Thursday, April 29, 2010

BUAT SUAMIKU...

Hari ini suami saya akan menghadiri sesi pembentangan untuk melayakkan dia mendapat sijil safety officer idamannya...


Semoga berjaya dalam pembentangan abi...Do your best!!!


Ucapan ikhlas daripada ibu, Ziyad (abang long) dan baby...

Monday, April 26, 2010

REZEKI KITA DI MANA??..BAHAGIAN DUA

Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran dipanjatkan buat Yang Maha Memberi Rezeki. Dalam kegelisahan memikirkan soal rezeki yang tidak tahu di mana, kuasa Allah Taala sentiasa memberi keinsafan dan kesedaran bahawa sesungguhnya kepada Dia kita sepatutnya memohon. Bukan memohon kepada manusia yang mempunyai kuasa semata-mata. Anggap manusia itu hanya sebagai perantaraan sahaja. Yang memberi rezeki kepada kita manusia adalah Allah SWT secara mutlak....


Apa yang berlaku samada kesusahan dan kesulitan dalam mencapai sesuatu adalah pengajaran yang bermakna untuk kita menyedari hakikat hidup kita sebagai hamba yang sentiasa bergantung pada sifat kasih sayang dan pemurah Allah SWT.


Pesan bonda, letakkan Allah SWT nombor satu dalam segala tindak-tanduk dan amalan...bantuan akan tiba tanpa disangka-sangka.


Kepada yang sudi membantu, terima kasih diucapkan. Hanya Allah sahaja dapat membalas segala kebaikan yang dihulurkan dengan ikhlas.


Memetik kata seseorang yang dermawan, " jangan berterima kasih kepadanya tetapi berterima kasih kepada Allah SWT kerana rezeki ini milikNya".


Kita berterima kasih kepada manusia dan syukur dan terima kasih tetap dirafa'kan kepada Allah SWT...Dia yang mengatur rezeki kita di mana....


Thursday, April 22, 2010

REZEKI KITA DI MANA???

Bila baca Utusan Melayu secara online tadi, terpapar anak allahyarham Din Beramboi memegang replika cek RM100,000 hasil sumbangan daripada UMNO Selayang untuk dia melanjutkan pelajaran di Universiti Lim Kok Wing. Alhamdulillah, itu rezekinya.

Adik saya yang sedang belajar di Universiti Zaqaziq, Mesir dalam bidang perubatan dah masuk tahun ke-2 pun belum menerima mana-mana sumbangan daripada mana-mana pihak lagi sehingga ke hari ini. Adakah kerana adik saya bukan anak seorang artis, hanya anak kepada seorang ibu tunggal yang mempunyai 9 orang anak. Maka, permohonan bantuan kewangan yang dibuat oleh ibu dan adik saya kepada pihak biasiswa, baitulmal, zakat, syarikat-syarikat persendirian dan lain-lain sumber yang ada, masih belum diterima dan ada yang ditolak tanpa kompromi.

Agaknya, ibu saya perlu menjadi seseorang yang terkenal supaya mudah untuk adik-adik saya mendapat tajaan biasiswa mahupun mana-mana bantuan kewangan tanpa dipinta dengan susah payah...??? Tak perlu lagi turun naik tangga untuk bertemu dengan orang itu, orang ini, dan jawapannya nanti tetap sama. "Maaf, puan. kami tiada peruntukan untuk anak puan. Tapi kami punya peruntukan untuk anak-anak artis, anak-anak ahli kenamaan...".

atau

Mungkin, jika pilihanraya kecil diadakan di Pendang, pihak-pihak yang berkenaan akan berpusu-pusu datang menawarkan bantuan semata-mata inginkan publisiti murahan?


Cepat dan mudahnya manusia lupa bila diberi wang dan kuasa yang hanya pinjaman sementara. Kepada Allah saja kami berserah dan kepada Dialah kami memohon pertolongan.

Rezeki kita di mana?

