“beri hatimu hanya untuk ALLAH, pasti ALLAH temukan padamu pemilik terbaik, hamparkan masamu seluasnya hanya untuk ALLAH, pasti ALLAH aturkan seluruh kehidupanmu sebaiknya”
Thursday, February 24, 2011
PEMIMPIN OH PEMIMPIN
Aku ingin mencari pemimpin
yang tidak bermewah dengan harta
dan hidup bersederhana
Aku ingin mencari pemimpin
yang tidak menambah koleksi kereta
macam beli ikan di pasar hari
dari Porsche hingga ke Ferrari
tapi hanya cukup dengan Saga
Aku ingin mencari pemimpin
yang mahligainya sederhana
sama seperti rakyat biasa
bukan mahligai bernilai juta-juta
kemudian disiasat oleh SPRM
sebab didakwa rasuah aiyaaa
Aku ingin mencari pemimpin
yang pakaiannya mencerminkan akhlaknya
kalau perempuan
menutup aurat mengikut perintah Yang Maha esa
bukan kerana mengikut gaya semasa
bukan yang bersolek mengalahkan model antarabangsa
tapi tata tertibnya indah
seperti serikandi islam dahulukala
ada? ada? ada?
Aku ingin mencari pemimpin
yang pakaiannya mencerminkan akhlaknya
kalau lelaki
yang berkopiah dan berserban di kepala
sebab itu sunnah Nabi SAW maaa
Bukan yang pakai seluar pendek
walaupun sekadar nak sepak bola
Aku ingin mencari pemimpin
yang mesra dengan rakyat
setiap masa dan setiap ketika
bukan tunggu nak pilihanraya
baru nampak batang hidung dan muka
Aku ingin mencari pemimpin
yang kalau menghadiri apa-apa acara
tidak kiralah rasmi atau saja-saja
yang tidak mengada-ada
berprotokol sini dan sana
berhampar permaidani merah
berbunga manggar dan berkompang sebagai syaratnya
bikin orang kampung pening kepala
Aku ingin mencari pemimpin
yang boleh datang jumpa bila-bila
tak perlu nak ber'appointment'
macam nak jumpa raja
yang datang hanya orang kampung biasa
datang pun bukan sebab suka-suka
tapi datang nak aju masalah di dada
nak cari kot-kot ada penyelesaiannya
Aku ingin mencari pemimpin
yang kenyang bersama rakyat
yang makan bersama rakyat
yang minum bersama rakyat
yang hidupnya tak ada beza dengan rakyat biasa
Aku ingin mencari pemimpin
yang jujur dengan harta rakyat yang dipimpinnya
yang tak makan rasuah macam makan gula-gula
pendek kata ikut sunnah Nabi SAW semuanya
walaupun tak berjaya ikut keseluruhannya
tapi dia mencuba sedaya upaya
menjadi pemimpin yang terbaik
untuk membela rakyatnya
Aku ingin mencari pemimpin
yang bila dia berkata-kata
akan membuatkan aku takut
dan menambah rasa taqwaku pada Allah
yang berjaya mentarbiah anak isterinya
supaya taat beribadah dan menutup aurat
Di dunia hari ini
Adakah lagi pemimpin seperti Khalifah Umar al-Aziz
yang hidupnya sederhana walaupun bergelar raja
tidak menggunakan harta rakyat seperti hartanya
walaupun sekadar nak membeli perhiasan kepada isteri tercinta
atau seperti Khalifah Umar al-Khattab
yang singgahsananya di bawah pokok tamar
bajunya compang-camping
bertampal di mana-mana
tapi melaksanakan tugas dengan adil dan saksama
Wahai pemimpin
Ingat!!!!
kamu mungkin glamour dan disanjung di dunia
tapi kamu mungkin sengsara di akhirat sana
kerana menjadi pemimpin itu
amanah yang paling berat di dunia
Andai kamu menjadi pemimpin
Pemimpin sebeginilah kamu perlu jadi
kalau tidak jangan harap aku nak undi
Lu pikirlah sendiri...
