Thursday, October 27, 2011

ADAKAH INI REZEKIKU?


Assalammualaikum readers,

Tajuk ala-ala novel gitu...

Alkisah, beberapa hari yang lepas saya chat dengan seorang senior USM, Nibong Tebal, Kak Salsaliah a.k.a Kak Yah, yang dah lama tak jumpa. Dia pun baru saja konvo Master baru-baru ni di UKM. Unfortunately, sampai sekarang masih menganggur juga macam saya. So, sijil dan ijazah bukan penentu mutlak kepada rezeki seseorang, OK! Allah Yang Maha Memberi Rezeki. Tap, tak bermakna kita kena putus asa, bahkan kita perlu berusaha mencari jalan lain. Sambung belajar tu pun salah satu usaha untuk mencari rezeki.

Disebabkan dah lama tak dengar perkembangan darinya jadi saya tergerak hati nak tanya. Tak sangka pula dia jawab nk sambung PhD di UKM. Dia dah pun dapat tajuk untuk bakal projeknya tu. Wah, sangat pantas bertindak Kak Yah ni. Saya pun ambil kesempatan berbual dan bertanya banyak-banyak pada Kak Yah segala gerak kerjanya yang sangat mengujakan itu sebab saya pun tiba-tiba dapat semangat untuk sambung belajar ke peringkat yang seterusnya juga.

Khabarnya hari ni dia akan jumpa dengan supervisor dan co-supervisornya untuk bincang pasal research proposalnya supaya dia dapat apply MyBrain secepat mungkin. Wah, sekali lagi teruja. Kalau nak tahu, MyBrain tu adalah satu skim biasiswa yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk membantu siswazah tidak berpendapatan tetap atau menganggur menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Bagus, kan. Kenapalah tak dibuat dari dulu lagi? Kalau nak tahu lebih lanjut tanya saja pada abang Google yang suka membantu.

Kemudian, saya beritahu pada suami hasrat untuk menyambung belajar dan dah tentulah dia menyokong. Sebelum ini pun dia selalu galakkan saya sambung belajar tapi saya yang tak mahu kerana nak cari pengalaman bekerja dulu. Allah lebih tahu. Mula-mula saya berhasrat nak menyambung di UKM tapi setelah berbincang dan atas nasihat suami, saya tukar rancangan ke UPM. One of the reason is because dia kenal dengan dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia UPM yang sangat mesra dengan orang (hopefully it's true).

Suami yang bersemangat mengalahkan saya, tolong email dan hantar resume saya pada dekan tu dan tanya kalau-kalau nak ambil student PhD. Dalam masa beberapa jam, dia balas email dan bagi tiga research title yang relevan dengan bidang saya untuk dipilih. Alhamdulillah, terima kasih abang kerana membantu.

Setelah mengkaji serba sedikit secara umum bagi setiap tajuk penyelidikan yang dicadangkan, saya jadi serba salah dan keliru nak pilih yang mana satu. Okay, rasanya perbincangan dengan pihak ketiga (suami sayalah, siapa lagi) dan istikharah pada Allah sajalah yang saya harapkan untuk membantu saya membuat pemilihan. Based on previous experience, kalau tersilap pilih, bahana dan derita yang menanti sepanjang jalan. Na'uzubillah. Ya Allah, aku mohon petunjuk dari Mu. Mohon doa dari sahabat-sahabat supaya saya beroleh satu keputusan yang baik, ya.

Oleh itu, baiklah kiranya saya memasang niat untuk lebih tekun dan gigih menimba ilmu yang bermanfaat supaya dapat diaplikasi dan digunakan untuk membantu membangunkan negara dan masyarakat kelak. Saya perlu menjadi seorang pakar Islam yang arif dalam ilmu pengetahuan seperti al-Khwarizmi, Ibnu Sina, Ibnu Razi dan tokoh-tokoh sarjana Islam yang lain untuk maslahat ummat. Umat Islam masih tandus dengan kepakaran, bukan kerana kekangan agama tapi kekangan sikap yang ambil mudah akan semua perkara. Saya juga tak terkecuali. Mudah-mudahan ini adalah peluang yang Allah SWT kurniakan untuk saya perbaiki kesilapan yang lalu dan mendalami ilmu-ilmu yang baru.

