Monday, November 9, 2009

OH MY SON..

Apa tengok-tengok...!! Taulah saya ni comel

Aduh. Banyak betul dugaan menjadi seorang ibu ni. Seorang anak ini pun dah tak terlayan kerenahnya. Bayangkan kalau 2, 3, 4, atau 9 orang anak macam ibu saya. Boleh pening kepala dibuatnya. Dah jadi ibu ni barulah terasa susah payah dan peritnya ibu saya membesarkan saya dan adik-adik saya yang lapan orang lagi tu. Dahla semuanya ketegaq (degil) belaka. Ada yang kalau ditegur nak merajuk, ada yang kalau dimarah nak mengamuk, ada yang suka berleter, ada yang suka bergaduh sesama sendiri, ada yang bila dimarah dia buat tak tahu jer, pendek kata macam-macam ada. Kalaulah ibu saya seorang yang tak sabar, memang dah lama kami ni ditinggalkan di mana-mana.


Terima kasih mama...Jasamu yang tak ternilai itu akan kubalas sebaik-baiknya InsyaAllah. Minta maaf sebab tak selalu menelefon mama untuk bertanya khabar berita walaupun memanglah Sungai Petani ke Pendang tu hanya ambil masa 30 minit saja. Hanya doa ku panjatkan pada Yang Maha Esa agar Dia sentiasa menjaga dan mengasihi mama seperti mana mama menjaga dan mengasihi anak mama ini sejak kecil. Sedih..sedih.


Berbalik kepada dugaan melayan karenah anak saya yang seorang ni. Memang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Al kisahnya, hari ini saya bersemangatlah nak menaip tesis sebab Jumaat ni nak kena hantar pula draf kedua tesis pada penyelia utama dan penyelia bersama. Sekarang ni nak buat apa pun semuanya kena pantas, pantas dan pantassss untuk mengejar masa yang amat terhad ni. Pukul 9.30 pagi tadi Ziyad tidur selepas minum susu. Saya letakkanlah dia dalam buaian dengan harapan dia dapatlah tidur lama sikit. Kalau tidur di atas tilam nanti dia cepat terjaga sebab terganggu dengan bunyi bising kereta dan motosikal lalu-lalang kat luar rumah. Maklumlah rumah tepi jalan. Masa dia tidur tu saya pun ambil kesempatan masak bubur nasi untuk dia macam selalu. Ibu dengan abi dia perut melayu jadi anak pun dididik jadi perut melayu juga.


Sejam kemudian, saya dengar suara dia merengek-rengek dalam bilik. Bila saya pergi jenguk mata dia dah bulat memandang saya. Nak tak nak kenalah angkat sebab dia dah mula mengeliat-ngeliat dalam buaian minta diangkat. Tandanya dia dah tak nak tidurlah tu. Tapi bila dia dah bangun, memang susahlah saya nak menaip kerja saya ni sebab si kecil ni sangat tertarik dengan komputer. Pantang nampak saya duduk di kerusi mengadap komputer, mulalah dia merangkak laju ke arah saya. Memanjat-manjat kaki saya selepas tu tarik keyboard. Nak menaip samalah konon-kononnya. Mainan dia yang berlambak-lambak tu pun tak dipandangnya. Kalau saya buat tak tahu mulalah dia gigit-gigit lutut saya ker tangan saya ker sebab tak layan dia. Kalau marah pun dia tersengih saja menampakkan gigi dua batang. Macamlah Ziyad ni faham, ibu.


Oh, my son! Sabar aje lah. Kalau difikir-fikirkan, sebenarnya anak saya ni cuba nak menarik perhatian saya. Dia pun bosan juga main dengan mainan yang tak boleh berkomunikasi. Boleh dibuat baling-baling ke lantai saja. Bila saya tinggalkan sebentar kerja saya dan melayan kerenahnya, dia nampak ceria saja. Rupa-rupanya anak saya ni perlukan teman untuk bermain. Perlukan teman untuk berbicara walaupun dia tak faham bahasa saya tapi dia tahu gerak badan dan senyuman saya. Maafkan ibu sayang.