Saturday, January 15, 2011
MARAH
Suatu hari....
Kita jadi MARAH apabila anak kita buat bising sambil melemparkan barang-barang mainannya ke lantai lantas mengejutkan adik kecil yang sedang tidur dalam buaian. Kita yang sedang disibukkan dengan kerja-kerja harian di rumah atau menyibukkan diri dengan facebook, blog dan sebagainya tiba-tiba rasa api naik kepala lalu....(sila sambung dengan menggunakan ayat sendiri tidak lebih daripada 50 patah perkataan)
Sama juga kalau...
Kita pergi ke satu kedai makan. Oleh kerana lidah kita terasa nak makan western food jadi, kita pun pesan chicken chop sos black pepper dengan air tembikai (oh! Terliur anak tekak....). Tapi, walaupun dah menunggu selama 40 minit sambil anak cacing bermain drum heavy metal dalam perut namun makanan yang dipesan belum sampai ke meja. Tiba-tiba, orang yang datang selepas kita dapat dulu makan chicken chop sos black pepper yang kita pesan sebelumnya dengan gembira sambil kita menahan rasa api naik kepala lalu....
Sama juga kalau...
Kita pergi ke satu kedai nak beli barang tapi, tuan punya kedai buat tak tahu je. Muka pun tak senyum. Bila kita tanya, nak tak nak saja jawab. Maka, kita pun yang api dah naik kepala menggunakan kuasa sebagai pembeli lalu....
Sama juga kalau...
Kita beli sebuah motor di sebuah kedai yang baru dibuka di kawasan kampung. Beli motor pun bayar cash, tak ada hutang-hutang. Kita pun dengan bangganya sebab bayar motor secara tunai, tungganglah motor yang tak ada hutang tu keliling kampung. Esok pagi, tiba-tiba motor tak boleh start. Bukan setakat esok saja, sampai seminggu pun tak boleh start. Oleh kerana itu, motor yang dibeli secara tunai itu pun tersadai di depan rumah sebagai hiasan walaupun tak hilang lagi bau kedai. Kita yang api dah naik kepala segera bertemu dengan si penjual setelah mekanik di bengkel pun tak boleh kenalpasti masalah sebenar motor yang baru saja dibeli secara tunai itu, lalu...
dan sama juga kalau...
Kita pergi ke kaunter di sebuah pejabat untuk bertanyakan sesuatu hal yang penting tetapi orang-orang di pejabat buat tak tahu. Kita pun tekan loceng di kaunter dengan harapan ada orang sedar kewujudan kita di kaunter pejabat tersebut. Tapi, bila tekan loceng orang yang datang tu buat muka masam, langsung tak senyum, macam tak sudi nak layan dan menyebabkan kita yang tak ada kena-mengena dengan masalah rumahtangganya rasa api naik kepala, lalu...
dan banyak lagi. Kalau nak cerita kat sini, 1001 malam pun belum tentu habis.
Yang pasti, kalau api dah naik kepala...kita mungkin akan rotan anak yang buat bising lantas mengejutkan adik dalam buaian dan ganggu kita yang sedang sibuk buat kerja penting dan tak penting sampai meraung-raung menangis kesakitan. Jiran kita yang prihatin telefon 15999 beri laporan yang anak kita kena dera lalu polis pun datang buat siasatan. Kebetulan, tangan anak kita merah-merah sebab kena rotan dan tak henti-henti lagi menangis. Tak pasal-pasal kita didakwa mendera lalu padan muka kita masuk surat khabar muka depan sebab tak kawal api naik kepala.
