Sunday, August 21, 2011

SUNNAH VS SUNAT


Pagi tadi pukul 1 pagi, saya tak tidur lagi walaupun suami dan anak-anak dah lama terbongkang tidur atas tilam. Itulah penangannya kalau banyak tidur siang, jadi bila malam jadi 'burung hantu'. Saya sempatlah menonton satu rancangan kanak-kanak berunsur keagamaan di TV9 sempena Ramadhan ini.

Sedang pengacara itu bercerita tentang kisah seorang srikandi Islam, dia ada sebut perkataan Sunnah. Kemudian, seorang kanak-kanak bertanya, "Sunnah tu apa?".

Jawab pengacara itu, "Sunnah tu kalau kita buat dapat pahala tapi kalau tak buat tak berdosa".

Betul ker? Saya tanya diri sendiri.

Semasa bersahur saya tanya suami, "apa beza sunat dan sunnah?".

Kami ni bukanlah bertaraf alim ulamak dan sebagainya. Cuma kalau hal-hal agama yang kecil-kecil InsyaAllah tahu jugalah utnuk dijadikan sebagai amalan dan pegangan.

Kata suami saya, "sunnah tu apa yang Nabi SAW buat, sunat tu salah satu hukum yang mana kalau kita buat dapat pahala tapi kalau tak buat tak berdosa".

Itulah pentingnya Islamic Education (sambil buat tangan gaya Usop Wilcha). Tak apa, kalau pengacara tu terbaca blog saya ni, bolehlah dia perbetulkan jawapannya kepada adik itu supaya nanti dia tak keliru sampai ke dewasa (macam glamour blog ni). Mungkin dia gabra (gelabah) kot sebab tiba-tiba adik tu tanya maksud sunnah. Budak-budak zaman sekarang, soalan-soalannya kadang-kadang bombastic tahap Hokage ke-7 tapi baguslah sekurang-kurang dia dapat juga ilmu agama.

Patutlah ramai orang tak ikut sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian. Mungkin ramai yang ingat sunnah tu kalau buat dapat pahala tapi tak buat tak berdosa. Mari kita perbetul definisi sunnah dan sunat, dan fahamkan.

Sekali lagi, itulah pentingnya Islamic Education....


Saturday, August 20, 2011

NETWORKEDBLOGS


Saya ni bukannya expertise dalam teknologi, komputer, gajet dan sebagainya. Suatu hari, adik saya invite untuk join Networkedblogs (NB) dalam Facebook (FB). Sambil menggaru kepala, apa kejadahnya pulak ni? Di atas ketidaktahuan itu, saya abaikan jemputan. Saya malas nak layan perkara yang tidak menjamin sesuatu pulangan di masa akan datang (cewahhh...pulangan duit ker maksudnya?). Tapi, minggu lepas saya terserempak lagi dengan perkataan NB ni. Saya pun try tengok orang-orang yang dah join. Nampak macam menarik, tertarik, kau memang deboooom...Jadi, saya dapat simpulkan dalam bahasa kefahaman saya sendiri (malas nak google cari definisi), NB adalah satu ruang untuk kita dekatkan para penulis blog kepada alam maya di FB, sebagai contoh (kalau silap pemahaman sila betulkan). Saya pun join dan hasilnya adalah seperti di sebelah kanan blog saya. Tengok, ramai kan follower saya....ngeh..ngeh..ngeh..sambil tersenyum kambing...

Takkan tak faham kot...aiseyman..

Hati saya tiba-tiba bersuara, penulis yang ikhlas takkan mengharapkan ramainya pengikut di blognya atau pujian orang kepada apa yang disampaikannya.

OK. Kalau nak nampak ikhlas, klik butang follow dalam hati saja yer..

Saya ingat suatu ketika dulu ada seorang ustaz kata begini, perkataan Imam yang diletakkan pada nama Imam Syafie, Imam Hambali dan sebagainya itu adalah kerana mereka mempunyai pengikut. Jangan risau, kalau anda menjadi pengikut saya tak semestinya saya akan menjadi imam satu mazhab baru di blog ni. I am so aware of that. Walaupun saya ni lemah teknologi, tak bermakna saya juga lemah ilmu agama tapi tak bermakna ilmu agama saya tinggi juga.

Faham-fahamkanlah....