Semoga kesibukan ibubapa tak meminggirkan anak-anak daripada kasih sayang dan perhatian mereka. Teringat pula kisah ibu saya yang tak kurang sibuk juga mengalahkan wakil rakyat sejak anak-anak dia dah besar belaka ni. Setiap hari masanya habis di sekolah saja melakukan macam-macam aktiviti sampaikan kami adik-beradik berpakat nak gantung banner kat sekolah tu tulis "kami kahukan mama kami semula di rumah". Idea adik-adik sayalah ni. Takkan nak tunggu Ziyad gantung banner, buat demonstrasi protes kot baru ibu nak bagi perhatian.


Kata saya,"Ziyad duduk diam-diam na, ibu nak buat kerja ni".

Jawab Ziyad,"oooooouuu...ohhhhh!", sambil menggeleng-geleng kepala.

Sunday, November 8, 2009

SERIBU SATU WAJAH

Muhammad Ziyad bin Zarizi


Si penyejuk mata dan penawar hati ibu dan abi
Penghibur di kala gusar hati
Peneman di kala sunyi
Semoga menjadi permata agama
Yang berjaya di dunia dan di akhirat sana
Semoga menjadi ulama'
Yang takutnya bukan membuta pada umara'
Takut hanya pada Allah Yang Maha Esa
Beraninya bukan kerana mendamba
pangkat dan harta
Tetapi kerana berpegang kepada
al-Quran dan sunnah Rasulnya
Semoga menjadi pejuang Islam
yang hatinya lembut seperti Abu Bakar as-siddiq
jiwanya berani seperti Umar al-Khattab
santunnya kaya seperti Usman affan
mindanya berilmu seperti Ali


Thursday, November 5, 2009

DEADLINE = GARISAN MATI

Dalam merasakan diri ini sibuk pun jari-jemari saya ni terasa gatal untuk menaip di blog walaupun sekadar mengomel benda-benda yang tak ada kaitan dengan orang lain. Kebaikannya hati saya rasa lega sikit sebab saya dah mengeluarkan segala perasaan yang terbuku di dalamnya. Wah! Macam orang baru nak bercinta pula walaupun mood cinta tu memang akan sentiasa subur di hati (ditujukan buat suami).


Bulan ni saya dihambat-hambat deadline (garisan mati) sampai betul-betul mati kutu dibuatnya. Saya perlu menghantar laporan milestone projek kepada CIDB yang membiaya projek saya minggu ini. Minggu depan pula deadline saya untuk menghantar draf kedua tesis kepada penyelia utama dan juga penyelia bersama (co-supervisor). Dengar khabar penyelia bersama saya itu akan bertukar ke universiti lain hujung bulan ini. Kelam-kabut saya. Dalam masa-masa kritikal macam ni lah penyelia bersama saya tu nak berhijrah. Kalau difikirkan secara positifnya, ada juga kebaikan penghijrahan penyelia bersama saya tu sebagai pemangkin untuk saya cepat-cepat habis MSc ni bulan Disember nanti. Kalau tidak kenalah bayar yuran lagi.


Namun keburukannya, saya kena pos lah draf-draf tesis saya akan datang pada dia memandangkan dia akan berhijrah nun jauh di negeri di bawah bayu sana. Dugaan betullah. Walaupun dia sekadar penyelia bersama tetapi dia lebih pakar dalam projek yang saya buat ini. Masa dia ada dekat-dekat tak nak tanya, bila dah nak pergi baru timbul macam-macam soalan nak tanya. Benda yang tak ada depan mata baru nak hargai. Sesuaikah ayat ini?


Dua perkara ini pun dah cukup untuk membuatkan saya kelam-kabut, tak tahu nak mulakan yang mana satu. Padahal, banyak lagi benda tak siap ni. Semoga Allah permudahkan segala urusan saya.


Bila baca akhbar hari ni tentang keputusan JKR untuk membenarkan pelukis pelan bekerja dari rumah, terasa gembira bagi pihak mereka walaupun saya tak ada kena-mengena. Kan seronok kalau nanti saya boleh bekerja dari rumah saja. Kata suami, "tak jadi kerja lah nanti".