Make past mistakes as future lessons - Ummu Ziyad

P/S: Kalau Kak Yah yang beranak tiga (Yang bongsu umur beberapa bulan) bersemangat nak sambung belajar, saya yang anak dua ni pun perlulah menyahut cabaran, kan. InsyaAllah.

Bukan glamer ijazah sarjana PhD yang saya cari tapi ilmu yang hakiki. InsyaAllah....

Thursday, October 20, 2011

BIJAK SANA, BIJAK SINI WAL BIJAK SINUN....???


Hari ni dalam FB, saya dapat tahu seorang profesor yang terkenal seantero malaysia kerana kebijaksanaan dan kelantangannya telah digantung dari tugas di sebuah IPTA. Ujian buat dirinya. Akhir zaman ni menyatakan kebenaran tu sangatlah tidak disukai oleh orang kebanyakkan. Sebab itu pepatah Arab ada menyebut, "qulil haq walau kaa na murron"...katakanlah yang benar walaupun pahit.

Ironinya, kalau nak menjadi orang baik, akan selalu ada pengacaunya samada syaitan atau manusia. Sayangnya, ahli akademik yang bertaraf profesor, punyai pelbagai kajian ilmiah yang berguna kepada masyarakat dan negara tapi ditewaskan oleh ketidak adilan.

Jadi, jangan hairan dan sibuk-sibuk nak tanya bila institusi pengajian di Malaysia ni tak ada satu pun yang boleh lawan atau setanding dengan institusi pengajian luar negara. Di negara ni tak ada kebenaran, yang ada cuma bodek, ampu, puji dan sebagainya. Sebab tu selalu dok di tangga bawah ranking.

Dalam bidang kajian, sesuatu kajian itu haruslah dibuktikan kebenaran berdasarkan fakta, angka, bukti yang menyokong dan sebagainya sebelum diterbitkan untuk tatapan pembaca dan ahli-ahli akademik yang lain sebagai panduan dan bimbingan. Namun, realitinya tidak begitu. Kepalsuan itu lebih dijunjung dan diagungkan.

Tak mustahil kita tidak akan tersenarai lagi dalam mana-mana ranking dunia selepas ini.

Disebabkan ketidakadilan seperti inilah, mahasiswa rata-rata memencilkan diri dari isu semasa. Politik tidak diambil peduli. Siapa yang memimpin tidak diambil pusing. Asalkan duit masuk kocek setiap bulan dan dapat ijazah di hujung pengajian.

Kalau tak percaya, cubalah tanya siapa Yang Dipertuan Agung Malaysia sekarang? Pasti ramai yang tewas dalam memberikan jawapan.

Bicara MAHASITUA...



Wednesday, October 19, 2011

ANJING LEBIH MULIA


Saya ada terbaca satu blog. Kisah seekor anjing yang dibuang ke tengah laut oleh seorang makhluk bernama manusia. Maka, datanglah beberapa orang manusia lain menyelamatkan binatang yang malang itu dengan perasaan penuh haru.

Di FB, ramai meng'forward' link video Youtube seorang kanak-kanak dilanggar lori tapi tidak diendahkan oleh sesiapa untuk dibantu. Saya tak tengok kerana saya tahu pasti peristiwa itu akan menghantui diri saya sampai bila-bila. Sebabnya, saya pernah lihat video 5 sekeluarga dihanyutkan oleh air terjun yang sebak tiba-tiba kerana hujan. Sampai sekarang saya terbayang-bayang peristiwa itu dan rasa takut kalau pergi kawasan air terjun.

Di akhbar, gempar kisah seorang ibu muda mengelar anaknya yang baru dilahirkan. Tersiat-siat hati bila terlihat gambar-gambarnya. Aduh! Saya tak boleh bayangkan bayi itu menangis kesakitan. Memang kejam. Anak kena gigit nyamuk pun hati ibu rasa tak tenang. Ramai salahkan perempuan malang itu sedangkan lelaki yang menjadi penyebab sedang bersuka ria dengan gadis-gadis lain pula.

Kisah-kisah sebegini bukanlah asing dalam dunia hari ini. Sangat banyak. Lihat saja berita di TV dan akhbar. Setiap hari pasti kita dihidangkan dengan berita jenayah sadis seperti dibunuh, dirogol, merompak, mencuri, meragut dan sebagainya.

Selagi mana undang-undang yang telah disyariatkan oleh Allah SWT tidak dikuatkuasakan, selagi itulah kita akan terus disajikan dengan berita-berita seperti ini. Mohonlah perlindungan dari Allah SWT supaya ahli keluarga dan sahabat handai kita dijauhkan dari perkara-perkara buruk seperti ini.

