Sunday, September 18, 2011

JAUH PERJALANAN.....?


Perjalanan yang jauh biar pun luas permandangan tapi juga sangat memenatkan. Selama lima jam duduk saja di kerusi penumpang belakang membuatkan pinggang dan kaki berasa sengal-sengal dan lenguh. Apatah lagi yang memandu, kejang urat-urat kaki, tangan dan seluruh badan.

Walimah adik ipar (sebelah pengantin perempuan) di Alor Setar sudah selesai. Alhamdulillah dan tahniah buat kedua mempelai Zulhilmi dan Hani Sabrina. Cinta di awal-awal perkahwinan memang indah dan mengasyikkan. Semoga momentumnya akan berkekalan sehingga ke akhir hayat kerana cinta yang tulus bukan sekadar mempunyai suami/isteri yang kacak/cantik, berharta, berpangkat dan segalanya, tapi yang lebih penting adalah agama supaya dapat sama-sama membimbing dan memperingatkan antara satu sama lain. Rumahtangga itu umpama kapal. Suami adalah nakhoda, isteri pula adalah pembantunya dan kadang-kala isteri perlu menjadi nakhoda dan suami pula pembantunya. Suami dan isteri itu perlu saling melengkapi dan menyempurnakan antara satu sama lain. Wah, mentang-mentanglah terjumpa dengan Datuk Ustazah Siti Norbahyah dan keluarganya di kedai makan petang tadi, terus sampai aura nak bermotivasi.

Pengantin lama pun perlu sering refresh hubungan suami dan isteri seperti pengantin baru juga. Barulah beroleh rumahtangga yang penuh sakinah, rahmah dan mawaddah. Kepada sang suami janganlah segan silu ucapkan I Love You pada isteri walaupun kata orang mulut seorang suami itu terletak di hati. Sekurang-kurang ucapan itu menjadi pemangkin untuk isteri terus berbakti dan berkhidmat kepada suami.

Perjalanan kami akan diteruskan kembali dua hari lagi untuk Majlis Konvokesyen di USM Pulau Pinang pula. Kemudian, hujung minggu nanti, kami akan menempuh perjalanan selama 7 jam pulang ke Jerteh, Terengganu pula untuk walimah di sebelah pengantin lelaki. Biar pun sejauh mana perjalanan dan seletih mana pun badan, ia akan segera hilang saat bersua dengan ahli keluarga yang tercinta. Nikmat balik kampung. Selagi mana masih ada peluang untuk pulang ke kampung, pulanglah dan nikmatilah sepuas-puasnya momen itu.

To Abu Ziyad a.k.a Mr. Jie, I Love You....

No comments:

Post a Comment