Wednesday, June 2, 2010

MANISNYA GULA...

Alhamdulillah. sehari lagi masa berlalu dengan limpah kurnia daripada Allah SWT yang tak putus-putus. Takziah buat konvoi bantuan ke Palestin yang diserang oleh zionis laknatullah. Semoga Allah memberi limpah kurnia dan rahmah buat mereka yang berjuang di jalanNya dan azab buat Yahudi zionis yang tak sudah-sudah membuat onar di muka bumi....Takziah juga saya ucapkan buat jiran sebelah rumah yang baru saja kehilangan salah seorang ahli keluarga mereka hari ini. Setiap yang hidup pasti akan merasa mati....Bila teringatkan tentang mati, barulah terasa hidup kita di dunia ni cuma sekadar persinggahan sahaja. Tapi, kebanyakan kita sering kali terlupa dan lalai.


Semalam, saya sekali lagi pergi ke klinik untuk menjalani pemeriksaan bulanan ibu mengandung. Selagi mana tak bersalin, selagi itulah kena mengadap jarum, ubat-ubat dan nurse setiap bulan. Kadang-kadang dah rasa muak dan letih nak pergi klinik tapi demi kesejahteraan dan kebaikan si bayi, terpaksalah melupakan rasa ngilu jarum menusuk kulit jari dan lengan, dan rasa pahit ubat yang terpaksa ditelan setiap hari. Semasa pemeriksaan yang dijalankan semalam, doktor syak saya ada kencing manis sebab berat badan lebih 2 kg dalam masa sebulan. Tambahan pula, paras hb saya turun lagi ke 9.5. Tersangatlah rendah sehinggakan doktor tulis dalam borang sebagai 'moderate anemia'. Menggelabah jugalah saya seorang-seorang. Macam teruk saja. Menyesallah pula sebab tak makan ubat ikut masa. Kan dah susah.


Hari ini, saya kena pergi semula ke klinik untuk ambil darah dan minum air gula. Sebelum ni saya dengar saja cerita-cerita orang lain pasal minum air gula ni. Saya tak lalui pengalaman ni masa mengandung sulung dulu tapi tak sangka mengandung kali ni saya dapat merasa minum air gula buatan nurse. Sedappppp!!! Kat daerah Pendang ni sekarang nak dapatkan sekilo gula pun susah tapi kat klinik ni banyak pula gulanya yer...Sebelum minum air gula, nurse ambil darah dulu. Semalam pun dah ambil darah juga di tempat yang sama jarum tu masuk. Selepas tu terus minum segelas air gula. Punyalah manis sampai terbatuk-batuk. Kemudian, kena tunggu 2 jam di klinik. Seorang pun tak dibenarkan balik sebab takut ada yang termakan atau terminum. Tak pasal-pasal kena buat semula ujian tu nanti. Selepas 2 jam, ambil darah semula. Adoi!! Keringlah darah kalau setiap bulan macam ni.


Balik saja dari klinik teruslah bantai makanan yang ada di rumah. Punyalah lapar sebab daripada pagi tak makan apa-apa. Nampak gayanya kenalah rajin makan ubat selepas ni. Tak kuasa nak kena cucuk ambil darah berulang-kali. Rasa ngilu cucuk tadi pun masih terasa di lengan saya ni.


Bukan senang nak jadi ibu. Demi anak, seorang ibu terpaksa bergolok gadai nyawanya semata-mata nak memastikan anaknya sihat sejak dari dalam kandungan lagi. Bayangkanlah jika si anak yang dah ditatang sebegitu tiba-tiba menjadi anak yang derhaka bila dewasa....Na'uzubillah

1 comment:

  1. salam kak ummi..
    kne rajin2 mkn ubat la cmni..hehe..
    moga terus2 dberi kkuatan utk smpai hari bersalin nnt..(^_^)..insyaAllah..

    ReplyDelete