Thursday, August 18, 2011

PUBLICATION


Menulis satu jurnal akademik dan kemudiannya diterbitkan bukan semudah menulis di blog dan klik 'Publish'. Kalau semudah itu, pasti seorang pelajar Master/PhD sudah mempunyai ratusan jurnal akademik yang dihasilkan olehnya. Nak mendapatkan idea untuk satu jurnal akademik juga tidak semudah duduk dan mengadap laptop atau komputer lalu idea datang mencurah-curah seperti nak mencari idea untuk menulis blog. Nak menghasilkan sebuah jurnal akademik yang berkualiti dan diterima oleh pemeriksa untuk diterbitkan memerlukan pembacaan yang sangat serius dan khusyuk tanpa gangguan sekeliling.

Itulah dilema yang dihadapi oleh saya sekarang ini. Bukan senang orang seperti saya yang agak lemah penguasaan Bahasa Inggeris (dah berkarat kerana terlalu lama tidak diasah) dan lemah bahasa penulisan (tulis jurnal pun kena ada gayanya macam juga novel), untuk menghasilkan jurnal akademik yang bermutu tinggi, kata penyelia saya dulu ada 'high impact factor'. Susah dan sukar. Tambah pula, menulis blog itu nampak lebih menarik dan banyak idea untuk disumbangkan dan diceritakan berbanding menulis sesuatu yang bersifat serius dan saintifik seperti jurnal akademik ini. Semuanya harus berdasarkan fakta dan bukti. Argh!!! Tekanan minda....

Saya masih ada tiga draf jurnal yang perlu diperbaiki dan ada juga yang perlu ditaip semula. Harapannya, semoga saya dapat terbitkan hasil penyelidikan yang telah saya jalankan ketika menjadi pelajar Master dulu. Walaupun akan menghadiri majlis konvokesyen tak lama lagi setelah selesai menghabiskan penyelidikan, tapi hati saya masih rasa tak tenang dan tenteram selagi mana saya tak selesaikan 'hutang' jurnal kepada penyelia saya (seperti yang dituntutnya). Itulah akibatnya kalau anak murid tak mendengar kata sifu. Kalau ada penerbitan jurnal akademik, itu akan memberi nilai tambah untuk seseorang pelajar itu untuk meneruskan perjuangannya sebagai tenaga pengajar di IPT atau pelajar PhD. Senang cerita, kalau ada publication tu maknanya student tu rajinlah, begitu juga sebaliknya. Uhuk..uhuk...Kalau dilabel rajin, senanglah dapat kerja, kan. Wallahu a'lam.

Sempena bulan Ramadhan yang penuh berkah dan makbul doa ini, saya berdoa semoga dapat menyelesaikan jurnal akademik dan semoga berjaya publish. Amin.

Yang membaca, sama-sama aminkan dalam hati. Terima kasih.


4 TAHUN....



Sekadar mengimbau kenangan lalu...


Saya mula mengenali suami saya pada tahun 2004 iaitu ketika saya berada di Tahun 2 pengajian di USM Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal. Pertama kali kami berjumpa ketika sebuah persatuan yang disertai menganjurkan program Rehlah kepada pelajar Tahun 1 sebagai meraikan ahli-ahli baru persatuan. Ketika itu saya menjadi salah seorang ahli jawatankuasa program dan juga fasilitator. Perkenalan pertama kami bermula apabila sama-sama ditugaskan menjaga checkpoint yang sama bersama-sama dua orang lagi rakan kami. Bermula dari situ, saya mula mengetahui namanya dan rupa-rupanya dia adalah salah seorang ahli Majlis Tertinggi persatuan dan pelajar senior.


Sepanjang perkenalan, saya dan suami tidak pernah bekerjasama dalam apa-apa program meskipun berada dalam organisasi persatuan yang sama, cuma mengenali nama dan muka. Dia dengan urusannya dan saya dengan urusan saya. Namun, jodoh dan rezeki setiap manusia sudah Allah SWT tentukan siapa, di mana dan bagaimana akan dipertemukan sejak kita mula terbentuk dalam rahim ibu lagi.


Ketika saya berada di akhir pengajian Tahun 4 iaitu pada pertengahan tahun 2007, naqibah saya dan suaminya yang kemudiannya bertindak sebagai orang tengah menyampaikan salam perkenalan daripada suami saya buat pertama kalinya. Itulah permulaan hubungan kami dan 4 bulan kemudian kami mengikat tali pertunangan secara rasmi dan sederhana. Kebanyakan teman-teman kami terkejut apabila kad jemputan perkahwinan sampai ke tangan mereka kerana tidak menyangka hubungan yang terjalin antara kami. Sepanjang perkenalan, kami hanya bertanya khabar dan berbincang soal perkahwinan hanya melalui YM (Yahoo Messenger) dan SMS. Jarang berbicara melalui telefon dan tidak pernah langsung keluar berjumpa sehinggalah kami menjadi suami isteri secara rasmi.