PERINGATAN

Daripada Abu Mas'ud al-Ansori r.a., Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, ia mendapat ganjaran amalannya itu dan ganjaran seumpama orang yang mengikutinya." - Riwayat Muslim


Semoga segala yang tertaip di blog ini mempunyai sedikit-sebanyak manfaat buat yang membaca dan juga buat tuan punya jari yang menaip.....

yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan

Sunday, April 18, 2010

OH..TIPAH TERTIPUUU !!!!

Alhamdulillah, 'ala kulli hal....


Bila terbaca kisah remaja lelaki yang menyamar sebagai anak angkat Tuanku Muda Pahang, saya menggeleng-geleng kepala. Mujurlah Tuanku maafkan kesalahan remaja itu. Kalaulah dikenakan tindakan undang-undang, terjejaslah masa depannya. Orangnya pandai tapi kepandaian yang diperolehi tidak membantu menilai sesuatu perkara dengan bijaksana. Itu satu kisah daripada beribu-ribu kisah penipuan yang berlaku di seluruh negara yang dipaparkan di media cetak dan elektronik.


Semasa saya pulang ke Pendang minggu lepas, saya mendengar satu cerita yang seakan-akan sama seperti kisah di atas daripada ibu saya. Kisah benar yang berlaku beberapa hari sebelum diceritakan. Kerjaya sebagai seorang guru memang banyak berdepan dengan tingkah-laku pelajar yang pelbagai. Sampaikan ada yang seolah-olah tak masuk akal.


Ada seorang pelajar perempuan datang berjumpa dengan seorang guru di sebuah sekolah di Pendang. Kebetulan, guru tersebut bertanggungjawab menjaga kebajikan pelajar di sekolah. Dengan wajah yang sedih dan muram, pelajar itu memberitahu kepada guru tersebut yang bapanya kini sedang kritikal di hospital, makala ibunya pula telah meninggal dunia. Si guru yang mendengar ini mula bersimpati dengan cerita pelajar itu. Katanya lagi, dia tidak mempunyai wang dan memerlukan bantuan daripada pihak sekolah.


Mendengar cerita yang sebegitu, guru tadi pun menjalankan kutipan derma di kalangan guru-guru yang lain. Beratus ringgit jugalah yang dapat dikumpul atas ehsan pihak guru kepada keluarga pelajar itu. Duit itu diserahkan kepada pelajar itu kemudiannya. Tidak cukup setakat berjumpa dengan guru, pelajar itu pergi berjumpa dengan pengetua dengan membawa cerita yang sama. Oleh kerana simpati dan kasihan, maka si pengetua pun menghulurkan RM50 dan mengarahkan seorang guru lain menyerahkan RM200 daripada hasil kutipan tabung kebajikan sekolah.


Keesokkannya, pelajar perempuan itu datang lagi berjumpa dengan guru yang sama. Katanya, duit yang diberikan itu tidak cukup untuk menampung pelajaran adik-beradiknya yang lain. Mulalah timbul rasa curiga di hati guru itu lalu berbincang dengan guru-guru yang lain. Atas siasatan yang dilakukan, maka terbukalah cerita yangs ebenarnya berlaku. Rupa-rupanya bila diperiksa di rumah pelajar itu, cerita yang disampaikan itu memang tak betul langsung. Ibunya masih ada dan sihat, begitu juga ayahnya. Terbukalah rahsia yang kononnya pelajar perempuan itu menggunakan duit yang diberikan kepadanya untuk berjoli dengan kawan-kawan.


Astaghfirullah hal'adzim...Betapa beraninya seorang pelajar menipu semua guru. Bila ditanya pada kawan-kawannya, rupa-rupanya pelajar perempuan ni suka berlagak macam orang senang. Kata pelajar perempuan itu, dia ada kakak yang belajar di United Kingdom padahal kakaknya bekerja sebagai jururawat. Kononnya, abangnya mempunyai syarikat sendiri dan setiap bulan menghantar RM1000 kepadanya. Tapi, abangnya cuma seorang tentera.


Banyaklah kisah yang terbongkar selepas kejadian itu. Tapi, sayangnya bila dibawa berjumpa dengan pengetua dan dimaklumkan kepada keluarganya, tak ada rasa menyesal pun terlintas di hati pelajar itu. Selepas kejadian itu pun, dia tetap terus menyebarkan cerita-cerita yang sama kepada kawan-kawannya walaupun ramai dah tahu ceritanya yang sebenar.


