Di kala sedang menyiapkan pembetulan tesis selepas viva, sempat pulak otak saya berfikir kenapalah ada manusia tamak dalam dunia ini? Ramai pula manusia hari ini yang sibuk mengumpul harta kekayaan tapi tak bayar zakat dan cukai pendapatan lalu tergaru-garulah penjaga kaunter zakat dan cukai pendapatan akan kepalanya yang tak berkutu tapi berkelemumur bila orang kaya ramai tapi duit zakat dan cukai pendapatan yang dikutip rendah. Wahai orang-orang kaya, kalau dah banyak duit tu ingatlah orang-orang yang susah di keliling-kelalang kamu. Kalau tak mahu bayar cukai pendapatan pun bayarlah zakat yang wajib dalam agama Islam kerana dalam harta kita yang melimpah-ruah ada sebahagian rezeki yang menjadi hak orang lain.
Tak perlulah saya nak memanjangkan entri dengan membincangkan soal zakat. Saya tak arif dan anda boleh buka buku teks Pendidikan Islam kepunyaan anak-anak atau adik-adik dan baca bab zakat untuk lebih faham. Kalau nak lebih arif dari segi amalan dan pemahaman sila 'Tanyalah Ustaz' di keliling-kelalang anda yang benar-benar arif. Bab cukai pendapatan pun jangan tanya saya, sila 'Tanya Lembaga Hasil Dalam Negeri' untuk keterangan lanjut. Ini bukan kaunter pertanyaan.
Kalau nak kumpul harta, kumpullah. Tak ada larangan pun dalam agama tapi jangan sampai jadi macam Qarun. Qarun pun kumpul harta juga tapi tak bayar zakat. Akhir kehidupannya mati ditelan bumi sekali dengan hartanya yang melimpah-ruah. Peringatan buat diri saya dan anda. Kalau jadi orang kaya, duit tiap-tiap bulan masuk akaun, sila tunaikan zakat bila tiba masanya.
Sabda Rasulullah SAW, "Siapa yang ingin rezekinya dilapangkan dan usianya dipanjangkan, maka peliharalah hubungan silaturrahim". (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Abu Hurairah)
Hadis di atas tu saya tujukan khas buat mereka yang sibuk mengumpul harta dunia, termasuklah harta pusaka. Ada yang sibuk nak kumpul harta pusaka sampai tak mengaku adik, abang, kakak, pakcik, makcik dan sebagainya. Macamlah harta tu boleh bawa masuk kubur mereka. Apalah, kalau mati nanti pun keranda tetap pinjam masjid punya bukan buat keranda khas daripada kayu cengal, kain kapan pun tetap beli kain ela kat kedai murah juga bukannya pakai kain sutera, batu nisan pun pun bukannya boleh pacak jongkong emas atas pusara. Itu pun bergaduh adik-beradik macam harta mereka tu banyak macam harta Qarun yang mati kena telan bumi tu. Perasan.
Kalau dah harta tu banyak sangat sampai 7 generasi makan pun tak habis, bahagilah mengikut faraid atau pun sama rata. Ambil persetujuan semua. Jangan jadi tamak macam Sadiq Sigaraga. Harta orang pun nak kebas sama. Akhirnya kena jual jadi hamba. Jangan jadi macam Abdul Wahab dan Abdul Wahib yang guna kuasa veto sebagai saudara paling tua lalu menganiaya saudara muda. Duit-duit semua mereka punya, rumah usang pusaka saja Abdul Wahub terima. Lalu bergaduhlah adik dan abang, tak mengaku saudara. Akhirnya, sebab tamak juga dua-dua jadi papa kedana lalu si adik tu jugalah yang menjadi penolong. Pun, jangan jadi seperti Sulaiman Akhlaken yang menggunakan kuasa undang-undang putar-belit alamnya untuk mengaut keuntungan dan harta percuma. "20%", katanya kepada Sadiq Sigaraga. Akhirnya, habuk pun tarak. Jadilah dia hamba.
