Friday, February 19, 2010

CNY...RAYA SIAPA?

Ketika posting ini ditaip, si kecil Ziyad yang dah setahun usianya itu sedang menjerit-jerit dan merengek-rengek saja di samping Abinya. Entahlah kenapa hari ni perangainya lain macam sikit. Padahal selalu elok saja. Adalah tu yang tak kena pada dia di mana-mana. Kata ibu saya, budak-budak ni menangis kerana 3 sebab saja....1) Pampers basah sebab kencing atau berak, 2) lapar, 3) sakit perut atau sakit apa-apa...Dalam kes Ziyad yang dok merengek-rengek sampai berlinangan air mata ni, saya pun dah buntu apa yang tak kena dengan dia. Dah makan, pampers pun dah salin, sakit perut pun tak...Bila didukung senyap, tapi bila letak di bawah, mulalah meronta-ronta. Saja lah kot nak buat perangai. Ziyad ni kalau buat perangai, biasanya Abi yang tolong layan. Mujur Abi penyabar. Ikut saja kerenahnya. Kalau saya, saya biarkan saja sebab saya ni kurang sikit sifat penyabar tambah-tambah dah ada seorang lagi dalam perut ni. Asyik nak marah saja.


Kesimpulannya, nak jadi ibu bapa ni kenalah banyak-banyak bersabar. Ragam anak-anak ni tak kira besar atau kecil, memang boleh menggugat kesabaran dan kebijaksanaan ibu bapa. Cumanya kita kena pandai mengawal emosi sendiri dan tidak terlalu menurut rasa amarah dan hasutan syaitan. Anak-anak kecil yang selalu buat perangai ni bukannya mumaiyiz lagi. Marah pun buat lenguh mulut saja. Rotan pun bila dirasakan perlu saja. Itu pun untuk mengajar bukannya untuk mencederakan. Kalau tak boleh nak sesuaikan diri dengan situasi macam ni, fikirlah masak-masak sebelum nak menimang cahaya mata. Anak itu anugerah dan amanah daripada Allah SWT untuk dididik dan diasuh menjadi salah seorang khalifah Allah di muka bumi. Bukannya menambah sampah masyarakat yang sedia ada dan bukan juga untuk dibuang sesuka hati atau pun dibunuh dengan kejam sekali di tangan ibu bapa mereka sendiri. Senang kata, ibu bapa cermin kepada anak-anak. Kalau ibu bapa jalan tak betul, anak-anak 10 kali jalan tak betul.


Dah masuk kaunseling keibu bapaan pula. Hari ni dah genap seminggu saya dan suami serta Ziyad pulang ke Jerteh menemui Tok Ma, Tok Abah dan sepupu- sepapat yang ada setelah berbulan-bulan tak balik Jerteh. Sepanjang perjalanan saya terpaksa menahan rasa pening yang teramat sangat lebih-lebih lagi bila sampai di kawasan berbukit lepas Hentian Perah tu. Mungkin sebab mengandung kot. Dulu taklah pening sangat bila lalu kawasan tu. Ziyad pula dah muntah-muntah. Habis baju dan tudung ibunya. Tak pasal-pasal kena berhenti salin baju lain pulak. Budak besar ni pun tahu pening. Kali terakhir pulang semasa Ziyad berusia 6/7 bulan. Mula-mula nampak Tok Ma dia terus menangis. Tak kenal lagi sebab dah lama tak balik. Tapi bila nampak saja sepupu-sepapat yang ramai ni, tersengih-sengih Ziyad nak berkawan. Pantang diusik atau ditegur, terkekek-kekek ketawa. Bila dah kenal orang, pantang diajak asyik nak ikut tak kira siapa. Siap bermanja lagi dengan Tok Ma.


Biasa kami duduk paling lama pun dalam 4 hari saja kat Jerteh tapi disebabkan cuti Chinese New Year (CNY), suami saya dapat ambil cuti sampai seminggu. Orang lain yang raya tapi orang lain yang sakan bercuti. Kira puas hatilah balik kali ni. Kebetulan pula semalam dan hari ni ada bekwoh (kenduri kahwin) sepupu suami di sebelah rumah. Boleh juga pergi meraikan pengantin baru. Sepupu-sepapat suami saya ni ramai. Jadi, sampai sekarang pun saya tak dapat ingat nama semuanya. Bukan saya saja, suami saya tu pun kadang-kadang boleh lupa nama-nama sepupu-sepupunya termasuk anak-anak saudaranya sekali. Pelik tapi benar. Heee....