Pada 19 Ogos 2007, selepas Asar di sebuah masjid di Alor Setar, suami saya melafazkan ijabkabul "Aku terima nikahnya Ummi Kalsum Hasanah Bt Mohd Nadzim dengan mas kahwinnya sebanyak RM*** tunai". Rasmilah kami menjadi suami isteri dan mengharungi segala suka dan duka dalam alam rumahtangga bersama.


19 Ogos 2011 bersamaan 19 Ramadhan 1432 H, genaplah 4 tahun kami menjadi suami dan isteri serta ibu dan bapa kepada sepasang cahaya mata. Alhamdulillah 'ala kulli hal...


Buat suami saya, Zarizi Bin Awang, SELAMAT ULANGTAHUN PERKAHWINAN yang ke-4. Semoga rumahtangga kita diberkati dan bahagia selalu.


Cinta yang dimulai dengan akad nikah itu memang indah. Setiap hari terasa rindu...


Dah kahwin baru tahu kami mempunyai minat yang sama iaitu menonton cerita anime Naruto....hehehe


Wednesday, August 17, 2011

17 RAMADHAN


Hari ini rakyat Selangor samada yang tumpang tinggal dan tumpang bekerja di Selangor, bergembira kerana dapat cuti rehat satu hari di rumah sempena hari Nuzul al-Quran (al-Quran diturunkan). Oleh itu, dengan mengambil keberkatan hari ini, maka eloklah kiranya kita sama-sama mengambil peluang untuk memperbanyakkan membaca al-Quran dan meneliti tafsirannya. Bukan goyang kaki atas kerusi malas, tidur berdengkur sambil tunggu waktu berbuka...sia-sia saja cuti dan puasa hari ni.

Salam Nuzul al-Quran

Wednesday, August 10, 2011

SEPULUH RAMADHAN


Pejam, celik, sahur, pejam, celik, berbuka....dah masuk 10 Ramadhan. Cepatnya masa berlalu. 20 hari lagi Syawal datang menjelma. Kalau orang-orang alim, mereka pasti akan menangisi pemergian Ramadhan sehari ke sehari. Orang yang kurang alim (seperti saya) meraikan berlalunya Ramadhan sehari ke sehari dengan bermain mercun sampai putus jari tangan. Dah jadi budaya kita, asal masuk bulan puasa, meletup mercun, asal nak raya, berdentam-dentum bunyi mercun bergegar satu kampung. Namun, hidup dalam bulan Ramadhan ni rasa lebih tenang. Mungkin sebab kurang makan dan kepala asyik fikir nak banyakkan ibadat dan perbaiki amalan. Alhamdulillah...kalau boleh diteruskan ke bulan Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah sehinggalah berjumpa Ramadhan akan datang (InsyaAllah, jika dipanjangkan usia), memang terbaikkkk.

Ramadhan tahun ni agak berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Pertama sekali, ini kali pertama saya dan keluarga (suami dan anak-anak) berpuasa di tempat baru (Kajang, Selangor) yang mana harga makanan mahal sikit daripada tempat lama kami (Sungai Petani,). Nasib baik suami saya bukan kaki membeli sangat walaupun setiap hari secara purata pergi ke bazar. Yang dibelinya cuma sedikit kuih dan air tebu, kelapa atau soya. Tak rasa macam puasa kalau tak ada 3 jenis air ni. Lauk-pauk semuanya air tangan isteri. Alhamdulillah, walaupun menu mudah dan ringkas, yang paling penting selalu habis dan tak membazir. Kalau pun ada lebihan makanan, simpan dalam peti sejuk, kemudian panaskan untuk berbuka keesokkannya. Kesian orang-orang Somalia, Allah SWT uji mereka dengan kebuluran dan kemiskinan. Syukur kerana Allah SWT jadikan kita sebagai orang Malaysia yang makanan melimpah ruah bila tiba Ramadhan. Jadi, berbukalah secara sederhana dan jangan membazir. Jangan jadi saudara syaitan.

