Tuesday, December 6, 2011

LIDAH KENA GIGIT??...ADOI!!!

Assalammualaikum semua,

Okay. Jangan bikin panas tajuk di atas. Ini bukan blog politik walaupun kadang-kadang terselit juga isu-isu politik. Bukan juga blog hiburan yang memaparkan gosip panas.

Alkisah, musim kahwin semakin panas menjelang hujung tahun ni sebab cuti sekolah kan. Adik saya pun baru saja selamat jadi isteri orang secara rasminya. Jadi, artikel ni sangatlah baik untuk dijadikan panduan buat para pengantin baru dan lebih-lebih lagi pengantin lama macam saya ni. Orang yang dah bertahun-tahun kahwin pun kena banyak belajar hal-hal rumahtangga ni tau...So, layannnn....

Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga."

(Riwayat Anas Bin Malik)

Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan ‘orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?’

Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P.Ramlee ‘Sedang lidah lagi tergigit’. Anda tidak akan sentiasa boleh berkata ‘ok’ kepada isteri anda begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat diramalkan.

Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor."

(Riwayat Ibnu Mas’ud RA)

Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.

Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan inilah kita sering bertelingkah dengan pasangan untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah baik, namun hal ini adalah lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak ada penyatuan antara suami dan isteri.

Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi, janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak diluahkan, pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda.

Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif:

1. Jangan terlampau banyak bercakap – Ketika bertengkar, hati masing-masing pasti dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima melainkan masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada pasangan anda sehingga perlahan-lahan dia akan menjadi bosan dengan anda. Yang perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan secara mendalam cara untuk mem-betulkan keadaan.

2. Jangan menyebut kelemahan pasangan – Bukan hanya isteri anda yang mempunyai kelemahan, anda juga ada ke-lemahan sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan dia, anda akan turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, anda tidak akan menang dengan hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan keadaan lebih parah. Jika mahu menegur pasangan, minta dia meluahkan ketidak-puasan hatinya tentang anda dahulu supaya apabila giliran anda nanti, dia tidak akan meninggikan suara.

3. Jangan membalas perbuatannya – Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra dengan lelaki sebelah rumah. Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya salah. Jangan anda pula bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. Keadaan ini hanya memberi peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi anda. Akhirnya, anda turut terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri.

4. Jangan cuba mengubah pasangan – Anda dibesarkan dalam keluarga ‘begini’, isteri anda dibesarkan dalam keluarga ‘begitu’. Pastilah terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Anda harus memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti tidak sama dengan pandangan anda.

5. Fokus pada masalah – Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan masalah akhirnya akan turut menjadi masalah.

6. Jangan tinggikan suara – Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin tinggilah suara pasangan kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan menjadikan keadaan semakin baik malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.

7. Gunakan panggilan manja – Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan panggilan ‘sayang’ atau ‘manja’ tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih sebaliknya. Panggilan kasar mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan dirinya rendah sekali. Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan kasar termasuklah ‘aku’ dan ‘kau’.

8. Elakkan terlalu emosional – Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda akan selalu terlepas mulut. Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya terlalu serius memandangkan ketika sedang bergaduh, seseorang itu cenderung berkata yang tidak-tidak terhadap lawannya.

9. Gunakan perkataan yang baik-baik – Selain menggunakan panggilan manja, gunakanlah juga perkataan yang tidak menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan masalah akan cepat selesai. Antara contoh perkataan yang boleh anda gunakan ialah, "Abang rasa sayang tak patut buat macam ni," berbanding "Ni semua salah engkaulah!"

10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur – Hal ini kerana tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan bermesra-mesra sesama sendiri.

11. Dengar luahan isteri – Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh isteri anda itu dapat menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, bukan sahaja anda akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara sendiri yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.

12. Jangan bergaduh di depan anak – Dengan bergaduh di hadapan anak, anda hanya akan membuatkan anak keliru dan mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang berada di pihak benar atau salah. Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku jika anak anda menceritakan keadaan anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan menjejaskan imej anda sekeluarga.

13. Bersabar – Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal berbanding dengan isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari isteri anda. Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling segala jenis pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.