Kita juga mungkin akan buat muka menyampah sambil marah gila-gila pada pelayan yang hantar lambat pesanan makanan kita. Padahal, drum dalam perut dah nak pecah berbunyi. Tiba-tiba, orang yang datang lambat dapat makan dulu chicken chop sos black pepper yang sedap sambil menjeling pada kita sambl membuat reaksi muka minta-maaf-bukan-salah-saya. Kita yang dah berasap-asap kepala mula membentak-bentak meja seperti seorang kanak-kanak yang tidak dibelikan mainan kereta control oleh ayahnya lalu berambus daripada kedai tersebut dengan perut yang menyanyi lagu balada pula.
atau mungkin...sekiranya kita mempunyai gaya seorang penceramah motivasi dan muka pun seiras-iras Ustazah Norbahyah atau Dr. Fadzilah Kamsah, mungkin kita dapat memberi ceramah motivasi percuma kepada tokey kedai runcit, tokey kedai motor, kakak kaunter pertanyaan dan sebagainya tentang adab-adab berniaga dan melayan tetamu. Dengan harapan mereka akan terbuka hati untuk berubah lalu memajukan lagi perniagaan dengan cara yang lebih bijaksana. Kakak di kaunter pertanyaan pun mungkin akan jadi lebih peramah dan senyum lebar sampai ke telinga. Baru saja kita melangkah masuk ke pintu depan, kakak di kaunter dah menyapa kita dengan senyuman dan kata-kata manis dengan ucapan "Assalammualaikum. Boleh saya bantu?"...Walaupun kita sekadar nak bertanya, "kak, tandas di mana?"...
Nabi Muhammad SAW dulu selalu dimaki-hamun atas sebab baginda mengajak kaum manusia menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Satu. Tapi, baginda membalas dengan senyuman dan diam. Oleh kerana itu, pengikut ajaran baginda sentiasa bertambah sehingga ke hari ini. Peribadi indah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada baginda menjadi sebahagian kunci kepada kejayaan mengembangkan agama Islam ke seluruh alam dan legasinya tetap diteruskan sehingga ke hari ini oleh para pendokong agama Islam yang benar-benar tulus bukan fulus.
Tapi, berapa ramai daripada kita yang apabila api dah naik kepala yakni MARAH kita akan bertafakur, menarik nafas dalam-dalam, beristighfar dan diam. Paling kurang, kita mungkin akan membaling sesuatu atau paling teruk membunuh satu nyawa hanya disebabkan MARAH. Nabi SAW dulu pernah dibaling najis dan sampah setiap kali dia melalui sebuah rumah seorang perempuan bukan Islam (macam yang Maher Zain tunjuk dalam klip video The Chosen One). Sebut Maher Zain, terang pula ingatan kita. Tapi, ketika perempuan itu sakit Nabi SAW masakkan makanan untuknya. Tak ada pun sesi pertengkaran atau balas dendam walau sebesar zarah. Itu salah satu sunnah Nabi SAW, tapi ada kita peduli?
Alangkah indahnya kalau sunnah Nabi SAW yang satu itu dapat kita ikuti. Bila kita dimarahi atau ingin memarahi, kita diam sambil beristighfar lalu mengukir senyuman pulaaa...subhanallah. Kita berdoa supaya orang yang marah itu diberikan ketenangan oleh Allah SWT atau kita berdoa supaya kita yang nak marah diberikan ketenangan oleh Allah SWT lalu cuba kita bayangkan dunia yang aman dan sejahtera tanpa pertumpahan darah dan pertengkaran lidah. Oh, sungguh indahhh!!!
Kita ni sebut poligami saja semua tahu itu sunnah Rasulullah tapi bab-bab solat, ibadat lain-lain tak nak pula ikut sunnah Rasulullah...
Ya Rasulullah Ya Habiballah...
Aku rindu padamu...
Kita ni asyik kata sayang Nabi tapi betulkah segala amalan dalam hidup kita ni mengikut sunnah Nabi? Cer check balik..Entah-entah syok sendiri..
Salam Maulidur Rasul 1432 H
Saya rasa nak marah kalau kita seharian berarak sambil berselawat ramai-ramai menunjukkan tanda kasih sayang kepada Rasulullah tapi bila balik rumah haraaammm tak solat. Boleh pula tidur sambil ternganga mulut dan meleleh air liur basi kononnya penat memuji Rasulullah...memang hampeh!