Keduanya, dalam sepuluh hari berpuasa ini, baru dua kali saja saya dan suami bangun bersahur sebelum waktu imsak. Yang selebihnya, kami sahur pukul 1 pagi ke atas. Imam tarawih saya selepas solat maghrib saja, harus lena dibuai mimpi. Anak-anak pula selalunya dalam pukul 9 malam, semua tidur sebab waktu siang banyak bermain. Kemudian, pukul 11 ke atas, mulalah jadi 'burung hantu'. Saya pun terpaksa turut serta menjadi ketua kumpulan 'burung hantu'. Pukul 12 pagi ke atas, barulah tok imam tarawih bangun lalu kami pun solat. Kalau nak bangun sahur pula pukul 5 pagi nanti, memang yakin dan pasti tak ada siapa yang akan menyahut deringan jam loceng yang dipasang walaupun di tepi telinga saja. Tidur mati belaka.

Itulah ragam kami sekeluarga menyambut Ramadhan. Ibadat perlu dijalankan tak kira masa. Jangan sekali-kali tinggal solat tarawih walaupun tak wajib. Bulan Ramadhan saja kita jumpa solat tarawih. Semoga Ramadhan tahun ini memberi impak positif kepada kehidupan kita akan datang.

Assolatu tarawih rahimakumullah...(kata imam)

Assolatu la ila haillallah...(sahut makmum)

Imam dah segar-bugar, makmum pula yang terkebil-kebil menguap sambil menggosok mata. Adoiii....Nak kutip pahala berjemaah punya pasal. Tenang, tenang...

Friday, August 5, 2011

TIGA BELAS


1. Bulu kening - Menurut Bukhari, Rasullulah melaknati perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening - Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki memakai gelang berloceng - Dan janganlah mereka (perempuan) menghentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan - Petikan dari S ura h An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah .

3. Wangian - Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang - Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada - Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka - Petikan dari S ura h An-Nur Ayat 31.

5. Gigi - Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya - Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher - Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan - Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja - Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan - Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya - Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata - Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya - Petikan dari S ura h An Nur Ayat 31.

Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara) - Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik - Petikan dari S ura h Al Ahzab Ayat 32.

Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi - Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan - Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka - Petikan dari S ura h An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian - Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud , An Nasaii dan Ibn Majah.
Petikan dari S ura h Al Ahzab Ayat 59.

Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya -
Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

13. Rambut - Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.




Renung-renungkan dan selamat beramal. masih belum terlambat untuk membetulkan kesilapan kita selagi belum tiba hari kiamat. Kepada mereka yang masih tunggu seru, tunggulah seru sangkakala tiba...


Wednesday, August 3, 2011

KU SERU?


Jeng, jeng, jeng.....

Pada suatu malam yang hening...

Ketika saya keseorangan...

melayari facebook dan blog-blog keseorangan....

Jeng, jeng, jeng....



Ini bukan Khamis malam Jumaat nak rasa seram-seram. Lagipun, ini bulan puasalah, bulan Ramadhan, tak ada maknanya nak feeling seram-seram sebab syaitan dan iblis semua dah kena rantai. Kalau manusia bertopengkan syaitan, memang banyaklah yang berkeliaran.

Sekejap saja 3 Ramadhan bakal meninggalkan kita semua beberapa jam lagi ketika entri ini ditaip dengan gigihnya. Tapi, tak segigih semasa saya nak siapkan tesis Master saya yang terakhir (kenangan yang sangat indah wei, bersimpul urat-urat neuron dan safron dalam kepala). Tepuk dada (jangan kuat sangat), tanyalah iman (tidak merujuk sama sekali kepada orang yang bernama Iman), adakah diri kita sudah sedikit/banyak/atau langsung tak berubah? Wah, kalau dalam bulan Ramadhan ini kita sibuk bertadarus al-Quran, memperbanyakkan solat sunat, bertarawih, memperkemaskan solat wajib, menjaga kesucian puasa kita daripada dinoda (puasa mata, telinga, mulut, kaki dan tangan daripada perkara-perkara membatalkan puasa) dan sebagainya, semoga momentum sebegini akan berterusan hingga ke sebelas bulan yang berikutnya. Kata orang kalau sesuatu perkara dilakukan selama 40 hari berturut-turut, insyaAllah akan mendarah-daging dalam rutin amalan kita nanti. Saya pernah cuba, tapi tak berjaya lagi setakat ini. Bukan senang nak buat amal 40 hari berturut-turut walaupun sekadar berzikir Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu akbar 33 kali setiap kali selepas solat. Kadang-kadang, selepas saja solat anak menangislah, teringat air yang sedang dijerang atas dapurlah dan sebagainya, maka terlupalah saya untuk melaksanakannya. Dugaan...tak sampai juga ke 40 hari.