Balik Jerteh kali ni, suami saya tiba-tiba dapat semangat nak mengemas rumah ma dan abah ni. Katanya semak-samun. Tapi memang macam tongkang pecah pun angkara anak-anak saudara yang suka menyepahkan barang. Maklumlah cucu ramai. Kakak ipar saya pun dah tak terdaya nak menyimpan katanya sebab tak larat nak kemas seorang diri. Jadi, kami pun bekerjasama mengemas. Bila nampak rumah dah kemas dan perabot pun tersusun, terus rasa lega. Tapi yang tak seronok bila keesokkannya, rumah yang kemas tu dah berkubang balik. Sabar sajalah. Dah nama pun budak-budak. Yang kita larang tu lah, yang dia nak buat sangat.


Beberapa hari selepas balik, suami saya bawa saya dan Ziyad pergi ke Pantai Bukit Keluang. Tempat saya dan suami mula-mula berdating lepas kami kahwin dulu. Ziyad pun bukan main seronok bermain dan merangkak-rangkak atas pasir. Suami saya siap belikan satar dan otak-otak sebagai bekalan sebab isteri dia mengidam nak makan. Kalau saya mengidam nak makan telur penyu, agaknya habis pantai di Terengganu suami saya gali. Ni yang seronok mengandung ni. Cakap saja nak makan apa semuanya suami saya carikan. Terima kasih banyak-banyak deh Abang.


Sekejap lagi selepas makan kenduri sepupu tu kami akan bertolak balik ke Kedah. Mungkin selepas solat jumaat kot. hari Ahad suami saya dah mula kerja. Saya pun terpaksalah mengadap semula kerja-kerja yang saya tinggalkan sepanjang bercuti ni. Bila cuti bukannya nak ingat kerja yang bertambun tu. Yang penting, saya kena sediakan baju lain sebab ziyad mungkin muntah lagi dalam perjalanan balik nanti. Kepulangan kami kali ni diharapkan dapatlah mengubat homesick suami saya tu...2/3 bulan lagilah nampaknya boleh balik Jerteh. Harap-harap sebelum saya bersalin nanti.


Kesimpulan daripada tajuk posting, tak kiralah cuti perayaan apa pun, yang pasti semua orang tak kira bangsa akan mengambil peluang ini untuk bercuti sakan sebab boleh balik kampungggggg....heeee

Tuesday, February 9, 2010

SUATU HARI DI SEBUAH KLINIK....

Hari ini dah genap 4 bulan usia kandungan saya. Rasa loya dan muntah pun dah berkurangan. Alhamdulillah. Rasanya selepas ini bolehlah saya mula mengasapkan dapur yang dah lama tak berasap di rumah tu. Jadi, kebiasaannya kalau dah sah mengandung, ibu mengandung tu wajib buat buku merah di klinik kesihatan ibu dan anak milik kerajaan. Buku merah tersebut dapat digunakan untuk merekod kondisi ibu dan anak di dalam kandungan sepanjang 9 bulan mengandung nanti. Bila dah nak bersalin, pihak hospital swasta mahupun kerajaan akan merujuk kepada butiran maklumat si ibu yang telah direkodkan samada mempunyai masalah ataupun tidak. Kalau tiada masalah, mungkin ibu tersebut bersalin secara normal dan mungkin terpaksa dilakukan pembedahan jika sebaliknya. Itu semua terkandung di dalam buku merah itu.


2 minggu lepas iaitu hari Ahad saya pergi ke klinik berhampiran rumah ibu saya di kampung. Lebih senang saya buat pemeriksaan bulanan di klinik ini memandangkan selepas bersalin nanti saya akan terus berpantang di rumah ibu saya. Malangnya, hari itu saya cuma dapat buat buku saja. Tak boleh nak buat pemeriksaan kerana menurut nurse pemeriksaan untuk ibu mengandung dibuka hanya pada hari Selasa dan Khamis. Terutamanya bagi mereka yang baru nak mula memeriksa kandungan. Itu pun waktu pagi saja. Jadi, saya terpaksa datang semula ke klinik untuk buat pemeriksaan seterusnya.


Minggu ni saya dan suami pulang ke kampung. Kata suami saya, alang-alang dah balik baik pergi klinik buat pemeriksaan. Maka, saya dan Ziyad pun tinggal di kampung sehingga hari ini (Selasa), suami saya pula pulang ke Sungai Petani atas urusan kerja pada hari Ahad yang lalu. Pagi ini, pukul 7.30 pagi saya sudah pergi ke klinik supaya tak perlu berebut nak dapatkan nombor giliran awal. Taklah lama sangat menunggu di klinik nanti. Menjelang pukul 9 pagi, semakin ramai yang datang nak buat pemeriksaan.


