Monday, May 10, 2010

HARI IBU

Semalam saya telefon ke Pendang, seperti biasa bertanyakan perihal si teruna yang sudah seminggu berada di sana. Rasa rindu pada keletahnya yang menghiburkan dan memeningkan kepala pada masa yang sama. Sebaik saja telefon berbunyi, Ziyad mulalah berbicara dalam bahasa bayinya sambil menjerit-jerit girang di sebalik corong telefon.


"Ziyad, cepat ucap selamat hari ibu!!!", kata Mak Lang Ziyad iaitu adik saya, kepada si kecil itu yang tidak langsung memahami apa itu Hari Ibu. Dia terus bercakap dalam bahasanya sampaikan suara saya pun tenggelam timbul dalam keramahan si kecil.


Pentingkah untuk seorang anak mengucap dan menyambut Selamat Hari Ibu kepada ibunya?


Rata-rata masyarakat akan memberikan jawapan penting. Ucapan dan sambutan adalah tanda kita menghargainya sebagai ibu yang melahirkan dan membesarkan kita. Tak ada salahnya. Tapi, cukupkah hanya dengan ucapan dan sambutan yang setahun sekali itu untuk membalas segala pengorbanan dan jasa ibu? Saya seorang ibu dan saya tahu betapa peritnya menjadi ibu.


Bagi saya, tiada gunanya ucapan dan sambutan yang cuma setahun sekali itu jika:


1) hati ibu disakiti dan diguris setiap hari


2) anak membiarkan ibu ternanti-nanti kepulangan dan panggilan dari kejauhan sebagai pelepas rindu


3) ibu dibiarkan terlantar sakit di katil tanpa penjagaan dan perhatian daripada anak


4) ibu dibiarkan tidur di rumah yang usang sedangkan anak tidur lena di istana


5) ibu makan nasi kosong sedangkan anak berlaukkan ayam, daging dan sebagainya


6) ibu tua berjalan jauh merentas bahang panas menjaja hasil tangan untuk menyara hidupnya sedangkan anak duduk senang-lenang dalam pejabat yang berhawa dingin


...dan banyak lagi.


Seorang ibu tak mengharapkan wang ringgit daripada anak-anak. Dia tak mengharapkan kemewahan. Yang penting si anak dapat menjaganya sebaik mungkin. Tidak melupakannya walaupun sesibuk mana sekalipun menjalankan kerja.


Saya tidak menyambut Hari Ibu dan tiada hadiah buat Ibu saya pada tahun ini tidak seperti tahun-tahun lain. Tapi, satu perkara yang saya tak pernah tinggal selama saya hidup sehingga sekarang adalah doa saya buat kesejahteraan Ibu di dunia dan di akhirat. Juga buat Ibu mertua saya. Semoga saya dan suami serta adik-adik saya diberi kekuatan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak dengan sebaiknya. Takkan saya lupakan pengorbanan Ibu saya membesarkan saya dengan susah payahnya. InsyaAllah...


Selamat Hari Ibu buat Mama dan Ma..Semoga sentiasa dipanjangkan amalan dan diberkati umur oleh Allah SWT.


Ma (tiga dari kanan) dan Mama (dua dari kanan) semasa di
majlis perkahwinan saya dan suami

No comments:

Post a Comment