Dalam kalangan binatang tak ada manusia tapi dalam kalangan manusia ada binatang.

Nampaknya nyawa seekor anjing itu lebih mulia dari nyawa seorang manusia.



Tuesday, October 11, 2011

'BOS' YANG BAIK HATI...


Suatu hari, bos kita suruh kita buat satu tugasan tapi, kita lengah-lengahkan sambil main mukabuku. Bos kita datang lagi suruh siapkan tugasan dengan penuh berhemah dan sopan tutur kata. Namun, kita langsung tak ambil peduli suruhan bos kita tu, tetap sibuk dengan mukabuku. Bos suruh lagi siapkan tugasan walaupun tahu kita tak pernah peduli untuk siapkan tugasan tu, bos sikit pun tak marah. Bila hujung tahun, kita pergi jumpa bos dan dengan selamba badaknya minta bos naikkan gaji atau bagi bonus. Tak rasa malu pun walaupun tugasan yang diberi pada awal tahun tak siap-siap sampai ke hujung tahun. Tapi, disebabkan bos kita ni baik hati, pemurah dan penyayang kepada pekerjanya, dia tetap berikan apa yang diminta oleh kita walaupun tugasan tak siap dan kita langsung tak ucapkan terima kasih pada bos.

Baik kan bos tu?

Ada ker bos baik macam tu?

Kalau ada pasti bankrup syarikat.

Kalau ada pekerja macam tu, pasti kena pecat serta-merta. Dah la kerja tak buat, boleh pula minta naik gaji, bonus dan sebagainya. Kasi lempang la....

Itu bukan kisah benar. Hanya analogi.

Yang benarnya...

Allah syariatkan kita solat 5 waktu tapi ramai dari kita yang lengah-lengahkan solat. Ada juga yang langsung tak endahkan suruhan Allah, langsung tak solat. Padahal, dalam banyak-banyak amalan kebaikan dalam dunia ni, solat itulah yang akan dinilai dulu di Padang Mahsyar nanti. Tapi, kita tak rasa malu nak minta Allah kurniakan kita rezeki yang melimpah ruah saban waktu walaupun suruhanNya kita tak buat. Tapi, disebabkan Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Dia kurniakan juga rezeki yang melimpah ruah tu pada kita walaupun kita jarang bersyukur padaNya.

Ish, malunya. Dah la tak solat tapi tak malu pula nak minta Allah beri rezeki pada kita. Masa senang tak ingat Allah, dah susah baru nak ingat Allah. Ada juga orang yang masa susah pun tak ingat Allah, ni lagi teruk.

Mari kita sama-sama INGAT dan MUHASABAH DIRI.

Ada orang walaupun selalu buat maksiat tapi Allah tetap bagi dia duit yang banyak, isteri yang cantik jelita, anak-anak yang pandai bijaksana, kereta besar, rumah mewah macam istana, gelaran Tan Sri, Dato' Seri dan sebagainya nikmat dunia. Itu namanya ISTIDRAJ, iaitu pemberian dari Allah SWT tapi tidak diredhaiNya. Tujuannya untuk terus menjauhkan orang itu dari Allah SWT. Na'uzubillah.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat bahawa Allah SWT memberikan nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (dosa) ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT”. (Diriwayatkan oleh: At-Tabrani, Ahmad danAl-Baihaqi)

Ada juga orang yang taat pada suruhan dan larangan Allah SWT tapi rumahnya kecil, kereta kecil, kerja pun kecil-kecil saja. Bukan Allah tak sayang tapi itu tandanya UJIAN keimanan dan ketabahan kerana suatu hari nanti Allah akan kurniakan sesuatu yang lebih berharga dan tak ternilai buat mereka iaitu SYURGA.

Mudah-mudahan Allah tidak kurniakan kita rezeki yang akan menjauhkan kita daripadaNya.


Friday, September 30, 2011

BAHAGIA


Seorang isteri kalau diminta oleh suami, "Yang, buatkan abang teh", "Sayang, abang rasa nak makan nasi kerabulah. Boleh tak masakkan?", "Sedapnya kalau sarapan makan nasi lemak", apa rasa dan tindakannya?