14. Say NO to third party – Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, jangan libatkan orang lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya menyulitkan keadaan. Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk menyelesaikan masalah anda.

15. Mengalah tidak bererti kalah – Mengalah ketika saat genting ini tidak menunjukkan anda kalah. Anda hanya perlukan masa untuk membuktikan bahawa tindakan anda sebenarnya betul.

16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai – Selalu menonton drama di TV? Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera meninggalkan rumah semasa bergaduh untuk memudahkan cerita. Tindakan ini sebenarnya akan menyebab-kan isteri anda ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia akan berasa tertekan dan anda perlu ingat bahawa anak-anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah. Perempuan yang hilang kewarasan akibat tekanan yang dahsyat akan menyebabkan mereka akan bertindak yang bukan-bukan. Mungkin sahaja dia akan memudaratkan dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa tidak dapat menahan marah, beritahu isteri anda bahawa anda perlukan sedikit ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa tanggungjawab anda terhadap permasalahan anda berdua.

17. Luahkan – Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut perlu meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda menyambung pendapat anda. Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda.

18. Pelukan dan kemaafan – Hal inilah detik paling indah dalam pergaduhan. Setelah dirasakan masalah telah selesai, jangan melewatkan detik untuk memeluk pasangan anda seeratnya. Ucapkan perkataan maaf dan berharap agar perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi. Keadaan ini akan menyebabkan perhubungan anda selepas itu lebih erat dan mantap dengan satu kesatuan hati yang lebih hebat.

Petikan dari buku 'Sedangkan Lidah Lagi Tergigit' (Sumber tiru dan lekat dari Blog Tokwan)..

P/S: rajin betul tokwan ni update blog dia setiap hari...

Thursday, December 1, 2011

TAMBAH TANGGUNGJAWAB?


Assalamualaikum semua,

Great job comes with great responsibility

Macam pernah dengar ayat ini tapi tak ingat kat mana dan tak pasti betul ker tak ayatnya. Main sedap sebut dan taip aje.

Kesimpulannya, dengan menggunakan ayat sendiri, semakin tinggi tahap kerja semakin tinggi juga tanggungjawab.

Masih segar dalam ingatan, dulu semasa menyambung pengajian di peringkat Master, memang banyak perkara yang perlu dilakukan sendiri. Bermula dari proposal sehinggalah ke tesis yang terakhir tapi ada juga bantuan dari supervisor (SV) secara langsung atau tak langsung. Misalnya, dari segi kaedah penyelidikan saya dapat rujukan dari proposal SV sendiri. Jadi, ada kemudahan di situ dari segi memahami dan mengetahui kaedah penyelidikan dijalankan atau lebih tepat lagi disebut sebagai research methodology. Semua dah ada depan mata yop.

Tapi, bila saya buat keputusan untuk sambung PhD, kenalah belajar berdikari. Dengan erti kata bersedia untuk 100% berdikari bermula dari menyiapkan proposal hinggalah ke tesis terakhir nanti (InsyaAllah). Tak tahulah bagaimana nak menghadapinya. Orang yang dah biasa disuap, bukan mudah nak menyuap sendiri. Pepatah sendiri. Kalau dah terbiasa dengan kaedah diberi maklumat, susah jugalah kalau semua maklumat perlu dicari sendiri. Yalah, nama pun PhD, kalau masih nak harapkan orang lain, tak ada maknanya belajar tinggi-tinggi sampai 100 tingkat sekalipun.

Itulah cabarannya. Yang penting sifat rajin wajib ada dalam diri. Palu gendang dalam diri. Sahut cabaran yang datang. InsyaAllah, alah bisa tegal biasa.

Akhir kata, jadikan kegagalan satu batu loncatan untuk berjaya. Kejayaan yang diperoleh selepas menempuh kegagalan yang sepahit kopi tak bergula akan menjadi manissss walau tanpa gula....

Allahumma yassir wa la tu'assir...

P/S: Orang lain di negara luar nak masuk sekolah pun susah atas kekangan wang ringgit, perang, kebuluran dan sebagainya tapi kita di Malaysia ni kalau ada peluang sambung belajar, belajarlah bersungguh-sungguh sampai jadi pakar dalam ilmu tersebut...Ingatan buat diri sendiri yang selalu lupa...