Monday, December 6, 2010
TAHUN BARU 1432 H
Setahun lagi bakal berlalu dan saya...
- sudah mempunyai dua orang anak
- masih memegang gelaran Mrs.Jie
- masih belum menamatkan pengajian sarjana..dah masuk tahun ketiga dan tiada niat untuk memecahkan mana-mana rekod pengajian paling lama
- bekerja sebagai suri rumah separuh masa pertama dan juga sebagai pelajar separuh masa kedua
- masih kurus dan mempunyai masalah berat badan tak ideal walaupun menjadikan makan sebagai hobi sejak azali (banyak cacing kot..)
- amalan dan ibadah yang masih di tokok lama dan tak berubah-ubah..
Tak ada azam tahun baru cuma nak memperbaiki kerosakan diri yang sedia ada dan istiqamah saja.
Salam Muharram 1432 H
Monday, November 29, 2010
26th..
Selamat Ulangtahun yang ke-26 buat saya pada 21 Nov yang lalu..
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik manusia menurut panbdangan Allah (Islam) ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk pula perbuatannya (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)
Terima kasih buat semua doa dan ingatan daripada teman-teman di FB..hadiah tak ada ker?
Tuesday, November 16, 2010
BERKORBAN APA SAJA..
Suatu hari...
Kita tengah sibuk, khusyuk dan tawadduk melayan blog dan facebook bila tiba-tiba terdengar kuat berkumandang suara azan lalu kita ber'korban' tinggalkan terus blog dan facebook untuk menyahut panggilan azan dan solat dengan penuh rasa sibuk, khusyuk dan tawadduk mengadap Ilahi...
Ingat berkorban sekadar sembelih lembu dan kambing saja ker?
Salam Aidiladha daripada Ummu Ziyad a.k.a Mrs. Jie sekeluarga
Friday, October 1, 2010
ALAMAK!!! KAN DAH KENA?
Apa yang kita nak jawab??
"Akak tak perasanlah...", sambil cover rasa bersalah dan malu tersipu-sipu.
"Eh, apa ni dengan kamera-kamera ni...??".
"Mana ada anak saya buat macam tu"...Padahal anak dia memang tengah syok menghirup udara yang dicemari ekzos kereta maknya di tempat duduk belakang.
Apa-apa ajelah jawapan akak-akak ni. Tapi, itulah soal jawab yang saya sempat tonton dalam satu rancangan di TV1 sebentar tadi. Yang pastinya, bila wartawan tu tanya soalan macam tu tak pasal-pasal kena marah balik dengan ibu-ibu tu. Kesian wartawan yang kononnya nak tunjuk rasa prihatin rakyat 1Malaysia tu.
Siapa-siapa pun akan marah kalau tiba-tiba diterjah soalan-soalan yang menampakkan orang yang disoal tu bersalah gilerr macam penjenayah kes dadah. Pulak tu masuk TV. Malulah satu Malaysia tengok kesalahan yang dibuat tu.
Tapi, saya rasa tak patutlah bila akak-akak yang merangkap ibu-ibu marah-marah kat wartawan tu walaupun cara dia approach akak-akak tu mungkin tak kena. Sepatutnya wartawan tu datang dengan polis sambil tunjuk surat saman RM 300 biar terbeliak dan bisu seketika untuk berkata-kata sebab cuai membiarkan anak-anak buat aksi berani mati yang membahayakan semua pengguna jalan raya. Adakah peraturan macam tu? Saya hantam saja...Tapi itu hal teknikal yang kalau dibahaskan 40 hari 40 malam pun belum tentu selesai. Hal yang penting adalah tindakan anak-anak akak-akak tu yang keluarkan kepala dan tangan kat tingkap masa ibu-ibu mereka tengah memandu. Kalau akak tak sayang anak-anak akak, itu hal akak tapi berterima kasih dan berbudi bahasalah dengan orang menegur dengan niat membuat kebaikan.