Bila semua guru dapat tahu cerita yang sebenarnya, masing-masing gelak sebab dah kena tipu dengan pelajar mereka sendiri. Termasuk pengetua sekali. Yang baiknya, mereka halalkan saja hasil kutipan di kalangan mereka yang disumbangkan kepada pelajar itu. Cuma mungkin dia perlu ganti duit yang diterimanya melalui tabung kebajikan sekolah. Pelajar itu pula cuma dibuang dari asrama saja. Tak ada tindakan berat yang dikenakan. Harap-harapnya dia dapat pengajaran daripada kesilapan yang dilakukan.


Modus operandi yang sebegini hebat cuma dirancang oleh pelajar yang berusia 15 tahun saja. Macam tak percaya bila mendengarnya tapi itulah hakikat yang berlaku. Jadi, tak hairanlah kalau ada yang berani mengaku dirinya sebagai anak angkat mahupun anak Sultan sekalipun. Yang tak seronok dan tragisnya bila wang yang diperolehi hasil menipu digunakan dalam kehidupan seharian adalah wang haram. Sayang, umur masih muda tapi dah melakukan kerja-kerja menipu. Semoga kita dijauhkan daripada perkara buruk sebegini.

Buat mereka yang suka menjalankan aktiviti menipu untuk mendapatkan kesenangan hidup, segeralah bertaubat. Tak berkat duit yang dapat hasil menipu. Hidup tak senang, tak tenang, dosa yang bertandang....

Wednesday, April 14, 2010

RUMAH BERASAP???

Petang kelmarin, rumah kami berkepul-kepul dilanda asap tebal dengan bau yang agak meloyakan untuk dihidu. Semua penghuni rumah bertempiaran menyelamatkan diri dan hidung daripada asap tebal yang menyelubungi kawasan rumah. Orang yang lalu-lalang pun tak henti-henti menoleh dan memperlahankan kenderaan masing-masing untuk melihat apa yang berlaku.


Kes yang berlaku semalam bukanlah disebabkan kebakaran tapi berpunca daripada kerja-kerja 'fogging' yang dijalankan oleh para pegawai kesihatan. Dua bulan lepas, mereka dah datang buat semburan nyamuk ni sebanyak 2 kali tapi asapnya ala-ala sepoi-sepoi bahasa saja. Kelmarin, memang tebal sangat asapnya. Rumah pun boleh hilang dari pandangan mata.


Kata suami saya yang sempat berbual-bual dengan jiran sebelah rumah, dah ada beberapa kes kematian akibat denggi di kawasan perumahan kami tu. Jadi, pihak kesihatan terpaksa buat semburan lagi. Tapi, semburan kelmarin tu memang tahap mega lah. Satu jam kena tunggu kat luar rumah sebab dalam rumah penuh dengan asap. Satu rumah kena lap semalam sebab lantainya berminyak dan melekit-lekit. Ada juga saya jumpa bangkai-bangkai nyamuk mati bergelimpangan dalam bilik. Kira berkesanlah juga semburan petang tu berbanding yang sebelum ni. Nyamuk pun tak banyak sangat malam tadi. Adalah seekor dua yang tersesat jalan.


Inilah akibatnya kalau kita tak titik beratkan soal kebersihan. Di tempat buang sampah yang dah disediakan tong sampah pun, orang boleh baling sampah ikut suka hati saja. Dalam tong sampah kosong, kat luar tong yang banyak sampahnya. Kadang-kadang atas jalan raya pun orang boleh buang botol, plastik sesuka hati. Bayangkanlah rumah mereka tu macam mana tahap kebersihannya kalau di luar pun boleh amalkan sikap pengotor macam tu....


Kalau nak dibandingkan dengan negara jiran Singapura, kita rakyat Malaysia ni masih tak ambil berat soal kebersihan. Kalau tak percaya, tengoklah di kawasan-kawasan pembuangan sampah di mana-mana. Tak pun, kat tepi-tepi jalan dan kawasan rumah pun boleh nampak sejauh mana kita menjaga kebersihan. Walau sepuluh kali Karam Singh Walia datang terjah rumah pun, tak akan ada perubahan kalau tak ada kesedaran diri.