Tuesday, November 29, 2011

SEMUT YANG BERIMAN?


Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".

Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Itulah Iman Semut!!


IMAN MANUSIA??

Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.

Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik kerumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik.

Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?".

Jawab Imam Suffian:" Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan".

Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.

Kata Saidina Ali kepada Kamil: "

ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA, ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA, ILMU MENJADI HAKIM, HARTA DIHAKIMKAN, HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMU BERTAMBAH APABILA DIBELANJAKAN".

Tiru dan lekat dari blog Tokwan (memang bukan tokwan saya)..

Salam maal hijrah buat semua. Semoga kita dapat berhijrah dari yang buruk kepada yang lebih baik dari segi amalan dan sebagainya..insyaAllah

JANGAN JAJA MENANTU?


Kesian kawan mak yang sorang tu. Dulu dia asyik cerita nak dapat menantu orang senang. Orang hebat. Sekarang ni menantu yang dia puji langsung tak layan bila dia berziarah ke rumahnya", cerita ibu mertua saya pada saya suatu hari.

"Menantu dia kerja apa mak?", tanya isteri saya

"Dengar kata engineer", balasnya.

Saya hanya mendengar butir-butir bicara mereka sambil menikmati hidangan berbuka. Masih saya ingat ketika mula-mula berkahwin dulu, apabila orang bertanya kepadanya apa pekerjaan bakal menantunya, dia hanya menjawab "Tidak tahu. Tapi yang pasti kerjanya dok bagi ceramah".

Ketika itu kerjaya saya adalah sebagai seorang trainer di Kuala Lumpur, manakala isteri pula masih belum menamatkan pengajian di Universiti Malaya. Pendapatan yang diperolehi tidaklah besar, tetapi cukup untuk menampung keperluan hidup pada ketika itu. Kerjaya biasa, tetapi cukup untuk membuatkan saya puas.

Kini giliran adik ipar saya pula bakal mendirikan rumah tangga. Soalan yang ditanya kepada ibu mertua juga adalah soalan yang sama. "Bakal menantu awak kerja apa?". Ibu mertua saya hanya mampu menjawab, "Dia buka perniagaan sendiri". Jawapannya ringkas tanpa dihurai panjang. Walaupun saya tahu bakal biras saya ini pendapatannya jauh lebih besar daripada seorang pegawai kerajaan, tetapi saya memahami mengapa beliau memberikan jawapan sedemikian.

Jawapan yang diberikan membuatkan teman-temannya terlopong. Mereka seperti kehairanan. Mengapa anak-anaknya yang diberikan pendidikan tinggi tetapi bermenantukan seorang peniaga. Manakala menantu pertamanya hanya seorang penceramah!


Kereta Sebagai Ukuran

Sudah menjadi kebiasaan apabila membincangkan soal menantu yang menjadikan kereta yang dipakai sebagai ukuran. Di canang ke sana sini, bahawa menantu mereka mempunyai kereta mewah. Bahkan ada yang tidak segan silu membanding-bandingkan kereta anak menantu mereka dengan menantu orang lain. Saya juga pernah dibandingkan dengan anak-anak jiran dalam soal begini.

Jawapan diberikan oleh saya mudah, "Saya tidak berkemampuan". Sememangnya tidak mampu dari sudut kewangan kerana masih banyak tanggungjawab yang harus ditunaikan. Hasrat untuk memiliki rumah sendiri dan menggenggam ijazah sarjana membuatkan saya dan isteri lebih berhati-hati didalam mengatur perbelanjaan. Berusaha mendapatkan pendapatan sampingan bagi menampung aktiviti dakwah yang dijalankan.

Bagi yang berkemampuan untuk memiliki tidak salah. Kenderaan yang terbaik diperlukan untuk ditungganggi. Seperti kata guru Ustaz Mahmud, "Andai ada teman mahu membeli kereta mewah kita perlu bersyukurlah. Besar tuahnya kerana kita yang tidak mampu untuk jadi penumpang".


