Monday, February 8, 2010

21 NOVEMBER

Catatan ini ditaip pada 21 November 2009


Saban tahun selama 25 tahun ini, tarikh ini akan melewati kalendar. Tahun ini tarikh 21 November sekali lagi tiba di penghujung tahun 2009. Alhamdulillah, nyawa saya masih dipanjangkan oleh Allah SWT untuk menyambut kedatangan tarikh yang keramat bagi saya.

25 tahun yang lalu pada tarikh yang sama, saya diputerikan dan diberi nama Ummi Kalsum oleh allahyarham nenda saya mengambil nama salah seorang anak Rasulullah SAW. Dengan harapan melalui nama itu kemuliaan akhlak puteri Rasulullah SAW itu akan tersimbah pada cucunya. Akhlak yang seindah nama. Kemudian, nama Subaiyyah Hasanah ditambah di hujung nama menjadikan nama saya ketika masih bayi sebagai Ummi Kalsum Subaiyyah Hasanah. Kata ibu saya disebabkan semasa kecil saya ni selalu sakit, jadi disarankan supaya nama saya itu dipendekkan menjadi Ummi Kalsum Hasanah sehinggalah sekarang seperti yang tertera di kad pengenalan.

Tanggal 21 November 2009, genaplah usia saya 25 tahun. Bermakna sudah 25 tahun saya hidup di muka bumi ini dengan dilimpahi nikmat rezeki daripada Yang Maha Mencipta. Meningkatnya setahun umur kita daripada yang sebelumnya, selangkah hidup kita menghampiri penghujungnya. Kadang-kadang datangnya maut tak disangka-sangka. Di kala itu, kita tertanya-tanya apakah langkah kita menuju ke syurga yang indah dan penuh nikmat atau ke neraka yang panas membakar penuh azab? 25 tahun berlalu dengan amalan yang semakin baik atau amalan semakin teruk dan sikit? Semoga di 25 tahun usia saya, saya dapat menjadi insan yang lebih baik daripada yang sebelum-sebelumnya.

Saya ini ibarat si kecil yang baru bertatih-tatih untuk berjalan dalam mendepani kehidupan. Semoga pertambahan usia ini akan menambah perkara-perkara baik yang dapat saya lakukan dan meninggalkan perkara-perkara yang buruk. Semoga panjang amalan dan dilapangkan rezeki. Kalau panjang umur tapi tak panjang amalan, sia-sia saja hidup di dunia. Semoga saya dapat menjadi anak kepada ibu, kakak kepada adik, isteri kepada suami, ibu kepada anak, nenek kepada cucu, cicit, piut, curut....yang solehah, mithali dan baik hati.

Terima kasih kepada suami kerana ingat tarikh lahir isterinya dan tak putus-putus mengucapkan “SELAMAT HARI LAHIR” sepanjang hari. Ucapan itu lebih berharga daripada hadiah kerana yang lebih penting adalah ingatan dan kasih-sayang yang berpanjangan buat isterinya. Tapi kalau nak bagi juga hadiah, insyaAllah saya takkan menolak. Terima kasih buat adik-adik saya walaupun perlu diingatkan. Juga terima kasih buat kawan saya Laila yang masih ingat hari lahir saya walaupun jarang bertanya khabar berita. Saya tak mengharapkan orang mengingati tarikh lahir saya kerana saya pun tak ingat tarikh lahir orang lain termasuklah adik-adik saya. Tak ada sambutan hari lahir tahun ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya kerana saya memang jarang sambut hari lahir. Kalau ada pun yang diaturkan oleh orang lain.

SELAMAT ULANGTAHUN KELAHIRAN YANG KE 25

No comments:

Post a Comment