Pendek kata, dalam Islam kebersihan itu kan sebahagian daripada iman. Kalau buang sampah merata-rata, ibarat membuang iman merata-rata jugalah kan. Tak gitu!!! Saya pun bukanlah orang yang sempurna menjaga kebersihan, tapi tak ada salahnya kalau kita cuba mendidik diri dan keluarga menjadi seorang yang pembersih. Tiada sampah terbiar, tiada aedes, tiada denggi.....Jangan disebabkan sikap pengotor kita, orang lain yang menjadi mangsanya

Monday, April 12, 2010

PENANGAN SUNTIKAN



Alhamdulillah, dalam merasakan diri ini sibuk mengejar deadline tapi masih sempat meluangkan masa nak update blog. Sibuk sangatlah konon-kononnya.


Semalam, saya pergi ke klinik untuk pemeriksaan bulanan. Alhamdulillah, kandungan saya yang kedua ni dah berusia 25 minggu (6 bulan ++ ). Tapi, hb saya sedikit rendah sebab selalu miss makan ubat tambah darah yang nurse bagi dan berat badan naik mendadak. Memang kebelakangan ni saya sangat lalu makan. Suami saya pula yang pelik sebab walaupun berat badan naik tapi tak mengembang pun isi-isi tangan, muka dan badan. Maintain slim....Tak apalah. Janji sihat wal afiat ibu dan anak.


Semalam, semasa buat pemeriksaan tu saya diberi satu suntikan bertujuan untuk mencegah penyakit kancing gigi semasa nak bersalin nanti. Selepas disuntik, tiba-tiba saja saya rasa meloya. Nak muntah. Balik saja ke rumah...habis keluar nasi goreng yang saya makan semasa sarapan pagi. Lenguh satu tangan. Setengah hari tidur sebab tiba-tiba badan jadi penat dan letih. Hari ni dah baik sikit cuma tangan masih rasa sakit dan lenguh sikit-sikit.


Sekejapnya masa berlalu. 3 bulan lagi, insyaAllah lahirlah seorang lagi umat Nabi Muhammad SAW ke muka bumi ini. Jumaat lepas, saya dan suami pergi ke klinik swasta berhampiran USM untuk buat ultrasound scan. Alhamdulillah, kata doktor mungkin anak kami yang kedua ni perempuan. Patutlah saya asyik terfikir nama anak perempuan saja sejak awal mengandung....Tak kisahlah, asalkan baby nanti keluar dalam keadaan sihat...Abang long jangan nak buli-buli angah nanti na...

Thursday, April 8, 2010

APA DAH JADI???

Tak tahulah apa dah jadi pada saya kebelakangan ni. Semalam, nasi yang saya masak hangit. Bubur nasi anak saya pun hangit juga tapi mujurlah tak rentung. Walaupun hangit tapi boleh la nak makan lagi. Hari ni pun, bubur nasi anak saya hangit lagi. Kalau Ziyad tengok mesti tak lalu dia nak makan. Terpaksalah saya masak lagi sekali.

Apa kenalah dengan saya ni? Selalu sangat terlupa. Inilah akibatnya kalau kepala saja ada di sini tapi fikiran melayang-layang sampai ke Kutub Utara sana. Tesis? Paper? Anak? Masak? Kemas rumah? Basuh baju?.....macam-macam ada dalam kepala ni

Apa nak jadi?

Apa dah jadi?

Dok mengelamun nasi hangit lagi.....



Kalau boleh tukar lirik lagu Tan Sri SM Salim tu, sesuai lah lirik di atas tu dengan saya....