Rugilah orang yang tamak mengejar harta sampai sanggup putuskan tali persaudaraan. Kalau orang yang memelihara persaudaraan akan dilapangkan rezeki dan dipanjangkan usia, jadi kalau diputuskan persaudaraan maka sempitlah rezekinya dan pendeklah umurnya. Ibarat kalau kita tadah air dalam bekas besar tapi bekas tu berlubang-lubang kecil lalu mengalir keluarlah air yang ditadah itu sedikit demi sedikit sehingga kosonglah bekas itu akhirnya. Kalau harta yang dikumpulnya banyak, hartanya itu akan hilang sedikit demi sedikit sehinggalah habislah harta yang dikumpulnya tanpa ada sedikit pun manfaat dan berkat akibat memutuskan persaudraan.
Harta boleh dicari tapi tali persaudaraan bukan boleh dibeli. Kalau kita kaya pun, belum tentu lagi kita boleh beli seorang adik, abang, kakak, pakcik, anak saudara dan sebagainya. Ikatan darah itu sesuatu yang tak ternilai. Kata mak saya, "adik-beradik jangan terlalu berkira dalam memberi pertolongan, hari ini mungkin hari dia, esok lusa mungkin hari kita". Insaf saya dan adik-adik. Kalau disebabkan harta adik-beradik nak berbalah, baiklah ibu dan bapa dermakan semua harta pusaka pada anak-anak yatim atau baitulmal atau mana-mana institusi yang memerlukan.
Pelik betul manusia sekarang ni. Bertambah pelik lagi bila mereka menjadi rakus, tamak haloba nak ambil harta orang lain. Terima sajalah banyak mana yang kita dapat sikit atau banyak. Ingat, harta yang kita dapat tu pinjaman saja di dunia ni. Ingat juga, yang banyak tak semestinya berkat dan berkekalan kalau didapatkan dengan cara yang salah. Ambil saja hak kita. Hidup bahagia dunia dan akhirat.
Kepada sesiapa yang ada buat salah pada ahli keluarganya, cepat pergi minta maaf. Jangan disebabkan harta yang tak seberapa nilaian tu akan membuatkan kita akhirnya mati seorang diri akibat memutuskan tali persaudaraan dengan ahli keluarga. Kalau dapat harta pusaka sedikit pun, bersyukur sajalah. Tak perlu nak sibuk-sibuk kepala buat rancangan nak ambil harta orang lain konon-konon macam drama swasta. Kepada orang-orang yang menganiaya orang lain sebab sibuk nak kumpul harta dunia, ingat suatu hari nanti kita semua mati. Yang nak mandikan jenazah kita, kapankan kita, doakan kita dan sebagainya bukan harta yang berjuta-juta tapi ahli keluarga. Yang ada harta tu jangan lupa bayar zakat dan banyakkan sedekah untuk sucikan harta.
Kesimpulannya, adik-beradik dan saudara-mara jangan bertelagah sebab harta pusaka kerana keluarga itu adalah harta yang paling berharga dalam dunia. Teringat saya kata-kata seorang ustaz dalam rancangan TV9 Tanyalah Ustaz. Hikmah harta diberikan kepada lelaki melebihi wanita dalam hukum faraid adalah kerana lelaki mempunyai tanggungan. Tanggungan seorang lelaki bukan setakat anak, isteri dan ibu sahaja, malah saudara-saudara perempuannya yang mengalami kesusahan juga patut dibantunya menggunakan harta yang diterimanya itu. Tapi itulah manusia sekarang, sifat tamak tu juga yang diikutnya. Bila dah dapat, harta tu aku yang punya, bukan Ahmad Albab yang punya. Ketawa bergema satu rumah macam jin.
Sekian ceramah saya untuk hari ini. Renung-renungkan dan marilah kita sama-sama beramal.
No comments:
Post a Comment