Tapi, kalau kita sibuk menbeli-belah di bazar Ramadhan, beli makanan sampai tak cukup 10 jari tangan nak pegang, makan sampai kenyang, solat pun dengan perut yang berat, mata rasa nak pejam, akhirnya terlepas tarawih bahkan solat wajib pun habis tunggang-langgang,...oh, kawan, memang ada benda yang kita dah silap makan ni sampaikan dah lupa tujuan asal kita berpuasa. Ini bulan menambah ibadah, bukan menambah makan walaupun Ramadhan ini memang terkenal dengan pesta makanan. Jangan pelik kalau ada di kalangan kita bila habis saja bulan Ramadhan, beratnya lagi bertambah bukan semakin turun. Tak pasal-pasal nasi lemak yang dijual di kantin sekolah yang dipersalahkan. Inilah punca kanak-kanak Malaysia semakin obesiti, walhal orang dewasa pun tak ketinggalan. Menjadi obesiti kerana bazar Ramadhan? Salahkan tabiat pemakanan, jangan salahkan orang yang menjual makanan.

Itu baru muqadimah (sambil membetulkan jari-jemari dan pinggang). Berbalik kepada tujuan. Rata-rata orang kalau diajukan persoalan untuk berbuat kebaikan, kebiasaannya akan dijawab seperti contoh perbualan di bawah.

"Umur dah meningkat, bila kau nak solat?"..."Tak sampai seru lagilah".

"Bila nak pakai tudung?"......"Tak sampai seru lagilah".

"Bila nak baca al-Quran?"....."Tunggulah bila aku dah dapat hidayah nanti".

Begitulah kiranya jawapan kita. Semuanya dipulangkan kepada seru, hidayah, petunjuk and so on. Kalau tiba-tiba mati dengan tak solat, tak puasa, tak baca al-Quran, tak tutup aurat, takkan nak salahkan seru yang tak sampai-sampai, hidayah dan petunjuk yang tak datang-datang. Come on, bro/sis. Petunjuk, hidayah, seru atau apa saja yang sama waktu dengannya bukannya datang hanya sekadar berdoa lalu goyang kaki atas kerusi sambil menghirup udara segar di laman rumah, tiba-tiba hidayah, petunjuk dan seru itu jatuh terjelepuk ke riba. Ini bukan filem Harry Potter yang kesembilan. Tak payah berangan nak jadi JK Rowling. Silap-silap jadi bowling.

Dalam dunia ini, kalau inginkan sesuatu perlu disertakan dengan usaha. Kalau nak beli kereta Nissan Grand Livina warna putih siap dengan impul sekali, kenalah usahakan cari kerja supaya ada wang nak bayar ansuran kereta setiap bulan. Sama juga dengan hidayah, petunjuk dan seru yang selalu diguna pakai tu, perlu diusahakan selain berdoa. Takkan boleh kita dapat 4.0/10 A+ dalam peperiksaan kalau hanya berdoa tapi buku langsung tak baca atau ulangkaji. Caranya dengan banyak membaca buku-buku agama yang berkaitan, tanyalah Ustaz/ah, pergi kuliah agama, sertai usrah (yang tak sesat) dan sebagainya. Hendak seribu daya, tak hendak seribulah alasannya. Salahkan hidayah, petunjuk dan seru konon. Padahal hati tu yang tak mahu.

Setakat itu saja tazkirah 3 Ramadhan 1432H untuk peringatan kita bersama. Perkara yang wajib yang telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk kita lakukan seperti solat, puasa, zakat, tutup aurat dan sebagainya, tak perlu tunggu dapat hidayah, petunjuk, seru atau Misha Omar sekalipun, kita memang wajib lakukan seperti yang diperintah. Tak ada alasan. Membuat kebaikan dalam paksaan itu bukanlah hipokrit kawan, itu adalah usaha kita untuk membiasakan diri membuat kebaikan. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Jadikan Ramadhan kali ini sebagai permulaan untuk kita sama berubah ke arah yang lebih baik. Jangan semasa Ramadhan saja kita pakai tudung, solat, puasa, sedekah dan sebagainya. Kita bukannya menyembah Ramadhan tapi kita menyembah Allah SWT.