Sunday, June 20, 2010

SEBUAH PUISI DARIPADA SEORANG ISTERI KEPADA SUAMI

MAAFKANKU WAHAI SUAMI

Kadang-kadang aku rasa akulah
Isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau tak pernah meminta

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena

Kadang-kadang ku bersuara tanpa berfikir
semua perkataan ku menjadi salah
Datanglah ke sini dan pegang tangan ku
Sementara ku cerita kehidupan isteri
Harap dimengerti

Kadang-kadang ku sakiti hati mu
Bila ku tolak sentuhan mu
Bukan bermaksud aku kurang menyayangi mu…
Namun cabaran terlalu

Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada kehidupan manis bersama mu

Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah terlalu singkat
Hanya ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa syukurnya aku…kau pelindung ku

Kadang-kadang berjauhan dengan mu
Akulah isteri yang terlalu tinggi bercita-cita…
Mencipta kerukunan keluarga
Namun aku tetap aku yang ini…
Maafkan aku wahai suami!

(dipetik dari hasil nukilan ustaz pahrol md juoi http://genta-rasa.com/2010/06/16/maafkan-aku-wahai-suami/)

Thursday, June 17, 2010

35 MINGGU

Hari ini usia kandungan saya sudah menjangkau 35 minggu. Bermakna minggu depan genaplah 9 bulan usia kandungan saya. Bila-bila masa bayi di dalam kandungan ini akan keluar dari alam rahim ke alam dunia. Alhamdulillah, bayi di dalam kandungan ni semakin aktif bergerak sampaikan kadangkala terasa kuat tendangannya dan agak meletihkan. Hari ini, sekali lagi saya ke klinik untuk pemeriksaan selanjutnya. Keputusan ujian MGTT (minum air gula) yang dilakukan 2 minggu yang lalu menunjukkan tanda positif yang saya tiada penyakit kencing manis. Cuma tahap hb darah saya walaupun sedikit meningkat berbanding yang lepas tetapi masih dikira rendah iaitu 10.1. Ubat dah pun saya telan tetapi dek kerana tak pantang minum teh (minuman berkafein), maka kesan ubat itu agak kurang kesannya.


Doktor yang memeriksa saya hari ini mula menakut-nakutkan saya dengan ceritanya.

"Kalau darah rendah lagi, kena cucuk ooo", kata doktor lelaki yang berbangsa Cina itu. "Cucuk sakit ooo...kena lima kali cucuk. Itu sampai lepas bersalin pun rasa sakit lagi".

Misi yang duduk mengadap doktor pun mengangguk-angguk tanda sokong. Saya pula yang rasa gusar dan takut. Terpaksalah pasang azam untuk makan ubat secara teratur selepas ni. Tak nak kena cucuk lagi. Saya dah semacam trauma dengan jarum. harap-harap minggu depan, hb saya naik 11 ke atas sampailah saya bersalin. Risau juga bila misi sebut tadi kalau darah rendah kemungkinan turun darah banyak semasa bersalin, kena tambah darah, dan mungkin juga berlaku kelahiran bayi pramatang. Nauzubillah....


Doa saya semoga Allah permudahkan saat kelahiran anak kami ini. Saya pun berharap suami saya dapat temankan saya di dalam bilik bersalin kali ini. Sekurang-kurang ada kekuatan buat saya. Sewaktu menunggu nama dipanggil, ada seorang kakak sempat berkongsi sesuatu yang sangat berguna. Petua untuk memudahkan bersalin. Katanya, campur telur ayam kampung dalam segelas susu dan minum setiap hari, seminggu sebelum tarikh bersalin. InsyaAllah, mudah dan tak sakit sangat bersalin nanti. Dia dah amalkan dan alhamdulilah katanya berkesan. Saya pun rasa macam nak cuba juga.....

Tuesday, June 15, 2010

NAMA ANAK

Di dalam Islam, kita dianjurkan supaya memilih nama-nama yang baik untuk dinamakan kepada anak-anak kita. Ini kerana nama itu akan menjadi pengenalan dan panggilan kepada anak kita seterusnya melambangkan dan membezakan antara kita dengan orang lain
lebih-lebih lagi antara Muslim dengan bukan Muslim. Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:

"Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari qiamat dengan nama-nama kamu, dan
nama-nama bapa kamu, maka perindahkanlah nama-nama kamu itu."

(Riwayat Abu Daud)

Dalam menamakan anak ini syarak telah menetapkan beberapa panduan untuk memilih nama anak sebagai berikut:


a. Hendaklah nama yang dipilih itu memberi pengertian dan maksud yang baik. Sehubungan dengan itu kita dilarang untuk menamakan anak-anak kita dengan nama yang buruk yang boleh menjejaskan kehormatan dan mungkin menjadi sendaan dan memalukan anak tersebut.

b. Jangan namakan anak dengan nama-nama yang khusus kepada nama Allah seperti Ahad, Ar-Rahman, AL-Khalid dan sebagainya. Sekiranya nama ini hendak diberikan kepada anak kita maka hendaklah disertai dengan nama lain di hadapannya seperti Abdul Rahman, Abdul Khalid dan sebagainya.

c. Jangan menggunakan nama yang dikaitkan dengan Abdul (hamba kepada lain dari Allah seperti Abdul Uzza (hamba berhala Uzza), Abdul Nabi (hamba kepada nabi) dan sebagainya.Ulama bersepakat mengatakan bahawa menamakan sedemikian adalah haram.

d. Elakkan dari menamakan anak dengan nama-nama orang kafir atau nama-nama yang menyerupai nama bukan Islam seperti Jon, Sally, sebagainya.

(sumber: http://www.perjalanansuci.com/Informasi/Nama-NamaIndah.htm)

Bagi saya dan suami, tidak perlu nama yang panjang-panjang sampai naik lenguh tangan nak menulis di kemudian hari. Biar ringkas, padat dan mempunyai maksud yang baik buat bakal anak kami nanti. Dalam fikiran dah ada satu nama, cuma tunggu masa saja nak guna nama ni.

SOMCHAE 2010 @KL



Saya sepatutnya berada di salah satu konferens penyelidikan SOMCHAE 2010 di KL tetapi kerana perut dah memboyot ke depan dan biasanya bila usia kandungan dah mencecah 8 ++ bulan, si ibu tak digalakkan berjalan jauh-jauh, jadi saya tak pergi. Saya juga sepatutnya menemani poster penyelidikan saya yang dijadualkan dilekat pada papan poster konferens pada Khamis ini. Walaupun saya mengharapkan kertas jurnal saya diterima masuk dalam konferens tersebut tapi apakan daya disebabkan kecuaian dan kesilapan maka saya cuma berjaya menghantar poster saja. Alhamdulillah, lebih baik daripada tiada.


Terima kasih buat rakan sepenyelidikan yang sudi menjadi wakil membawa poster saya ke konferens sebagai pengganti diri. Buat semua teman-teman sepenyelidikan, selamat berkonferens di KL. Makan tu ingat-ingatlah kat saya sekali....hehe

SUATU HARI.....

Ziyad: Abi....




Abi: Ye, sayang...




Ziyad: Selamat Hari Bapa, Abi. Abilah ayah paling penyayang di dunia. Terima kasih kerana tak jemu menjaga Ziyad




Abi rasa terharu sambil air mata bergenang di anak matanya. Satu pelukan penuh kasih-sayang dihadiahkan buat Ziyad kepada Abi. Begitu juga Abi....


Mungkin suatu hari nanti, inilah bicara si anak kecil buat bapanya.....

Monday, June 7, 2010

BOIKOT LAGI!!

Gesaan boikot kedengaran lagi semenjak kes kapal Freedom Fortilia diserang Israel yang mengorbankan 9 nyawa aktivis misi kemanusiaan. Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Dulu, kita digesa untuk boikot barang-barang yang dipercayai menyumbang dana kepada Israel juga, sewaktu Palestin digasak dengan dahsyatnya oleh puak-puak zionis yang tak berhati perut tu..tapi, kemudiannya senyap sehinggalah timbul pula satu isu baru..


Memang patut kita umat Islam khasnya dan semua manusia yang bencikan peperangan boikot barang-barang Israel tapi hendaknya tidaklah hanya mengikut musim dan satu-satu isu saja. Umum dah pun tahu daripada sebaran pihak yang tertentu barang-barang seperti KFC, McD, dan Coca-Cola (sekadar menyebut beberapa nama yang sangat terkenal) antara barang yang menyumbang kepada dana puak rejim zionis itu. Malangnya, dalam satu pihak tengah rancak dan bersemangat mengajak rakyat Malaysia memboikot barang-barang tersebut, ada satu pihak lain pula saban hari menayangkan dan mempromosikan iklan barang-barang tersebut kepada orang ramai.


Sekiranya dengan memboikot itu dapat menjatuhkan ekonomi puak rejim zionis, biarlah ia menjadi jihad kita yang berpanjangan sebagai umat Islam demi membantu saudara kita di Palestin. Sekurang-kurangnya kita tidak berdiam saja tatkala disoal di akhirat kelak tentang apa yang telah kita lakukan untuk membantu saudara seagama di Palestin...

Wednesday, June 2, 2010

MANISNYA GULA...

Alhamdulillah. sehari lagi masa berlalu dengan limpah kurnia daripada Allah SWT yang tak putus-putus. Takziah buat konvoi bantuan ke Palestin yang diserang oleh zionis laknatullah. Semoga Allah memberi limpah kurnia dan rahmah buat mereka yang berjuang di jalanNya dan azab buat Yahudi zionis yang tak sudah-sudah membuat onar di muka bumi....Takziah juga saya ucapkan buat jiran sebelah rumah yang baru saja kehilangan salah seorang ahli keluarga mereka hari ini. Setiap yang hidup pasti akan merasa mati....Bila teringatkan tentang mati, barulah terasa hidup kita di dunia ni cuma sekadar persinggahan sahaja. Tapi, kebanyakan kita sering kali terlupa dan lalai.


Semalam, saya sekali lagi pergi ke klinik untuk menjalani pemeriksaan bulanan ibu mengandung. Selagi mana tak bersalin, selagi itulah kena mengadap jarum, ubat-ubat dan nurse setiap bulan. Kadang-kadang dah rasa muak dan letih nak pergi klinik tapi demi kesejahteraan dan kebaikan si bayi, terpaksalah melupakan rasa ngilu jarum menusuk kulit jari dan lengan, dan rasa pahit ubat yang terpaksa ditelan setiap hari. Semasa pemeriksaan yang dijalankan semalam, doktor syak saya ada kencing manis sebab berat badan lebih 2 kg dalam masa sebulan. Tambahan pula, paras hb saya turun lagi ke 9.5. Tersangatlah rendah sehinggakan doktor tulis dalam borang sebagai 'moderate anemia'. Menggelabah jugalah saya seorang-seorang. Macam teruk saja. Menyesallah pula sebab tak makan ubat ikut masa. Kan dah susah.


Hari ini, saya kena pergi semula ke klinik untuk ambil darah dan minum air gula. Sebelum ni saya dengar saja cerita-cerita orang lain pasal minum air gula ni. Saya tak lalui pengalaman ni masa mengandung sulung dulu tapi tak sangka mengandung kali ni saya dapat merasa minum air gula buatan nurse. Sedappppp!!! Kat daerah Pendang ni sekarang nak dapatkan sekilo gula pun susah tapi kat klinik ni banyak pula gulanya yer...Sebelum minum air gula, nurse ambil darah dulu. Semalam pun dah ambil darah juga di tempat yang sama jarum tu masuk. Selepas tu terus minum segelas air gula. Punyalah manis sampai terbatuk-batuk. Kemudian, kena tunggu 2 jam di klinik. Seorang pun tak dibenarkan balik sebab takut ada yang termakan atau terminum. Tak pasal-pasal kena buat semula ujian tu nanti. Selepas 2 jam, ambil darah semula. Adoi!! Keringlah darah kalau setiap bulan macam ni.


Balik saja dari klinik teruslah bantai makanan yang ada di rumah. Punyalah lapar sebab daripada pagi tak makan apa-apa. Nampak gayanya kenalah rajin makan ubat selepas ni. Tak kuasa nak kena cucuk ambil darah berulang-kali. Rasa ngilu cucuk tadi pun masih terasa di lengan saya ni.


Bukan senang nak jadi ibu. Demi anak, seorang ibu terpaksa bergolok gadai nyawanya semata-mata nak memastikan anaknya sihat sejak dari dalam kandungan lagi. Bayangkanlah jika si anak yang dah ditatang sebegitu tiba-tiba menjadi anak yang derhaka bila dewasa....Na'uzubillah