Monday, May 17, 2010

KAU PERGI JUA...

In memory of my late father..

Mohd Nadzim bin Hj Ismail

20/11/1956 to 15/5/2010

He passed away at the age of 54 years old

Al-fatihah..Semoga rohnya dirahmati dan ditempatkan bersama para solehin

Monday, May 10, 2010

HARI IBU

Semalam saya telefon ke Pendang, seperti biasa bertanyakan perihal si teruna yang sudah seminggu berada di sana. Rasa rindu pada keletahnya yang menghiburkan dan memeningkan kepala pada masa yang sama. Sebaik saja telefon berbunyi, Ziyad mulalah berbicara dalam bahasa bayinya sambil menjerit-jerit girang di sebalik corong telefon.


"Ziyad, cepat ucap selamat hari ibu!!!", kata Mak Lang Ziyad iaitu adik saya, kepada si kecil itu yang tidak langsung memahami apa itu Hari Ibu. Dia terus bercakap dalam bahasanya sampaikan suara saya pun tenggelam timbul dalam keramahan si kecil.


Pentingkah untuk seorang anak mengucap dan menyambut Selamat Hari Ibu kepada ibunya?


Rata-rata masyarakat akan memberikan jawapan penting. Ucapan dan sambutan adalah tanda kita menghargainya sebagai ibu yang melahirkan dan membesarkan kita. Tak ada salahnya. Tapi, cukupkah hanya dengan ucapan dan sambutan yang setahun sekali itu untuk membalas segala pengorbanan dan jasa ibu? Saya seorang ibu dan saya tahu betapa peritnya menjadi ibu.


Bagi saya, tiada gunanya ucapan dan sambutan yang cuma setahun sekali itu jika:


1) hati ibu disakiti dan diguris setiap hari


2) anak membiarkan ibu ternanti-nanti kepulangan dan panggilan dari kejauhan sebagai pelepas rindu


3) ibu dibiarkan terlantar sakit di katil tanpa penjagaan dan perhatian daripada anak


4) ibu dibiarkan tidur di rumah yang usang sedangkan anak tidur lena di istana


5) ibu makan nasi kosong sedangkan anak berlaukkan ayam, daging dan sebagainya


6) ibu tua berjalan jauh merentas bahang panas menjaja hasil tangan untuk menyara hidupnya sedangkan anak duduk senang-lenang dalam pejabat yang berhawa dingin


...dan banyak lagi.


Seorang ibu tak mengharapkan wang ringgit daripada anak-anak. Dia tak mengharapkan kemewahan. Yang penting si anak dapat menjaganya sebaik mungkin. Tidak melupakannya walaupun sesibuk mana sekalipun menjalankan kerja.


Saya tidak menyambut Hari Ibu dan tiada hadiah buat Ibu saya pada tahun ini tidak seperti tahun-tahun lain. Tapi, satu perkara yang saya tak pernah tinggal selama saya hidup sehingga sekarang adalah doa saya buat kesejahteraan Ibu di dunia dan di akhirat. Juga buat Ibu mertua saya. Semoga saya dan suami serta adik-adik saya diberi kekuatan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak dengan sebaiknya. Takkan saya lupakan pengorbanan Ibu saya membesarkan saya dengan susah payahnya. InsyaAllah...


Selamat Hari Ibu buat Mama dan Ma..Semoga sentiasa dipanjangkan amalan dan diberkati umur oleh Allah SWT.


Ma (tiga dari kanan) dan Mama (dua dari kanan) semasa di
majlis perkahwinan saya dan suami

KEMBALI KE KMPP


Alhamdulillah, saya baru saja pulang dari menghantar adik saya ke Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) hari ini. Tempat yang sama yang pernah saya huni selama setahun dahulu. Tempat ini jugalah yang mengajar saya untuk hidup berdikari buat pertama kalinya menetap jauh daripada keluarga. Padahal, perjalanan dari Pendang ke Bertam ambil masa selama 40-45 minit saja. Tapi asyik homesick aje..

Sebaik saja memijakkan kaki ke bumi yang pernah saya duduki dulu selama setahun, banyak kenangan manis datang menjengah kembali fikiran. Suasana dan persekitaran dah nampak sedikit berubah. Dulu tanahnya gersang daripada kehijauan pokok. Sampaikan memijak rumput di bumi KMPP itu merupakan satu kesalahan besar pada ketika itu. Terima kasih buat En. Manan di atas keprihatinan menjaga survival rumput-rumput itu kalau tidak generasi hari ini tak merasa untuk melihat kehijauan rumput di KMPP. Sekarang nampak cantik sikit dihiasi pohon-pohon hijau yang sejuk mata memandang selain pemandangan sawah padi dan lebuh raya yang terbentang.

