Friday, May 15, 2009

ADIK OH ADIK

Saturday, December 2nd, 2006 (copy from my blog in Friendster)

KES 1

Suatu petang Jumaat, saya melemparkan pandangan ke luar jendela bas Bumiwira Express, memerhatikan karakter-karakter manusia yang pelbagai di sekitar stesyen bas. Pemandu belum kelihatan di kerusi miliknya. Ada beberapa minit lagi sebelum bas yang saya naiki itu bertolak dari Parit Buntar ke Butterworth yang perjalanannya memakan masa selama satu jam melalui highway. Penumpang-penumpang mula memenuhi kerusi-kerusi kosong di dalam bas tapi, tempat duduk di sebelah saya ini masih belum ada penyinggahnya.

Begitu asyik saya membuat ‘observation’ pada manusia, tiba-tiba sesuatu singgah di riba. Segera saya belek barang yang diterima daripada ‘pemberi’ misteri yang hilang menuju ke tempat duduk belakang. Ya Allah, senaskah Yasin rupanya. nampaknya, saya bakal bersua lagi dengan si ‘pemberi’ misteri itu kerana sudah masuk kali kedua naskah Yasin yang serupa ‘menyapa’ saya dalam bisikannya.
"Ish..baru ja beli minggu lepas" saya mengomel sendirian. Syaitan mula memanah hasutan. Saya menanti kehadiran si pemberi itu sambil mencari-cari alasan untuk menolak pemberian berbayarnya kali ini. namun, jauh di sudut hati rasa kasihan mula bertandang. Tak sampai hati untuk memulangkan semula senaskah Yasin kecil berwarna biru gelap itu kepada si pemberi meskipun bayaran bakal ditagih sebentar nanti.

Rasa hati yang berat tadi seolah-olah hilang bila terpandang wajah comel adik itu. Seorang budak lelaki comel, berT-shirt putih biasa, berkopiah. Pantas jari-jemari ini menyeluk poket beg mencari dua keping RM1 untuk diberi. Tangannya menggenggam erat lebihan naskah-naskah Yasin yang tidak dapat dijual. Saya melirik langkah adik itu menuruni anak-anak tangga bas lalu tanpa segan silu menyapa orang-orang yang berada di sekitar stesyen sambil menghulurkan naskah Yasin di tangannya. Rata-rata manusia yang berada di situ menggeleng sebagai tanda tidak mahu, tidak kurang juga yang buat tak tahu seolah-olah insan kecil itu tidak wujud sama sekali. Kelihatan seorang lagi budak lelaki yang seiras wajah adik tadi.Berdasarkan saiz badan budak itu, saya mengagak barangkali mereka adik-beradik. Tidak kelihatan naskah-naskah Yasin tapi, di jari telunjuknya tergantung ‘keychain’ ayat-ayat al-Quran. Akhirnya, kedua beradik itu berlalu setelah tiada insan yang sudi menerima ‘pemberian’ mereka yang berbayar itu.

KES 2

Suatu petang setelah pulang ke kampung dari kampus, saya berkesempatan menunaikan solat Asar di Masjid al-Bukhary di Langgar, Alor Setar yang begitu indah binaannya menyerupai masjid Putra di Putrajaya. Pertama kali melangkahkan kaki ke masjid yang menjadi sebutan rakyat Kedahitu. Seusai solat, saya bersama-sama dua orang ibu saudara (maksu dan mak njang), adik perempuan saya dan sepupu meluangkan sedikit masa mengunjungi pasaraya Giant yang baru dibuka di kawasan Langgar, Alor Setar. Betul-betul bersebelahan dengan Masjid al-Bukhary. Terkejut saya melihat binaan hypermarket itu yg persis seperti sebuah masjid. Bezanya cuma tiada kubah besar dan ada perkataan "GIANT" terlekat di dinding bangunan. Dari segi seni binanya memang saling tak tumpah seperti masjid bersebelahan.