Rutin pemeriksaan bagi ibu mengandung, mula-mula, saya perlu timbang berat badan. Berat badan saya yang biasa 48 kg saja, tapi bila timbang tadi dah naik 1.3 kg. Ni kalau asyik makan saja, boleh naik berkilo-kilo lagi nanti. Kemudian, nurse periksa tekanan darah saya. Mungkin sebab gementar kot, tekanan darah saya 129/70. Tinggi sikit daripada biasa. Tapi nurse tak pula membebel kat saya. Nasib baiklah. Selepas itu, saya kena tunggu sekejap sebelum ambil darah. Inilah bahagian yang saya paling tak suka. Bukannya sikit yang diambil. Semasa nurse nak masukkan jarum, saya dah mula pandang tempat lain. Tapi, tak sakit pun. Rasa macam semut gigit saja. Saya yang lebih-lebih takut. Padahal bukannya kali pertama. Ujian darah ni untuk pastikan kandungan hemoglobin dalam darah tak rendah. maklumlah, bila mengandung, ibu kena berkongsi darah dengan anak. Kalau kurang daripada 10, kenalah jumpa nurse dengan lebih kerap.


Selepas ambil darah, buat ujian urin pula untuk lihat kandungan gula. Alhamdulillah, kedua-dua ujian ini tak memberi masalah kepada saya. Lulus. Dah buat ujian, kena jumpa nurse semula untuk periksa perut. Semasa pemeriksaan perut ni, nurse letakkan satu alat di perut supaya boleh dengar degupan jantung anak. Tapi sebab baru 4 bulan jadi degupan jantunnya tak begitu kuat kedengaran. Nurse kata dah masuk 6 bulan nanti kuatlah degupan jantungnya. Lembut saja nurse yang bertugas ni bertanya soalan dan memberi nasihat. Kan bagus kalau semua nurse macam ni. Tapi, dalam 10 orang nurse tu, adalah 2-3 orang yang mesra alam dengan pesakit. Yang lain macam singa. Tanya sikit pun nak marah-marah kita. Macam tak ikhlas saja nak melayan. Kemudian, kena jumpa doktor pula. Doktor yang saya kena jumpa tu doktor lelaki berbangsa Cina. Siap pakai topeng muka lagi.

Kata doktor tu bila dia mula membelek-belek buku saya, "anak dah besar, dah 4 bulan baru buat buku aa". Gaya loghat lidah Cina dialah.

Saya dah agak doktor akan tanya soalan macam tu. Sepatutnya, sebaik saja dapat tahu mengandung terus datang kek klinik tapi saya bertangguh-tangguh sampai dah masuk 4 bulan. Nak kata apa. Gelak sajalah. Tak sempat, doktor. Pelajar. Ceh! Alasan saja tu. Padahal malas....Dia pula siap tanya status saya sebagai pelajar. Tak apa ker kalau mengandung. Saya pun jawablah yang saya buat master. Lagi banyak pula dia. Ambil kos apa? Setahun saja ker? Suami tak ambil master ker? Peramah pula doktor ni. Saya pun layan sajalah soalan-soalan dia tu memandangkan dia tu agak mesra pesakit. Ada bengkak kat tiroid tak? Doktor menyoal lagi. Saya cakap tak. Tak ada apa-apa masalah setakat ni. Maka dengan itu, berakhirlah rutin pemeriksaan yang mengambil masa selama satu jam setengah itu secara keseluruhannya. Alhamdulillah.


Selepas bagi buku pada nurse semula, saya pun balik ke rumah. Semasa saya nak balik tu pun ramai lagi sedang menunggu giliran untuk diperiksa. Tapi, memang sedikit lambat lah nak tunggu nama dipanggil walaupun nurse ramai jugak. Tak tahulah kenapa. Sepatutnya klinik kerajaan mahu pun hospital kerajaan jangan biar pesakit menunggu terlalu lama. saya tengok tempat buat pemeriksaan kosong tapi nurse tak ada. Berjalan ke sana ke mari. Apa salahnya kalau satu checkpoint pemeriksaan tu tugaskan kepada seorang atau dua orang nurse. Nurse-nurse tu pula jaga checkpoint diorang saja, tak perlu bergerak ke mana-mana. Taklah sampai panjang barisan menunggu. Susahlah bagi orang-orang yang bekerja. Dah terbuang masa sebab asyik kena tunggu saja. Memanglah pemeriksaan yang dibuat semuanya percuma tapi takkanlah perlu ketepikan keselesaan orang lain kan.


