Tuesday, November 29, 2011

JANGAN JAJA MENANTU?


Kesian kawan mak yang sorang tu. Dulu dia asyik cerita nak dapat menantu orang senang. Orang hebat. Sekarang ni menantu yang dia puji langsung tak layan bila dia berziarah ke rumahnya", cerita ibu mertua saya pada saya suatu hari.

"Menantu dia kerja apa mak?", tanya isteri saya

"Dengar kata engineer", balasnya.

Saya hanya mendengar butir-butir bicara mereka sambil menikmati hidangan berbuka. Masih saya ingat ketika mula-mula berkahwin dulu, apabila orang bertanya kepadanya apa pekerjaan bakal menantunya, dia hanya menjawab "Tidak tahu. Tapi yang pasti kerjanya dok bagi ceramah".

Ketika itu kerjaya saya adalah sebagai seorang trainer di Kuala Lumpur, manakala isteri pula masih belum menamatkan pengajian di Universiti Malaya. Pendapatan yang diperolehi tidaklah besar, tetapi cukup untuk menampung keperluan hidup pada ketika itu. Kerjaya biasa, tetapi cukup untuk membuatkan saya puas.

Kini giliran adik ipar saya pula bakal mendirikan rumah tangga. Soalan yang ditanya kepada ibu mertua juga adalah soalan yang sama. "Bakal menantu awak kerja apa?". Ibu mertua saya hanya mampu menjawab, "Dia buka perniagaan sendiri". Jawapannya ringkas tanpa dihurai panjang. Walaupun saya tahu bakal biras saya ini pendapatannya jauh lebih besar daripada seorang pegawai kerajaan, tetapi saya memahami mengapa beliau memberikan jawapan sedemikian.

Jawapan yang diberikan membuatkan teman-temannya terlopong. Mereka seperti kehairanan. Mengapa anak-anaknya yang diberikan pendidikan tinggi tetapi bermenantukan seorang peniaga. Manakala menantu pertamanya hanya seorang penceramah!


Kereta Sebagai Ukuran

Sudah menjadi kebiasaan apabila membincangkan soal menantu yang menjadikan kereta yang dipakai sebagai ukuran. Di canang ke sana sini, bahawa menantu mereka mempunyai kereta mewah. Bahkan ada yang tidak segan silu membanding-bandingkan kereta anak menantu mereka dengan menantu orang lain. Saya juga pernah dibandingkan dengan anak-anak jiran dalam soal begini.

Jawapan diberikan oleh saya mudah, "Saya tidak berkemampuan". Sememangnya tidak mampu dari sudut kewangan kerana masih banyak tanggungjawab yang harus ditunaikan. Hasrat untuk memiliki rumah sendiri dan menggenggam ijazah sarjana membuatkan saya dan isteri lebih berhati-hati didalam mengatur perbelanjaan. Berusaha mendapatkan pendapatan sampingan bagi menampung aktiviti dakwah yang dijalankan.

Bagi yang berkemampuan untuk memiliki tidak salah. Kenderaan yang terbaik diperlukan untuk ditungganggi. Seperti kata guru Ustaz Mahmud, "Andai ada teman mahu membeli kereta mewah kita perlu bersyukurlah. Besar tuahnya kerana kita yang tidak mampu untuk jadi penumpang".


Yang Di Bangga Tidak Ke Mana

Di dalam memilih menantu, usahlah kita terlalu berbangga dengan kekayaan yang dimilikinya sebelum kita mengetahui sejauh mana kekayaan hatinya. Seperti mafhum hadis riwayat Abu Hurairah Radhiyallahu'anhu:


Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam bersabda: 'Kaya itu bukanlah bermakna banyaknya harta. Tetapi, kaya itu adalah kaya hati (mencukupkan yang ada).'

Biarlah bagaimana hebat pun menantu kita, biarlah kita sahaja yang mengetahuinya. Ini kerana kekayaan yang ditonjolkan secara zahir itu belum terbukti dari sudut batinnya. Dikhuatiri bakal menantu yang dipuji dan dipuja, menunjukkan sikap-sikap yang dingin selepas majlis perkahwinan.


Besederhanalah Dalam Membawa Berita

Seeloknya bagi ibu bapa yang bakal mendapat menantu, bersederhanalah dalam membawa cerita berkenaan bakal menantu kita. Janganlah dijaja kehebatan bakal menantu kita sehingga teman-teman jelik mendengarnya. Berpada-padalah dalam menceritakannya.

Orang tidak memandang kepada kekayaan harta, tetapi mereka lebih menilai kepada baik budi pekertinya. Jangan jadi seperti sesetengah orang, sudah terhantuk baru tergadah. Beringat-ingatlah sebelum kena, agar kegembiraan yang dikecapi tidak diakhiri dengan dengan air mata.

Tiru dan lekat dari blok Tokwan (bukan tokwan saya)...

Selamat pengantin baru buat adikku NurulHuda Munirah dan pasangannya Hizbullah..Semoga bahagia hingga ke syurga...

No comments:

Post a Comment