Kalau si isteri melaksanakan semua permintaan suami itu dengan penuh sukacita dan riang gembira dalam hati, itu tandanya dia bahagia. Bahagia kerana dia mempunyai seorang suami yang boleh membantunya mendapat pahala dan insan untuk dijaga makan, minum, pakai dan segalanya. Di luar sana, bayangkan masih ramai yang ternanti-nanti seorang suami untuk diberi khidmat yang penuh taat setia. Bahagia kerana segala yang dilakukan adalah kerana Allah SWT.

Dan berapa ramai daripada kita sebenarnya yang rasa bahagia bila laksanakan solat tahajud meskipun perlu menahan mengantuk, solat dhuha meskipun perlu menahan daripada tidur siang, solat Subuh, solat Zuhur dan seterusnya.

Siapa yang rasa bahagia bila berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan tanpa mengharapkan ganjaran satu hari puasa, RM 1 ganjarannya?

Siapa yang rasa bahagia bila harta dah cukup syarat untuk dizakatkan kepada orang yang lebih memerlukan bila tiba masanya, duit RM 10,000 hasil pelaburan emas, zakatnya 1.5%?

Bahagia tak kalau dijemput menjadi tetamu Allah SWT menziarahi Baitullah bila tiba bulan Zulhijjah?

Wah, indahnya beribadah bila kita rasa bahagia kerana melaksanakan semuanya kerana Allah SWT. Sudah pasti menempuh perjalanan yang sedikit jauh semata-mata untuk solat berjemaah di masjid terasa bahagia dan sayang untuk dilepaskan oleh para suami dan pemuda soleh kerana ianya dilakukan kerana Allah SWT. Pasti solat di awal waktu sentiasa dinanti-nantikan oleh para isteri dan wanita solehah untuk menerima kurniaan rasa bahagia.

Ya, Dialah sumber bahagia. MengingatiNya itu mencetus bahagia. Ya Allah, kurniakanlah hati yang bahagia selalu pada kami iaitu hambaMu.

Sedikit petikan tazkirah daripada Dr. Robiah K. Hamzah dalam rancangan Tanyalah Ustazah dan tambahan daripada penulis.

Rupanya ramai daripada kita yang rasa tak bahagia walaupun duit berjuta-juta, kerja berpangkat tinggi, ada Master dan Phd dan segala nikmat dunia, kerana niat dilaksanakan semua itu tidak dikembalikan kepada Allah SWT. Belajar kerana nak lulus periksa, dapat kerja bergaji tinggi. Belajar agama sebab nak dapat suami/isteri solehah. Kerja sebab nak dapat gaji tiap-tiap bulan, masuk RM 3K, belanja RM 5K (hutang kad kredit).

Kalaulah segalanya diniatkan kerana Allah SWT, apa saja yang kita lakukan pasti memberi suatu kesan positif kepada hidup kita dan masyarakat sekeliling juga menerima tempias positifnya. Orang yang bahagia, mukanya cerah tanpa diserang gelisah. Hidupnya ceria tanpa duka nestapa.

Rasa bahagia apabila hati yang sudah karat ini kembali terisi dengan wadah ilmu yang berguna. Syukran Ya Allah.

Ayuh, bahagiakanlah hatimu kerana Allah SWT.

Kalau kerana Allah SWT, tak pakai Blackberry, iPhone atau iPad pun rasa bahagia.

Thursday, September 22, 2011

KONVOKESYEN USM KE 44


3 Disember 2007, saya mula mendaftar sebagai pelajar Sarjana Kejuruteraan Kimia di USM Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Pada 27 Julai 2011, dengan izin Allah SWT tiga salinan terakhir tesis berjaya dihantar ke pangkuan pihak IPS USM. Tandanya saya sudah tamat menjalankan penyelidikan. Usaha saya selama 3 tahun 7 bulan akhirnya diraikan pada 21 September 2011 sempena Majlis Konvokesyen USM yang ke-44.

Alhamdulillah, saya dapat merasai momen indah menerima buku skrol daripada Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sendiri selaku Canselor USM dan juga berkesempatan menyarung kembali jubah ungu, tapi kali ini warna biru muda menghiasi leher saya menggantikan warna hijau yang pernah dipakai dulu. Suka dan duka yang saya lalui semasa menjalankan penyelidikan amat berbaloi dan akan menjadi kenangan dan iktibar buat diri saya selama-lamanya.

Kata ibu saya, "kalau tak habis lagi master ni, tambah lagi sorang anak". He..he..he..