Walaupun klinik yang saya pergi tu dah bertukar wajah. Tak sama seperti yang pernah saya pergi setahun yang lalu. bertambah cantik dan tersusun. Tapi ada satu yang tak berubah. Malah saya rasa makin teruk. TANDAS. Tersangatlah kotor dan menjijikkan. Pelik juga klinik yang sentiasa bercakap soal kebersihan tapi mengabaikan kebersihan tandas untuk kegunaan orang ramai. Rasanya tandas untuk kakitangan pun tak seteruk itu kot. Kalau ada peti cadangan mahu pun komen, nak saja saya war-warkan isu tandas tu tapi tak ada pula. kalaulah ibu-ibu mengandung ni tergelincir atau jatuh, kan dah timbul masalah. Oh, kakitangan klinik kesihatan Pendang. Silalah pantau tandas-tandas awam di klinik tu. Dah tak macam tandas rupanya.

Bulan depan, saya kena pergi buat pemeriksaan lagi sampailah dah bersalin nanti. Semoga tiada sebarang masalah untuk anak kedua kami ni sama macam Ziyad dulu. InsyaAllah....



Monday, February 8, 2010

SIAPA MB SAH PERAK??

Sebentar tadi saya menjengah blog Datuk Seri Ir Nizar Jamaludin. Itu salah satu blog yang saya sisipkan di blog saya buat tatapan sesiapa yang seangkatan dengannya. Seringkali saya melawat blog tersebut sekiranya terdapat apa-apa posting terbaru daripada beliau. Datuk Seri mengkhabarkan bahawa esok dapat diketahui keputusan siapakah MB sah Perak yang sebenarnya. Setelah begitu lama berjuang mencari kebenaran, saya pasti bukan saja rakyat Perak malah rakyat seluruh negeri di Malaysia pasti menantikan keputusan yang adil dan saksama buat negeri Perak.

Sama-sama kita berdoa semoga kebenaran mengatasi kebatilan....Kuasa manusia di dunia hanya bersifat sementara. Kuasa Tuhan melebihi segalanya.

Maaf buat mereka yang tidak begitu suka menyentuh hal politik. Setahu saya yang cetek ilmu agama ini, politik itu juga sebahagian daripada Islam. Saya juga mengamalkan Islam yang syumul, yang meliputi seluruh kehidupan, bukan Islam yang separuh-separuh. InsyaAllah....

Undi saya masih lagi rahsia....



IBNU ZARIZI

6 Febuari 2010 yang lalu, genaplah setahun usia putera kami Muhammad Ziyad. Rasa sakit bersalinkan Ziyad setahun yang lalu masih segar di ingatan, tak sangka masa pantas berlalu. Takkan saya lupa tangisan yang pertama saya dengar sebaik saja Ziyad dilahirkan. Tangisnya sekejap saja. Takkan saya lupa saat di mana saya memandang wajah dan sepsang mata yang memerhatikan saya tatkala nurse meletakkannya di dalam inkubator bersebelahan saya di dalam bilik bersalin.Terasa gembira apabila memangkunya. Inilah permata hati dan penyeri hidup ibu dan abi.


Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran kami sekeluarga panjatkan kepada Yang Maha Esa atas kurniaan yang tak ternilai ini buat kami. Kehadiran Ziyad membawa kegembiraan dan kebahagiaan buat ibu dan abi. Tak ketinggalan juga buat Maktok yang pertama kali menimang cucu dan buat pakcik-pakcik dan makcik-makcik saudaranya yang sentiasa menumpahkan kasih-sayang yang tak terhingga buat Ziyad. Sampai Ziyad dah jadi anak yang sangat manja sekarang. Bertuahnya Ziyad. Si kecil yang selalu saya riba dahulu, sekarang dah membesar. Tak muat dah ibu nak riba. Mulutnya pun dah pandai berceloteh dalam bahasanya sendiri. Dah pandai bermain. Dah pandai nak berkawan dengan kanak-kanak lain. Dah pandai menjelajah ke sana ke mari mengikut rasa ingin tahunya. Dah kenal ibu dan abi. Dah tau nak minta susu. Dah pandai nak mengikut ke mana orang nak pergi tak kiralah siapa yang mengajaknya.