Semoga adik saya dapat berdikari dan berjaya dengan cemerlang. Tiba-tiba teringatkan kawan-kawan lama di KMPP. Kawan-kawan yang simbah saya dengan air sabun, pecahkan telur di bahu saya, yang suka baling bantal, suka mengusik, suka diusik, selalu tidur 2-3 orang atas satu katil, yang suka ketawa mengilai-ngilai, yang suka 'menyewa tanpa bayaran' di bilik saya, yang suka memasak dalam rice cooker (kantoiii...), geng-geng jemaah solat tarawih, geng-geng buka puasa dan yang sentiasa bantu-membantu antara satu sama lain dalam segalanya.

Semoga suatu hari nanti kita dapat bersua dan berkongsi kisah-kisah suka duka kita semasa di KMPP dulu...

Sunday, May 9, 2010

RAKYAT MALAYSIA DAH 'HALAL' BERJUDI???

Saya amat terkejut dan terkilan bila membaca petikan akhbar seperti di bawah:


KUALA LUMPUR 6 Mei - Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan memandangkan kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Awang Adek mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu, tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.


Komen saya:

Walaupun kebanyakan daripada kita bukanlah golongan profesional, 'arif, alim ulama' dan mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam agama, namun hal judi memang semua dah maklum dan jelas akan kemudaratan dan hukumnya yang haram di segi agama. Ia juga salah dari segi moral dan akhlak manusia atas keburukannya yang lebih banyak daripada kebaikan. Bahkan sebenarnya tiada satu pun kebaikan yang dapat diperolehi melalui perjudian.


Sedihnya bila pernyataan sebegini diutarakan oleh mereka yang menganut agama Islam, yang kita harapkan memahami dan mengamalkan Islam itu sendiri. Saya pasti mana-mana agama sekalipun tidak membenarkan amalan perjudian di kalangan penganut masing-masing. Ini bukan soal yang menyatakan itu dari parti mana..tetapi sebaiknya hal ini dipandang dari sudut agama yang paling utama dan kemudian impaknya nanti kepada masyarakat tanpa mengira bangsa dan umur.


Bagi saya, komen daripada Ustaz Zaharuddin lebih sesuai dan layak untuk dibaca dan direnung bersama.

Thursday, May 6, 2010

IBU BOREK, ANAK RINTIK

Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana masih memberi kita peluang untuk menikmati nikmat hidup di atas muka bumiNya. Alhamdulillah, kita masih dikelilingi insan-insan yang tersayang, menikmati segala perubahan yangberlaku dalam kehidupan saban waktu.


Bulan ini, kandungan saya sudah mencecah usia 7 bulan ++. Due date bersalin dah semakin hampir. Mudah-mudahan saya dapat siapkan tesis seberapa segera sebelum si kecil dalam perut ini lahir ke dunia. Jadi, masa berpantang nanti bolehlah saya berehat sepuas-puasnya tanpa perlu memikirkan soal bebanan kerja buat seketika. Si kecil dalam perut sekarang semakin aktif menendang dan bergerak. Kadang-kadang, tengah malam pun boleh rasa pergerakkannya. Sama aktif macam Abang Long dulu. Semoga kedua-dua si kecil ini sihat sentiasa membesar di dalam dan luar perut ibu.

Kondisi kesihatan saya pun alhamdulillah agak baik. Semoga berterusan baik hingga bersalin nanti. Cuma kadang-kadang diserang pening secara tiba-tiba dan lenguh-lenguh badan, pinggang dan kaki. Mujur ada 'kerusi urut' yang sudi membantu menghilangkan rasa lenguh yang menyerang tidak kira masa dan tempat.

Sebaik saya disahkan mengandung buat kali kedua, Ziyad mula menunjukkan reaksi tidak mahu mendekati saya hatta mendukungnya sekalipun. Mungkin itu tanda-tanda dia mula menanam sifat cemburu kepada si kecil di dalam perut saya. Dia lebih suka didukung oleh Abi (pantang Abi hilang dari pandangan mulalah mencari-cari dan menangis). Melainkan kalau tiada sesiapa selain saya di rumah, barulah perhatiannya kembali mencari dan mendekati Ibunya. Kiranya, saya ni pilihan terakhir yang dia ada...

Kebelakangan ini saya dan suami perasan akan perubahan sikap Ziyad. Dia dah semakin kerap merajuk kalau tak didukung atau barang yang dipegangnya diambil (terutamanya barang-barang yang boleh mendatangkan bahaya dan mudarat pada dia). Mulalah dia meniarap di lantai sambil menekup muka ataupun mengadap ke dinding membelakangkan Ibu dan Abi. Kadang-kadang dia mengamuk, habis dibalingnya barang-barang yang boleh dicapai. Pening nak melayan kerenah anak teruna seorang ni. Mujur Abi penyabar. Setiap kali Ziyad buat perangai abi lah yang melayan dan memujuknya.