Mula pengajian itu rezeki, tamat pengajian itu rezeki, tambah anak itu pun rezeki juga.

Terima kasih buat pensyarah merangkap penyelia utama Prof. Madya Dr. Mashitah Mat don dan penyelia bersama Prof. Madya Dr. Badorul Hisham Abu Bakar atas bimbingan dan tunjuk ajar kalian. Leteran dan kata-kata kalianlah yang banyak mengajar anak didik kalian ini.

Buat ibu Puan Zaitun Hj Rofie, you are my supermom. Inspirasi ketabahan seorang wanita mendepani cabaran hidup. Apalah sangat cabaran yang anakmu lalui sepanjang meraih pengiktirafan ini berbanding cabaran yang ibu telah lalui. To my siblings, you guys are awesome. Thanks for helping your elder sister and be part of my journey.

Buat suami yang tersayang, Abu Ziyad a.k.a Mr. Jie, abanglah jantung hatiku. Semoga Allah mengganjari pengorbananmu tanpa sedikit pun rungutan itu. You're my everything. Permata hati ibu, Ziyad dan Auni, ibu dedikasikan kejayaan ini buat tatapan kalian di masa akan datang. Ilmu yang ada pada kita ini ibarat titisan air daripada lubang jarum. Ilmu Allah SWT itu jua yang Maha Luas.

Kepada teman-teman seperjuangan, tak ternilai jasa kalian dalam berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Semoga ilmu yang diraih sentiasa mendekatkan kita kepada Yang Maha Esa, menjadi penyuluh dalam menerangi kehidupan yang seringkali dilanda kegelapan dan menambah kebaikan dlam diri dan orang-orang di sekeliling kita. Amin, InsyaAllah.

Allahu ta'ala a'lam.

Sunday, September 18, 2011

JAUH PERJALANAN.....?


Perjalanan yang jauh biar pun luas permandangan tapi juga sangat memenatkan. Selama lima jam duduk saja di kerusi penumpang belakang membuatkan pinggang dan kaki berasa sengal-sengal dan lenguh. Apatah lagi yang memandu, kejang urat-urat kaki, tangan dan seluruh badan.

Walimah adik ipar (sebelah pengantin perempuan) di Alor Setar sudah selesai. Alhamdulillah dan tahniah buat kedua mempelai Zulhilmi dan Hani Sabrina. Cinta di awal-awal perkahwinan memang indah dan mengasyikkan. Semoga momentumnya akan berkekalan sehingga ke akhir hayat kerana cinta yang tulus bukan sekadar mempunyai suami/isteri yang kacak/cantik, berharta, berpangkat dan segalanya, tapi yang lebih penting adalah agama supaya dapat sama-sama membimbing dan memperingatkan antara satu sama lain. Rumahtangga itu umpama kapal. Suami adalah nakhoda, isteri pula adalah pembantunya dan kadang-kala isteri perlu menjadi nakhoda dan suami pula pembantunya. Suami dan isteri itu perlu saling melengkapi dan menyempurnakan antara satu sama lain. Wah, mentang-mentanglah terjumpa dengan Datuk Ustazah Siti Norbahyah dan keluarganya di kedai makan petang tadi, terus sampai aura nak bermotivasi.

Pengantin lama pun perlu sering refresh hubungan suami dan isteri seperti pengantin baru juga. Barulah beroleh rumahtangga yang penuh sakinah, rahmah dan mawaddah. Kepada sang suami janganlah segan silu ucapkan I Love You pada isteri walaupun kata orang mulut seorang suami itu terletak di hati. Sekurang-kurang ucapan itu menjadi pemangkin untuk isteri terus berbakti dan berkhidmat kepada suami.

Perjalanan kami akan diteruskan kembali dua hari lagi untuk Majlis Konvokesyen di USM Pulau Pinang pula. Kemudian, hujung minggu nanti, kami akan menempuh perjalanan selama 7 jam pulang ke Jerteh, Terengganu pula untuk walimah di sebelah pengantin lelaki. Biar pun sejauh mana perjalanan dan seletih mana pun badan, ia akan segera hilang saat bersua dengan ahli keluarga yang tercinta. Nikmat balik kampung. Selagi mana masih ada peluang untuk pulang ke kampung, pulanglah dan nikmatilah sepuas-puasnya momen itu.

To Abu Ziyad a.k.a Mr. Jie, I Love You....