Yang Di Bangga Tidak Ke Mana

Di dalam memilih menantu, usahlah kita terlalu berbangga dengan kekayaan yang dimilikinya sebelum kita mengetahui sejauh mana kekayaan hatinya. Seperti mafhum hadis riwayat Abu Hurairah Radhiyallahu'anhu:


Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam bersabda: 'Kaya itu bukanlah bermakna banyaknya harta. Tetapi, kaya itu adalah kaya hati (mencukupkan yang ada).'

Biarlah bagaimana hebat pun menantu kita, biarlah kita sahaja yang mengetahuinya. Ini kerana kekayaan yang ditonjolkan secara zahir itu belum terbukti dari sudut batinnya. Dikhuatiri bakal menantu yang dipuji dan dipuja, menunjukkan sikap-sikap yang dingin selepas majlis perkahwinan.


Besederhanalah Dalam Membawa Berita

Seeloknya bagi ibu bapa yang bakal mendapat menantu, bersederhanalah dalam membawa cerita berkenaan bakal menantu kita. Janganlah dijaja kehebatan bakal menantu kita sehingga teman-teman jelik mendengarnya. Berpada-padalah dalam menceritakannya.

Orang tidak memandang kepada kekayaan harta, tetapi mereka lebih menilai kepada baik budi pekertinya. Jangan jadi seperti sesetengah orang, sudah terhantuk baru tergadah. Beringat-ingatlah sebelum kena, agar kegembiraan yang dikecapi tidak diakhiri dengan dengan air mata.

Tiru dan lekat dari blok Tokwan (bukan tokwan saya)...

Selamat pengantin baru buat adikku NurulHuda Munirah dan pasangannya Hizbullah..Semoga bahagia hingga ke syurga...

Monday, November 28, 2011

LAWA RAMBUT??



Ustaz: Lawa rambut. Awak pakai apa?

Girl: Ustaz nak kenakan saya ker?

Ustaz: Taklah. Rambut anak perempuan saya yang kecil tu selalu jer kusut. Lagi-lagi bawah matahari. Benda yang awak pakai ni tahan matahari erk?

Girl: Oooo, saya pakai **** ustaz. Nak lagi lawa tambah **** sikit...Blalalal...Memang tahan matahari, tahan haba...

Ustaz: Oooo...agak-agak dengan bara api neraka tu tahan tak???

Girl: Gulrrpp...(air liur tersekat di kerongkong)...


Tiru dan lekat dari teman mukabuku..


Friday, November 25, 2011

ADA ILMU, TAPI TAK ADA ADAB


Assalammualaikum semua,

Dulu, beberapa bulan sebelum berkahwin, perkara yang harus diselesaikan oleh bakal pengantin seperti saya adalah urusan walinya. Bagi saya yang tinggal bersama ibu dan lama tidak bersua dengan ayah (allahyarham) ada kesukaran dalam urusan itu. Oleh yang demikian, saya perlu melakukan sedikit urusan dengan hakim mahkamah syariah. Dipendekkan cerita, saya dipanggil bertemu dengan hakim tersebut. Orangnya muda lagi dan sampai sekarang saya ingat namanya. Tetapi saya sedih dan marah bila saya disoal siasat seperti penjenayah. Hanya disebabkan satu hal yang saya tak maklum kerana tak ada ilmu tentang itu dan sebab itu saya merujuk kepadanya. Yang lebih menyakitkan hati bila hakim itu kurang ajar dengan ibu saya. Memang hati saya panas mendidih masa tu. Nama saja hakim syariah tapi perangai.....no good words to describe him. Sorry..

Semalam, kawan saya mengadu. Dia ada masalah dengan seorang pensyarah yang bertindak sebagai penyelia projek bagi Ijazah Tingginya. Mula perkenalan nampak okay dan mesra. Tetapi, lama kelamaan sikap pensyarah itu berubah kasar dan tak menghormatinya. Bahasa yang diguna pakai untuk berkomunikasi sangat menyakitkan hati. Dia sekarang rasa nak berhenti dan cuba cari tempat lain pula untuk sambung belajar. Saya faham kerana saya juga pernah melalui situasi sebegitu.