Malam Jumaat yang lalu, sehari sebelum Ziyad genap setahun, Maktok Ziyad (ibu saya) bersama-sama Makngah, Maklang, Mak anjang, Pak Chaq, pakcik dan Paksu Ziyad (adik-adik saya) meraikan ulangtahun yang pertama Ziyad di Radix Pizza House. Tapi, Maktok yang belanja sebab saja nak raikan cucu yang pertama dalam keluarga kami. Nanti giliran ibu dan abi pula buat majlis sambutan hari lahir Ziyad dengan ahli kelurga yang lain. Ziyad pun dapat hadiah besarrrr punya daripada Maktok sekeluarga. Terima kasih. Ibu dan abi pun tak bagi hadiah lagi pada Ziyad.

SELAMAT ULANGTAHUN YANG PERTAMA MUHAMMAD ZIYAD

Tahun depan kita sambut dengan adik Ziyad sekali deh....



21 NOVEMBER

Catatan ini ditaip pada 21 November 2009


Saban tahun selama 25 tahun ini, tarikh ini akan melewati kalendar. Tahun ini tarikh 21 November sekali lagi tiba di penghujung tahun 2009. Alhamdulillah, nyawa saya masih dipanjangkan oleh Allah SWT untuk menyambut kedatangan tarikh yang keramat bagi saya.

25 tahun yang lalu pada tarikh yang sama, saya diputerikan dan diberi nama Ummi Kalsum oleh allahyarham nenda saya mengambil nama salah seorang anak Rasulullah SAW. Dengan harapan melalui nama itu kemuliaan akhlak puteri Rasulullah SAW itu akan tersimbah pada cucunya. Akhlak yang seindah nama. Kemudian, nama Subaiyyah Hasanah ditambah di hujung nama menjadikan nama saya ketika masih bayi sebagai Ummi Kalsum Subaiyyah Hasanah. Kata ibu saya disebabkan semasa kecil saya ni selalu sakit, jadi disarankan supaya nama saya itu dipendekkan menjadi Ummi Kalsum Hasanah sehinggalah sekarang seperti yang tertera di kad pengenalan.

Tanggal 21 November 2009, genaplah usia saya 25 tahun. Bermakna sudah 25 tahun saya hidup di muka bumi ini dengan dilimpahi nikmat rezeki daripada Yang Maha Mencipta. Meningkatnya setahun umur kita daripada yang sebelumnya, selangkah hidup kita menghampiri penghujungnya. Kadang-kadang datangnya maut tak disangka-sangka. Di kala itu, kita tertanya-tanya apakah langkah kita menuju ke syurga yang indah dan penuh nikmat atau ke neraka yang panas membakar penuh azab? 25 tahun berlalu dengan amalan yang semakin baik atau amalan semakin teruk dan sikit? Semoga di 25 tahun usia saya, saya dapat menjadi insan yang lebih baik daripada yang sebelum-sebelumnya.

Saya ini ibarat si kecil yang baru bertatih-tatih untuk berjalan dalam mendepani kehidupan. Semoga pertambahan usia ini akan menambah perkara-perkara baik yang dapat saya lakukan dan meninggalkan perkara-perkara yang buruk. Semoga panjang amalan dan dilapangkan rezeki. Kalau panjang umur tapi tak panjang amalan, sia-sia saja hidup di dunia. Semoga saya dapat menjadi anak kepada ibu, kakak kepada adik, isteri kepada suami, ibu kepada anak, nenek kepada cucu, cicit, piut, curut....yang solehah, mithali dan baik hati.

Terima kasih kepada suami kerana ingat tarikh lahir isterinya dan tak putus-putus mengucapkan “SELAMAT HARI LAHIR” sepanjang hari. Ucapan itu lebih berharga daripada hadiah kerana yang lebih penting adalah ingatan dan kasih-sayang yang berpanjangan buat isterinya. Tapi kalau nak bagi juga hadiah, insyaAllah saya takkan menolak. Terima kasih buat adik-adik saya walaupun perlu diingatkan. Juga terima kasih buat kawan saya Laila yang masih ingat hari lahir saya walaupun jarang bertanya khabar berita. Saya tak mengharapkan orang mengingati tarikh lahir saya kerana saya pun tak ingat tarikh lahir orang lain termasuklah adik-adik saya. Tak ada sambutan hari lahir tahun ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya kerana saya memang jarang sambut hari lahir. Kalau ada pun yang diaturkan oleh orang lain.

SELAMAT ULANGTAHUN KELAHIRAN YANG KE 25