Sebagai seorang ibu beranak dua yang baru setahun jagung berbanding akak-akak tu yang dah setua jagung, saya rasa terkilan bila wartawan tu tanya, "kalau ada motor lalu kemudian langgar kepala dan tangan anak akak macam mana?".
Ada seorang akak tu jawab, "Peduli apa....". Marah bebenor akak ni yer. Kot ye pun fikir dulu sebelum jawab. Mulut ibu ni masin tau akak. Ibarat doa tu kalau betul-betul jadi pada anak akak nanti macam mana. Menyesal tak sudah agaknya kan....Kalau saya jadi anak akak, mesti saya rasa kecil hati dan sedih sebab sanggup ibu saya cakap macam tu seolah-olah tak risau pun kalau anak dia kena langgar betul-betul...huhuhu
Akak seorang lagi pulak jawab,"...orang lain banyak lagi, kenapa sibuk-sibuk hal saya..". Pulak dah. Patutlah banyak kes buang bayi sekarang ni. Mungkin jawapan sebeginilah yang menjadi puncanya. "Anak aku, aku punya sukalah nak jaga macam mana".
Kalau saya, saya akan ucapkan terima kasih sebab wartawan tu ingatkan saya akan ketidaksedaran saya atas tingkah-laku anak-anak saya yang boleh mendatangkan bahaya pada saya dan mereka juga. Saya akan minta maaf kerana cuai menjalankan tanggungjawab saya sebagai ibu yang baik dan prihatin. Biarlah satu Malaysia tengok saya dalam TV atau satu dunia tengok saya dalam Youtube sambil menangis-nangis menyesal dengan kecuaian saya tu. Orang akan kata, baguslah dia ni...isteri sapalah ni? Suami dan keluarga saya akan turut bangga termasuk anak-anak saya sebagai pelakon tambahan (oh....berbaur riyak..istighfar..istighfar).
Bukan nak kata, memang banyak kali dah saya tengok budak-budak yang suka-suki saja buka tingkap kereta lepas tu buat aksi macam Kate Winslet dengan Leonardo Di Caprio terbang kat depan dek kapal dalam cerita Titanic tu. Sepupu-sepapat saya pun serupa. Cari penyakit betullah budak-budak ni. Ibu dan bapa budak-budak ni pula boleh buat-buat tak nampak aksi-aksi berani mati anak-anak mereka. Kita yang dok tengok pula mengucap panjang.
Tak salah kan kalau ibubapa pesan siap-siap pada anak-anak mereka sebaik saja melangkah naik ke kenderaan. Jangan buka tingkap dan keluarkan kepala, tangan, kaki dan sebagainya masa kereta tengah bergerak. Jelaskanlah bahaya yang bakal mereka dapat kalau buat aksi berani mati macam tu. Kalau ada orang luar yang tegur, terimalah dengan penuh berlapang dada dan redha. Kalau boleh ucap terima kasih pada orang yang tegur tu kerana masih ada rakyat yang prihatin dan sayang dengan anak-anak orang lain walaupun bukan anak-anak mereka. Tak perlu dibalas teguran dengan kata "Anak aku, biarlah..kau jaga anak kau sendiri". Rasa macam nak bagi rasengan + chidori jer kat orang yang jawab tu. Salah anak sendiri tak perlu nak letak pada orang yang menegur.
Kepada anak-anak pula, dah rasa lama ker hidup di atas muka bumi ni sampai berani buat aksi berani mati macam gitu. Patut ikat saja anak-anak yang tak makan saman nasihat ibu bapa ni. Kita sebagai manusia biasa tak layak nak tunjuk bodoh sombong dengan manusia lain. Sesuatu kesalahan dan kesilapan yang ternyata kita atau ahli kelurga kita lakukan harus kita betulkan sekiranya terdapat teguran daripada pihak lain. Dengan syarat teguran tu membawa kebaikan. Kebenaran tu kan pahit untuk ditelan. Kalau kena tegur sikit saja nak marah, lebih baik pindah duduk dalam gua seorang diri.