Dua kisah di atas hanya sekadar menceritakan beberapa kisah daripada beribu-ribu kisah yang ada di alam luar sana. Memang menghairankan bila orang yang layak digelar ilmuwan tapi tak ilmuwan dari segi adab. Kalau nak kata tak belajar agama, yang ada latar belakang agama macam si hakim tu pun sama juga feelnya. Kalau nak salahkan bangsa (kedua-duanya sebangsa dengan saya), saya pun tak pasti.

Slogan Budi Bahasa Budaya Kita tu hanya sekadar slogan. Realitinya tak diamalkan pun. Orang yang melaungkan slogan tu pun agaknya sama saja dengan yang lain. Saya sudah banyak kali terkena dan makan hati bila berurusan dengan orang ada ilmu tapi tak ada adab. Minta maaf tapi memang sangat tak respect kepada orang yang tak reti nak menghormati orang lain. Peganglah pangkat setinggi mana pun tapi seriously seorang makcik cleaner yang selalu senyum dan menghormati orang lain itu lebih mulia dari orang yang berpangkat besar tapi perangai....

Bagi yang pernah terkena, janganlah membalas sikap seperti itu juga kepada orang lain. Jadikannya sebagai pengajaran supaya suatu hari nanti bila kita mempunyai ilmu dan berada di kedudukan yang tinggi, kita seiringkannya dengan adab. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tak berbuah. Tetapi ilmu tanpa adab ibarat buah pohon yangberbuah tapi buahnya busuk...uwekkk

Kepada kawan saya, kuatkan semangat demi menggapai cita-cita. Suatu hari nanti bila berjaya, jadilah seorang pendidik yang benar-benar mendidik bukan yang bangga dengan ilmu, gelaran dan sombong. Ingatan dan pesanan buat diri saya juga. Mudah-mudahan Allah SWT kurniakan pahala dan ganjaran atas kesabaran kita. Ilmu di dunia milik kekal Yang Maha Esa, kita hanya peminjam sementara biar sehebat mana pun kepakaran kita.

Kejayaan semanis madu memang perlukan usaha dan kadang kala persekitaran yang sepahit hempedu...

Bittaufiq wannajah to all...

P/S: Saya sangat menghormati seorang ahli akademik di sebuah universiti. Seorang yang ramah, manis dengan senyuman, sopan dalam pemakaian. Tuturnya lembut dengan sesiapa saja tidak mengenal status. Komited dengan tugas kemasyarakatan yang tak bergaji biar pun sibuk dengan kerja. Kalaulah semua orang yang berilmu seperti itu. Dialah role model saya dalam akademik. Siapa dia biarlah menjadi rahsia...Semoga saya dapat mencontohinya...

Tuesday, November 22, 2011

211111


Assalammualaikum semua,

Tarikh keramat ni datang lagi. Cantik jugak nombornya dan sangat signifikan pada diri saya kerana 27 tahun yang lalu seorang bayi perempuan comel telah dilahirkan di sebuah rumah di Kampung Belakang Pendang, Kedah pada 211184. Bayi comel itu adalah saya, jangan muntah kerana semua bayi dilahirkan secara comel semulajadi...hehehe...

211111...

I'm already 27 years old...3 tahun lagi nak masuk zon 3 series (bak kata orang). Alhamdulillah masih dipanjangkan umur dan diberi kesempatan lagi untuk beramal. Meski amalanku masih tak bertambah-tambah sob..sob..sob..

Banyak perancangan perlu dilaksanakan. Mudah-mudahan Allah permudahkan. Jika tidak dengan izinNya, I am nobody with nothing...

Terima kasih atas semua ucapan di mukabuku. Doakan semoga saya berjaya menggapai impian dan cita-cita.

Terima kasih Ya Allah kerana menciptakanku..Buat suami dan anak-anak. Terima kasih kerana berada di sisi ibu setiap masa tak kira susah mahu pun senang. I love you all...Buat mamaku, syukran kerana melahirkan anakmu ini....Buat adik-adikku, hadiahnya mana? Buat-buat lupa plak...

Fi amanillah...