Bila saya berbincang dengan suami, mungkin sikap yang ditunjukkan Ziyad sekarang ini datang dari sikap saya semasa mengandungkannya. Di awal saya mengandungkan Ziyad, saya kerap merajuk, marah-marah dan menangis. Salah satu sebabnya kerana saya kerap berjauhan dengan suami yang dihantar bekerja jauh. 2 minggu ke sebulan sekali saja boleh berjumpa dengan suami. Ditambah pula stres dengan bebanan kerja. Saya jadi kurang sabar dan sensitif bila ada sesuatu yang mengguris hati saya ketika itu. Tak sangka, Ziyad pula menerima tempias sikap saya itu.


Namun, disebalik sikap suka marah, mengamuk dan merajuk itu, Ziyad biasanya ceria dan suka ketawa kalau diacah dan diajak bermain bersama. Aktif berjalan ke sana-sini mengembara kawasan-kawasan baru di dalam rumah. Mungkin itu juga disebabkan pengaruh sikap saya juga sebab dulu aktif bergerak ke sana-sini. Kemudian, suami saya bertukar kerja yang tidak perlu lagi tinggal berjauhan dengan saya. Maka, emosi saya berubah menjadi lebih stabil bila ada suami di sisi.


Fasa mengandung kali kedua ini pun, kadang-kadang sikap negatif tu datang balik dalam diri bila Ziyad buat perangai atau pun mengganggu saya membuat kerja-kerja di rumah. Tapi, saya cuba juga menahan diri supaya tidak terlalu mengikut emosi walaupun kadang-kadang terlepas juga satu dua tamparan dan cubitan di lengan si kecil Ziyad. Orang dah marah, bukannya boleh fikir orang yang dimarah tu kecil atau besar, faham apa yang dicakapkan atau tidak. Hasutan syaitan belaka. Ubat untuk mengatasinya adalah perlu kembali kepada Allah SWT dengan bersolat dan banyak membaca al-Quran untuk kembali mendapat ketenangan jiwa.

Memang tak dapat dinafikan, betapa dekatnya emosi seorang ibu dengan anaknya sejak dalam kandungan lagi. Setiap apa yang ibu buat, sedikit sebanyak akan mempengaruhi emosi dan perlakuan anak apabila lahir kelak. Kesimpulannya buat para bakal ibu, banyakkan mendidik diri menjadi sabar dengan ragam anak-anak. Jangan biarkan diri dilanda stres yang berpanjangan. Semua sikap negatif ini akan mempengaruhi kehidupan anak kemudiannya. Jadi, jangan salahkan orang lain kalau anak degil, kuat mengamuk, panas baran dan sebagainya, kerana puncanya mungkin datang dari ibu atau bapanya sendiri.


Demi untuk menyiapkan tesis, saya terpaksa menghantar Ziyad pulang ke kampung untuk dijaga oleh Maktok, makcik-makcik dan pakcik-pakciknya. Dalam keadaan mengandung dan dibebani timbunan kerja, tahap kesabaran saya akan semakin menipis. Tak sanggup nak marah-marah dan memukul si kecil yang tak faham apa-apa. Tapi, bila Ziyad tak ada di rumah Ibu rasa rindu sangatttt kat Ziyad.....

Tuesday, May 4, 2010

PADA-MU AKU BERSUJUD


Ku menatap dalam kelam
Tiada yang bisa ku lihat
Selain hanya nama-Mu Ya Allah

Esok ataukah nanti
Ampuni semua salahku
Lindungi aku dari segala fitnah

Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
Jadikan aku selamanya
Hamba-Mu yang selalu bertakwa

Ampuniku Ya Allah
Yang sering melupakan-Mu
Saat Kau limpahkan karunia-Mu
Dalam sunyi aku bersujud

Pada-MU






**syahdu dan menginsafkan**

Sunday, May 2, 2010

SELAMAT PENGANTIN BARU




Ucapan tahniah buat teman seguruku di USM yang sudah menjadi Puan Fadzilah Kamaludin..


Selamat pengantin baru..


Semoga bahagia menempuah alam rumah tangga di dunia dan juga di akhirat sana...


p/s: kepada Puan FK, minta maaf sebab tak dapat nak pergi kenduri yang berlangsung kelmarin walaupun hati kecil saya ni teringin nak menjejakkan kaki ke bumi Johor...'model ekonomi baru' keluarga masih belum stabil untuk mengembara...



kenangan 2 tahun yang lalu semasa mula melangkah ke alam isteri kepada suamiku..so sweeeeetttt!!!!