Cuba kita contohi sikap Rasulullah SAW. Sepanjang hidup baginda berdakwah, bukan setakat kena marah, kena maki hamun, dibaling najis, dibaling batu sampai luka-luka, diancam bunuh, tapi sikit pun baginda tak melenting. Tarik muka pun tak akak. Redha saja.
Tapi nanti akak kata, "itu Nabi yang maksum, aku ni manusia biasa saja".
Kalau macam tu contohilah saya akak. Saya ni manusia biasa yang tak maksum, banyak dosa macam akak jugak. Kalau saya kena marah, saya diam saja. Kadang-kadang saya buat muka senyum kambing. Marah ni kan api dari syaitan. Saya tak nak berkawan dengan syaitan. Akak nak ker?
Kalau saya yang kena, saya akan kata pada anak saya " kenapa Abang Long dengan angah buka tingkap keluarkan kepala dan tangan masa ibu tengah drive tadi. Tak tahu ker bahaya buat macam tu. Kalau ada motor terlanggar tadi macam mana, ibu yang susah tau. Tak pasal-pasal masuk hospital. Tak sayang nyawa ker...tak sayang ibu dengan abi lagi ker...Tengok,,tak pasal-pasal ibu masuk TV tadi. Satu Malaysia kenal ibu lepas ni macam artis!..Err, tudung ibu elok tak masa interview dengan wartawan tu tadi? Muka ibu nampak comot tak?"...pastu marah dan marah lagi supaya anak-anak saya insaf dan berjanji dan bertaubat nasuha tak nak buat dah.
Allah Yang Maha Mengetahui.
Sunday, September 5, 2010
SELAMAT HARI RAYA
Kata wanita itu:
"Ni, opah bagi duit raya kat baby".
Saya dan suami saling berpandangan terkejut beruk tiba-tiba ada orang datang nak bagi duit raya.
Wanita itu berkata-kata lagi dalam erti kata lebih kurang la:
"Bukan senang nak tengok suami dukung anak macam ni".
Saya pulak yang kembang-kempis hidung perasan bangga. Suami saya apatah lagi, rasa macam tak cukup ruang kerusi yang dia tengah duduk masa tu.
Saya dan opah tu bersalaman tapi terlupa pula nak tanya nama opah tu. Tak sempat juga nak berkenalan sebab lepas saja opah tu bagi sampul duit raya, dia pun pergi. Kami pun bergegas juga keluar sebab dah dekat waktu nak berbuka puasa.
Dalam kereta semasa sedang menunggu mama dan adik-adikku yang sedang menghabiskan sisa-sisa waktu petang dengan bershopping sakan di Giant walaupun waktu nak buka puasa dah dekat, saya pun terasa gatal tangan lalu membuka sampul raya. Oh ada sekeping duit warna merah. Murah betul hati opah tu. Saya pun berkata kepada suami:
"Kalau Ziyad ada sekali tadi, banyaklah duit raya opah tu bagi".
Mungkin tersangat kagum melihat seorang suami merangkap bapa mendukung anak kecil dan menjaga seorang lagi anak yang sedikit besar dari anak yang didukungnya sambil menjaga dua beg plastik yang berisi barang-barang shopping di Giant sementara menunggu isteri merangkap ibu pergi ke tandas...
Murah betul hati opah tu..mungkin opah rindu kat anak-anak dan cucu-cucu yang dah lama tak balik kampung kot. Semoga Allah murahkan rezeki opah.
Kepada semua muslimin dan muslimat termasuk opah, saya ucapkan SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN
Kepada anak-anak dan cucu-cucu opah, cepatlah balik raya. Kesian opah rindu kat anak-anak dan cucu-cucu opah...
Terima kasih daun keladi opah
Tahun depan kalau kita jumpa lagi di Giant Bayan Baru, Pulau Pinang
bagilah duit raya lagi
P/S: tahun depan kalau jumpa opah lagi mungkinkah suami saya dukung baby yang lain pula????