Monday, November 2, 2009

SINDROM PELUPA

Semalam merupakan hari terakhir diadakan colloqium untuk pelajar-pelajar sarjana Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia. Tujuannya untuk menggalakkan pelajar-pelajar membentangkan 'progress work' masing-masing. Lebih-lebih lagi untuk pelajar yang dah sampai 2 tahun tapi masih tak membentangkan proposal penyelidikan seperti saya ni. Colloqioum yang berlangsung selama 2 hari iaitu bermula pada hari Sabtu dan selesai pada tengahari Ahad di adakan di Bukit Jawi Golf Resort, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Dengarnya penginapan dan makanan peserta dan ahli jawatankuasa colloqium semua ditanggung oleh Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM. Banyaknya duit USM. Memang satu sen pun tak dikeluarkan oleh peserta yang menyertai colloqium ni. Buat pelajar seperti saya yang tiada lagi bayaran gaji bulanan kerana geran penyelidikan sudah habis tempoh, perkara percuma macam ni tak eloklah disia-siakan.


Alhamdulillah, walaupun saya menjadi pembentang hasil penyelidikan yang terakhir sekali semalam (last but not least) tapi saya berjaya juga membentangkan hasil kerja saya. Agak berpuas hati cuma daripada segi penyampaian dan rasa gemuruh tu perlu diperbaiki lagi pada masa akan datang. Bahasa Inggeris komunikasi saya pun banyak yang tunggang-langgang. Jadi, saya kena banyak-banyak praktis supaya lebih sempurna serba sedikit menjelang viva saya nanti yang belum diketahui lagi bila.


Sejak kebelakangan ini sindrom pelupa saya semakin menjadi-jadi. Kata suami, saya ni kurang fokus. Mungkin juga sebab bila macam-macam perkara berlegar-legar di kepala saya ni, mulalah datang sindrom pelupa tu. Malam sebelum pembentangan, semasa saya nak periksa semula slide presentation yang sudah dibuat sebelumnya, tiba-tiba pendrive saya tak dapat dikesan di mana letaknya. Puas mencari di dalam beg tapi tak jumpa. Sudahlah 'pendrive' tu satu-satunya yang menyimpan segala maklumat dan hal-hal berkaitan projek saya. Saya tak pasti di mana hilangnya tapi naluri hati saya mengatakan ia mungkin berada di CPU komputer saya di bilik pelajar sarjana. Esoknya bila saya pergi ke PPK Kimia, sah 'pendrive' tu ada di situ. Syukur.Lega hati saya.


Peristiwa yang kedua yang disebabkan oleh sindrom pelupa ni berlaku pada pagi Ahad semasa saya memandu menuju ke Nibong Tebal. Saya sudah 20 minit memasuki lebuh raya ketika suami saya tiba-tiba menelefon.


"Yang, 'pendrive' tadi tak ambil ker?", tanya suami saya. Saya amat berkeyakinan yang saya dah ambil 'pendrive' tu sebelum saya melangkah keluar dari rumah. Sambil tangan kanan saya memegang stereng, tangan kiri saya pula meraba-raba isi beg. Sah! Tak ada.

Dengan nada suara yang sangat kecewa, geram dan sebagainya, "abang...pendrive tertinggal..".


Mujurlah saya mempunyai suami yang baik hati dan penyayang (puji sikit). Saya berhenti di Hentian Sebelah Tikam Batu, menunggu kedatangan suami saya menghantar 'pendrive' keramat itu. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 8 ketika suami saya sampai dengan 'pendrive' tu. Bermakna disebabkan kecuaian dan kekalutan saya suami saya akan lambat masuk ke pejabat dan tak sempat nak 'punch card'. Kesian suami saya.


Sebenarnya ini bukan kali pertama dan kedua sindrom ni menyerang saya. Dah banyak kali dan dah banyak benda yang saya selalu lupa. Kadang-kadang bila pulang ke kampung saya lupa nak bawa balik kain pelikat suami saya, berus gigi, susu anak dan sebagainya. Dan saya rasa sindrom pelupa saya ni akan berterusan lagi. Kata orang kalau rajin menghafal al-quran ingatan kuat. Nampaknya itu kot yang harus saya buat....