Wednesday, April 7, 2010

THE RETURN OF BROADBAND

Salam ziarah buat semua pembaca blog. Alhamdulillah, puja dan puji buat Allah SWT kerana masih memberi kesempatan buat saya untuk terus bertapak di muka bumiNya ini. Syukur buatNya kerana saat entri ini ditaip, hujan mulai turun membasahi bumi yang panas sejak beberapa purnama. Sampaikan air paip di rumah saya ni pun panas jadinya. Rasa mencengkam kulit muka dan badan setiap kali nak ambil wuduk atau mandi. Tak kira siang mahupun malam. Mungkin ini petanda musim hujan sudah kembali. Alhamdulillah...Kedatangan hujan seakan-akan membawa rasa damai, rasa tenang dan rasa sejukkk buat hati dan akal yang panassss bergelumang dengan hal-hal dunia.


Syukur juga kerana "beruk-ban" , istilah yang digunakan bila saya pulang ke Pendang menggantikan istilah "broadband", telah kembali beroperasi di rumah saya seperti sedia kala. Lidah kampung, asal ada bunyi ala-ala nak sama tu, kira OK lah....tapi, istilah "beruk-ban" tu sebenarnya datang dari rasa marah dan bengang sebab kadang-kadang sistem jalur lebar tanpa wayar itu tersangatlah lambat memberi perkhidmatan kepada pengguna. Lebih-lebih lagi kawasan kampung yang tak ada kemudahan 3G. Siput b*** pun lagi laju agaknya kalau diajak berlumba.


Beberapa bulan yang lalu, perkhidmatan broadband (BB) di rumah saya ini terpaksa ditamatkan dengan serta-merta kerana beberapa sebab.

Pertama: Disebabkan terlupa nak bayar bil secara bulanan, jadi bil pun dah terkumpul jadi banyak..

Kedua: Perkhidmatannya tersangatlah lambat...seingat saya kelajuannya cuma 125 kbps. Bayangkan nak buka satu laman web saja dah ambil masa kadang-kadang setengah hari...

Ketiga: Biasanya bila dah sampai tempoh untuk buat bayaran pihak BB akan hantar mesej menyatakan bayaran yang perlu dijelaskan dan perkhidmatan akan dihentikan buat sementara waktu sehingga bayaran dijelaskan oleh pengguna. Yang menjadi tanda tanya, walaupun kita tak menggunakan perkhidmatan BB sepanjang dihentikan buat sementara waktu tu, tapi bilnya berjalan seperti biasa...tokey beras pun boleh bankrup macam ni


Disebabkan itu ahli mesyuarat rumah dah bersetuju nak tamatkan saja. Tapi, bila tak ada BB, terasa susahlah pula nak melakukan sesuatu kerja yang melibatkan internet. Sebagai contoh nak mencari maklumat atau kertas-kertas kajian untuk dimasukkan ke dalam tesis. Setelah berbincang lanjut dengan ketua rumah, terpaksalah menyambung kembali penggunaan BB ni untuk memudahkan tugas. Antara sebab lain, senanglah sikit kalau-kalau penyelia saya nak minta saya hantar sesuatu melalui email secara ad-hock (ate selalu benor jadi macam ni..). Tak lah sibuk mencari cyber cafe (CC) keliling pekan. Kali ni, kami beli BB jenis lain pula dengan kelajuan 3.6 Mbps. Alhamdulillah, laju sikit daripada semut.


Memandangkan dah ada BB baru ni, dapatlah saya siapkan seberapa segera tesis saya ni. InsyaAllah...


"Haaa...buat apa tu??? Tak buat kerja ehh....", sergah ketua rumah dari belakang yang dok pandang-pandang, jeling-jeling ahli rumahnya yang seorang ni dok buat kerja lain....Kantoiii!!!!

Friday, April 2, 2010

ANOTHER PROGRESS REPORT

APRIL 2010:

- finish up adsorption experiments (if nothing goes wrong, hopefully i can settle this next week..yippie..insyaAllah)

- submit full thesis (second draft)...


My supervisor said, i might be able to submit notice to the dean 2/3 weeks to come. I'm looking forward to it....

Tak fikir lagi nak continue PhD ke tak sebab MSc ni pun dah tenat....

Reminder untuk diri sendiri: Bulan terakhir untuk complete MSc is Jun 2010...

Julai dah nak bersalin....Ganbatte dehhh!!!!