Bukanlah keindahan binaan yang ingin diceritakan, tapi kes yang lebih kurang sama juga berlaku di sini. Cuma yang bezanya adalah si ‘pemberi’, ‘penerima’ (kecuali saya), tempat dan masa. Ketika itu, saya sedang asyik menyuap nasi ayam yang dibelanja oleh maksu ke mulut apabila seorang budak lelaki yang pada hemat saya sebaya dengan adik lelaki saya, mungkin dalam umur 11 tahun ke atas, menghampiri meja kami. Budak itu kelihatan kemas memakai kemeja berwarna kelabu yang di’tuck in’, kopiah putih di kepala sambil menggalas sebuah beg hitam di bahunya. Di tangannya tergenggam segulung kalendar, dan beberapa keping CD nasyid sekolah. Adik itu petah berbicara lagak seperti seorang salesman.

Dia memperkenalkan dirinya dahulu dan memberitahu kami yang hasil jualan kalendar dan CD itu akan disalurkan kepada anak-anak yatim. Hati mula terasa sayu. Setelah membelek-belek barang-barang itu, ibu saudara saya menghulurkan sedikit wang kepadanya sebagai sedekah kerana tidak membeli barang-barang jualannya. Adik itu menolak untuk menerima wang itu.
"Saya jual barang-barang ni untuk anak-anak yatim.." katanya. Ibu saudara saya menghulurkan lagi wang di tangannya tapi, kata-kata yang sama diulang semula.
"Tak apalah kalau kak tak mau beli. Saya jual ni untuk anak-anak yatim..", ujar adik itu lalu berlalu meninggalkan meja kami. Pendirian anak kecil ini sungguh mengagumkan.

Teringat kisah anak kecil yang menjual kuih buatan ibunya. Dia berusaha untuk menjual kuih-kuih itu walaupun ada seorang lelaki memberi RM10 kepadanya tapi, duit itu diberikan anak kecil itu kepada si pengemis berdekatan. Hanya kerana berpegang kepada pesan si ibu untuk mendapatkan wang atas hasil usaha bukannya dengan mengemis. Watak yang sama, cuma jalan ceritanya berbeza.

Inilah senario yang berlaku dalam masyarakat kita, yang sempat saya coretkan di sini. Banyak lagi kes-kes sebegini berlaku di segenap tempat dengan pelbagai watak dan jalan cerita. Nasib adik-adik ini tidak sama seperti rakan-rakan yang sebaya dengan mereka yang bebas belajar, bermain dan bersuka ria. Hidup mereka siang malam digunakan untuk mencari wang, samada untuk keperluan sendiri mahupun kepentingan pihak lain. Anak-anak yatim yang sepatutnya dibelai, dikasihi, disayangi, dicukupkan segala keperluan, berkeliaran ke sana sini mencari wang atas pelbagai tujuan.

Kenapa tidak pihak yang bertanggungjawab menguruskan anak-anak yatim ini turun ke padang, mencari sumbangan dari badan-badan NGO, swasta mahupun korporat andai kewangan menjadi permasalahannya. Bukannya meletakkan tanggungjawab itu kepada kanak-kanak yang masih jauh perjalanan hidup dan belum jelas tentang masa depan mereka. Andai ada pihak yang mempergunakan kanak-kanak ini untuk kepentingan mereka, pastinya mereka ‘berhutang’ dengan anak-anak kecil ini yang mana ‘hutang’nya akan dilangsaikan di hadapan ALLAH SWT nanti.

Semoga hasil coretan ini dapat membuka mata masyarakat dan pihak yang bertanggungjawab untuk mengatasi salah guna tenaga kerja di kalangan anak-anak kecil ini. Kepada saya dan teman-teman di luar sana, ringan-ringankan tangan untuk menjana saham akhirat dengan menghulurkan sedikit lebihan rezeki yang diterima kepada insan-insan yang lebih memerlukan. Sama-sama kita praktikkan salah satu sifat Allah Yang Maha Memberi dalam diri kita. Adik..Oh..Adik..Andai panjang umur, moga kita bertemu dengan watak yang berlainan dan jalan cerita yang mempunyai kesudahan yang baik di penghujungnya.

Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment