Sunday, April 18, 2010

OH..TIPAH TERTIPUUU !!!!

Alhamdulillah, 'ala kulli hal....


Bila terbaca kisah remaja lelaki yang menyamar sebagai anak angkat Tuanku Muda Pahang, saya menggeleng-geleng kepala. Mujurlah Tuanku maafkan kesalahan remaja itu. Kalaulah dikenakan tindakan undang-undang, terjejaslah masa depannya. Orangnya pandai tapi kepandaian yang diperolehi tidak membantu menilai sesuatu perkara dengan bijaksana. Itu satu kisah daripada beribu-ribu kisah penipuan yang berlaku di seluruh negara yang dipaparkan di media cetak dan elektronik.


Semasa saya pulang ke Pendang minggu lepas, saya mendengar satu cerita yang seakan-akan sama seperti kisah di atas daripada ibu saya. Kisah benar yang berlaku beberapa hari sebelum diceritakan. Kerjaya sebagai seorang guru memang banyak berdepan dengan tingkah-laku pelajar yang pelbagai. Sampaikan ada yang seolah-olah tak masuk akal.


Ada seorang pelajar perempuan datang berjumpa dengan seorang guru di sebuah sekolah di Pendang. Kebetulan, guru tersebut bertanggungjawab menjaga kebajikan pelajar di sekolah. Dengan wajah yang sedih dan muram, pelajar itu memberitahu kepada guru tersebut yang bapanya kini sedang kritikal di hospital, makala ibunya pula telah meninggal dunia. Si guru yang mendengar ini mula bersimpati dengan cerita pelajar itu. Katanya lagi, dia tidak mempunyai wang dan memerlukan bantuan daripada pihak sekolah.


Mendengar cerita yang sebegitu, guru tadi pun menjalankan kutipan derma di kalangan guru-guru yang lain. Beratus ringgit jugalah yang dapat dikumpul atas ehsan pihak guru kepada keluarga pelajar itu. Duit itu diserahkan kepada pelajar itu kemudiannya. Tidak cukup setakat berjumpa dengan guru, pelajar itu pergi berjumpa dengan pengetua dengan membawa cerita yang sama. Oleh kerana simpati dan kasihan, maka si pengetua pun menghulurkan RM50 dan mengarahkan seorang guru lain menyerahkan RM200 daripada hasil kutipan tabung kebajikan sekolah.


Keesokkannya, pelajar perempuan itu datang lagi berjumpa dengan guru yang sama. Katanya, duit yang diberikan itu tidak cukup untuk menampung pelajaran adik-beradiknya yang lain. Mulalah timbul rasa curiga di hati guru itu lalu berbincang dengan guru-guru yang lain. Atas siasatan yang dilakukan, maka terbukalah cerita yangs ebenarnya berlaku. Rupa-rupanya bila diperiksa di rumah pelajar itu, cerita yang disampaikan itu memang tak betul langsung. Ibunya masih ada dan sihat, begitu juga ayahnya. Terbukalah rahsia yang kononnya pelajar perempuan itu menggunakan duit yang diberikan kepadanya untuk berjoli dengan kawan-kawan.


Astaghfirullah hal'adzim...Betapa beraninya seorang pelajar menipu semua guru. Bila ditanya pada kawan-kawannya, rupa-rupanya pelajar perempuan ni suka berlagak macam orang senang. Kata pelajar perempuan itu, dia ada kakak yang belajar di United Kingdom padahal kakaknya bekerja sebagai jururawat. Kononnya, abangnya mempunyai syarikat sendiri dan setiap bulan menghantar RM1000 kepadanya. Tapi, abangnya cuma seorang tentera.


Banyaklah kisah yang terbongkar selepas kejadian itu. Tapi, sayangnya bila dibawa berjumpa dengan pengetua dan dimaklumkan kepada keluarganya, tak ada rasa menyesal pun terlintas di hati pelajar itu. Selepas kejadian itu pun, dia tetap terus menyebarkan cerita-cerita yang sama kepada kawan-kawannya walaupun ramai dah tahu ceritanya yang sebenar.


Bila semua guru dapat tahu cerita yang sebenarnya, masing-masing gelak sebab dah kena tipu dengan pelajar mereka sendiri. Termasuk pengetua sekali. Yang baiknya, mereka halalkan saja hasil kutipan di kalangan mereka yang disumbangkan kepada pelajar itu. Cuma mungkin dia perlu ganti duit yang diterimanya melalui tabung kebajikan sekolah. Pelajar itu pula cuma dibuang dari asrama saja. Tak ada tindakan berat yang dikenakan. Harap-harapnya dia dapat pengajaran daripada kesilapan yang dilakukan.


Modus operandi yang sebegini hebat cuma dirancang oleh pelajar yang berusia 15 tahun saja. Macam tak percaya bila mendengarnya tapi itulah hakikat yang berlaku. Jadi, tak hairanlah kalau ada yang berani mengaku dirinya sebagai anak angkat mahupun anak Sultan sekalipun. Yang tak seronok dan tragisnya bila wang yang diperolehi hasil menipu digunakan dalam kehidupan seharian adalah wang haram. Sayang, umur masih muda tapi dah melakukan kerja-kerja menipu. Semoga kita dijauhkan daripada perkara buruk sebegini.

Buat mereka yang suka menjalankan aktiviti menipu untuk mendapatkan kesenangan hidup, segeralah bertaubat. Tak berkat duit yang dapat hasil menipu. Hidup tak senang, tak tenang, dosa yang bertandang....

No comments:

Post a Comment