Friday, January 15, 2010

BIOMALAYSIA 2009-11-23

Catatan kejadian bertarikh 23 Nov 2009

Minggu lepas, saya diberi kesempatan dan peluang oleh Allah SWT menyertai pameran Biomalaysia 2009 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre, KLCC. Pameran itu diadakan selama tiga hari iaitu 17 – 19 Oktober 2009 dan disertai oleh para penyelidik dalam bidang bioteknologi dari seluruh IPTA di Malaysia. Sememangnya, tiga hari itu memberi pengalaman dan ilmu yang bermanfaat dan menarik buat saya. Lagipun, saya pertama kali menyertai acara sebegitu sepanjang 2 tahun menjadi pelajar sarjana.

Secara ringkasnya, USM menghantar 10 projek penyelidikan daripada tiga kampus iaitu Kampus induk di Pulau Pinang, Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal dan Kampus Kesihatan di Kubang Kerian. Dalam kesepuluh projek yang dihantar itu, USM berjaya meraih dua emas (salah satu emas itu dianugerahkan kepada projek penyelidikan penyelia saya daripada dua projek seliaannya yang dihantar untuk menyertai pameran itu), tiga perak, dan dua gangsa. Hanya satu projek penyelidikan yang tidak mendapat apa-apa anugerah tapi tetap menang semangat kerana tidak tergambar riak kecewa di wajah mereka. Itu sikap orang yang profesional kan. Mungkin rezekinya di pertandingan akan datang.

Yang menariknya, salah satu anugerah gangsa itu diperolehi oleh projek penyelidikan yang dijalankan oleh saya dan seorang lagi kawan saya. Alhamdulillah, walaupun pada mulanya kami berasa sangsi untuk menyertai pameran itu kerana projek kami itu bukannya bio-based. Tak ada kaitan dengan bioteknologi. Tak sangka pula dapat gangsa. Tak sia-sia juga hujah-hujah yang diberikan oleh penyelia kami yang bertungkus-lumus mempertahankan kerelevenan projek itu dijalankan ketika mana disoal jawab oleh hakim-hakim yang mengadili. Hampir-hampir nak bergaduh.

Ramai juga pihak korporat yang memberi pujian dan menunjukkan minat untuk bekerjasama untuk mengembangkan lagi projek penyelidikan kami itu. Syukur-syukur. Untuk sampai ke tahap sebegitu memang telah banyak menitiskan peluh, keringat dan juga air mata. Itulah nikmat apabila kita bersusah-susah dahulu. Kemudiannya kita akan mendapat kesenangan dan kejayaan. USM juga menerima anugerah ‘The most creative booth’ dalam pertandingan booth paling cantik dan kreatif. Tahniah buat skuad Prof.Azizi yang berjaya mengindahkan booth pameran milik USM dengan bunga-bunga hidup dan suasana alam semulajadi. Maklumlah, USM kan universiti dalam taman.

Bak kata orang, banyak orang banyak ragamnya. Sepanjang terlibat dalam pameran itu, kami didatangi oleh pelbagai jenis karakter manusia. Respon yang diterima pun pelbagai. Di kalangan orang yang ramai itu, ada yang sangat peramah, yang memuji dan memberi galakan pada kami supaya dapat dikomersialkan produk kami itu yang mesra alam, membantu memelihara alam sekitar dan membantu mengurangkan penggunaan sumber semulajadi yang semakin berkurangan saban waktu. Ada yang ingin bekerjasama dan membeli teknologi dan produk yang kami hasilkan itu. Di sebalik yang memuji ada juga yang kurang yakin dan menggeleng-geleng kepala bila melihat produk kami itu. Tanpa memberi peluang untuk kami memberi penjelasan lebih lanjut. Ada juga yang datang merenung tanpa sepatah soalan ataupun bicara keluar daripada mulutnya. Serba-salah juga dibuatnya. Risau-risau tak ada maklum balas kalau diajak berkongsi maklumat.

Teringat pula semasa saya menjadi naqibah usrah dulu. Seperti ini jugalah karakter manusia yang saya temui. Ada ahli-ahli usrah yang peramahnya bukan main lagi. Satu soalan yang kita tanya, macam peluru mesin gan jawapannya. Ada yang diam membisu, sekali ditanya sekali dijawabnya. Ada juga yang membalas pertanyaan dengan senyuman malu-malu saja. Kadang kala membuatkan kita mati akal melayan karakter yang pelbagai itu. Walau apa pun sikap dan perangai manusia ini, mengajak kepada kebaikan itu tidak memilih yang baik-baik saja mahupun yang peramah saja. Yang tak nak bercakap dengan orang, yang pendiam, yang pemalu, yang banyak mulut dan yang macam-macam lagi perangai manusia kena layan sama saja. Kita ni manusia yang beza hanya pada iman dan takwa bukan harta mahupun paras rupa.

Tahniah buat yang menang. Semoga kejayaan di dunia ini menjadi batu loncatan untuk terus mengejar kejayaan di akhirat sana yang kekal abadi.

Agak memeranjatkan juga bila seorang kawan saya yang berbangsa Cina dan bukan Islam membaca majalah Anis (majalah agama) yang saya bawa bersama buat mengisi masa kosong yang ada sepanjang pameran itu berlangsung. Tanpa persediaan ilmu, saya terpaksa menjawab soalannya yang berkaitan dengan haji. Jenuh mencari ayat supaya dia faham apa yang saya sampaikan. Itu pun dah dikira mencabar. Selamat berkenalan buat kawan baru saya Lee Soo Koon (tak ada kena mengena dengan Koh Tsu Koon ya..)
Gambar tidak dapat dimuat turun kerana masih bersarang dalam kamera...

1 comment:

  1. salam..
    awat tk habaq ang mai KLCC..
    kalo tidak, blh aku p sana..
    huhuhuhuhuhu...

    ReplyDelete