abi lah yang melayan dan memujuknya.
Bila saya berbincang dengan suami, mungkin sikap yang ditunjukkan Ziyad sekarang ini datang dari sikap saya semasa mengandungkannya. Di awal saya mengandungkan Ziyad, saya kerap merajuk, marah-marah dan menangis. Salah satu sebabnya kerana saya kerap berjauhan dengan suami yang dihantar bekerja jauh. 2 minggu ke sebulan sekali saja boleh berjumpa dengan suami. Ditambah pula stres dengan bebanan kerja. Saya jadi kurang sabar dan sensitif bila ada sesuatu yang mengguris hati saya ketika itu. Tak sangka, Ziyad pula menerima tempias sikap saya itu.
Namun, disebalik sikap suka marah, mengamuk dan merajuk itu, Ziyad biasanya ceria dan suka ketawa kalau diacah dan diajak bermain bersama. Aktif berjalan ke sana-sini mengembara kawasan-kawasan baru di dalam rumah. Mungkin itu juga disebabkan pengaruh sikap saya juga sebab dulu aktif bergerak ke sana-sini. Kemudian, suami saya bertukar kerja yang tidak perlu lagi tinggal berjauhan dengan saya. Maka, emosi saya berubah menjadi lebih stabil bila ada suami di sisi.
Fasa mengandung kali kedua ini pun, kadang-kadang sikap negatif tu datang balik dalam diri bila Ziyad buat perangai atau pun mengganggu saya membuat kerja-kerja di rumah. Tapi, saya cuba juga menahan diri supaya tidak terlalu mengikut emosi walaupun kadang-kadang terlepas juga satu dua tamparan dan cubitan di lengan si kecil Ziyad. Orang dah marah, bukannya boleh fikir orang yang dimarah tu kecil atau besar, faham apa yang dicakapkan atau tidak. Hasutan syaitan belaka. Ubat untuk mengatasinya adalah perlu kembali kepada Allah SWT dengan bersolat dan banyak membaca al-Quran untuk kembali mendapat ketenangan jiwa.
Memang tak dapat dinafikan, betapa dekatnya emosi seorang ibu dengan anaknya sejak dalam kandungan lagi. Setiap apa yang ibu buat, sedikit sebanyak akan mempengaruhi emosi dan perlakuan anak apabila lahir kelak. Kesimpulannya buat para bakal ibu, banyakkan mendidik diri menjadi sabar dengan ragam anak-anak. Jangan biarkan diri dilanda stres yang berpanjangan. Semua sikap negatif ini akan mempengaruhi kehidupan anak kemudiannya. Jadi, jangan salahkan orang lain kalau anak degil, kuat mengamuk, panas baran dan sebagainya, kerana puncanya mungkin datang dari ibu atau bapanya sendiri.
Demi untuk menyiapkan tesis, saya terpaksa menghantar Ziyad pulang ke kampung untuk dijaga oleh Maktok, makcik-makcik dan pakcik-pakciknya. Dalam keadaan mengandung dan dibebani timbunan kerja, tahap kesabaran saya akan semakin menipis. Tak sanggup nak marah-marah dan memukul si kecil yang tak faham apa-apa. Tapi, bila Ziyad tak ada di rumah Ibu rasa rindu sangatttt kat Ziyad.....
No comments:
Post a Comment